Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....
Showing posts with label Ibadat. Show all posts
Showing posts with label Ibadat. Show all posts

Sunday, March 13, 2016

Belajar vs Berniaga


Bismillah,

Ramai kalangan pelajar SPM apabila keluar keputusan peperikasaan akan berada dalam dilema, mahu ke mana selepas ini? Mahu meneruskan pembelajaran di IPTA/IPTS atau mahu bekerja terlebih dahulu? 

Ramai yang memberikan pendapat, lebih baik bekerja sementelah sekarang ini walaupun memperolehi ijazah baik sarjana, sarjana muda mahupun PhD susah untuk mendapatkan pekerjaan. Bahkan pendapatan lebih besar akan dapat diperoleh jika berbisnes. Buat apa belajar tinggi menghabiskan masa dan duit ringgit jika akhirnya tersadai tanpa pekerjaan. Bahkan ada juga yang mengatakan graduan yang ada tidak ada kemahiran berbanding dengan yang tidak punyai sijil.


Bagi menjawab apa jua persoalan yang berkait bekerja, berniaga atau sambung belajar. Ia mudah sahaja. Tanyakan diri kenapa kita belajar? Adakah kita belajar kerana mahu ilmu atau mahu makan gaji? Apa jua pastikan niat. Betulkah niat kita, kerana segalanya bermula dengan niat. Niat yang baik akan mendapat pahala. 


Sudah pasti bagi menambah ilmu ada banyak cara. Kita boleh memilih untuk mendapatkan pelajaran secara formal atau tidak formal. Ramai yang berjaya menjadi jutawan kaya raya tanpa miliki apa-apa sijil. Bahkan mereka dilihat lebih berjaya dari yang merangkul pebagai ijazah. 

Jika kita memilih untuk belajar secara tidak formal dengan menimba ilmu pengalaman dari jatuh bangun menempa kejayaan. Tidak ada salahnya. Namun kita tidak berpeluang untuk miliki pengalaman bagaimana meraih ilmu secara formal. Kita tidak akan ada pengalaman bagaimana mendaki tangga demi tangga, cabaran demi cabaran hingga sampai ke peringkat lebih tinggi. Bahkan kita mungkin tidak dapat mengutip ilmu dari para cendikiawan secara langsung atau dengan kata lain bertalaqqi dengan para ahli akademik. 

Menuntut ilmu adalah satu kewajipan. Ia bukan semata kita mahu menempa kejayaan material. Benar dewasa ini ilmu hanya dihujung jari. Tidak perlu ke mana-mana, maklumat sudah boleh dilayari. Hakikatnya ia tidak sama dengan kita berdepan dengan guru mengambil ilmu mereka satu persatu. Memahami dan mengutip kebijaksanaan mereka. Merujuk pada yang betul saat memerlukan. Dipandu bila buat kesilapan. 

Jika kita memilih mahu mengutip pengalaman terlebih dahulu dengan belajar secara tidak formal, setelah itu baru mahu belajar secara formal, pun tidak salah. Teruskan apa jua niat kita asalkan kita tahu, APA TUJUAN KITA MENUNTUT ILMU.


Kita menuntut ilmu agar ia menyuluh jalan bagi kita. Kita berguru kerana guru akan menjadi cahaya pada kegelapan. Jangan kita menjadi orang yang melakukan perkara sia-sia. Dikejar tidak dapat dikendong berciciran. 


Belajarlah selagi hayat dikandung badan. Menimba ilmu dari dalam buaian hingga kita masuk liang lahad. Bahkan lebih penting lagi, manfaatkan ilmu yang kita ada agar ia memberi manfaat kepada orang lain. 

" SEBAIK-BAIK MANUSIA ADALAH YANG PALING BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN"
-Hadis Riwayat Ahmad.

Wallahuaalam

Nota : Penulis memilih untuk belajar sambil berniaga. 


Tuesday, February 9, 2016

Kelebihan Tasbeh, Tahmid & Takbir

Kelebihan Tasbeh, Tahmid & Takbir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ الْفُقَرَاءُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ مِنْ الْأَمْوَالِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَا وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَلَهُمْ فَضْلٌ مِنْ أَمْوَالٍ يَحُجُّونَ بِهَا وَيَعْتَمِرُونَ وَيُجَاهِدُونَ وَيَتَصَدَّقُونَ قَالَ أَلَا أُحَدِّثُكُمْ إِنْ أَخَذْتُمْ أَدْرَكْتُمْ مَنْ سَبَقَكُمْ وَلَمْ يُدْرِكْكُمْ أَحَدٌ بَعْدَكُمْ وَكُنْتُمْ خَيْرَ مَنْ أَنْتُمْ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِ إِلَّا مَنْ عَمِلَ مِثْلَهُ تُسَبِّحُونَ وَتَحْمَدُونَ وَتُكَبِّرُونَ خَلْفَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ

Dari Abu Hurairah berkata, "Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi s.a.w seraya berkata, "Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapatkan kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Mereka melaksanakan soLat seperti juga kami melaksanakan soLat. Mereka puasa sebagaimana kami juga puasa. Namun mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersadaqah."
Maka RasuluLlah s.a.w pun bersabda: "Mahukah aku sampaikan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu ambil (sebagai 'amal ibadah) kamu akan dapat mengatasi (darjat) orang-orang yang sudah mengalahkan kamu, dan tidak akan ada yang dapat mengalahkan kamu dengan 'amal ini sehingga kamu menjadi yang terbaik di antara kamu semua dan di tengah-tengah mereka kecuali bila ada orang yang mengerjakan seperti yang kamu amalkan ini. Iaitu kamu membaca tasbih (SubhanaLlah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (ALlahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali." 
(Rowahu Bukhari No: 798)

PENGAJARAN:
1. Setiap orang sama ada miskin mahupun kaya berpeluang melakukan amal saleh

2. Muslim yang berharta, di samping melaksanakan ibadat solat dan puasa, dia berkemampuan menunaikan ibadat haji dan umrah, serta berjihad dan bersedekah

3. Muslim yang tidak berharta juga berpeluang memperolehi ganjaran seperti orang kaya malah mungkin lebih baik. SoLat sunat fajar pahalanya seisi total kekayaan dunia.

