Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Wednesday, October 7, 2015

Kudrat ini


Tidak ketahui itu aku
lemah itu aku
kerdil itu aku

Aku yang tidak punya apa
Tiada daya upaya
Hati mahu memberi apa sahaja
Tidak cukup apa yang ada

Kudrat yang sedikit,
Harta yang tidak seberapa,
Mana mungkin aku jadi seperti...

Abu Bakar As Siddiq
Uthman bin Affan
Abdul Rahman bin Auf

Tidak juga aku mampu
Bersedekah sehebat
Saidina Ali dan Fatimah

Lalu di mana aku?
Hanya dia yang tahu

Aku hanya mampu
memberi seikhlas hati...
moga Dia menerima amalan ini.

Amen.

Monday, October 5, 2015

Jerebu : Tanda Kiamat yang hampir



Bismillah,

Sudah berminggu negara berdepan dengan situasi jerebu yang tidak menentu. Bahkan hari ini kali ke-2 sekolah terpaksa dicutikan selama dua hari dek kerana jerebu makin teruk.

Fenomena jerebu adalah signal alam kepada manusia yang rakus mengejar material. Ia kemusnahan yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Hakikat jerebu pada zahirnya adalah kebakaran hutan yang tidak dapat dibendung. Namun hakikat pada sisi yang lain, jerebu adalah tanda-tanda kiamat kian hampir.

Al Quran menyebut dalam surah Al-Dukhan tentang kabut yang berlaku sebagai petanda kiamat. Bahkan hadith juga menyebut tentang tanda-tanda ini.

Kita menyedari ia fenomena alam, kita juga patut menginsafi bahawa ia bukan setakat fenomena alam bahkan lebih dari itu jerebu ini sepatutnya menjadi 'wake-up call' untuk kita semua. Ia masa untuk kita mencari dan muhasabah diri, bersediakah kita andai tiba Kiamat yang dijanjikan.

Tanda kiamat salah satunya adalah matahari akan naik disebelah Barat, para saintis juga telah membuat kajian tentang semua ini, adanya maklumat yang mengatakan matahari semakin berganjak lalu manusia sekali lagi menyatakan ini adalah fenomena alam.

Walhal inilah masa untuk manusia sedar, betapa kiamat kian hampir. Manusia sepatutnya mula menghitung, cukupkah solatku? Sempurnakah amalanku? Terampunkah segala dosaku? Langsaikah amanat Allah padaku?

Banyak persoalan perlu dilontarkan agar diri sedar, ia masa untuk kita kembali pada Allah. Zaman ini zaman fitnah yang hebat, ia juga satu petanda kiamat semakin dekat. Pun kita masih leka, menghitung harta dunia tanpa menghitung sedekah dan amal jariah yang bakal ditinggalkan yang menjadi tali hayat diri di alam sana nanti.

Manusia leka mengejar apa yang belum dimiliki hingga lupa menikmati apa yang dia ada. Itulah hebatnya fitnah dunia. Manusia seperti mahu hidup selamanya di dunia hingga lupa bekal yang bakal dibawa.

Maka, biarlah jerebu yang melanda negara ini, menjadi pencetus kepada keinsafan diri kita. Biarlah jerebu ini menjadi hikmah agar diri makin dekat dengan Allah. Biar hati takut dengan azab, biar diri takut dengan neraka, biar diri tertanya ke mana aku selepas ini, biar diri menyoal layakkah syurga untukku?

Lantaran itu mari kita sama-sama muhasabah, sama-sama mengajak ke arah kebaikan. Saling ingat mengingati. Meningkatkan amal dan taqwa pada Ilahi.
Masih ada masa untuk bertaubat.
Tambah ibadat dan amalan sunat.

Wallahualam

Sunday, October 4, 2015

Hargai tika dan saat ini



Bismillah,

Hargai apa yang kita miliki saat ini, sebelum ia pergi, sebelum kita meratapi dan sebelum kita menyesali.

Itulah yang seringkali saya katakan, itu jua yang sering saya ingatkan.

Realiti hidup sukar untuk dimengertikan. Kita tanpa sedar mengambil mudah dengan apa yang ada di depan mata. Kehidupan seharian menyebabkan kita leka. Kita tidak ambil endah.

