Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Monday, September 7, 2015

La Tahzan Jangan Bersedih

Bismillah,

Mengurus emosi sedih tidak mudah, namun tidak juga susah bila faham keadaan dan tahu erti ujian.
.Bila berdepan masalah ramai yang akan panic. Apalagi jika beban masalah itu banyak berkait dengan perasaan. Saya terbaca perkongsian beberapa rakan yang menjadi balu menyatakan tentang perasaan kesunyian dan kesedihan yang berpanjangan kerana tidak dapat menerima kehilangan orang tersayang. 

Dapatan kajian PHD saya juga sama. Boleh dikatakan balu yang menjadi responden memberikan jawapan yang sama. Mereka murung dan bersedih. Ada ketika airmata mengalir sendiri bila mengingatkan insan tersayang. Sungguh tidak mudah, apalagi jika ada banyak beban yang perlu digalas, ada perkara yang belum selesai perlu disudahkan. Keluarga perlu diberi makan, hidup perlu diteruskan.

Lalu bagaimana cara mereka menangani semua ini? Tiada lain, hanya diri perlu kental dan tabah, perlu pasrah dengan dugaan. Jawapannya adalah kembali kepada Pencipta. Mengadu pada Dia yang Maha Esa. Ujian kehilangan untuk insan merasa dan percaya, apa yang ada milik Dia. Kita diberi pinjam sementara. Sampai masa Dia akan menarik semula apa yang ada.

Jika kita bersedia dengan kehilangan maka ia tidak mengambil masa lama untuk bangkit.
Namun jika kita masih tidak redha dan bersedia serta memahami bahawa diri kita juga bila-bila masa akan dipanggil pergi maka kita susah menerima kenyataan. Diri tidak akan tenang. Kita menjadi insan yang kuat untuk bangkit memulakan kehidupan baru bila faham MATI ITU PASTI. 

Mungkin ada yang berkata, tidak kena batang hidung sendiri, mudah bercakap, senang berkata-kata. Tidak juga... Saya sendiri merasainya. Melihat dari kacamata seorang anak sudah cukup untuk saya memahami. Ibu saya juga menjadi balu, bahkan diusia yang cukup muda. Saya banyak belajar dari beliau. Apalagi waktu ayah meninggal ibu saya mengandung. Apabila bersalin tidak sampai 40 hari adik saya yang satu-satunya lelaki meninggal dunia. Bayangkan kesabaran tahap bagaimana yang ibu saya miliki. Sepanjang saat itu, saya tidak pernah mendengar ibu saya merintih, tidak juga pernah melihat airmatanya mengalir. Aktivitinya hanya mencari rezeki untuk menyara kehidupan,selain beribadat kepada Allah.

Bagaimana beliau begitu kuat? Bagaimana beliau mampu mengurus emosi dan kesedihan? Jawapannya... beliau redha dan pasrah. Beliau sudah biasa dengan kehilangan. Ibunya meninggal diusia 2 tahun. Kehidupan mengajarnya untuk tabah dan sabar. Tiada istilah murung, tiada masa untuk menangis dan merintih kepada insan. Ibu sedar hanya Allah tempat mengadu. Maka percayalah, hidup ini pentas ujian. Ia bukan masa untuk kita bersedih hingga menyebabkan minda kaku dan hati punah. Bangkitlah! Kini masa untuk memandang ke depan, atur langkah kehidupan. Percayalah, insan yang sabar ganjaran menanti dari Tuhan.

Wallahuaalam.


Tip membuat pelaburan

Ada dua bentuk pelaburan . Pelaburan dunia dan pelaburan akhirat

Pelaburan seringkali dilihat dalam bentuk duit, walhal melabur masa dan tenaga juga mampu menjana duit.

Bila ada duit, pelaburan bagaimana yang perlu buat?

1. Keluarkan zakat terlebih dahulu. Sedekah mengikut kemampuan. Jika tunggu duit ada untuk sedekah, bila masa duit ada. Ambil ibrah kisah Saidina Ali dan Fatimah Az Zahra dalam surah Al Insan.

2. Selesaikan hutang piutang, hutang dengan Allah (tunaikan rukun Islam yang ke-5) dan hutang dengan manusia. Jika tak mampu bayar semua, setidaknya sedikit lama-lama langsai. Ingat hutang walau tidak dituntut wajib dibayar.