4. Antara amalan yang dianjurkan oleh RasuluLlah s.a.w yang boleh menjana ganjaran pahala melebihi sumbangan sedekah orang kaya ialah tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali selepas solat fardhu.

5. Kita boleh mencemburui amal orang yg berharta yg menggunakan hartanya untuk infak dan sedekah; maka jadilah kita seperti mereka.


Kredit : Prof Saifudin Mashudi

Thursday, January 14, 2016

Muhasabah Diri


Bismillah,

Hakikat kehidupan, tiada satu yang akan kekal. Apa yang kekal hanya Dia, Allah yang Maha Kuasa.
Setiap kali menerima perkhabaran kematian, setiap kali itu ia seperti jam loceng yang menjadi siren peringatan buat diri untuk sentiasa muhasabah apakah sebenarnya tujuan hidup ini.

Hidup tiada lain, untuk mengabdikan diri kepada Allah. Dalam berkata, dalam tunduk dan sujud. Ada ketika insan leka dengan dunia. Sibuk dengannya hingga terabai kadangkalanya perkara wajib yang dituntut yang menjadi bekalan untuk dibawa.

Bila nyawa diambil Izrail, ia kadang tiada sebarang petanda. Sampai masa tidak telrambat atau tercepat walau sesaaat. Pun insan tetap hidup seolah dunia ini adalah miliknya. Walhal ia sementara sahaja. Sekelip mata bila Allah ambil maka tiada berguna lagi segala isi dunia. 

Waktu itu, penyesalan tiada guna. Oleh itu, masa yang ada kini, penuhi ia dengan amal ibadat. Jadikan setiap detik yang dilalui tiada lain untuk mencari redha Allah. Mahu memperbanyakkan amal agar bila masa tiba untuk diri berangkat pergi kita di sambut malaikat dengan seruan.... 
" Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku (QS al-Fajr [89]: 27-30).

Semoga kita tergolong dalam golongan yang menjadi kekasih Allah. Amin

Tuesday, January 5, 2016

Bekalan menuju abadi ; Target harian


Bismillah,

Pejam celik, pejam celik dah masuk 6 Januari 2016. Betapa cepat masa berlalu. Apapun syukur kerana Allah masih memberikan kita semua anugerah menghirup udaranya, masih berpeluang untuk beribadat kepadaNya.

Hari berlalu memang tidak terasa, namun bagaimana dengan target harian kita, adakah sudah tercapai misi? Saya percaya pembaca mesti ada target harian, bulanan dan tahunan apa yang mahu dicapai, dan apa yang mahu direalisasikan.

Ramai yang pastinya dihujung tahun lalu atau diawal tahun sudah menyenaraikan azam untuk tahun ini, dan pastinya pada peta perjalanan itu adanya target harian yang mahu dicapai.

Sekadar ingatan bersama, adakah tersenarai dalam senarai 2016 tersebut mahu khatam al Quran setiap bulan? Mungkin ini target bulanan. Atau adakah tersenarai mahu membaca al Quran satu juzuk satu hari? Atau mungkin mahu menghafal satu ayat satu hari?

Inilah yang dikatakan target harian. Jangan kita hanya meletakkan target kejayaan mencari duit ringgit, berapa untunh harian, bulanan dan tahunan. Target utama perlu dicapai juga adalah pencapaian diri menuju ke alam sana.

Perlu diingat, kita tidak lama di sini, hanya singgahan sementara sahaja. Lalu bagaimana dengan bekalan untuk ke sana? Kita biasa kehabisan minyak kereta sewaktu perjalanan? Apakah rasanya? Bagaimana jika tiada RnR? Pasti kita kelaparan, dahaga, perlu istirehat dan sebagainya.

Maka bayangkan kita menuju satu perjalanan yang amat jauh, tiada kepastian berapa tahunkah perlu menunggu di alam barzakh, kemudian perlu menuju ke padang mahsyar, menanti pula untuk dihisab. Maka bagaimana jika tiada bekalan amal?

Oleh itu mari kita membina azam, agar kita semua dapat memastikan target harian ini boleh dicapai. Membaca al Quran, banyakkan solat sunat, bangun malam, puasa sunat, sedekah dan sebagainya adalah satu perkara yang perlu ada dalam senarai, jika belum masukkan ia sebagai perkara yang mesti kita lakukan.

Letakkan rasa takut mati, pasti jadi! Ameen.
Wallahuaalam.

Sunday, December 20, 2015

Tanda Munafik, Buruk akhlak


Bismillah,

Tanda Munafik, Buruk akhlak

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Dari AbduLlah bin 'Amru bahwa Nabi SAW bersabda: "Empat perkara bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafiq tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya satu sifat dari empat tersebut maka pada dirinya terdapat sifat nifaq hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia tidak menepati dan jika bertengkar ia curang (ingin menang sendiri)".
(Rowahu Bukhari No: 33)

Pengajaran:

1. Munafik tulen bermaksud orang yang menjadi munafik sebenar.

2. Sesiapa yang memiliki empat sifat ini, ia adalah munafik tulen.

3. Jika seseorang itu memiliki satu daripada empat sifat tersebut, maka padanya ada sifat munafik sehinggalah ia meninggalkan sifat tersebut.

4. Empat sifat munafik itu ialah:

a. jika diberi amanah dia khianat,

b. jika berbicara dia berdusta,

c. jika berjanji dia tidak menepati dan

d. jika bertengkar ia curang (melampau)

Perkongsian oleh Prof Saidfudin Masudi

Saturday, December 19, 2015

Hak Muslim Tanggungjawab Kita

Hak Muslim Tanggungjawab Kita

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda RasuluLlah SAW: Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda: Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia. Jika dia sakit, maka ziarahilah dia dan jika dia meninggal dunia, maka hantarlah (jenazah)nya.

Pengajaran:

Setiap Muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan dan ia menjadi tanggungjawab kepada Muslim yang lain. Antaranya:

a. Jika bertemu dengan setiap Muslim hendaklah mengucapkan salam padanya.

b. Jika dia mengundang, kita perlu memenuhi undangannya seperti perkahwinan, akikah, kenduri kesyukuran dan lain-lain selama tiada keuzuran.

c. Jika dia meminta nasihat dalam urusan keduniaan, berilah dia nasihat. (Imam An-Nawawy berkata: Syarat memberi nasihat jika diminta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta).

d. Jika dia bersin dan bertahmid اَلْحَمْدُ للَّه, maka tasymitkan (doakan) يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat keatas kamu).

e. Jika dia sakit, maka ziarahilah. Ziarahi orang sakit termasuk salah satu amal solleh yang sangat afdhal

f. Jika dia meninggal dunia, maka hantarlah (jenazah)nya ke kubur.