Ada ibu bapa, namun tidak kita hubungi bertanya khabar, walhal kita boleh bersembang berjam-jam dengan rakan sekerja. Bila mereka pergi dan sudah tiada. Ia tidak bermakna lagi.

Ada isteri/suami yang sangat setia, namun kita sering tidak menghargai apa yang Allah beri. Kita lebih sibuk mencari salah dan silap dari menghargai. Bila satu ketika pasangan kita dipanggil Illahi saat itu baru kita meratapi.

Ada anak-anak yang menagih kasih, dek sibuk dengan urusan jarang sekali kita berkesempatan melayani dan mengisi masa bersama. Jarang sekali kita peluk dan bertanya khabar. Bila Allah panggil anak kita pergi, ia tidak bermakna lagi.

Ada sahabat yang baik sering membantu saat susah, selalu menceriakan saat kesedihan. Bila kita di puncak kejayaan, kita lupa ucapkan terima kasih, tidak sekali penghargaan kita berikan. Bila sahabat kita tiada lagi, baru kita mengerti erti sunyi.

Kehidupan hari ini, perlu kita hargai, dengan menghargai siapa sahaja insan yang ada disekeliling kita. Siapa jua mereka.

Jangan biarkan perasaan menyesal dan bersalah menghantui diri. Berilah yang terbaik pada insan yang penting dalam hidup kita. Ketika masa masih ada, buatlah apa yang perlu. Laksanakanlah tanggungjawab yang sepatutnya. Belum terlambat. 

Friday, October 2, 2015

Challenges of Single Parents

http://irep.iium.edu.my/26815/2/1-s2.0-S1877042813017928-main_Siti_Rafiah_Abd_Hamid_and_Sakinah_Salleh.pdf

Pendekatan dalam penulisan


Bismillah,

Menulis mungkin menjadi hobi kepada ramai dikalangan kita. Ada pelbagai tujuan menulis, samada mahu berkongsi ilmu, cerita, khabar, mengabadikan kenangan dan lain-lain. Bahkan ada yang menulis dengan tujuan untuk mengiklankan produk, membuat pemasaran dan menaikkan jualan.

Atas sebab yang berbeza maka sudah pasti pendekatan penulisan pasti berbeza. Ada yang ringkas, ada yang panjang berjela. Ia bergantung kepada medium yang digunakan. Baik melalui media massa atau interent, penulisan menjadi satu hal yang sangat penting dalam menyampaikan apa jua maklumat.

Sebagai penulis, saya sendiri menjadikan penulisan buku, blog dan mukabuku sebagai medan untuk berdakwah. Penulisan biasanya berkisar pada banyak hal, dan mengikut segmen pembaca. Umpamanya menulis buku, ada yang mengunakan pendekatan yang santai, ada yang ditulis dengan cara yang lebih bersifat akademik, bergantung kepada isu.

Salah satu buku saya yang dilihat agak tinggi aras pendekatan penulisannya adalah buku Kompas Jiwa. Ramai yang tidak dapat menghabiskan buku tersebut dibanding buku-buku yang lain dek kerana ia dimulakan dengan persoalan aqidah dan ilmu. Walhal buku ini antara buku yang paling teliti dan detail kupasanya berkenaan kehidupan.

Mungkin ia tiada kes studi maka ia agak tidak menarik. Bahkan ada juga yang mengatakan ia menarik namun lebih sesuai kepada orang yang tinggi aras pemikirannya. Pada saya ia sekadar pendapat pembaca yang mungkin lebih cenderung membaca buku yang isunya biasa-biasa.

Semalam saya agak terkejut apabila menerima mesej dari seorang pembaca yang mengatakan beliau berjaya menghabiskan buku tersebut, dan dia berterima kasih kerana pada akhir bab beliau menemukan sesuatu yang dicari.

Sebenarnya apabila kita membaca, seringkali kita tidak menghabiskan apa yang dibaca, ia amat rugi. Apabila kita dapat khatam sesuatu buku, ada banyak input yang bakal diperoleh, bahkan ia adil dan tepat untuk kita membuat rumusan pada buku tersebut.

