Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Saturday, January 21, 2012

Dunia Ibarat Fatamorgana

Hati sering tercuit tak kala mendengar lirik dengan lagu Fatamorgana.. saya masih ingat belasan tahun yang lalu, sewaktu memandu ke sekolah setiap pagi saya sering mendengar lagu ini, dan ternyata mesej itu samapi kedalam sanubari saya. Mungkin muzik itu bukanlah sesuatu yang bagus untuk didenganri kerana khilaf dari segi hukumnya.. namun bait kata-kata liriknya ternyata amat menyetuh hati saya.. menyebabkan saya sering menilai matalamat dan halatuju saya dalam kehidupan ini... Menginsafkan diri bahawa kehidupan dunia ini seperti fatamorgana... Ini membawa kepada pencarian ilmu saya dan penggalian pengetahuan tidak pernah dan tidak akan terhenti demi kerana ingin mencari kesempurnaan diri dan mengharapkan mardhatillah dalam setiap pengabdian kepadaNya...
Kita lihat betapa ramai di sekeliling kita yang sibuk dengan hal dunia hingga mereka begitu terleka dan terlupa bahawa dunia ini sekadar persinggahan. Mereka sibuk dengan hal duniawi hingga terleka mengerjakan perkara yang hakiki.. Alangkah malangnya buat diri kerana kematian akan mendatangi kita tanpa kita duga. Dunia ini sememangnya boleh diibaratkan seperti wangian yang akan menarik manusia untuk menghidu walaupua wangian itu akan hilang, begitulah juga diri manusia yang banyak melakukan perkara atau usaha yang sia-sia sahaja sifatnya.
Maka sedarilah, bahawa hidup ini PERLU TAHU dan  SEDAR... DARI MANA dan KEMANA selepas ini.. jangan kita sekadar bertanya, tetapi perlu melakukan sesuatu agar kehidupan itu terisi dan akan menjadi begitu bermakna biarpun kita sudah tiada di dunia ini suatu hati nanti. Dengan kata lain, marilah berusaha memperbaiki diri sendiri serta menyeru insan lain ke jalan yang benar biar dengan apa cara/method sekalipun. Moga dengan segala amalan baik itu ia akan menjadi bekal buat kita di negeri abadi.
Hayati lirik ini....

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah
Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapa pun kan tergoda
Harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi
Pulanglah kepada Tuhan cahaya kehidupan
Keimanan ketakwaan kepadanya senjata utama

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati
Yakinkan janji Tuhan syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah
Allah


Ibu bapa berperanan dalam meningkatkan potensi anak anak

Memanglah menjadi hasrat setiap pasangan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Mereka ingin melihat tiap seorang daripada anak mereka mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental, sosial dan juga rohaniah. Mereka sentiasa memikirkan masa depan zuriat mereka. Ini adalah satu jihad.Dalam satu hadis , rasulullah s.a.w bersabda , yang bermaksud : "seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seorang  Yahudi , Nasrani , atau Majusi ". Apabila membincangkan soal untuk mempertingkatkan potensi intelek seseorang kanak -kanak , aspek -aspek lain seperti perkembangan fizikal , sosialnya ,dan rohaniahnya tidak boleh diketepikan. Perkembangan dalam satu bidang akan mempergaruhi perkembangan dalam bidang yang lain. Umpamanya , perkembangan aspek komunikasi yanng optimum akan mempertingkatkan kemahiran sosial si anak. Ini kemudiannya akan mempengaruhi kemahiran inteleknya , meningkatkan daya kreatif dan menonjolkan bakat semulajadi yang diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyangnya. Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka boleh diwujudkan melalui konsep keibu - bapaan berkesan atau effective parenting. Konsep ini bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti si anak itu supaya ciri -ciri tingkah laku yang ditunjukkanya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga , masyarakat dan negara  .Ibu bapa merupakan sebaik -baik contoh kepada anak -anak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwakannya. Dasar kependudukan baru negara menekankan kewujudkan satu generasi yang sihat , dinamik , produktif serta mempunyai nilai -nilai hidup dan moral yang tinggi. Negara memerlukan tenaga kerja yang mahir dan berfikiran positif. Ibu bapa mestilah mempunyai pengetahuan tentang perkembangan kanak -kanak  , strategi pendidikan dan strategi pengubahsuaian tingkah laku supaya dapat mempengaruhi dan mencorakkan perkembangan anak mereka sepertimana yang di cita -citakan. Faktor -faktor yang mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu bolehlah dibahagikan kepada dua , iaitu faktor persekitaran luar dan faktor dalam diri si anak itu sendiri. Persekitaran luar merangkumi suasana di mana si anak diasuh dan berkait rapat dengan faktor -faktor seperti taraf sosioekonomi , budaya serta hubungan dengan adik -beradik serta kawan -kawan di sekelilingnya , peralatan di rumah atau di sekolah dan media massa. Faktor dalam diri sendiri termasuklah taraf kesihatan , taraf pemakanan pengamatan atau persepsinya terhadap dunia luar , pengamatan terhadap diri sendiri (sama ada dia berasa rendah diri atau sebaliknya ) , dan ciri -ciri serta bakat semula jadinya yang sedikit sebanyak terdapat dalam baka yang diwarisinya . 

