Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....
Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Tuesday, March 22, 2016

Kesempurnaan ilmu

Bismillah
Tiga(3) 'ilmu wajib serangkai melengkapi diantara satu sama lain; Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf.
Wajib dipelajari dengan Guru yang Murshid, berpandukan kitab-kitab yang muktabar.
Jangan cuba baca sendiri; contohnya rangkap lagu cinta yang popular di zaman Pop Yehyeh 60'an;
" Nasi lemak buah bidara,
Buah selaseh hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana Kekaseh hamba turutkan."
Rangkap lagu ini plagiarism dari sya'ir kitab Hikam Hamzah Fansuri. Kekaseh disini bukan hal seorang gadis perawan tetapi merujuk kepada ALlah s.w.t , Sang Pencipta yang dirindui selalu.
Tiada lain yang menjadi objektif kita, hanyalah mengharapkan redha ALlah untuk memasukkan kita ke dalam syurga dengan satu tujuan iaitu dapat kita melihat wajahNya
.
آمين... آمين.. يا رب العالمين
.
[ Almarhum Ustz Wan Mohd Saghir, antara Guru ku yg dikasehi, adalah cicit kpd Sheikh Daud al-Fatani dari ibunya ]
Dari perkongsian Prof Saifudin Masudi

Sunday, March 13, 2016

Belajar vs Berniaga


Bismillah,

Ramai kalangan pelajar SPM apabila keluar keputusan peperikasaan akan berada dalam dilema, mahu ke mana selepas ini? Mahu meneruskan pembelajaran di IPTA/IPTS atau mahu bekerja terlebih dahulu? 

Ramai yang memberikan pendapat, lebih baik bekerja sementelah sekarang ini walaupun memperolehi ijazah baik sarjana, sarjana muda mahupun PhD susah untuk mendapatkan pekerjaan. Bahkan pendapatan lebih besar akan dapat diperoleh jika berbisnes. Buat apa belajar tinggi menghabiskan masa dan duit ringgit jika akhirnya tersadai tanpa pekerjaan. Bahkan ada juga yang mengatakan graduan yang ada tidak ada kemahiran berbanding dengan yang tidak punyai sijil.


Bagi menjawab apa jua persoalan yang berkait bekerja, berniaga atau sambung belajar. Ia mudah sahaja. Tanyakan diri kenapa kita belajar? Adakah kita belajar kerana mahu ilmu atau mahu makan gaji? Apa jua pastikan niat. Betulkah niat kita, kerana segalanya bermula dengan niat. Niat yang baik akan mendapat pahala. 


Sudah pasti bagi menambah ilmu ada banyak cara. Kita boleh memilih untuk mendapatkan pelajaran secara formal atau tidak formal. Ramai yang berjaya menjadi jutawan kaya raya tanpa miliki apa-apa sijil. Bahkan mereka dilihat lebih berjaya dari yang merangkul pebagai ijazah. 

Jika kita memilih untuk belajar secara tidak formal dengan menimba ilmu pengalaman dari jatuh bangun menempa kejayaan. Tidak ada salahnya. Namun kita tidak berpeluang untuk miliki pengalaman bagaimana meraih ilmu secara formal. Kita tidak akan ada pengalaman bagaimana mendaki tangga demi tangga, cabaran demi cabaran hingga sampai ke peringkat lebih tinggi. Bahkan kita mungkin tidak dapat mengutip ilmu dari para cendikiawan secara langsung atau dengan kata lain bertalaqqi dengan para ahli akademik. 

Menuntut ilmu adalah satu kewajipan. Ia bukan semata kita mahu menempa kejayaan material. Benar dewasa ini ilmu hanya dihujung jari. Tidak perlu ke mana-mana, maklumat sudah boleh dilayari. Hakikatnya ia tidak sama dengan kita berdepan dengan guru mengambil ilmu mereka satu persatu. Memahami dan mengutip kebijaksanaan mereka. Merujuk pada yang betul saat memerlukan. Dipandu bila buat kesilapan. 

Jika kita memilih mahu mengutip pengalaman terlebih dahulu dengan belajar secara tidak formal, setelah itu baru mahu belajar secara formal, pun tidak salah. Teruskan apa jua niat kita asalkan kita tahu, APA TUJUAN KITA MENUNTUT ILMU.


Kita menuntut ilmu agar ia menyuluh jalan bagi kita. Kita berguru kerana guru akan menjadi cahaya pada kegelapan. Jangan kita menjadi orang yang melakukan perkara sia-sia. Dikejar tidak dapat dikendong berciciran. 