Pada anda yang belum membaca dan mahu mendapatkan buku KOMPAS JIWA, boleh menghubungi email dibawah. Ini kerana buku ini tiada dikedai buku.

sakinahsalleh@yahoo.com


Thursday, October 1, 2015

Bagaimana menjadi genius


Bismillah,

Belajar cara bagaimana mengeluarkan genius dalam diri akan memberikan hasil yang memberangsangkan, biarpun ia hanya dari usaha yang kecil.

Ia terhasil dari peringkat demi peringkat. Antara kaedahnya adalah;

  1. Jelas dengan apa yang kita mampu selesaikan atau tahu apakah hasil yang kita mahu.
  2. Ambil masa walau sedikit menggunakan separa sedar kita bagaimana mahu mengusahakan
  3. Simpan idea kita dengan bukan hanya berfikir di minda tetapi rekodkan.
  4. Fikirkan soal kuantiti dan bukan kualiti.
  5. Jika dalam memproses idea kita tersekat, maka rujuklah kawan atau rakan sekerja.

Selamat mencuba.

Dipetik dari tulisan John Williams, Screw Work Let's Play



Wednesday, September 30, 2015

Ubat Hati


Bismillah,

Bongkak, takbur, ego, ujud, besar diri dan merasakan diri bagus adalah sifat mazmumah yang sering ada dikalangan kita. Insan yang memiliki sifat sebegini selalunya susah mendapat kawan, bahkan susah menerima pandangan orang lain.

Ada juga individu yang tidak sedar dirinya ada sifat sedemikian. Ini berlaku ada ketika dari perbuatan seperti cara bercakap. Percakapan yang merendah-rendahkan orang lain memperlihatkan individu tersebut ego serta besar diri. Melihat orang lain kecil dan kita lebih hebat.

Itu yang boleh dilihat secara kasar. Ada juga yang miliki sifat yang orang tidak tahu, tapi hatinya yang merasa begitu. Ujud adalah sifat yang ada dalam diri. Ia antara individu dengan Pencipta. Merasakan diri kaya, berkuasa, miliki banyak perkara hingga lupa dia hanya diberi pinjaman. Lalu kerana ujud itu tiada sifat syukur, tiada rasa rendah diri.

Bagaimana mahu membuang semua sifat mazmumah ini?


  1. Caranya adalah sentiasa merasakan diri ini adalah hamba, banyakkan merasa kekurangan dari kelebihan. 
  2. Hidup ini tiada satu yang kekal, maka jika ini dirasai, perasaan tinggi diri akan lenyap, diri akan tahu hidup ini menunggu mati yang tidak pasti.
  3. Berzikir dan ingati mati adalah ubat mazmumah. Hati yang hidup dengan zikrullah akan sentiasa dapat menyuburkan qanaah dan sifat-sifat yang baik.

Wallahuaalam.

Sunday, September 27, 2015

Iman Ihsan seindah namanya



Bismillah,

Semalam, adalah hari ulang tahun kelahiran Iman Ihsan dan Iman Najmi. Ia tarikh yang sama untuk mereka berdua. Bagi Iman tiada sambutan untuk hari kelahiran, tiada juga hadiah berharga. Hanya sekadar ucapan dan ingatan dari Ummi, Baba dan kakak-kakak.

Bagi seorang ibu, anugerah anak satu yang amat berharga. Setiap kelahiran mereka pasti ada sejarah tersendiri. Mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Iman banyak memberi keinsafan pada diri.

Setiap hari berjuang memandaikan anak bangsa. Setiap pagi selama bertahun mendengar kata-kata inspirasi dari Murabbi bahawa kunci kejayaan adalah KEIKHLASAN.

Apalagi Hadith Islam Iman dan Ihsan itu juga dikongsi dengan ratusan pelajar. Sama berjuang dengan mereka agar berjaya dunia akhirat. Lalu tiada nama lain buat anak ini, melainkan... namanya Iman Ihsan. Ia signifikan dengan pelbagai laluan dan cabaran yang dihadapi.

Islam Iman Ihsan, Alhamdulillah, jika sebelumnya hanya mendengar Murabbi berkongsi dicorong radio, maka giliran diri ini pula diminta berkongsi baik di TV juga radio. Ia bukan kerana diri yang terbaik, namun ia peluang mengali leibh banyak ilmu dan mengasah bakat.