Setiap komponen yang memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu perlu difahami oleh ibu bapa. Mereka perlulah bijak mengenal pasti ciri -ciri kekuatan yang ada pada anak mereka di samping menumpukan perhatian pada sebarang kelemahan yang ada pada seseorang kanak -kanak itu boleh diatasi atau sekurang -kurangnya diperbaiki dengan menggunakan strategi -strategi tertentu. Kekuatan atau bakat yang dikenal pasti boleh dipupuk dan dipertingkatkan lagi dengan memberi galakan serta peluang untuk si anak itu meningkatkan  potensinya . Setiap pemgalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran -cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya . Keupayaan intelek (intellectual capacity ) seseorang itu adalah kurniaan Allah s.w.t yang tiada siapa boleh memahami. Kebiasaannya , kita hanya boleh menilai kebolehan atau prestasi seseorang itu pada sesuatu ketika sahaja. Manusia sentiasa berubah dari segi kebolehan , tingkah laku dan sikap. Perubahan - perubahan ini adalah akibat pengaruh -pengaruhi luar , pengaruh -pengaruh   dalam dirinya atau perasaannya pada peringkat trimester kedua kehamilan sehingga dua tahun selepas kelahiran. Pertumbuhan otak berkembang pesat pada waktu ini. Bayi yang baru lahir hanya  tidur , bangun
 untuk  menyusu dan mula mengenal persekitarannya  melalui deria-deria yang dimilikinya. Daya pemikirannya meningkat dengan peredaran masa dan pada usia tiga tahun dia sudah boleh berlari, melompat, bercakap menggunakan ayat yang penuh, bergaul mesra dengan rakan sebaya dan makan minum serta memakai baju tanpa pertolongan orang lain. Perasaan ingin tahu sangat ketara ini dan dia bertubi-tubi mengemukakan pelbagai soalan kepada ibu bapanya dan sesiapa sahaja yang rapat dengannya bagi memenuhi kehausan pengetahuan pada dirinya.
Jika hakikat imi disedari, maka mudahlah difahami mengapa penjagaan yang rapi dan perhatian yang secukupnya harus diberikan daripada peringkat janin lagi untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi yang optimum. Kesihatan ibu yang hamil adalah suatu aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius. Ibu hamil yang menghidap penyakit atau mengamalkan tabiat hidup yang moden mengancam kesihatan seperti merokok, meminum arak, mengambil dadah atau ubat-ubatan yang dicegah dan juga mereka yang terdedah kepada unsur sinar-X boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan janin yang didalam kandungan. Demikian juga halnya dengan bayi yang dilahirkan secara kecemasan. Kekurangan bekalan oksigen ke bahagian otak-nya atau serangan penyakit yang boleh merosakkan otaknya akan menjejaskan perkembangan dan pertumbuhannya. Amalan -amlan yang sihat yang boleh mempertingkatkan kesihatan ibu hamil perlu diberikan perhatian. Di negara kita , kadar kematian di kalangan bayi akibat keadaan -keadaan yang sepatutnya boleh dicegah masih lagi berada di tahap yang tinggi. Ini tidak seharusnya berlaju memandangkan teknologi untuk mencegah atau merawat penyakit -penyakit ini telah ada dan mudah pula di dapati. 
Pengawasan terhadap perkembangan dan pertumbuhan bayi selepas lahir dari semasa ke semasa adalah penting kerana ini merupakan satu -satunya cara untuk mengenal pasti sebarang keadaan yang luar dari kebiasaan Walaupun kerajaan telah menyediakan program - program bagi mengawasi perkembangan kanak -kanak , usaha -usaha ini tidak akan berjaya tanpa kesedaran pihak ibu bapa tentang peranan mereka dalam mengawasi perkembangan dan tumbesaran anak mereka. Kunci kepada perkembangan dan tumbesaran yang optimum seseorang kanak -kanak itu ialah taraf kesihatan yang tinggi tanpa sebarang kecacatan atau penyakit yang serius. Andainya seseorang anak itu pekak atau buta ibu bapa haruslah bijak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sianak itu dan mengetahui strategi-strategi berkesan yang boleh digunakan untuk memaksimumkan potensi anak mereka.
Anak yang menghidap penyakit perlulah mendapat rawatan segera agar doktor dapat mengenal pasti penyakit tersebut diperingkat awal serangannya dan mencarikan ubat yang sesuai. Usaha-usaha untuk mempertingkat ketahanan diri sianak supaya tidak selalu diserang penyakit juga perlu dijalankan.
Amalan, sikap san nilai-nilai yang ada pada ibu bapa banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka sendiri. Mereka harus memikirkan sama ada ciri-ciri ini sesuai dengan keadaan, masa dan  juga sifat-sifat yang terdapat pada anak mereka. Umpamanya, mendisiplinkan anak dengan cara  merotan mempunyai kesan yang negetif terhadap anak itu. Sebaliknya, banyak kaedah positif lain yang boleh meningkatkan daya pemikiran dan kematangan sosial sianak. Caragayanya keibubapaan sudah semestinyalah sedikit sebanyak akan mempengaruhi seseorang anak apabila dewasa dan seterusnya menjadi ibu atau bapa pula. Kajian menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang sewaktu kecilnya menjadi mangsa penganiayaan orang tua mereka cenderung untuk menganiayai anak-anak mereka sendiri.