3. Modalkan untuk ilmu. Ia sesuatu yang perlu.

4.. Modalkan untuk bisnes. Pilih bisnes patuh syariat. Laburkan dengan bijak. Ibarat tanam pokok, tanam sayur untuk makan harian dan tanam pokok durian untuk tuaian masa jangka panjang.

Thursday, September 3, 2015

Teknik Berfikir Aras Tinggi



Apakah itu kemahiran berfikir?

Kemahiran berfikir bermaksud apabila kita berfikir ia dapat menghasilkan sesuatu hasil atau keputusan Ramai yang mengaku sedang berfikir namun ia tidak membuahkan apa-apa hasil hingga berfikir menjadi satu bebanan kerana fikiran berfikir tanpa henti.

Hasil dari berfikir kita akan dapat menjelaskan sesuatu penerangan, dapat menghasilkan sesuatu design, , keputusan, pelan tindakan atau juga sebab-sebab yang terbukti. Selain itu idea juga adalah hasil dari berfikir. Idea ini boleh terhasil secara konkrit atau pun juga secara abstract.

Cara berfikir individu sering didominasi oleh persepsi mereka. Persepsi terhasil dari maklumat yang sedia ada dalam pemikiran kita. Individu juga ada kecenderungan untuk cuba mengubah idea atau membuat idea baru maka akan terhasillah pemikiran logik.

Adakala juga individu memilih untuk berfikir secara kritikal. Berfikir secara kritikal berlaku hanya pada salah atau betul sesuatu perkara pada hemat mereka. Ia tidak menghasilkan sesuatu yang baru tetapi lebih kepada melihat kepada kekurangan, kesilapan, ketidaksenambungan atau juga sesuatu yang bertentangan. Berfikir secara analatikal pula lebih menitik beratkan analisa pada sesuatu perkara. Ini memerlukan pada perincian.

Konteks berfikir aras tinggi ini biasanya memerlukan individu lari dari kebiasaan, ia melibatkan pemikiran yang meluas dan mendalam. Jika selama ini cenderung melihat sesuatu dengan cara sedia maka kita perlu berfikir di luar kotak. Mungkin ia dianggap pelik namun realtinya ia sesuatu yang bagus bagi yang percaya dan yakin.


Tuesday, August 11, 2015

Erti syukur pada memberi



Bismillah,

Alhamdulillah.... tiada ungkapan syukur yang mampu dikatakan melainkan lafaz tahmid kepada Yang Maha Berkuasa. Dia yamg memberi dan Dia juga yang berhak mengambil kembali.

Saat Allah memberi ada ketika lupa ia juga masa Allah mahu menguji hambaNya. Berstukur atau takbur? Besar atau kecil setiap pemberian perlu disyukur. Berapa banyak yang kita rintih belum diperoleh berbanding dengan kita mensyukuri setiap nikmat yang Allah beri.

Seringkali juga kita gagal melihat ujian sebagai satu pemberian Allah dari dari sudut yang positif.. Berapa banyak yang kita peroleh hikmah dari ujian yang menimpa. Bak kata sahabat saya yang belajar sesuatu apabila suami bermain kayu tiga. Ada juga yang insaf bila diberhentikan kerja, selama ini diri sangat ego dan sombong.

Maka syukur untuk perlu ada dalam setiap ketika. Musibah yang hadir ia tanda kasih sayang. Nikmat juga tanda ujian. Ia sama ada kita alpa dalam keseronokan atau kita insaf dengan pemberian.

Setiap satu perkara yang kecil kita jarang bersyukur bahkan kita lebih banyak membilang apa yang tidak cukup. Manusia yang tamak sentiasa nafsunya mahu dipenuhi, jarang sekali mahu memberi apa yang telah dimiliki pada yang lebih memerlukan. Manusia lebih suka mengharap dari menunaikn harapan.

Maka kita berada dalam keadaan yang mana?
Tepuk dada tanyalah Iman!

Wallahuaalam

Tuesday, August 4, 2015

Hadiah Hari Lahir

Bismillah,

Hari Jadi, Hari Lahir, Hari Ulangtahun, Birthday bahkan banyak perkataan bagi mengambarkan tarikh istimewa dalam kehidupan. Dalam Islam sendiri tiada sambutan seumpama itu diajar oleh Rasulullah. Jika adapun Rasulullah mengenang insan yang telah pergi dengan memberi hadiah daging sembelihan. Ia ada dalam hadith yang diriwayat oleh Aishah bila Rasululah tidak lupa mengagihkan makanan kepada saudara Khadijah.