Hari Arafah


Bismillah,

Alhamdulillah, berlalu sudah Eidul Adha. Semoga Allah berkati kita dengan segala korban yang dilakukan. Moga Allah jua menerima segala amalan. Manakala saat ini tetamu Haji di kota Makkah juga sudah sempurna amalan haji mereka. Moga semua para hujjaj mendapat haji yang mabrur.


Tuesday, September 22, 2015

Hari Arafah : Pertemuan dua hati


SEKELUMIT 'ilmu
- Pertemuan Dua Hati
Kisah 'Arafah mungkin ramai yg dah tahu. Saya yakin ia tak pernah jemu untuk diceritakan semula.
Setelah diturunkan ke bumi, katanya di Sri Lanka di dalam kegelapan malam. Nabi Adam a.s amat takut sekali. Apabila matahari fajar naik, Nabi Adam a.s dapat lihat dirinya dalam pakaian ihram. Bila waktu Subuh tiba, Nabi Adam a.s menjadi orang pertama mendirikan soLat Subuh sebanyak 2 raka'at.
Kemudian Nabi Adam a.s. berdo'a menyesal selama 40 tahun ;
.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
(al-A'raf : 23) 
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
.
Nabi Adam a.s. mengharamkan dirinya sepertimana 13 larangan ihram sekarang. Bayangkanlah rupa Nabi Adam a.s. yg kusut masai. Begitulah rupa jema'ah haji yg sepatutnya; kusut masai termasuk wanita sekalipun.
Berjalan lah Nabi Adam a.s bertahun-tahun sambil berdo'a sehinggalah sampai ke Arafah. Sewaktu itu teringat dia akan isterinya, Siti Hawa. Al-kisah, Siti Hawa diturunkan di Jiddah. 'Jid' berma'ana Nenek yg merujuk kepada Siti Hawa sebagai Wanita yg Tua.
Dikala teringat sang isteri, maka Nabi Adam a.s pun naik ke atas Jabal Rahmah lalu bertalbiah;
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ.....
Dalam keheningan pagi, sayup-sayup Hawa terdengar suara talbiah. Semakin dihampiri semakin yakin itulah suara suaminya Adam a.s. Maka Siti Hawa pun terus jawab dengan penuh kegembira'an akan nikmat ALlah; Tuhan yg satu, ALlah sahaja yg layak disembah...
إِنَّ الْحَمْدَ، وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَ شَرِيكَ لَكَ
.
Berpelukan mereka menghilangkan rindu setelah 40 tahun terpisah. Nama 'Arafah seperti yg diceritakan terdahulu.

Perkongsian dari Prof. Saidfuddin Masudi

Bagaimana meningkatkan self-esteem anak-anak


Bismillah,
Cara paling mudah untuk menaikkan keyakinan (self-estim) anak-anak adalah dengan pujian. Walaupun anak cuma melakukan perkara kecil. 
Pujian adalah alat paling ampuh untuk digunakan sebagai ganjaran positif bagi tingkah laku baik anak-anak.
Apabila adik jatuh semasa bermain, abang datang bantu angkat adik. Sambil menenangkan adik, abang menepuk kuat badan adik membuang pasir halus yang melekat.
Perhatikan gelagat dua beradik itu, kemudian si ayah datang sambil memegang bahu abang, ayah berkata, 
"Ayah lihat abang bantu adik tadi, itu adalah perbuatan yang mulia. Ayah bangga mempunyai anak yang suka menolong. Allah mengasihi orang yang mengasihi orang lain"
Tips memberi pujian:
1. Pujian mesti diberikan segera
2. Pujian diberikan secara terbuka
3. Pujian khusus kepada perkara yang dilakukan
4. Tutup mata pada kesilapan (tepuk adik dengan kuat)


Kredit untuk

Monday, September 21, 2015

Bagaimana Menggapai Husnul Khatimah



Bismillah,

Menggapai Husnul Khatimah, itulah buku yang siap direviu dua hari lepas. Ia satu buku yang sangat mahu dibaca, sementelah siapa yang tidak mahu meninggal dalam keadaan Husnul Khatimah. Apa yang dimaksudkan? Ia bermakna kita mati dalam keadaan yang baik.