Keperluan dan citarasa seorang kanak-kanak berubah dari semasa ke semasa. Umpamanya, jenis makanan yang digemarinya akan berubah-ubah mengikut seleranya. Corak pakaian, permainan dan cara berkomunikasi dengannya juga perlu diubahsuai mengikut kematangan fikirannya. Tingkah lakunya sering berubah-ubah.Tabiat yang dianggap lazim pada satu peringkat usia mungkin tidak manis atau tidak lagi sesuai apabila umur meningkat. Umpamanya, tabiat menghisap jari biasanya akan hilang dengan sendirinya bagi kebanyakan  kanak-kanak tetapi jika ia berterusan sehingga usia enam tahun keatas, ini mungkin ada kaitannya dengan suasana yang kurang selesa baginya. Ibu bapa boleh menolong mengikis tabiat anak yang kurang manis jika mereka mengetahui asas kelakuan yang  ditunjukkan serta kaedah modifikasi tingkahlaku.
Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan dalam tahun satu mempamerkan berbagai-bagai corak perwatakan. Seseorang guru yang cekap memerhatikan tingkah laku anak-anak muridnya boleh mengagak sama ada suasana dimana kanak-kanak itu dibesarkan merupakan suasana yang baik dengan segala keperluannya dipenuhi atau sama ada kanak-kanak itu datang dari kalangan keluarga yang kurang sejahtera, serba kekurangan dan kerap tidak dapat memenuhi keperluannya.
 Mendisiplinkan anak adalah satu proses yang berterusan. Setiap detik dalam kehidupan anak itu merupakan satu pengalaman. Oleh itu, perwatakannya dari semasa akan terbentuk daripada setiap pengalaman yang bermula dari dalam rahim ibunya dan berterusan sehingga akhir hayatnya. Oleh itu , ibu bapa memain peranan untuk memastikan agar anak mereka sering didedahkan kepada pengalaman - pengalaman positif yang meninggalkan kenangan -kenangan manis kepadanya supaya dia dapat menyedari bakat yang ada padanya dan berbangga terhadap setiap pencapaiannya.
Kanak -kanak tidak sunyi daripada dilanda perasaan hiba , sama ada di sebabkan kehilangan orang yang disayanginya atau penyakit yang memerlukan rawatan di hospital dan berbagai -bagai lagi peristiwa yang menyedihkan. Tetapi , melalui belaian kasih dan cara berkomunikasi yang berkesan , pengalaman - pengalaman sedih ini boleh meneguhkan iman dan perwatakannya. Pengalaman -pengalaman ini merupakan detik peristiwa yang boleh memberikan pedoman dan pengajaran yang berguna dalam hidupnya. Umpamanya , kanak -kanak yang kematian ayahnya akibat kemalangan boleh dibantu jika ibu , datuk ,nenek dan saudara mara terdekat mencurahkan kasih sayang dan perhatian serta memberi nasihat - nasihat dan pandangan -pandangan positif yang boleh menolong mencorakkan personalitinya. Dia mungkin akan menjadi lebih cekal dan berfikiran lebih matang jika dibandingkan dengan kanak -kanak lain yang belum pernah mengalami situasi yang sebegitu mencabar. Sebaliknya , jika si anak tidak mendapat sokongan emosi dan perhatian yang amat -amat diperlukan , kesedihannya mungkin akan berlanjutan dan akan menjejaskan perkembangan sosial dan inteleknya.
Kanak -kanak pekak , buta , yang cacat anggota atau yang mempunyai masalah perubatan seperti sawan memerlukan kemahiran keibubapaan yang khusus. Ibu bapa yang terlibat perlu mengorbankan masa mereka untuk menjalani latihan -latihan dan membelanjakan wang ringgit untuk mendapatkan keperluan keperluan seperti alat pendengaran , cermin mata rawatan perubatan atau terapi. Malah , mereka mungkin perlu peka terhadap kemajuan - kemajuan dalam teknologi pendidikan khas (special aducation ) melalui majalah - majalah , buku -buku serta latihan - latihan khas untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan -pengetahuan yang boleh digunakan bagi melatih anak mereka. Ibu bapa juga perlu tahu tentang perkhidmatan untuk kanak -kanak cacat sama ada yang ditawarkan oleh badan -badan kerajaan , swasta atau pertubuhan -pertubuhan sukarela. Kadangkala , ada baiknya ibu bapa sendiri menganggotai organisasi -organisasi yang menyediakan perkhidmatan -perkhidmatan khas untuk kanak -kanak cacat dan yang bermasalah agar mereka dapat berhubung dengan pihak -pihak yang berkenaan yang boleh mengaturkan keperluan -keperluan khas untuk anak -anak mereka.
Rumusan
Untuk mempertingkatkan potensi anak -anak , ibu bapa perlu mempunyai sikap dan amalan positif serta pengetahuan yang boleh membantu mempengaruhi perkembangan anak mereka dengan lebih mendalam lagi terutamanya dari segi kekuatan dan bakat semula jadi yang dimilikinya. Dengan ini , ciri -ciri positif yang dimiliki oleh anak mereka dapat di pupuk dan dirangsang untuk mencapai kecemerlangan.