Namun kita sudah terbiasa dengan mengingati hari kelahiran. Secara logik ia bagi mengenang dan menghargai namun jangan sampai ia menjadi satu pembaziran atau keterpaksaan. Tarikh kelahiran Tahun Masehi saya dan anak sulong Anis Najwa hanya berbeza dua hari, sapa pada Julai dan beliau pada Ogos. Bahkan saya berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan anak buah. Manakala anak yang sulong berkongsi tarikh dengan sepupunya.

Tiada sambutan yang dibuat, bahkan saya maklumkan pada suami, tidak perlu memberikan hadiah jika tidak mampu. Cukuplah sekadar ucapan dan doa tanda ingatan bahawa usia saya sudah meningkat. Semalam Anis menghulurkan hasil patchwork beliau kepada saya sebagai hadiah hari lahir. Pada saya ia amat bermakna. Ia bukan pada harga, tetapi pada ingatan.

Saya juga tidak lupa sebelum ini membelikan beliau hadiah, Ia agak sukar membelikan hadiah hari lahir sekarang ini berbanding sewaktu mereka kecil. Ini kerana mereka sudah milik citarasa tersendiri. Namun apa jua yang diberi pasti dihargai.

Hikmah dari hari kelahiran itu perlu diambil peduli dibanding hadiah. Ia masa untuk kita muhsabah amalan dan ibadat sepanjang tahun. Adakah lebih baik atau sebaliknya. Ia juga masa untuk merenung kembali bagaimana kita menggunakan nikmat yang diberi Allah serta berfikir masa yang akan datang bagaimana mahu dipenuhi? Berapa lama masa berbaki hanya Dia yang Maha Mengetahui, namun sebagai hamba kita perlu siap siaga, mempersediakan diri untuk dihari muka yang tiada dapat membantu melainkan amal soleh.

Wallahuaalam

Tip Penulisan



Bismillah.

Minggu lalu saya menghadiri rumah terbuka rakan satu sekolah. Alhamdulillah ramai rakan sekolah, rakan seuniversiti yang hadir. Ia masa dan kesempatan untuk bermaha mesra dan bertanya khabar. Seorang teman menyapa saya sambil bertanya, sekarang ini saya sedang tulis buku apa? Kata saya ada macam-macam projek penulisan, buku pun ye, artikel untuk pembentangan pun ye. Pendek kata jika tengok pada senarai memang tidak menang tangan.

Realtinya menulis ada ketika tidak boleh dipaksa, ada masa mood menulis tiada disebabkan terlalu banyak kerja-kerja lain yang perlu disiapkan, ia juga amat bergantung kepada mood. Ilham menulis datang tidak tentu masa. Ada waktu tengah bawa kereta, ada masa sewaktu berbual atau menonton TV. Terkadang bila kita mengadap komputer dan seperti rasa amat bersedia, ilham terbaik itu tidak pulah hadir.

Menulis adalah hobi, ia minat yang perlu sentiasa dipupuk dan menjadi sebatihingga menulis jadi satu ketagihan. Apapun pastnya kita bukan menulis untuk mengecam, mencerca serta mengkritik orang lain. Tulisan biarlah sesuatu yang manfaat agar ia menjadi ladang pahala untuk kita.

Menulis perlukan satu disiplin yang tinggi. Ia tidak mudah bagi yang bekerja dan ada tangugngjawab dengan keluarga. Pendek kata kita perlu mencuri masa yang ada barulah dapat ruang untuk menulis. Ada banyak platform untuk menulis sekarang ini baik di FB, blog, twiter dan lain-lain. Bezanya bagaimana menulis disemua platform itu dan satu masa bagaimana ia dapat menjadi buku. Ia satu hal yang kadang kita tidak pernah terfikir.

Pada saya, menulis adalah cara kita berkongsi idea dan pandangan. Mungkin tidak semua idea kita diterima namun ia perlu diketengahkan dalam bentuk penulisan agar kita dapat berkongsi. Jika ia baik maka sudha pasti ganjaran kebaikan untuk kita. Apa jua elakkan dari menulis dan berkongsi perkara yang tidak baik kerana ia saham dosa untuk kita juga.