Umpamanya kes terbaru ramai yang meninggal di Mekah disebabkan kren terbalik semasa ribut pasir melanda. Mereka yang meninggal dunia dianggap sebagai syahid dan mati dalam husnul khatimah. Ini kerana mereka meninggal dalam keadaan beribadat iaitu ibadat haji, berada di tempat yang paling mulia iaitu di Masjidil Haram, pada hari Jumaat.

Maka siapa yang tidak mendambakan Husnul Khatimah, kerana ia petanda perjalanan mereka seterusnya dilihat lebih mudah. Bahkan pemergian mereka ditangisi ramai, dan ramai yang mendoakan kesejahteraan. Inilah jua yang berlaku pada arwah Tok Guru bila meninggal. Kematiannya menjadi satu fenomena bila jenazahnya dikunjungi puluhan ribu manusia. Bahkan seluruh negara berduka dengan kehilangannya.

Husnul Khatimah, milik siapa?

Berdasarkan buku karangan Dr Muhammad Widus Sempo saya kongsikan beberapa tip bagaimana memperoleh husnul khatmah.


  1. Berdoa agar pengakhiran hidup dengan amal  kebaikan.
  2. Berbakti kepada kedua ibu bapa,sepanjang hayat mereka
  3. Sentiasa berada dalam naungan kalimah tauhid
  4. Menghidupkan amalan zikir
  5. Banyak beristighfar
  6. Sentiasa berselawat
  7. Membaca al Quran setiap hari
  8. Makan minum dari sumber rezeki halal
  9. Mata yang sering menangis kerana takutkan Allah
  10. Dermawan
  11. Bersifat pemaaf
  12. Banyak beramal dan membantu orang lain
  13. Sentiasa berpesan pada kebaikan
  14. Menjadi Ashabul Yamin
  15. Mencintai dan mendekati ilmuan dan ulama
  16. Hati yang lembut sering bertaubat
  17. Menyayangi binatang
  18. Mencintai dunia untuk tujuan akhirat semata.
  19. Keimanan yang kuat
  20. Allah tempat mengadu
Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang berjaya meraih husnul khatimah

Saturday, September 19, 2015

Erti Memberi



Bismillah,

Sungguh benar janji Allah ini,
siapa banyak memberi,
ganjaran pahala berganda akan diberi.

Itulah kuasa sedekah,
namun ramai tidak ambil endah.
padahal saat susah,
bila lakukan sedekah,
pasti rezeki akan murah.

Sebanyak manapun harta kita,
ia bukan milik kita,
bila kita sudah tiada,
ia jadi milik orang lain pula.

Maka jangan bertangguh,
berilah apa yang boleh,
ia bukan ukuran banyak mana,
tapi seikhlas mana,

Berazamlah wahai diri,
fikirkan setiap hari,
pada siapa mahu memberi,
tangan kanan memberi,
tangan kiri disembunyi,


jika tiada apa yang mahu diberi,
tidak mengapa saudara saudari,
tidak duit, idea dan tenaga boleh diberi
asal beri ikhlas hati,

apa jua yang diberi,
akan dicatat oleh malaikat nanti,
balasan Allah bakal diperolehi,
syurga nan abadi.
Ameen.


Nukilan:
Ummu Iman Ihsan
6 Zulhijjah 1436H




Thursday, September 17, 2015

Memeluk Islam setelah mengigau melaungkan azan



Bismillah,

Indahnya Islam, indahnya hidayah Allah. Hari ni Salam Baitullah berkongsi kisah seorang muallaf. Ia kisah yang cukup memberi inspirasi. Beliau asalnya beragama Hindu. Bila bertemu jodoh dengan seorang Sri Lanka yang beragama Kristian, beliau memeluk Kristian.

Setelah beragama Kristian beliau tetap tidak menemukan ketenangan. 7 tahun yang lalu beliau mengigau  melaungkan azan sewaktu tidur, sahabat beliau yang mendengar beliau mengigau memaklumkan beliau.