Di petik dari nukilan : Dr Hamid Arshat 

Friday, January 20, 2012

PadaMu ku bersujud...

ku menatap dalam gelap, 
tiada yang bisa kulihat, 
selain nama Mu, YA ALLAH, 
esok ataukah nanti, 
ampuni semua salahku 
lindungi aku dari segala fitnah, 
Kau tempat ku meminta, 
Kau berikan aku bahagia, 
jadikan aku selamanya, 
hambaMu yang bertaubat, 
Ampuni aku ya Allah, 
yang sering melupakanMU, 
saat Kau limpahkan karuniaMu, 
dalam sunyi aku bersujud....



Thursday, January 19, 2012

Iktibar Jumaat : Perihal Tangisan

Salam Jumaat... 

Kisah ini memberi ikitbar tentang tangisan Nabi Muhammad  keatas Anaknya Ibrahim. Dalam keadaan hening yang menekan itu, air mata Nabi Muhammad s.a.w. berderai bercucuran. Sementara anak kecil itu sedang menarik-narik nafas terakhirnya. Setelah tubuh Ibrahim terkejang lama, sudah tidak bergerak-gerak lagi, nafas juga sudah terputus, anaknya terbujur kaku di atas ribanya sendiri. Semakin deras pula air mata Rasulullah s.a.w seraya bersabda yang bermaksud "Oh Ibrahim, kalau bukan kerana soal kenyataan, dan janji yang tidak dapat dibantah,dan bahawa kami yang kemudian akan menyusul orang pergi dahulu daripada kami, tentu akan lebih lagi kesedihan kami."

Muslimin yang melihat Rasulullah s.a.w yang begitu berduka cuba mengingatkan akan larangan Baginda s.a.w. berbuat demikian rupa tetapi Nabi s.a.w membalas "Aku tidak melarang orang berdukacita, tapi aku larang menangis dengan suara keras. Apa yang kamu lihat padaku sekarang ialah pengaruh cinta dan kasih di dalam hati. Orang yang tiada menunjukkan kasih sayangnya, orang lain pun tiada akan menunjukkan kasih sayang kepadanya." Kebetulan pula ketika Ibrahim meninggal dunia itu tejadinya gerhana matahari. Kaum Muslimin menganggap peristiwa ini suatu mukjizat tapi disangkal oleh Rasulullah s.a.w.