Belajarlah selagi hayat dikandung badan. Menimba ilmu dari dalam buaian hingga kita masuk liang lahad. Bahkan lebih penting lagi, manfaatkan ilmu yang kita ada agar ia memberi manfaat kepada orang lain. 

" SEBAIK-BAIK MANUSIA ADALAH YANG PALING BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN"
-Hadis Riwayat Ahmad.

Wallahuaalam

Nota : Penulis memilih untuk belajar sambil berniaga. 


Sunday, May 3, 2015

Membaca Jambatan Ilmu


Bismillah,

Alhamdulillah, semalam diberi peluang untuk ke Pesta Buku 2015 di PWTC. Pelbagai buku dapat dimiliki. Paling teruja ada buku yang sudah lama dicari dapat dibeli dan menambah koleksi yang ada.

Dek kerana terasa tidak sabar untuk menghabiskan buku-buku yang ada sementelah cuti hari pekerja selama 4 hari serentak dengan hati Weasak maka 3 buah buku berjaya dikhatam. Banyak manfaat diperoleh dari buku-buku ini. Ia juga memberi idea baru untuk menulis.


Realitinya kita adakala terlalu sibuk untuk meluangkan masa bagi membaca. Ia perlukan disiplin yang tinggi bagi menghabiskan bahan bacaan yang dibeli. Jika hati tidak betul-betul kuat untuk mengambil manfaat dari buku tersbeut maka ia akan berakhir dengan menjadi koleksi dalam almari.

Biarpun begitu jangan cepat mengalah dengan keadaan, ada masa biarpun buku tersebut belum sempat dibaca, ada ketikanya kita perlukan ia sebagai sumber rujukan. Ada masanya kita akan membelek helaiannya dmei mendapatkan pengesahan.

Maka jangan lokek dengan sedikit duit ringgit yang ada bagi membeli buku-buku yang manfaat kerana membaca jambatan ilmu. 

Tuesday, April 7, 2015

Harta Pusaka



HARTA PUSAKA
Allah memberi rezeki dengan cara yang berbeza. Ada yang diperoleh secara mudah dan ada juga yang terpaksa kita usahakan sendiri. Salah satu rezeki yang bergolek adalah harta pusaka. Apa jua yang dinamakan harta setiap darinya akan dipersoalkan kelak, salah satunya bagaimana kita membelanjakan harta itu? Apakah manfaatnya buat diri dan orang lain?
**************************
Saya mendapat harta pusaka peninggalan arwah ayah sewaktu genap usia saya 18 tahun. Paling saya terharu dan saya kagum dengan ibu saya adalah beliau tidak pernah menjual walau sebidang tanah pun harta peninggalan arwah ayah.Walau terpaksa bekerja keras mencari rezeki untuk anak-anak, namun sebagai ibu tunggal yang gigih. ibu saya tidak pernah putus asa dengan rezeki. Tidak juga berjoli dengan apa yang ada.
Setelah sekian lama,sering sibuk dengan urusan kerja, maka seminggu yang lalu sekali lagi ibu memaksa saya pulang untuk memberikan sebahagian lagi harta pusaka yang belum ditukar hak milik. Katanya sebelum menutup mata dia mahu selesaikan apa yang patut. Sekarang ibu tidak punya apa-apa. Harta yang berharga beliau miliki adalah kami, anak-anak dan cucu cicit. Namun kami sebagai anak-anak biarpun harta pusaka sudah bertukar hak milik segala hasil sawah dan juga kebun tetap jadi hak milik ibu.
Sewaktu itu saya tidak berapa tahu nilaiannya. Namun jika dinilai kesemuanya ibu saya sudah jadi jutawan sekarang ini, jika semua ini masih menjadi miliknya.Pendek kata setiap tahun boleh ke Tanah Suci. Hakikatnya ibu tidak tamak, dia mahu anak-anak memperoleh apa yang sepatutnya.
Bahagiakah milik harta pusaka? Hakikatnya, disaat usia berganjak dan diri semakin matang, saya semakin sedar harta itu datang bersamanya dengan tanggungjawab. Persoalan pertama yang sering saya katakan pada diri, berat amanah ini.... Belum cukup bakti saya kepada ibu ayah serta datuk nenek moyang yang telah mengusahakan tanah pusaka ini. Merekalah yang telah mengeluarkan keringat meneroka tanah menjadikannya ladang.
Sejujurnya harta ini perlu dikembangkan menjadi ladang pahala untuk mereka. Segala hasil perlu menjadi sedekah jariah yang akan mengalir kepada mereka di alam barzakh. Sebagaimana hadith Rasulullah menyebut salah satu yang dibawa anak Adam bersamanya ke alam kubur adalah sedekah jariah. Maka kita sebagai penerima harta pusaka inilah berperanan untuk menjadikan dan menyambungkan ia agar menjadi ladang pahala kepada mereka yang telah pergi. Sungguh besar amanat ini....
Namun hakikat sebenar, sewaktu kita hiduplah jugalah kita perlu memperbanyakkan amal jariah. Harta yang ada jika anak-anak tidak memperbuat yang sepatutnya maka ia tidak akan bermakna apa-apa. Saya terfikir mahu mewakafkan sedikit dari apa yang ada. Ya Allah jadikan kami golongan kaya di dunia dan kaya di akhirat. Di dunia kaya dengan amalan kebaikan dan di akhirat menjadi jutawan yang bakal mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah.
Wallahuaalam.