Mari kita bangunkan sifat RAHMAH dengan menunaikan hak Muslim lain yang menjadi tanggungjawab kita.


Dipetik dari FB Prof Saifudin Masudi

Saturday, December 5, 2015

Mencintai Kebaikan Bagi Orang Lain



Bismillah,

“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Perawai Hadith

Hadis ini bila kita beramal dengannya maka kita akan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hamzah, iaitu Anas bin Malik. Beliau berkhidmat dengan Nabi Muhammad s.a.w sejak usia 10 tahun. 

Beliau dibawa ibunya Ummu Sulaim dan meminta Nabi agar Anas r.a berkhidmat untuk baginda. Ummu Sulaim meminta agar Rasulullah mendoakan Anas. Nabi mendoakan perbanyakkan hartanya, ramaikan anaknya, panjangkan umurnya, berkatilah dia, dan masukkannya ke syurga.

Beliau meninggal di usia seratus tahun, kebun kurmanya berbuah dua kali setahun, dan boleh mengeluarkan haruman kasturi. Manakala ada riwayat mengatakan anak dan cucunya hampir 80 orang.

Anas r.a berhijrah ke Basrah dan meninggal 93 Hijrah. Beliau antara sahabat nabi yang terakhir meninggal. Bahkan beliau sempat mengalami dua kiblat. Iaitu mengadap ke Baitul Maqdis dan Kaabah. Anas r.a telah meriwayatkan 2200 hadith, beliau paling banyak mendengarkan hadith Rasulullah. 

Keterangan

Hadis ini sangat istimewa, mempunyai kesan yang sangat besar dalam kehidupan bermasyarakat. Adanya sifat kasih sayang sesama insan akan membawa kemakmuran. Secara simboliknya jika kita tidak suka perkara buruk berlaku pada diri maka, kita tidak suka juga jika ia berlaku pada orang lain.

Apabila kita memperoleh sesuatu kita juga mendoakan agar saudara kita memperolehinya. Muslim yang baik itu dia tidak suka berlaku pada dirinya, maka dia juga tidak suka berlaku pada saudaranya.

Imam Sudi beristighfar kerana perkataan Alhamdulillah hasil dari makluman tempat tinggalnya terbakar. Ia mengambarkan keprihatinan beliau terhadap orang lain. Maka bila beramal dengan hadis ini semua insan saling merasa kesusahan dan kesenangan. 

Apa yang mahu dijelaskan bahawa, menyukai kebaikan yang berlaku pada orang lain itu wajib. Ia dituntut, terutama saudara seIslam. Namun sebaliknya ramai yang tidak suka dan berhasad dengki. Maka tidak sempurna iman bila kita suka berlaku kebaikan pada orang lain dan mendoakan keburukan.

Ia tanda ukuran iman kita. Begitulah agama mengajar agar menolong dan membantu. Maka benarlah bahawa Mukmin itu bersaudara. Apabila terucap kalimah syahadah maka orang itu adalah saudara seakidah.

Ikatan akidah itu lebih kukuh berbanding ikatan suami isteri, saudara mara atau apa jua hubungan. Saudara seagama tidak akan berpisah selama-lamanya. Insan punyai latar belakang berbeza, namun saat mengucap kalimah syahadah semuanya sama. Biarpun berkulit putih atau gelap, berlain keturunan dan kaum.

Maka seorang Muslmim itu sempurna apabila dia mengasihi saudaranya. Ini telah ditonjolkan oleh golongan Ansar yang membantu Muhajirin apabila berpindah ke Madinah. Pembelaan golongan Ansar ini termaktub dalam al Quran. Mengutamakan orang lain dalam kehidupan.

Kisah yang boleh diambil iktibar sewaktu berlaku Perang Yarmouk. Sahabat yang terlibat antaranya Ikrimah bin Abu Jahal, Suhail bin Amru dan Al Harith bin Sham. Mereka cedera lalu ada yang membawa air untuk disuap. Lalu diberi pada Ikrimah, Ikrimah ditunjuk pada Suhail, maka Suhail tunjuk pada al Harith. Al Harith mengatakan bawalah pada Ikrimah, namun bila dibawa pada Ikrimah namun beliau telah syahid, dan begitu juga Suhail dan begitulah juga Al Harith. 

Mereka gugur syahid dalam keadaan sanggup berkorban untuk orang lain.Hidup dalam harmoni dan tolong menolong ini akan membawa kepada kesempurnaan iman. 

Iman akan terjelma bila kita mengasihi perkara yang baik. Imam Syafie adalah tokoh yang besar. Katanya "aku mengharapkan agar manusia faham ilmu fekah tanpa menyandarkan pada diriku"

Kadang-kadang orang yang menolong tidak seberapa, tapi membuat gempak seolah dia terlalu hebat. Mahukan pengiktirafan dan pujian. Maka hakikatnya di sini ikhlas itu sangat bermakna buat insan.

Iman itu terdiri dari tiga elemen iaitu ikrar di hati, pengakuan dengan lidah dan dibuktikan dengan amalan. Oleh itu Iman menurut Rasulullah iaitu 70 cabang, mengucap La Ilah a illah, maknanya termasuk muamalah, akhlak, dan lain-lain lagi sehingga malu itu sendiri adalah iman.

Mukmin itu bersaudara, maka bila mengaku beriman kita perlu menyerap dan menghayati pernyataan ini dengan perbuatan. Ia ibarat bilah-bilah sikat rambut. Bila ia 'rongak' atau patah maka ia akan menyakitkan kulit kepala. 

Keberadaan yang dikongsi bersama akan membawa kemakmuran dan kebahagiaan. Sebab itu kita diseru untuk membantu.Nabi bersabda; Aku nanti siapa yang membela anak yatim akan bersamaku seperti (lalu menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya). Pahalanya seperti orang berpuasa yang tidak pernah berbuka, dan qiam tanpa henti. 