Dipetik dari tulisan Abii Nabilah

Wednesday, January 18, 2012

SEIMBAS TENTANG POLIGAMI…

SEIMBAS TENTANG POLIGAMI…

10JAN
Saya pernah mendengar secara langsung bagaimana seorang isteri dianiaya oleh suaminya yang berpoligami. Sudahlah selama ini dia membantu suaminya menyara keperluan keluarga (gajinya lebih besar daripada suami), tiba-tiba suami bernikah lain tanpa pengetahuannya.
Dan sejak itu suami jarang pulang ke rumah. Jika pulang pun, hanya sekali-sekala, itupun kerana ‘mengecek’ wang isteri pertama. Isteri yang selama ini berkorban, terus terkorban… bertahan cuma untuk membesarkan anak-anak. Tidak ada kebahagiaan lagi.
Ada pula saya temui lelaki ‘handsome’ yang sihat, kaya, baik tetapi terhimpit oleh masalah ‘dalaman’ apabila isterinya tidak sudi melayaninya lagi. Sukarnya untuk memahamkan isteri akan cabaran-cabaran lelaki yang ingin menjadi muslim sejati dalam dunia yang penuh godaan dan cabaran ini. Isteri tidak pula sudi membantu untuk mengurangkan beban cabaran itu. Bersoleklah, berhiaslah dan jagalah penampilan diri… Berzina? Tidak terlintas sama sekali. Hendak berpoligami? Jangan harap. Alamat perang saudaralah nanti!  
Sekali-sekala saya terjumpa lelaki berpoligami yang begitu bijak dan sabar mengendalikan bahtera rumah tangga. Anak-anaknya ramai tetapi terdidik dengan baik. Isteri-isteri terurus dan terkendali dengan stabil. Perjalanan ‘rumah-rumah’ tangganya yang agak sempurna dan lancar, lebih baik daripada perkahwinan monogami oleh sesetengah lelaki yang lain. Jika demikian, dia layak memimpin beberapa orang wanita, detik hati saya.
Sering saya temui, lelaki yang hidupnya tunggang langgang. Anaknya hanya seorang, isterinya hanya satu… tetapi kendali hidupnya sungguh celaru. Hidup tanpa tanggung jawab. Dia masih tebal dengan budaya hedonisme dan berpeleseran dengan mengekalkan momentum zaman bujangnya. Hati saya tertanya-tanya, mengapa agaknya dia berkahwin? Apa tujuannya? Dia menyiksa dirinya dan orang di bawah tanggungannya. Usahkan berpoligami, bermonogami pun dia tidak layak!
Lalu hati saya berkata… semuanya bergantung kepada iman. Tidak kira poligami atau monogami, lelaki yang beriman dapat mengendalikannya dengan baik. Ada yang berbahagia dengan seorang isteri… ya itulah yang normal. Namun, sekali-sekala terjadi juga yang ‘kadang-kadang’, ‘jarang-jarang’, berbahagia pula dengan dua, tiga atau empat isteri. Allah Maha Mengetahui, di sebalik segala takdirnya, ada bahagia… sekiranya ada iman yang kukuh dan teguh di dada.    
Justeru, apabila ada kalangan pengunjung blog meminta saya menulis tentang poligami, saya persembahkan tulisan di bawah dengan rendah hati… Ya, Allah. Bantulah kami memahami tentang hukum poligami ini. Ya, saya akan menulis lebih panjang lagi tentang subjek ini. Namun buat sementara terimalah tulisan di bawah sebagai muqaddimahnya:  
MENYINGKAP MISTERI BERPOLIGAMI
Poligami, sering dianggap satu subjek yang ‘taboo’. Membincangkannya akan menyebabkan berlakunya pergeseran pendapat yang agak ‘sengit’ dikalangan umat Islam sendiri. Malah sering juga musuh Islam mengambil kesempatan mengecam Islam dan Nabi Muhammad kerana poligami.
Namun, realitinya poligami dalam Islam adalah satu praktik yang telah lama berlaku yakni sejak zaman Rasululullah s.a.w sehinggalah kini. Rasulullah s.a.w, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan lain-lain para sahabat telah mengamalkannya. Ini menunjukan poligami memang boleh diamalkan.
Tindakan Nabi Muhammad saw melarang Sayidina Ali berpoligami tidak bermakna baginda melarang poligami.  Memang benar Rasulullah s.a.w melarang Sayidina Ali menduakan puterinya. Baginda amat marah mendengar ura-ura Sayidina Ali hendak berpoligami lalu masuk ke masjid dan menaiki mimbar sambil berseru: “Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Talib. Ketahuilah aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan kecuali Ali bin Abi Talib menceraikan puteriku terleboih dahulu. Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.”
Namun hadis ini  difahami dan diperjelaskan secara berbeza oleh para ulama. Berdasarkan Imam Nawawi, fokus utama hadis ini bukanlah berkaitan poligami secara umum tetapi ia berkaitan dengan hasrat Sayidina Ali memadukan isterinya Siti Fatimah binti Muhammad saw dengan puteri Abu Jahal.   Ini diperjelaskan lagi oleh sabdanya sebagai kesinambungan daripada hadis yang pertama: ”Dan sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak  pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah jangan sekali-kali bersatu puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah.”
Manakala pihak yang kurang setuju dengan poligami pula mendakwa hadis ini menunjukkan Rasulullah juga mencegah poligami kerana kesedihan Siti Fatimah apabila hendak dimadukan oleh suaminya. Ini membuktikan kesedihan isteri pertama untuk dimadukan tidak boleh dianggap remeh. Ia perlu dititik-beratkan oleh para suami yang hendak berpoligami.
Pihak ini juga berpendapat jika para Ummul Mukminin (isteri-isteri Nabi Muhammad) juga mempunyai rasa cemburu, apatah lagi wanita biasa. Justeru, cemburu tidak dapat dielakkan oleh para wanita yang dimadukan maka wajar berpegang kepada prinsip “bahagiakan dirimu dengan satu isteri’!
Kita boleh memanfaatkan perbezaan dua pandangan ini sekiranya kita mampu mengamalkan sikap berlapang dada, menjauhkan sikap prajudis, emosional dan prasangka. Kedua-dua pandangan itu sepakat tidaklah melarang (mengharamkan) poligami. Cuma satu pihak agak ‘bertolak ansur’ dalam pelaksanaannya jika keadaan memerlukan. Manakala satu pihak pula sangat rigid dalam pelaksanaannya yakni apabila keadaan sangat mendesak dan dengan syarat-syarat yang ketat pula!
Kedua pandangan ini sebenarnya boleh dijadikan ‘check and balance’ agar poligami tidak dieksploitasi oleh golongan yang berkepentingan dan tidak pula menyekat golongan yang benar-benar memerlukan, sanggup berlaku adil dan punya kemampuan dari segi material, fizikal dan rohani untuk melaksanakannya.
Poligami bolehlah diumpamakan pintu kecemasan dalam sebuah pesawat terbang. Hanya apabila berlaku kecemasan, pintu itu benar-benar diperlukan. Iktiraflah keberadaan dan keperluannya. Apa yang lebih penting ialah mencapai tujuan suatu perkahwinan dengan niat kerana Allah dan melalui kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw,  tidak kira samada perkahwinan itu monogami atau poligami.
Sesungguhnya kehidupan Rasulullah saw bermonogami selama 25 tahun dan berpoligami selama 10 tahun telah meletakkannya sebagai role model yang bersifat multi dimensi dan holistik. Majoriti umatnya yang bermonogami boleh belajar bagaimana menghadapi seorang isteri dengan penuh kesetiaan. Manakala minoriti umatnya yang berpoligami juga boleh menteladani Rasulullah dalam meratakan keadilan di kalangan isteri-isterinya.
Itulah indahnya Islam yang dapat dilihat secara tersurat dan tersirat. Dan diantara keindahan itu terserlah melalui amalan poligami terutamanya yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw sendiri.



sumber ; http://genta-rasa.com/2012/01/10/seimbas-tentang-poligami/

Tuesday, January 17, 2012

Tips of The day

Kejayaan bermula dengan ; 
  • mengubah cara berfikir
  • tidak takut bekerja keras, 
  • memiliki sikap ingin tahu 
  • mampu melihat hikmah dalam setiap perkara
  • kita tidak dapat mengawal apa yang berlaku sekeliling kita tapi kita boleh mengawal reaksi kita

Monday, January 16, 2012

Dilemma Persekolahan Anak-Anak

Salam semua, moga hari ini menjanjikan yang terindah buat kita dan hari yang semalam menjadi pengajaran serta hari esok yang mendatang menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita jalani. Berkongi kisah hari ini, saya didatangi dua orang ibu yang mengadu tentang masalah persekolahan anak-anak. Anak-anak mereka sekarang ini berada di tingkatan satu, namun apa yang menyedihkan biarpun mendapat 5A UPSR, namun anak-anak mereka tidak mendapat sebarang tawaran untuk ke-mana.mana. Apa yang merungsingkan si ibu adalah bimbang apabila anak-anak mereka bersekolah harian mereka tidak mampu memantau anak-anak mereka sepanjang masa, lebih-lebih lagi mereka terpaksa keluar bekerja.