Wallahuaalam.


Thursday, July 30, 2015

Bisnes dan gaya hidup



Bismillah,

Jumaat yang barakah,

Berniaga adalah satu cara untuk menjadi kaya raya jika ia berhasil. Berniaga juga jika tidak kena gaya membawa sengsara. Maka berniaga menjadi sunnah dan barakah bila tahu caranya. Ramai yang sering menempelak dengan kata-kata, jangan jadi kaya nanti lupa diri dan sombong.

Individu yang sombong bukan salah kekayaan. Ia salah mereka yang tidak faham istilah kaya dan siapa milik kekayaan yang sebenar. Insan yang betul-betul kaya adalah yang tahu setiap rezeki dan keuntungan bisnes adalah dari Allah.

Insan yang tahu bersyukur tidak akan riak dan sombong dengan kekayaan dunia. Allah boleh mengambilnya dengan sekelip mata. Iktibar ini perlu kita ambil dari surah Al Kahfi yang menceritakan kisah sahabat yang mempunyai kebun.

Berdasarkan kisah ini kita dapat pengajaran bahawa manusia yang berjaya sering merasakan ia dari hasil usahanya sendiri serta menidakkan rezeki pemberian Allah. Apabila Allah menarik semuanya barulah diri merasa sesal.

Maka bila kita kaya, pastikanlah bagaimana kita menggunakan kekayaan itu, ke mana ia disalurkan. Bagaimama hasil kekayaan itu dapat dimanfaatkan. Orang kaya yang zuhud, semakin kaya semakin ia tunduk dan mengakui ke-esaan tuhannya. Sebaliknya orang yang bongkak dan sombong akan lupa diri.

Hari ini kitaboleh memilih untuk menjadi ahli bisnes yang sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian Allah. Ia boleh diterjemahkan dengan berinfaq pada fakir miskin serta memanfaatkan harta ke jalan Allah serta tidak membazir dan boros dalam berbelanja. Gaya hidup Islam perlu diteladnai agar kita menjadi insan yang kaya dunia akhirat.

Tirulah gaya hidup sahabat seperti Saidina Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi Ikon Usahawan Islam yang telah mempamerkan apa ertinya menjadi orang kaya.

Wallahuaalam.

Wednesday, July 22, 2015

kepimpinan dan Pengurusan



Kepimpinan vs Pengurusan
Harvard Businesd School menyatakan : Ilmu kepimpinan menyumbang 85 peratus kepada kejayaan organisasi, manakala ilmu pengurusan menyumbang 15 peratus sahaja.
Namun realitinya kebanyakan organisasi memperuntukkan 85% sumber melatih kemahiran pengurusan berbanding kepimpinan.
Sumber: Perjalananku bersama Al Quran

Motivasi Perniagaan



Bismilah,
Carta kesihatan bisnes kita boleh dikenalpasti dengan melihat kepada 'Nombor'.
Cara yang mudah:
+Berapa ramai pelanggan yang kita temui setiap hari?
+Berapa ramai yang bertanya berkenaan bisnes kita?
+Berapa ramaikah yang ingin membeli?
+Berapa banyakkah produk terjual setiap hari?
+Berapa banyakkah produk dijual pada setiap minggu?
Mode:
Menyusun strategi baru untuk meneruskan bisnes yang satu ini agar makin berkembang dan bertapak kukuh. Allah berikan kejayaan . Amen.

Ukhuwwah dan Persahabatan



Rumah Terbuka dan Ukhuwah

Cerita 1:
Semalam Ain tanya, "Ummi bila nak buat rumah terbuka? Kawan adik nak datang beraya". 
Lalu saya jawab; "Datang la kueh raya ada banyak tu, cuma kena datang waktu kita ada di rumah la". 
"Ummi tak nak masak yang special ke?". Tanya Ain lagi.
"Tunggu nak masak special ke baru kawan adik nak datang?" Saya membalas. Ain diam.

Cerita 2:
"Jemputla datang la datang rumah, bila lagi nak berkunjung ke rumah kami" kata saya pada rakan lama.
" Buat la rumah terbuka, nanti kami datang". Jawabnya pantas.
Saya nak jawab tapi tiba-tiba kelu.