Oleh itu, orang miskin perlu diraikan, orang yang susah perlu diberi bantuan. Jika hadis ini dipraktikan maka tiada yang miskin, tiada perlu dana dikutip bahkan akan berlebihan. Abdul Rahman adalah contoh terbaik dalam hal menyumbang. Inilah kaya yang bermanfaat. Contoh teladan juga telah diberikan oleh Uthman bin Affan yang membeli telaga bagi masyarakat Islam waktu itu.

Penderitaan yang dikongsi akan membawa bahagia. Seorang Mukmin tidak akan tidur bila tahu jirannya dalam kesusahan. Islam itu sangat mementingkan konsep berkasih sayang tanpa membezakan warna kulit, keturunan dan sebagainya. 

Rasulullah berkata tiada dengki melainkan dalam dua perkara iaitu kaya yang memberi manfata pada orang lain, ilmuan yang memandu orang lain dengan ilmunya.

Semoga kita menjadi mukmin yang sempurna imannya.

Wallahuaalam.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ . .

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari keburukan fitnah Al Masih Ad Dajjal” (HR. Muslim no. 588)


Sunday, November 29, 2015

Motivasi 3i ; Kebaikan vs Keburukan

Bismillah,

'Satu keburukan akan menutup seribu kebaikan'. Itulah hakikat kehidupan.


Saat kita sekali bebuat silap ia seperti tiada lagi kemaafan bagimu. Maka tertutup sudah segala kebaikan yang ditaburkan. Maka individu akan merasa kecewa serta berduka, semata-mata kerana menyesali kesilapan dan mengharapkan pengiktirafan.

Oleh itu walau seribu mahupun sejuta kali berbuat baik. lupakan kebaikan itu. Anggaplah ia satu simpanan bagi meraih pahala di akhirat nanti. Jangan sekali bila berbuat kebaikan, lalu mengharap balasan dan pengiktirafan. Ia pastinya membawa kekecewaan.

Apabila kita mengharap balasan dari manusia kita akan kecewa. Sebaliknya letaklah harapan hanya pada Allah semata. Satu kebaikan yang dilakukan Allah berikan 10 ganjaran. Bahka bila berbuat silap, Allah akan memberikan kemaafan kepada hambaNya yang ikhlas beratubat.

Bezanya manusia dengan Allah. Manusia sering bersikap dendam dan sukar memaafkan. Dek kerana itulah bila sekali orang berbuat silap padanya, maka dia akan ingat sampai bila-bila. Segala kebaikan yang sebelum ini akan dilupakan begitu sahaja.

Patutkah kita kecewa? Tidak perlu kecewa dengan insan yang sebegini, sebaliknya jika kita berdepan keadaan sebegini ia hikmah mengajak diri untuk sedar dan insaf betapa Allah itu maha Pemberi dan Maha Pengasih. Dia sebaik-baik tempat mengadu dan meletak harapan. Dan Allah juga sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Saat berbuat baik kepada manusia, anggap sahaja kebaikan itu seperti air yang mengalir. Bahkan bila berbuat silap anggapkan ia seperti sampah yang perlu dibuang dan ditutup agar ia tidak berbau dan membawa mudarat.

Dosa yang dilakukan adalah perkara aib, wajar disembunyikan. Maka bila berbuat silap sesama manusia, mohonlah kemaafan. Jika tiada lagi maaf, maka berserahlah kepada Allah, buatlah sebanyak mungkin kebaikan sesama manusia agar saat ditimbang oleh Al Mizan, ia melebihi keburukan.

Sentiasalah berfikiran positif, hidup ini perlu banyak muhasabah, elakkan dari melakukan kesilapan, banyakkan mendapat panduan agar tidak terssar dari jalan kebenaran. Banyakkan bergaul dengan insan yang menghargai insan lain, semoga dengannya kita lebih menemukan kebahagiaan.

Wallahuaalam.








Monday, November 2, 2015

Buta mata celik hati


Bismillah,

Menonton Khawater di TV Hijrah memaparkan sekolah pelajar buta di China. Sekolah yang menyediakan prasarana yang bagus untuk gologan kelainan istimewa. Ia juga menunjukkan betapa mereka yang tidak cukup pancaindera namun boleh berdikari dan menjadi terbaik lebih dari insan yang celik.

Jika meletakkan diri kita yang celik serta cukup sifat, adakah kita mampu sebagus mereka? Hakikatnya insan dikurniakan Allah celik mata namun buta hati. Betapa ramai yang melihat, medengar, bercakap tetapi pancaindera itu tidak digunaka ditempat yang betul. Sebaliknya mata yang mampu melihat tidak digunakan untuk memerhati kekuasaan Allah, telinga pula dipekakkan kerana tidak mahu mendengar ajakan ke arah kebaikan.

Begitulah bagi insan yang tidak memperoleh hidayah Allah. Mata hanya sekadar melihat perkara yang zahir tanpa dapat mentafsirkan yang tersirat. Kaki tangan yang gagah mampu memanjat gunung yang tinggi, menyelam di lautan tetapi tidak dapat menggunakannya untuk beribadat kepada Allah.

Mata hati dapat celik bila adanya kesedaran. Bagaimana memperoleh kesedaran? Kesedaran diperoleh bila kita belajar memerhati, melihat sesuatu perkara dengan keinsafan. Kesedaran hadir bila diri mencintai kebenaran. Kesedaran diperoleh bila insan dekat dengan ilmu. Kesedaran tiba bila insan sedar bahawa hidup ini masih jauh perjalanannya.

Oleh itu, mohonlah kepada Allah, agar Dia memberi taufiq dah hidayah buat kita semua. Mohonlah agar Allah menetapkan hati kita pada jalannya, dan tidak dibolak balikkan setelah kita beriman. Semoga kita celik zahir dan celik hati bagi menelusuri kebesaran Rabbi.

Wallahuaalam.

Wednesday, October 21, 2015

Berita Penting ! Ingatan untuk diriku yang lalai


Bismillah,

Berita Penting!

Apalah yang penting sangat itu? Benar ia berita penting. Itu adalah tajuk perkongsian saya di muka buku pagi ini. Saya kongsikan di sini untuk tatapan para pembaca.