Di saat ibu bapa lain telah mendapat surat tawaran untuk ke sekolah-sekolah asrama penuh (SBP/SBPI) atau sekolah agama (SMKA/ SAM) maka saya percaya dan amat merasai gundah hati mereka. Saya juga pernah melalui perasaan dan pengalaman yang sama sebagai seorang ibu yang berada dalam dilemma bila memikirkan persekolahan anak-anak. Sewaktu dua anak perempuan saya akan naik ke tingkatan satu saya juga berdoa supaya anak-anak saya dapat menempatkan diri mereka di sekolah asrama penuh aliran agama atau sekolah menegnah agama. Saya faham ada juga segelintir ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke asrama dengan alasan tesendiri seperti mahu melihat anak membesar di depan mata, tidak mahu adik beradik menjadi renggang kerana terpisah, atau ada juga yang boleh memantau sendiri anak mereka dan pelbagai sebab-sebab lain.

Ibu bapa mana yang mahu berjauhan dengan anak-anak, saya juga begitu. Sebagai ibu, saya juga terpaksa menahan rindu terhadap anak-anak apabila berjauhan, tetapi kerana saya inginkan anak-anak berada disekolah yang saya rasakan terbaik untuk dunia dan akhirat mereka maka saya dan mereka perlu membuat pengorban, terutama pengorbanan emosi. Saya memilih untuk menghantar anak ke asrama bukan kerana ingin meletakkan beban tugas kepada guru-guru dengan alasan kita sibuk bekerja. Pada saya sekolah berasrama itu mempunyai faedah tersendiri terutama melatih anak-anak berdikari, merasai suasana belajar dengan jadual yang tersendiri, serta bergaul dengan rakan-rakan sesusia dalam biah atau persekitaran yang terjaga.

Pengalaman diri sendiri dan suami yang sejak dari tingkatan satu sudah biasa dengan kehidupan di asrama dan juga pengalaman menjadi guru sebelum ini di sekolah harian membuatkan saya nekad untuk menghantar anak-anak bersekolah di sekolah berasrama dan lebih penting lagi sekolah tersebut adalah sekolah aliran agama. Alhamdulillah anak-anak saya walaupun peringkat awal tidak betah duduk di asrama  kerana terpaksa berdepan dengan segala macam disiplin dan peraturan serta rindu apabila berjauhan, namun sekarang ini mereka sudah terbiasa dan boleh menjalani kehidupan di asrama dengan baik.

Berbalik kepada permaslahan -ibuibu yang berdepan dengan masalah menempatkan anak-anak mereka di sekolah berasrama, saya memberi mereka motivasi supaya mereka bersabar dan dalam masa yang sama berusaha membuat rayuan selagi ada ruang. Saya percaya walaupun di sekolah harian anak-anak yang dipantau dan mempunyai jati diri yang kental akan boleh melepasi segala ujian yang datang (terutama untuk menangani masalah gejala sosial dikalangan anak-anak). Namun lebih penting pada saya memilih sekolah harian atau sekolah swasta yang mempunyai aliran agama, supaya anak-anak mendapat kedua-dua ilmu iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Apapun  sekolah harian atau sekolah agama, biar di mana mereka berada, moga mereka sentiasa diberi kekuatan iman untuk menjadi diri mereka sendiri menjadi Muslim yang sejati yang kenal diri. Ibarat seekor ikan yang isinya tetap tidak masin biarpun berada di lautan yang masin.
Wallhuaalam.

Sunday, January 15, 2012

Menjaga Pergaulan dan Maruah Diri

Agama Islam amat jelas memperkatakan tentang isu ini di mana seseorang yang bergelar lelaki atau wanita perlu tahu batas pergaulan sesama jantina atau yang berlainan jantina. Setiap yang bergelar Muslim perlu mengikut syariat yang terkandung dalam Islam, ini berkait dalam semua segi iaitu adab sopan, penjagaan maruah diri, cara berpakaian, adab bercakap dan sebagainya.Perkara sebegini adakala kita terlepas pandang terutama apabila kita dalam suasana kerja, dek kerana akrab ada masa kita terlalai dengan larangan. Tambahan pula bila rasa sudah akrab antara satu sama lain walaupun tidak ada perkara yang melibatkan soal hati dan sebagainya maka kita seperti tidak segan silu bertempuk tampar, bergurau senda sesama sendiri yang adakalanya mampu mengundah fitnah.

Apa yang diperkatakan di atas juga adakala membawa kepada bibit-bibit mesra hingga ada yang jatuh cinta pada kawan sepejabat, jatuh cinta antara isteri/suami orang. Adakala benda yang remeh atau apa sahaja ingin dikongsi dengan rakan yang berlainan jantina atas alasan mereka itu lebih memahami, mereka lebih pandai menyimpan rahsia.. atau apa sahaja alasan untuk menghalalkan perbuatan kita menghubungi atau kerap berinterkasi satu sama lain dengan tanpa tujuan yang ikhlas.

Ini semua bukan hanya tertakluk pada tempat atau bidak kerja, tetapi juga ada yang dalam persatuan, parti, pertubuhan dan lain-lain lagi. Jika persoalan membatasi pergaulan ini tidak ditangani dengan berhemah dan kefahaman yang jelas dalam kontkes Islam, maka ia boleh membawa kepada gejala sosial yang tidak sihat, berlakunya fitnah serta musibah yang besar pada umat Islam itu sendiri.