Nota:
Rumah terbuka sempena hari raya diadakan agar mudah menerima tetamu dalam satu masa. Terutama bagi yang sibuk bekerja, dan hari minggu juga sibuk. Namun dalam kontek ziarah ia tidak semestinya perlu waktu rumah terbuka mahu datang ziarah. Tidak perlu juga bersyarat dengan menu special. Apa yang penting kita mahu mengukuhkan ukhuwwah. Tak gitu?

Tuesday, July 7, 2015

Ciri-ciri orang yang bijaksana



Bismillah,

Sesuatu yang sangat sinonim dengan hidup kita adalah masa dan usia. Masa adalah sesuatu yang kita ketahui bila berlalu ia tidak akan kembali. Ia penting dalam memastikan apa yang kita manfaatkan bagi mengisi usia kita semenjak kecil hingga kita dewasa.

Perhatikan ramai yang bila usianya meningkat namun sikap dan perangai masih seperti gaya hidup semasa muda. Kenapa demikian? Ini kerana usia yang semakin meningkat adakala tidak dirasai dek kerana terasa diri masih muda.

Usia sangat signifikan dalam menentuka apa yang telah kita raih dalam kehidupan. Hingga ada yang membuat satu rumusan bahawa jika di usia 50-60 ia masa kita mengecap kejayaan hasil dari usaha semasa muda. Ia dikira masa untuk individu berpencen dari segala urusan pekerjaan dan lebih menumpukan kepada kehidupan menuju dunia abadi.

Sahabat pernah ditanyakan, siapakah orang yang bijaksana? Lalu kata Rasulullah, orang yang bijkasana adalah orang yang mengingati mati.

Ini ternyata benar, orang yang mengingati mati akan lebih banyak menghisab amalan diri dan memuhasabah diri sendiri. Mereka ini amat mengerti bahawa hidup di akhirat adalah hidup yang sebenarnya, ia hakikat bahawa dunia ini pentas yang sementara.

Lalu apa ada pada masa dan usia? Ia adalah petanda untuk kita tahu saat berangkat kian hampir pada penamatnya. Masa hampir tamat. Kita akan berangkat meningglkan pelabuhan menuju akhirat yang abadi. Maka Allah bersumpah " Demi Masa" manusia itu berada dalam kerugian!.

Benar sekali. kita sering lalai dan lupa bahawa dunia kata pergi, kubur kara mari!
Persoalannya? Bersediakah kita?

Wallahuaalam.

Tuesday, June 30, 2015

Al Quran Penyuluh Kehidupan



Bismillah,

Quran adalah seperti lampu picit. Al Quran menyuluh  jalan terbaik untuk kita lalui. Bagi yang terkandas dalam hidup ia masanya untuk dekati al Quran. Membaca, memahami, menghafal, menghayati serta mengamalkan dapat membantu individu untuk membina matlamat kehidupan.

Kegagalan adalah apabila kita berhenti berusaha. Jika tidak berusaha untuk perbaiki diri maka kita akan berada pada keadaan yang sama. Al Quran adalah penyejuk hati yang resah dan gelisah. Apabila kita fokus pada result kita akan stress. Kerana itu bila berbuat sesuatu kita perlu yakin janji Allah, setiap perkara baik pasti ada ganjarannya.

Allah sebenarnya melihat pada perbuatan bukan pencapaian. Achievement tidak boleh dicontrol
Kita hanya boleh harap pada Allah dan berusaha atau 'make effort'. Kurniaan Allah pada akal dan fizikal bagi dipergunakan untuk mancapai maksud hidup. Ia semuanya ada pada kita, selebihnya yang menentukan setiap perancangan adalah Allah. 

Al Quran mengajak manusia untuk tidak putus asa serta melalui ujian dengan sabar. Dengan kesabaran manusia akan redha dengan cabaran yang dihadapi bahkan bagi yang menjadikan Al Quran sebagai sumber kekuatan, mereka ini akan lebih tersuluh kepada solusi masalah.

Al Quran yang diamal bakal memberi ketenangan pada jiwa. Insan yang menerima kegagalan seringkali panik dan tidak mampu berfikir secara waras, maka al Quran bakal menenangkan dan membawa kepada timbulnya semangat dan idea-idea baru bagi memulakan chapter kehidupan yang baru.