Monday, February 9, 2015

KEPERCAYAAN

25 tahun yang lalu seorang teman yang sama beruzlah di Taman Ilmu dan Budi, memberikan satu kata-kata yang saya masih ingat sehingga hari ini.
Katanya " Ingat! Selepas kita orang lain". Terpaku saya dengan kata-kata itu. Susah untuk saya telan dan hadam namun ada benarnya juga.
Ibarat kata bercinta ada cemburunya,
bersuami ada curiganya, bersahabat ada hadnya, berkongsi ada ragunya.
Pun begitu saya masih menimbang-nimbang, tidak mungkin semua orang tidak boleh dipercayai. Pasti ada yang tulus nuraninya.
Menyakini Allah itu ada dan Maha Mengetahui akan sesuatu sudah cukup sebenarnya. Maka biar pun selepas kita orang lain, ia tidak perlu menjadi beban fikiran.
Disinilah perlunya ada sikap sangka baik atau husnu zhon. Bahkan dalam Islam kita diseru untuk tidak bersangka buruk terhadap orang lain.
Jika dengan bersangka baik, kepercayaan yang diberi tidak diperoleh, maka hadirkan pula kepercayaan dan keyakinan pada Allah bahawa Allah mahu memberikan kita satu pengajaran mengenal hati budi insan
*Kerbau dipegang pada talinya
Manusia dipegang pada janjinya

Monday, February 2, 2015

Motivasi Kejayaan


Bismillah,

Belajar kerana mahu belajar lebih baik dari belajar kerana suruhan. Bila ada kemahuan di situ ada jalan. Gambar di atas menceritakan banyak perkara pada kita betapa menimba pelajaran itu wajib walau dalam apa jua keadaan. Tiada beg sekolah,hanya berbekalkanbeg plastik sahaja. Menggunakan apa yang ada. Bukan mencari apa yang tiada. Kesusahan hidup bukan alasan selagi ada kemahuan. Kemahuan yang kuat dalam merealisasikan matalamt akan membawa kejayaan.

Dewasa ini segelintir kita mudah mendapat apa yang kita mahu. Semua permintaan kita dipenuhi, Spa yang kita mahu senang diperoleh maka kita kurang menghargai. Kita kurang bersyukur dengan apa yang dimiliki. Apabila ke sekolah kita tidak mengambil dan mencedok ilmu tapi lebih banyak masa bermain dan berhibur. Sedangkan diluar sana ada ramai yang tidak bernasib baik seperti kita. Mereka ini mahu belajar namun serba kekurangan.

Kekurangan yang ada itulah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan. Sedar hidup ini susah. Tahu kejayaan tidak akan datang bergolek maka segala daya dan usaha dikerah. Tiada alasan remeh temeh, tiada erti putus asa. Susah menjadi senang bila hati redha dan pasrah.

Perhatikan berapa ramai insan yang berjaya bukan kerana ibu bapa mereka berjaya dan kaya raya. Ramai yang bermula dari bawah. Mereka belajar dari pengalaman, mereka matang dalam mengharung cabaran. Kesusahan hidup menjadi perjalanan yang indah bila ia dihayati. Menjadi insan yang kental jati diri, tahu membezakan antara mimpi dan realiti akan menjadikan seseorang lebih berdaya saing, kreatif menjayakan, melihat masalah sebagai satu cabaran, menjana idea untuk solusi dan keluar dari belenggu kejumudan. Motivasi kejayaan bagi mereka ini adalah impian yang kukuh tersemat di hati yang hanya diri sendiri bakal menjayakan segala yang dicitakan.

Benarlah hidup itu satu perjuangan. Hanya yang terbilang mampu melihat peluang.

Wallahualam.

Kredit Foto oleh: Faizal Redcarpetphotography II