Ada satu-satu ketika dalam kehidupan kita kita kadang-kadang alpa hingga kita membatasi pergaulan hingga menimbulkan perkara yang tidak baik. Oleh itu kita perlu menyedari pentingnya menjaga maruah diri, menjaga adab sopan serta menjaga perlakuan dan tingkahlaku kita. Tilik dan perhatilah diri sendiri dengan bermuhasabah dan bertanyakan orang sekeliling yang hampir dengan kita, andai kita bimbang kita terleka atau lalai dalam menjaga batasan pergaulan. Biar apapun yang kita lakukan dalam kehidupan ini kita perlu sentiasa bermohon kepada Allah moga kita dilindungi dari segala fitnah, dan moga kita juga diberi kekuatan iman untuk sentiasa menjaga diri supaya sentiasa berada dalam landasan Islam.

Friday, January 13, 2012

Konsep 3i Dalam Kerangka Kehidupan

Kehidupan seorang individu manusia itu tidak sempurna melainkan terjalin didalamnya suatu hubung kait yang unik. Hubungkait itu mendasari dan meliputi seluruh aspek kehidupan seorang insan. Jalinan ini adalah fitrah kehidupan, insan punyai hubungan dengan Penciptanya kerana insan itu dicipta dan bukan tercipta dengan sendiri. Apabila tercipta maka insan ialah makhluk dan punyai kehidupan sendiri dan memerlukan sekitaran untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini iaitu terjalinnya hubungan insan dengan alam. Inilah asas kepada seluruh kehidupan kita. Hubungan ini diterjemah dalam bentuk perlunya insan untuk patuh kepada lunas lunas, peraturan peraturan serta syarat syarat yang ditetapkan oleh Allah yang tujuannya bukanlah untuk kepentinganNYA akan tetapi untuk kebahagiaan, kesenangan bagi memperoleh yang terbaik dalam kehidupan setiap insan. Ini dinatijahkan dengan insan dan alam saling bergantungan dan memerlukan sebagai  kehidupan berpandukan kepada peraturan peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Allah.

Rangkuman seluruh kehidupan itu terbina bila insan beriman kepada Allah yang tersirna melalui Rukun Iman yang dijadikan dasar kepada hubungan dengan Allah. Manisfestasi kepada keimanan itu terjalin melalui ibadah dan tindakan tindakan yang menjelaskan kedudukan insan sebagai hamba iaitu Rukun Islam dan apa sahaja yang terkandung didalamnya. Lantas, hubungan ini dimurnikan dengan keikhlasan si hamba iaitu insan dalam tindakan dan perlakuan seharian yang dinamakan sebagai IHSAN.
Maka jadilah apapun hamba itu, baik sebagai suami, isteri, ibu atau  bapa, anak, menjawat jawatan sebagai peguam, doktor, pentadbir, mahupun hanya seorang petani atau menjadi orang biasa-biasa sekalipun, ia tetap mendokong dan memerlukan jalinan hubungkait dengan Allah dalam apa jua bentuk sekalipun. Ia sama sekali tidak boleh menolak dan menafikan hakikat bahawa dia amat memerlukan Allah dalam kehidupan ini. Keperluan insan terhadap Allah adalah hakiki sifatnya kerana keperluan ini memenuhi ruang kosong dalam jiwa manakala ALAM bertindak memenuhi keperluan fizikal melalui pemberian rezeki dari Allah. Ini selaras dengan hakikat penciptaan insan itu yang berupa fizikal, dan rohani. Keduanya ada keperluan yang perlu dipenuhi barulah seimbang daya dan rasa. Alam ciptaan Allah juga bergantung kepada manusia yang menjadi pemulihara dan pentadbirnya.  

Dipetik dari buku 3i Iman Islam Ihsan : Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi
3i Iman Islam Ihsan Formula Kejayaan hakiki Dan Abadi

Mentaati Ibu Bapa



Menyebut perkataan ibu bapa sudah pasti setelah kita sendiri menjadi ibu bapa,  kita lebih menghayati panggilan itu. Namun apabila menggalas tugas itu adakah kita lebih mentaati dan menyanyangi serta menyanjungi kedua ibu bapa kita atau  realitinya kita seringkali terleka dengan kesibukan dan kehidupan dunia hingga lupa pada mereka. Tidak mengapa jika kita menyedari...




Masih belum terlambat buat kita untuk bertanya khabar

Masih belum terlewat untuk kita menghulur balas

Masih ada waktu unutk kita mengisi lompong yang ada

Masih ada ruang untuk kita menabur jasa

Masih ada masa untuk kita memeluk mereka 

Masih ada kesempatan untuk kita memohon ampu dan maaf

Andai ibu bapa masih bernafas 
Maka usah berlengah  dengan segala impian yang ada 

untuk ibu bapa yang telah membesarkan kita..

moga kita menjadi anak yang soleh 


buat mereka berdua... 

Thursday, January 12, 2012

ALUMNI..OH.. ALUMNI Siri 2


Membina Silaturrahim

Cuaca di Kuala Lumpur seperti biasa adakala cerah adakala mendung. Saki baki dan tempias tengkujuh dari Pantai Timur masih belum reda. Aku seperti biasa bila muncul hari Isnin maka kekalutan dan kesibukan menguruskan segala hal dating menjengah. Sibuk urusan belajar, sibuk juga dengan urusan anak-anak juga sibuk dengan urusan perniagaan. Biar bagaimana sibuk dengan segala hal, namun hati tetap mengingatkan kenangan ku di MMP. Sepantas waktu berlalu, Anis sudah sebulan di MMP, namun masalah dengan emosinya yang rindu kepada keluarga masih belum stabil. 