Oleh itu ia masa untuk menjadikan al Quran sebagai panduan. Al Quran bukan setakat untuk dibaca malah intipatinya perlu dijadikan iktibar dalam hidup. Ia juga bukan hiasan di dinding, malah perlu dilaksana segala perintah yang ada dari Nya.

Wallahuaalam.

Monday, June 22, 2015

Madrasah Ramadan : Konsep Rezeki



Bismillah,
Sesuatu yang dilihat zahir hak kita namun secara mutlak ia milik Allah.
Bila-bila masa Allah tarik dengan pelbagai cara.
Sesuatu yang menjadi hak kita juga bila diambil orang lain, ia bermakna Allah mahu menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Moral:
Bila diri rasa dizalimi maka yakinlah ia ingatan agar kita lebih dekat kepadaNya.
Ia juga peringatan agar kita sendiri tidak menzalimi diri sendiri.

Erti Syukur

Bismillah
Hari ni usai berbuka puasa dengan keluarga, saya berpesan pada anak-anak;
"Kita masi bertuah dapat makan yang sedap dan ada banyak pilihan.
Kata kawan Ummi tadi,anak muridnya makan telor sebiji bagi dua dengan adiknya"
Anak-anak diam tidak terkata. Lalu saya menyambung;
"Kita perlu lebih mensyukuri nikmat dengan lebih banyak memberi".


Moral 
Saat kita bersedih dengan apa yang menimpa diri, ada lagi orang yang lebih teruk 
keadaannya dari kita. Ia mengajar kita bersyukur dengan apa yang ada.

wallahuaalam.
🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸

Madrasah Ramadan

Bismillah,

Allah telah berfirman dalam Al Quran bagaimana Nabi Allah Ibrahim a.s memerhati alam hingga baginda memperoleh hidayah. Maka memerhati dan membuat pemerhatian apa yang berlaku disekililing kita akan membawa kita dekat pada Allah.

Berkelana di Kota Singa baru-baru ini antara pemerhatian saya adalah ramainya pekerja yang bekerja sebagai 'cleaner' adalah dari warga emas. Mereka bekerja membersih sampah yang ada di gerai-gerai serta premis-premis berdekatan pasar Geylang Serai. 

Waktu makan disebuah gerai, mereka datang mengutip pinggan mangkuk yang sudah digunakan. Terasa sekat makanan dikerongkong. Saya rasa sangat bersimpati. Terasa bertuahnya diri diberi rezeki oleh Allah untuk menikmati. 

Melihat mereka yang masih bekerja yang memerlukan tenaga dan mencurah keringat, ia mengingatkan saya pada ibu sendiri. Mereka yang seusia ibu saya sepatutnya mengambil masa untuk berehat dan beribadat, tetapi masih perlu bekerja untuk mencari rezeki demi menyara kehidupan.

Ibu saya juga diusia mudanya bekerja keras membesarkan anak-anak. Namun berkat pengorbanan ibu dapat menikmati hasil pengorbanan itu yang mana diusia lanjut beliau tinggal di Pondok, dan mengahbiskan masa untuk beribadat sahaja. Usia begini kesihatan juga sudah tidak mengizinkan, apalagi jika ada anak-anak ia tidak wajar lagi untuk ibu bapa bekerja. Anak-anak pulalah yang perlu menjaga ibu bapa yang telah membesarkan mereka.

Ya Allah murahkan rezeki untuk kami. Berkati perjalanan hidup ini. Panjangkan umur kami selagi mana kami mampu beribadat dan memberi manfaat kepada umat. Amen. 




Sunday, June 14, 2015

Menuju Ramadhan



Bismillah,

Menghitung hari.... Detik demi detik, .. itulah yang berlagu dihati. Mengira saat tibanya Ramadhan. Allah sampaikan kami pada Ramadhan. Biarlah Ramadhan yang bakal hadir ini menjanjikan seribu kebaikan dan kerahmatan. Moga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya dalam mengerjakan amalan.

Buat julung kalinya Ramadhan kali ini akan kami sambut di tempat orang. Ia berkebetulan dengan tarikh American Counseling Association Conference yang bakal diadakan di Singapura. Saya perlu perlu membentangkan kajian terkini. Biarpun menyambut Ramadhan di rantau orang namun tersemat dihati untuk solat terawih di Masjid Sultan, Singapura.