Mendapat mimpi sedemikian lalu beliau mula belajar tentang Islam. Setelah mendapat hidayah beliau memeluk Islam. Hari ini beliau sekali lagi bertuah kerana berpeluang menjadi DuyufurRahman. Menurut beliau, kali pertama berada di hadapan Kaabah, tangisan tidak dapat tertahan. Beliau insan terpilih. Doa beliau agar isteri dan anak beliau akan diberi hidayah oleh Allah.

Wallahuaalam

Wednesday, September 16, 2015

Program Amal bersama Orang Asli


Bismillah,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah hari ini cuti bersempena Hari Malaysia kami dari Sukarelawan Yayasan Peramah bersama Ansar Care dan Amal Care bergabung turun padang menziarahi orang asli yang tinggal di Sg Buloh.

Seawal pagi kami berkumpul di depan Hospital Sg Buloh menuju ke kampung orang asli berhampiran. Sebelum itu kami telah bersedia dengan barangan sumbangan serta peralatan untuk membuat aktiviti bersama orang asli setempat.

Program disebelah pagi sebaik sampai kami melakukan dua aktiviti iaitu membersih kawasan surau, ini diuruskan oleh para Muslimin. Manakala kami golongan Muslimat menziarah rumah-rumah orang asli dengan membawa bersama barangan sumbangan.


Mereka ada terdiri dari Islam dan juga Kristian. Namun masih ramai yang menganut anamisme. Kami para Muslimat bergerak dalam empat kumpulan. Alhamdulillah, kedatangan kami diterima baik. Kami bertanyakan khabar dan bertanyakan sedikit sebanyak latar belakang mereka.

Setiap rumah yang kami singgah kami jemput mereka hadir program di surau selepas zohor, di mana kami akan adakan proram bersama anak-anak serta program bersama warga orang asli setempat. Selesai misi ziarah kami kembali ke surau untuk bersama mereka yang menghadiri kelas mengaji.

Sementara menunggu mereka tiba giliran mengaji kami mengadakan halaqah bersama mereka. Kami mengajarkan merek Fardhu Ain seperti cara solat dan bacaan dalam solat. Alhamdulillah, mereka mahu belajar, walaupun sebagai muallaf namun mereka tetap mahu belajar.

Tidak dinafikan, perlu ada banyak sesi follow-up bagi memastikan mereka dapat mempelajari Islam dengan lebih baik. Setakat ini hanya ada seorang ustazah yang datang mengajar di surau, ia tidak memadai. Dakwah perlu lebih kerap dan ada lebih banyak NGO yang turun bersama mereka.

Apapun sehari program bersama orang asli hari ini, kami sangat berpuas hati, bahkan merasa terpanggil untuk meneruskan dakwah kepada mereka secara berterusan selagi diizinkan Allah. Ada segelintir mereka yang masih belum menganut Islam, harap dapat diIslamkan.

Hidayah milik Allah, namun usaha yang berterusan dalam menjelaskan tentang Islam pastinya memberi harapan cerah agar mereka faham tentang Islam, dan bagi yang muallaf akan lebih dekat dengan Islam.

Wallahualam




Monday, September 14, 2015

Kalau aku kaya



Bismillah,

Ungkapan kalau aku kaya, kerap bermain dijiwa, tersebut juga pada kata-kata, termain-main dalam mimpi kita. Apalagi ia menjadi senikata lagu yang sering ke udara.

KALAU AKU KAYA! Ini lirik lagunya....

Kalau aku kaya
Kalau aku kaya

Aku nak gaya hidup aku berubah
Alangkah indah kalau dah tak susah
Jadi pemilik bukan sewa rumah
Makan tak habis minum tak sudah
Bil api air semua bayar awal
Tulis cek selamba tak risau batal
Masuk dalam bank semua melopong
Dalam akaun ada banyak 0 0 0 0 0

Dan kalau aku mampu
(Jangan pening kepala, aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Kamu tak perlu risau, aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya
Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba
Kalau aku kaya
Aku beli segalanya
Bungkuskan semua
Hadiahkan pada mama

Kalau aku kaya (kalau aku kaya, kalau aku kaya)
Kalau aku kaya (kalau aku kaya, kalau aku kaya)