Dalam keadaan begitu, tiba-tiba datang sepucuk surat yang bertanda urusan kerajaan. “ Hem, surat dari siapa ni, nama ni untuk Anis Najwa” desis hati saat posmen memberikan surat di tangan. Bila sampul dibuka tertera tawaran untuk Anis menduduki tingakatan satu di asrama penuh. Hati sedikit rasa gembira berbaur sedih kerana, beberapa hari sebelumnya kakakku menelepon supaya Anis Najwa berpindah di sekolah yang hamper dengan ku di Kuala Lumpur. Alasan kakakku” Lebih baik kakak sekolah dengan sekolah yang dekat untuk di jengok, bukan apa, budak-budak remaja sekarabg kalau jauh dari ibu bapa mereka ini akan jadi rapat dengan kawan-kawan. Kalau kawan-kawan tu bagus tak mengapa, bimbang takut kawan-kawan tu bawa pengaruh yang tak baik”.
Ingatan kakak ku menyebabkan hati bersarang dengan rasa waswas. Memang betul, remaja sekarang mudah sangat terpengaruh dengan kawan, bila mereka dah rapat maka mereka akan lebih suka mendengar cakap-cakap kawan disbanding ibu bapa. Aku memang sedia maklum dengan hal ini. Lapan tahun pengalam menjadi guru di sekolah menengah menyebabkan aku cukup masak dengan permasalahan remaja. 


Sebagai guru banyak kes yang aku terpaksa berhadapan terutama remaja yang bebas berpeleseran kerana kurangnya pantauan dari ibu bapa. Surat yang diterima aku suakan pada suamiku apabila dia balik dari kerja. Selama seminggu kami berbincang, solat istikharah serta bertanya pandangan rakan-rakan, maka dengan berat hati aku dan suami membuat keputusan untuk menerima tawaran dari Kementerian Pelajaran. Pada hari minggu kami pulang ke Kelantan. Sekali lagi aku datang ke Maahad Muhaamadi P, tapi bukan lagi dengan perasaan gembira, kedatangan aku penuh dengan kesedihan kerana ketidakpastian bila lagi aku akan singah di tempat yang banyak berjasa pada diriku.

Bertemu dan Berpisah Kerana Allah
 Anis Najwa saat di sampaikan berita bahawa aku dan suami akan membawanya bersekolah di SBPI, menyuarakan rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan sekelas dan juga kawan-kawan di asrama yang sudah semakin akrab. Bukan itu sahaja, sudah ada beberapa guru yang baik denganya kerana mereka mengenali diriku, kerana kebanyakan mereka juga sebelum ini adalah bekas guruku sebelum ini. 


Sewaktu singgah di kelas, aku sempat bertemu dengan guru kelas Anis Najwa yang juga bekas guru yang mengajarku pelajaran Tauhid iaitu Ustazah Radhiah. “ Anti nak bawa dia semula ke Kuala Lumpur? Tak menyesal ke? Bukan senang nak masuk sekolah ni, lagipun pembelajaran dah tak sama” kata Ustazah Radhiah. Aku cuba memberikan alasan sebaik mungkin pada Ustazah Radiah. “Bukan saya tak suka atau tak rasa menyesal Ustazah, tapi saya terpaksa sebab susah saya nak ulangalik menjengok Anis. Lagipun SBPI itu asrama yang mempunyai aliran agama, orientasinya pun berbeza dengan asrama penuh yang biasa. Harap-harap apa yang saya buat ini memberi kebaikan dan hikmah pada Anis” Ujarku pada Ustazah Radiah.

Bersambung...
Ummu Ieman Ihsan

Wednesday, January 11, 2012

Jangan Izinkan Aku jatuh Cinta Jika masanya Belum Tiba

Ya Allah,
Andai masanya belum tiba,
Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan,
Agar Kau tunjukkan aku tuntutun yang perlu aku lakukan,
Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan,
Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat,
Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.
Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
Jadikanlah aku yang mencintainya kerana agama yang ada padanya,
Jika dia hilangkan agama yang ada dalam dirinya,
Maka hilanglah cintaku padanya,
Sesungguhnya, cinta yang suci itu tidak buta.
Ya Allah,
Dan jika dia mencintai aku,
Biarkanlah dia mencintai aku kerana agama itu juga,
Asalkan dia tidak lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepadaMu,
Supaya cinta itu bersemi di lembayung keredhaan-Mu,
Kerna dari situ lahirlah rahmah dan mawaddah dalam rumahtangga.
 Ya Allah,Jika ini bukan masanya,
Jika ini belum saatnya,
Dan jika Kau tahu kami belum bersedia,
Selamatkan kami,
Jarakkan kami,
Pisahkan kami,
Agar kami jauh dari khilaf yang merosak izzah dan iffah,
Agar kami tak mengundang murka-MU,
Agar kami dapat lebih menjaga hati,
Agar hati menjadi yang diredhai ilahi.
Ya Allah,
Andai dia bukan untuk ku,
Andai dia bukan jodohku,
Maka berilah ganti yang lebih baik buatnya,
Berikanlah dia insan yang benar benar terbaik buat kehidupannya,
Insan yang benar-benar mampu memimpinnya ke syurga-Mu,
Dan bantulah aku untuk memperbaiki diriku,
Agar aku kukuh dalam mencari cinta-Mu.
Ameen..
Artikel iluvislam.com 


Buat tatapan anak-anakku..moga menjadi suri teladan buat mu..