Di mana kita berada tidak penting, apa yang penting adalah bagaimana kita mengisi Ramadhan tersebut. Sudah pasti Ramadhan paling indah dan diingati adalah saat berada di Tanah Suci. Ia sangat mengujakan. Apalagi suasananya amat berbeza dengan sambutan di tempat kita. Ramadhan di Tanah Suci amat sederhana dari segi makanan namun dari segi pengisian ibadat ibarat kita tidak mahu tidur dan mahu sepanjang masa berjaga di speanjang malam. Menghidupkan seharian Ramadhan dengan amalan wajib dan sunat.

Menuju Ramadhan, tersemat dihati agar Ramadhan kali ini Allah terima segala amalan dan ampunkan segala Dosa. Amen.

Wallhuaalam
26 Syaaban 1436H

  

Friday, June 12, 2015

Bersyukur saat diuji


"...... Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Barang siapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barang siapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Mahakaya  lagi Mahamulia.” An Nahl: 40.



Bersyukur saat diuji
jua saat diberi...
Apa jua yang dimiliki 
pinjaman buat diri
agar insat sedari
Allah itu Maha Memberi

FirmaNya perlu dituruti
sebagai iktibar kemudian hari
umat dahulu yang mengenkari
diberi peringatan cara tersendiri

Ingatlah wahai diri
kita menuju mati
jangan megah dan iri
semua ini milik Illahi

Nukilan 
Ummu Iman Ihsan
25 Syaaban 1436H

Tuesday, May 5, 2015

Kewajipan Solat



Bismillah

Maksud hadith:
Beza antara orang yang beriman dan munafik dan kufur adalah yang mendirikan solat. 
-Riwayat Tarmizi.

Berdasarkan hadith di atas solat merupakan kewajipan kepada setiap  individu Muslim. Dengan kata lain, Islam tidak hanya pada nama. Islam adalah menjalankan setiap kewajipan yang telah termaktub dalam rukun Iman dan rukun Islam yang ada.

Beza individu yang munafik dan kufur adalah pada solatnya. Oleh itu jagalah solat. Ia juga merupakan amalan utama yang akan ditimbang di akhirat nanti. Solat adalah penentu sama ada individu akan masuk syurga atau neraka.

Individu yang menjaga solat adalah insan yang sentiasa mengingati Allah. Sebagaimana peringatan Allah dalam hadith yang lain, "Jagalah Allah, Allah Menjagamu" 


Wallahuaalam

Kehebatan Peribadi Rasulullah



Bismillah,

Hadith yang diriwayatkan oleh Aishah R.A intipatinya menjelaskan bahawa sifat yang ada pada Rasulullah SAW adalah :
  1. menyambung tali persaudaraam
  2. bercakap benar
  3. memikul beban orang lain
  4. suka mengusahakan sesuatu yang tiada
  5. meraikan tetamu
  6. sentiasa membel kebenaran 

Sunday, May 3, 2015

Membaca Jambatan Ilmu


Bismillah,

Alhamdulillah, semalam diberi peluang untuk ke Pesta Buku 2015 di PWTC. Pelbagai buku dapat dimiliki. Paling teruja ada buku yang sudah lama dicari dapat dibeli dan menambah koleksi yang ada.

Dek kerana terasa tidak sabar untuk menghabiskan buku-buku yang ada sementelah cuti hari pekerja selama 4 hari serentak dengan hati Weasak maka 3 buah buku berjaya dikhatam. Banyak manfaat diperoleh dari buku-buku ini. Ia juga memberi idea baru untuk menulis.


Realitinya kita adakala terlalu sibuk untuk meluangkan masa bagi membaca. Ia perlukan disiplin yang tinggi bagi menghabiskan bahan bacaan yang dibeli. Jika hati tidak betul-betul kuat untuk mengambil manfaat dari buku tersbeut maka ia akan berakhir dengan menjadi koleksi dalam almari.

Biarpun begitu jangan cepat mengalah dengan keadaan, ada masa biarpun buku tersebut belum sempat dibaca, ada ketikanya kita perlukan ia sebagai sumber rujukan. Ada masanya kita akan membelek helaiannya dmei mendapatkan pengesahan.

Maka jangan lokek dengan sedikit duit ringgit yang ada bagi membeli buku-buku yang manfaat kerana membaca jambatan ilmu.