"Itulah sayup kedengaran bacaan Imam Surau Al Hidayah sewaktu subuh.
Ada ketika menyambung dan menghayati seruan itu. Namun banyak kali ia tersekat-sekat di minda.
Benarlah diri ini banyak menzalimi diri sendiri. Segala teori boleh hafal dalam minda, tapi yang satu ini mudah lupa bahkan lebih banyank lupa dari ingat.
Satu ketika Iman Ihsan masuk bertanding hingga peringkat daerah, namun kalah kerana Berita Penting! Tidak lancar katanya.
Maka pagi yang indah ini. Sekali lagi perjuangan perlu dipertingkat.
Masa itu singkat.
Bimbang pejam mata dan terlewat.
Walau begitu banyak yang mahu dilunaskan, tapi percaya perjuangan ini akan berjaya dengan istiqamah. Allah itu Maha Pemurah, masih belum terlambat walau usia semakin singkat.

النباء  

Mungkin pembaca tertanya apa maksud post saya tersebut. Ya disebalik tajuk Berita Penting itu ia sebenarnya satu Surah dalam Al Quran iaitu Surah An Nabaa, Juzuk 30. An Nabaa bermaksud berita penting.

Realtinya banyak peringatan dalam al Quran yang sering diperdengarkan, namun sejauh mana kita mengambil endah? Banyak masa kita tidak ambil kisah. Bahkan terasa banyak menyusah.

Kenapa demikian? Kerana Allah tidak memberi kita hidayah. Tiap kalin kita mendengar ayat suci, kita kurang menghayati, tiada getaran pada hati, tiada keinsafan pada nurani.

Walhal kita tahu hidup ini singkat dan sementara, tapi kita tetap juga leka, mengejar dunia, hingga lupa, bahawa bekalan tiada, amalan juga tidak sempurna.

Surah An Nabaa, mengajak insan kembali kepada Tuhan, memperingatkan insan akan hari kebangkitan. Mengajak ke arah kebenaran, hidup perlu berTuhan.

Segala kejadian ciptaan Tuhan, bukan setakat kita menikmati, bahkan perlu disyukuri, saat kita mati, bila disoal diakhirat nanti, bersediakah diri?

Benar, hidup ini singkat, mati tiadak diketahui walau telah tersurat, kiamat itu sangat dekat.
Mari kita pertingkatkan ibadat, mencari berkat, hidup bersyariat.

Wallahuaalam.

Sunday, October 18, 2015

Tip Murah Rezeki


Bismillah,

" Kita dapat rezeki bukan kerana apa yang kita kerjakan tetapi dari amalan yang kita lakukan. Kerja yang dilakukan itu adalah asbab sahaja", Kata sahabat saya Ustaz Edrus.

Benar sekali, amalan atau ibadat yang kita lakukan itulah yang membuka pintu rezeki. Jika kita bekerja keras sekali pun untuk mendapat duit namun rezeki tidak juga masuk. Bahkan ada ketikanya, hanya sedikit pemberian sedekah, namun rezeki masuk melimpah ruah.

Ada juga yang mengeluh kenapa rezeki tidak kunjung tiba walhal sudah habis upaya mengerah keringat, pelbagai amalan diperbuat namun rezeki tidak juga jadi milik kita. Maka ketika ini kita perlu soal diri sendiri, sempurnakah amalan, ikhlaskah kita beribadat, semata-mata untuk murah rezeki atau mencari redha Allah?

Mungkin ada yang tidak berpuas hati akan mempertikaikan betulkah kerana amalan? Jika begitu mengapa yang bukan Islam tidak beribadat tapi tetap kaya raya. Lalu kita perlu lebih faham, bahawa Allah itu bersifat dengan Ar Rahman. Dia memberi untuk semua makhluk, tapi perlu ingat, pemberian dari sifat Ar-Rahim itu hanya untuk yang beriman.

Kita mungkin kaya namun tidak bahagia dan tenang. Kenapa? Kerana kita tidak dekat dengan Allah. Kaya harta sahaja tidak cukup kerana kita perlu kaya hati dan jiwa. Maka untuk murah rezeki amalan yang perlu sentiasa diamalkan adalah sedekah. Sedikit tapi ikhlas itu lebih bermakna di sisi Allah.

Bagi membuka pintu rezeki dan Allah murahkan rezekiNya, mari kita sama-sama muhasabah. Dari manakah harta kita, apakah cara yang kita gunakan untuk memperoleh harta dan ke mana harta itu kita salurkan. Agar bila ia jelas, maka kita bukan sekali mendapat rezeki melimpah ruah, bahkan berkali-kali.

Jika sudah kita lakukan yang sebaiknya demi mendapat rezeki yang halal dan melimpah ruah, namun kita masih tetap sama seperti dulu. Sabarlah, Allah sedang menyimpan sesuatu yang terbaik buat kita. Jika tidak di dunia, akhirat sana ganjarannya bakal kita peroleh. Amin


Wallahuaalam.


Monday, October 5, 2015

Jerebu : Tanda Kiamat yang hampir



Bismillah,

Sudah berminggu negara berdepan dengan situasi jerebu yang tidak menentu. Bahkan hari ini kali ke-2 sekolah terpaksa dicutikan selama dua hari dek kerana jerebu makin teruk.

Fenomena jerebu adalah signal alam kepada manusia yang rakus mengejar material. Ia kemusnahan yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Hakikat jerebu pada zahirnya adalah kebakaran hutan yang tidak dapat dibendung. Namun hakikat pada sisi yang lain, jerebu adalah tanda-tanda kiamat kian hampir.

Al Quran menyebut dalam surah Al-Dukhan tentang kabut yang berlaku sebagai petanda kiamat. Bahkan hadith juga menyebut tentang tanda-tanda ini.

Kita menyedari ia fenomena alam, kita juga patut menginsafi bahawa ia bukan setakat fenomena alam bahkan lebih dari itu jerebu ini sepatutnya menjadi 'wake-up call' untuk kita semua. Ia masa untuk kita mencari dan muhasabah diri, bersediakah kita andai tiba Kiamat yang dijanjikan.

Tanda kiamat salah satunya adalah matahari akan naik disebelah Barat, para saintis juga telah membuat kajian tentang semua ini, adanya maklumat yang mengatakan matahari semakin berganjak lalu manusia sekali lagi menyatakan ini adalah fenomena alam.

Walhal inilah masa untuk manusia sedar, betapa kiamat kian hampir. Manusia sepatutnya mula menghitung, cukupkah solatku? Sempurnakah amalanku? Terampunkah segala dosaku? Langsaikah amanat Allah padaku?