Aku gajikan driver
Nama dia Schumacher
Dia panggil aku sir
Aku panggil dia der
Der, tolong hantar mak aku pegi pasar
Belikan nasi lemak
Boss engkau dah lapar

Aku belikan Kim K, kain lebih
Pesan dia tolong tutup aurat, terima kasih
Beats by Dre
Next beat by ’Ye
Tiap show pakai J’s
Hypeman aku Jay
Biar aku belanja, subsidi gula
Korang kena kencing manis tanggung rawatan semua
Pening apa, semua benda aku yang sponsor
Kalau korang takut trafik kita naik helikopter

Dan kalau aku mampu
(Jangan pening kepala, aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Korang tak perlu risau, aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya
Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba
Kalau aku kaya
Aku beli segalanya
Bungkuskan semua
Hadiahkan pada mama

Aku beli serba satu (Heh aku beli dua)
Eleh aku angkat lima (Wei aku borong semua)
Bagi tahu jiran lama (Sewa mereka kami taja)
Dan kalau anak-anaknya geliga (Kita bagi biasiswa)

Bila aku kaya
Bila aku kaya
Bila aku kaya
Bila aku kaya
Kaya

Bila aku kaya
Hari hari hari raya (hari-hari)
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba (rileks-rileks semua aku belanja)
Bila aku kaya (Yea)
Aku beli segalanya (semua)
Bungkuskan semua (ha ha)
Hadiahkan pada mama (mama nak apa)

Bila aku kaya (Kita bukan pergi kedai kereta beli kereta)
Bila aku kaya (Kita pergi kedai kereta beli kedai kereta)
Bila aku kaya (bila aku kaya, bila aku kaya)
Bila aku kaya (bila aku kaya, haih bilalah nak kaya)

Kalau aku mampu
Buat suka hati aku


----------

Realtinya! Kita fikir kaya harta semata. Kita mahu miliki dunia. Bila kita kaya kita lupa banyak perkara.

Jika aku kaya bukan bermakna aku bebas bermaharajalela, melampias kuasa buat apa sahaja,menyeksa rakyat jelata.

Jika aku kaya bukan bermakna aku raja, kerana harta benda bukan milik diri semata.

Maka sebab itu kita tidak kaya.
Allah tahu siapa  kita,
Kita tidak ikhas berkata
Bila janji kita lupa

Maka mari kita minta
Kaya jiwa hidup bahagia,
Kaya jiwa hati gembira,
Kaya jiwa syurga bakal milik kita,
Kaya jiwa kenal pencipta.


Wallahuaalam.

Sunday, September 13, 2015

Komunikasi ; dekat tapi jauh



Bismillah,

Komunikasi sangat penting sebagai alat penghubung. Bila tiada komunikasi maka banyak perkara tidak dapat disempurnakan. Silap cara berkomunikasi juga boleh mengundang padah. Dunia hari ini serba moden dan canggih. Ia secara positifnya menjadi penghubung pada jarak yang jauh.

Sebagai contoh, adanya telefon atau internet memudahkan kita untuk menghubungi satu sama lain. Pendek kata tekan jari sahaja sudah boleh berkomunikasi. Namun tidak semua yang canggih dan moden itu bagus jika perkara yang baik menjadi sebaliknya.

Dek kerana internet dan telefon yang dekat menjadi jauh. Perhatian bagaimana hubungan kekeluargaan renggang kerana tiada komunikasi sebenar. Ibu bapa, anak-anak sibuk dengan FB, whatsup, twitter dan segala macam media menyebabkan komunikasi secara realiti tidak lagi dipeduli.

Lihat di kedai makan, di pasaraya dan merata-rata, manusia sibuk menatap skrin telefon dari melihat dan berbicara dengan orang dihadpaan mereka. Maka jika ibu bapa yang sibuk berintenet secara tidak sedar akan mengabaikan anak-anak. Komunikasi semakin jauh, hubungan akan hambar, kasih sayang tidak terpupuk.

Maka untuk yang jauh kita dekatkan, berilah masa. Tengoklah mata anak-anak, pasangan kita, orang-orang yang dekat dengan kita. Berinterasi dengan mata dan hati, agar satu masa bila mereka pergi kita tidak menyesali.