Banyak persoalan perlu dilontarkan agar diri sedar, ia masa untuk kita kembali pada Allah. Zaman ini zaman fitnah yang hebat, ia juga satu petanda kiamat semakin dekat. Pun kita masih leka, menghitung harta dunia tanpa menghitung sedekah dan amal jariah yang bakal ditinggalkan yang menjadi tali hayat diri di alam sana nanti.

Manusia leka mengejar apa yang belum dimiliki hingga lupa menikmati apa yang dia ada. Itulah hebatnya fitnah dunia. Manusia seperti mahu hidup selamanya di dunia hingga lupa bekal yang bakal dibawa.

Maka, biarlah jerebu yang melanda negara ini, menjadi pencetus kepada keinsafan diri kita. Biarlah jerebu ini menjadi hikmah agar diri makin dekat dengan Allah. Biar hati takut dengan azab, biar diri takut dengan neraka, biar diri tertanya ke mana aku selepas ini, biar diri menyoal layakkah syurga untukku?

Lantaran itu mari kita sama-sama muhasabah, sama-sama mengajak ke arah kebaikan. Saling ingat mengingati. Meningkatkan amal dan taqwa pada Ilahi.
Masih ada masa untuk bertaubat.
Tambah ibadat dan amalan sunat.

Wallahualam

Tuesday, September 22, 2015

Hari Arafah : Pertemuan dua hati


SEKELUMIT 'ilmu
- Pertemuan Dua Hati
Kisah 'Arafah mungkin ramai yg dah tahu. Saya yakin ia tak pernah jemu untuk diceritakan semula.
Setelah diturunkan ke bumi, katanya di Sri Lanka di dalam kegelapan malam. Nabi Adam a.s amat takut sekali. Apabila matahari fajar naik, Nabi Adam a.s dapat lihat dirinya dalam pakaian ihram. Bila waktu Subuh tiba, Nabi Adam a.s menjadi orang pertama mendirikan soLat Subuh sebanyak 2 raka'at.
Kemudian Nabi Adam a.s. berdo'a menyesal selama 40 tahun ;
.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
(al-A'raf : 23) 
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
.
Nabi Adam a.s. mengharamkan dirinya sepertimana 13 larangan ihram sekarang. Bayangkanlah rupa Nabi Adam a.s. yg kusut masai. Begitulah rupa jema'ah haji yg sepatutnya; kusut masai termasuk wanita sekalipun.
Berjalan lah Nabi Adam a.s bertahun-tahun sambil berdo'a sehinggalah sampai ke Arafah. Sewaktu itu teringat dia akan isterinya, Siti Hawa. Al-kisah, Siti Hawa diturunkan di Jiddah. 'Jid' berma'ana Nenek yg merujuk kepada Siti Hawa sebagai Wanita yg Tua.
Dikala teringat sang isteri, maka Nabi Adam a.s pun naik ke atas Jabal Rahmah lalu bertalbiah;
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ.....
Dalam keheningan pagi, sayup-sayup Hawa terdengar suara talbiah. Semakin dihampiri semakin yakin itulah suara suaminya Adam a.s. Maka Siti Hawa pun terus jawab dengan penuh kegembira'an akan nikmat ALlah; Tuhan yg satu, ALlah sahaja yg layak disembah...
إِنَّ الْحَمْدَ، وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَ شَرِيكَ لَكَ
.
Berpelukan mereka menghilangkan rindu setelah 40 tahun terpisah. Nama 'Arafah seperti yg diceritakan terdahulu.

Perkongsian dari Prof. Saidfuddin Masudi

Monday, September 21, 2015

Bagaimana Menggapai Husnul Khatimah



Bismillah,

Menggapai Husnul Khatimah, itulah buku yang siap direviu dua hari lepas. Ia satu buku yang sangat mahu dibaca, sementelah siapa yang tidak mahu meninggal dalam keadaan Husnul Khatimah. Apa yang dimaksudkan? Ia bermakna kita mati dalam keadaan yang baik.

Umpamanya kes terbaru ramai yang meninggal di Mekah disebabkan kren terbalik semasa ribut pasir melanda. Mereka yang meninggal dunia dianggap sebagai syahid dan mati dalam husnul khatimah. Ini kerana mereka meninggal dalam keadaan beribadat iaitu ibadat haji, berada di tempat yang paling mulia iaitu di Masjidil Haram, pada hari Jumaat.

Maka siapa yang tidak mendambakan Husnul Khatimah, kerana ia petanda perjalanan mereka seterusnya dilihat lebih mudah. Bahkan pemergian mereka ditangisi ramai, dan ramai yang mendoakan kesejahteraan. Inilah jua yang berlaku pada arwah Tok Guru bila meninggal. Kematiannya menjadi satu fenomena bila jenazahnya dikunjungi puluhan ribu manusia. Bahkan seluruh negara berduka dengan kehilangannya.

Husnul Khatimah, milik siapa?

Berdasarkan buku karangan Dr Muhammad Widus Sempo saya kongsikan beberapa tip bagaimana memperoleh husnul khatmah.


  1. Berdoa agar pengakhiran hidup dengan amal  kebaikan.
  2. Berbakti kepada kedua ibu bapa,sepanjang hayat mereka
  3. Sentiasa berada dalam naungan kalimah tauhid
  4. Menghidupkan amalan zikir
  5. Banyak beristighfar
  6. Sentiasa berselawat
  7. Membaca al Quran setiap hari
  8. Makan minum dari sumber rezeki halal
  9. Mata yang sering menangis kerana takutkan Allah
  10. Dermawan
  11. Bersifat pemaaf
  12. Banyak beramal dan membantu orang lain
  13. Sentiasa berpesan pada kebaikan
  14. Menjadi Ashabul Yamin
  15. Mencintai dan mendekati ilmuan dan ulama
  16. Hati yang lembut sering bertaubat
  17. Menyayangi binatang
  18. Mencintai dunia untuk tujuan akhirat semata.
  19. Keimanan yang kuat
  20. Allah tempat mengadu
Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang berjaya meraih husnul khatimah

Monday, September 14, 2015

Kalau aku kaya



Bismillah,

Ungkapan kalau aku kaya, kerap bermain dijiwa, tersebut juga pada kata-kata, termain-main dalam mimpi kita. Apalagi ia menjadi senikata lagu yang sering ke udara.

KALAU AKU KAYA! Ini lirik lagunya....

Kalau aku kaya
Kalau aku kaya

Aku nak gaya hidup aku berubah
Alangkah indah kalau dah tak susah
Jadi pemilik bukan sewa rumah
Makan tak habis minum tak sudah
Bil api air semua bayar awal
Tulis cek selamba tak risau batal
Masuk dalam bank semua melopong
Dalam akaun ada banyak 0 0 0 0 0

Dan kalau aku mampu
(Jangan pening kepala, aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Kamu tak perlu risau, aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya
Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba
Kalau aku kaya
Aku beli segalanya
Bungkuskan semua
Hadiahkan pada mama

Kalau aku kaya (kalau aku kaya, kalau aku kaya)
Kalau aku kaya (kalau aku kaya, kalau aku kaya)

Aku gajikan driver
Nama dia Schumacher
Dia panggil aku sir
Aku panggil dia der
Der, tolong hantar mak aku pegi pasar
Belikan nasi lemak
Boss engkau dah lapar

Aku belikan Kim K, kain lebih
Pesan dia tolong tutup aurat, terima kasih
Beats by Dre
Next beat by ’Ye
Tiap show pakai J’s
Hypeman aku Jay
Biar aku belanja, subsidi gula
Korang kena kencing manis tanggung rawatan semua
Pening apa, semua benda aku yang sponsor
Kalau korang takut trafik kita naik helikopter

Dan kalau aku mampu
(Jangan pening kepala, aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Korang tak perlu risau, aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya
Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba
Kalau aku kaya
Aku beli segalanya
Bungkuskan semua
Hadiahkan pada mama

Aku beli serba satu (Heh aku beli dua)
Eleh aku angkat lima (Wei aku borong semua)
Bagi tahu jiran lama (Sewa mereka kami taja)
Dan kalau anak-anaknya geliga (Kita bagi biasiswa)

Bila aku kaya
Bila aku kaya
Bila aku kaya
Bila aku kaya
Kaya

Bila aku kaya
Hari hari hari raya (hari-hari)
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba (rileks-rileks semua aku belanja)
Bila aku kaya (Yea)
Aku beli segalanya (semua)
Bungkuskan semua (ha ha)
Hadiahkan pada mama (mama nak apa)

Bila aku kaya (Kita bukan pergi kedai kereta beli kereta)
Bila aku kaya (Kita pergi kedai kereta beli kedai kereta)
Bila aku kaya (bila aku kaya, bila aku kaya)
Bila aku kaya (bila aku kaya, haih bilalah nak kaya)

Kalau aku mampu
Buat suka hati aku


----------

Realtinya! Kita fikir kaya harta semata. Kita mahu miliki dunia. Bila kita kaya kita lupa banyak perkara.

Jika aku kaya bukan bermakna aku bebas bermaharajalela, melampias kuasa buat apa sahaja,menyeksa rakyat jelata.

Jika aku kaya bukan bermakna aku raja, kerana harta benda bukan milik diri semata.

Maka sebab itu kita tidak kaya.
Allah tahu siapa  kita,
Kita tidak ikhas berkata
Bila janji kita lupa

Maka mari kita minta
Kaya jiwa hidup bahagia,
Kaya jiwa hati gembira,
Kaya jiwa syurga bakal milik kita,
Kaya jiwa kenal pencipta.


Wallahuaalam.

Wednesday, September 9, 2015

Apa itu murah rezeki



Bismillah,

Bangun pagi kita bersiap untuk mencari rezeki. Adakala kita dihambat masa untuk keluar bekerja. Terpaksa menempuh jem. Melawan kesibukan jalan raya. Fikiran kita sarat dengan kerja-kerja yang bakal diselesaikan. Ada ketika berfikir apa yang tidak selesai di rumah. Pendek kata kita banyak berfikir dan mahu menyelesaikan urusan dunia. Betul, kita bekerja untuk mencari sesuap nasi, menyam,bung kehidupan.

Persoalan harian kita pastinya juga berfikir akan mahu mencari rezeki dan mengharapkan  kita sentiasa murah rezeki. Kita mahu rezeki yang banyak dan melimpah ruah. Berapa banyak kira meminta dari Allah? Berapa lama kita peruntukkan masa bersamaNya?

Kita ada jawapan tersendiri. Kita kata kita solat 5 waktu, walau ada ketika kita tidak tahu dan sedar bila kita mula solat, yang kita tahu ktia sudahpun memberi salam. Maknanya solat kita tidak kyusuk.
Kita mendapat habuan gaji atau upah, apa yang kita fikir? Kita mahu berbelanja, mahu beli apa yang kita impi.
Kita dapat durian runtuh. Kita berniaga untung berlipat ganda, kita seronok dan gembira dengan kejayaan yang diraih.
Kita sihat, kita gembira bertemu sahabat. Ceria bertemu mata dan meraikan mereka.

Apajua keadaan. pernahkah saat itu kita fikir, dari mana hasil yang kita peroleh ini? Tidakkah kita sedar bahawa semua ini adalah dariNya? Berapa banyak kita menyumbang untuk zakat dan juga sedekah? Saat kita miliki wang ringgit, adakah kita mahu memberi dan ingat kepada orang yang memerlukan. Adakah bila kita ditimpa kesusahan baru kita sedar, baru kita insaf.

Murah rezeki, kita semua mahu dan harap kita murah rezeki.

Realitinya rezeki Allah sentiasa hadir di sisi. Kita sendiri yang sering lupa untuk menilai. Kita melihat rezeki hanya pada duit ringgit, wal hal rezeki yang besar nilainya adalah pada kesihatan tubuh badan. Bila badan sihat kita mampu beribadat, kita boleh bekerja, kita boleh buat apa sahaja.

Duit bukan segalanya, harta tidak mampu membeli kesihatan. Maka bersyukurlah!

Wallahualam.


  

Tuesday, August 11, 2015

Erti syukur pada memberi



Bismillah,

Alhamdulillah.... tiada ungkapan syukur yang mampu dikatakan melainkan lafaz tahmid kepada Yang Maha Berkuasa. Dia yamg memberi dan Dia juga yang berhak mengambil kembali.

Saat Allah memberi ada ketika lupa ia juga masa Allah mahu menguji hambaNya. Berstukur atau takbur? Besar atau kecil setiap pemberian perlu disyukur. Berapa banyak yang kita rintih belum diperoleh berbanding dengan kita mensyukuri setiap nikmat yang Allah beri.

Seringkali juga kita gagal melihat ujian sebagai satu pemberian Allah dari dari sudut yang positif.. Berapa banyak yang kita peroleh hikmah dari ujian yang menimpa. Bak kata sahabat saya yang belajar sesuatu apabila suami bermain kayu tiga. Ada juga yang insaf bila diberhentikan kerja, selama ini diri sangat ego dan sombong.

Maka syukur untuk perlu ada dalam setiap ketika. Musibah yang hadir ia tanda kasih sayang. Nikmat juga tanda ujian. Ia sama ada kita alpa dalam keseronokan atau kita insaf dengan pemberian.

Setiap satu perkara yang kecil kita jarang bersyukur bahkan kita lebih banyak membilang apa yang tidak cukup. Manusia yang tamak sentiasa nafsunya mahu dipenuhi, jarang sekali mahu memberi apa yang telah dimiliki pada yang lebih memerlukan. Manusia lebih suka mengharap dari menunaikn harapan.

Maka kita berada dalam keadaan yang mana?
Tepuk dada tanyalah Iman!

Wallahuaalam

Tuesday, August 4, 2015

Hadiah Hari Lahir

Bismillah,

Hari Jadi, Hari Lahir, Hari Ulangtahun, Birthday bahkan banyak perkataan bagi mengambarkan tarikh istimewa dalam kehidupan. Dalam Islam sendiri tiada sambutan seumpama itu diajar oleh Rasulullah. Jika adapun Rasulullah mengenang insan yang telah pergi dengan memberi hadiah daging sembelihan. Ia ada dalam hadith yang diriwayat oleh Aishah bila Rasululah tidak lupa mengagihkan makanan kepada saudara Khadijah.

Namun kita sudah terbiasa dengan mengingati hari kelahiran. Secara logik ia bagi mengenang dan menghargai namun jangan sampai ia menjadi satu pembaziran atau keterpaksaan. Tarikh kelahiran Tahun Masehi saya dan anak sulong Anis Najwa hanya berbeza dua hari, sapa pada Julai dan beliau pada Ogos. Bahkan saya berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan anak buah. Manakala anak yang sulong berkongsi tarikh dengan sepupunya.

Tiada sambutan yang dibuat, bahkan saya maklumkan pada suami, tidak perlu memberikan hadiah jika tidak mampu. Cukuplah sekadar ucapan dan doa tanda ingatan bahawa usia saya sudah meningkat. Semalam Anis menghulurkan hasil patchwork beliau kepada saya sebagai hadiah hari lahir. Pada saya ia amat bermakna. Ia bukan pada harga, tetapi pada ingatan.

Saya juga tidak lupa sebelum ini membelikan beliau hadiah, Ia agak sukar membelikan hadiah hari lahir sekarang ini berbanding sewaktu mereka kecil. Ini kerana mereka sudah milik citarasa tersendiri. Namun apa jua yang diberi pasti dihargai.

Hikmah dari hari kelahiran itu perlu diambil peduli dibanding hadiah. Ia masa untuk kita muhsabah amalan dan ibadat sepanjang tahun. Adakah lebih baik atau sebaliknya. Ia juga masa untuk merenung kembali bagaimana kita menggunakan nikmat yang diberi Allah serta berfikir masa yang akan datang bagaimana mahu dipenuhi? Berapa lama masa berbaki hanya Dia yang Maha Mengetahui, namun sebagai hamba kita perlu siap siaga, mempersediakan diri untuk dihari muka yang tiada dapat membantu melainkan amal soleh.

Wallahuaalam

Sunday, June 14, 2015

Menuju Ramadhan



Bismillah,

Menghitung hari.... Detik demi detik, .. itulah yang berlagu dihati. Mengira saat tibanya Ramadhan. Allah sampaikan kami pada Ramadhan. Biarlah Ramadhan yang bakal hadir ini menjanjikan seribu kebaikan dan kerahmatan. Moga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya dalam mengerjakan amalan.

Buat julung kalinya Ramadhan kali ini akan kami sambut di tempat orang. Ia berkebetulan dengan tarikh American Counseling Association Conference yang bakal diadakan di Singapura. Saya perlu perlu membentangkan kajian terkini. Biarpun menyambut Ramadhan di rantau orang namun tersemat dihati untuk solat terawih di Masjid Sultan, Singapura.

Di mana kita berada tidak penting, apa yang penting adalah bagaimana kita mengisi Ramadhan tersebut. Sudah pasti Ramadhan paling indah dan diingati adalah saat berada di Tanah Suci. Ia sangat mengujakan. Apalagi suasananya amat berbeza dengan sambutan di tempat kita. Ramadhan di Tanah Suci amat sederhana dari segi makanan namun dari segi pengisian ibadat ibarat kita tidak mahu tidur dan mahu sepanjang masa berjaga di speanjang malam. Menghidupkan seharian Ramadhan dengan amalan wajib dan sunat.

Menuju Ramadhan, tersemat dihati agar Ramadhan kali ini Allah terima segala amalan dan ampunkan segala Dosa. Amen.

Wallhuaalam
26 Syaaban 1436H

  

Tuesday, May 5, 2015

Kewajipan Solat



Bismillah

Maksud hadith:
Beza antara orang yang beriman dan munafik dan kufur adalah yang mendirikan solat. 
-Riwayat Tarmizi.

Berdasarkan hadith di atas solat merupakan kewajipan kepada setiap  individu Muslim. Dengan kata lain, Islam tidak hanya pada nama. Islam adalah menjalankan setiap kewajipan yang telah termaktub dalam rukun Iman dan rukun Islam yang ada.

Beza individu yang munafik dan kufur adalah pada solatnya. Oleh itu jagalah solat. Ia juga merupakan amalan utama yang akan ditimbang di akhirat nanti. Solat adalah penentu sama ada individu akan masuk syurga atau neraka.

Individu yang menjaga solat adalah insan yang sentiasa mengingati Allah. Sebagaimana peringatan Allah dalam hadith yang lain, "Jagalah Allah, Allah Menjagamu" 


Wallahuaalam