Wallahuaalam

Thursday, September 10, 2015

Mari Belajar Mengaji Al Quran




Bismillah,

Belum terlambat! Itu yang dapat dikatakan apabila ramai yang merasa kecewa dan menyesal kerana mereka masih tidak tahu dan tidak pandai mengaji walau usia sudah masuk tiga siri atau empat siri. Bahkan ada yang rasa malu kerana anak-anak mereka sudah pandai mengaji, bahkan ada yang sudah khatam.

Masa mereka kecil dan remaja, mereka lalai. Bahkan ada juga yang bila ibu ayah hantar mengaji mereka main-main dan tidak berminat. Bila sudah bersekolah menengah peluang untuk belajar itu ada, namun kesedaran masih kurang. Walau di sekolah ada mata pelajaran KAFA serta Pendidikan Islam, namun ia tidak mencukupi.

Hidayah milik Allah. Kesedaran akan perlunya belajar mengaji Al Quran dan mahir membaca Al Quran itu hadir bila merasakan usia sudah tidak panjang. Kita menuju kematian.  Apalagi bila anak-anak sudah membesar, tanggungjawab ibu bapa mendidik anak untuk membaca dan kenal huruf al Quran.

Jika ibu bapa tidak kenal huruf, bagaimana mahu mengajar anak-anak. Maka belum terlambat untuk belajar. Ada orang yang usia 20 tidak kenal huruf Al Quran, namun dek kerana kesedaran dan kemahuan yang tinggi, di usia 30 beliau bukan setakat mampu dan fasih membaca al Quran, bahkan boleh menghafal 30 juzuk al Quran. Itulah janji Allah. Siapa yang mahu Dia akan beri.

Bila mahu belajar, letakkan azam dan bulatkan hati. Jangan malu untuk belajar. Jika perkara lain kita boleh belajar dan sanggup berusaha untuk mencapainya, maka apalagi soal mengaji Al Quran. Ia satu kewajipan kita pada agama. Setiap hari dalam solat kita membaca al Quran. Bahkan Al Quran adalah pegangan kita. Maka kita perlu baca dan faham isi kandungannya serta mengamalkannya. Ganjaran orang yang membaca al Quran itu amat besar pahalanya, maka berusahalah agar kita pandai membaca dan menghayati segala isi kandungan serta berjaya mengamalkan cara hidup berlandaskan ajaran al Quran. 

Wednesday, September 9, 2015

Apa itu murah rezeki



Bismillah,

Bangun pagi kita bersiap untuk mencari rezeki. Adakala kita dihambat masa untuk keluar bekerja. Terpaksa menempuh jem. Melawan kesibukan jalan raya. Fikiran kita sarat dengan kerja-kerja yang bakal diselesaikan. Ada ketika berfikir apa yang tidak selesai di rumah. Pendek kata kita banyak berfikir dan mahu menyelesaikan urusan dunia. Betul, kita bekerja untuk mencari sesuap nasi, menyam,bung kehidupan.

Persoalan harian kita pastinya juga berfikir akan mahu mencari rezeki dan mengharapkan  kita sentiasa murah rezeki. Kita mahu rezeki yang banyak dan melimpah ruah. Berapa banyak kira meminta dari Allah? Berapa lama kita peruntukkan masa bersamaNya?

Kita ada jawapan tersendiri. Kita kata kita solat 5 waktu, walau ada ketika kita tidak tahu dan sedar bila kita mula solat, yang kita tahu ktia sudahpun memberi salam. Maknanya solat kita tidak kyusuk.
Kita mendapat habuan gaji atau upah, apa yang kita fikir? Kita mahu berbelanja, mahu beli apa yang kita impi.
Kita dapat durian runtuh. Kita berniaga untung berlipat ganda, kita seronok dan gembira dengan kejayaan yang diraih.
Kita sihat, kita gembira bertemu sahabat. Ceria bertemu mata dan meraikan mereka.

Apajua keadaan. pernahkah saat itu kita fikir, dari mana hasil yang kita peroleh ini? Tidakkah kita sedar bahawa semua ini adalah dariNya? Berapa banyak kita menyumbang untuk zakat dan juga sedekah? Saat kita miliki wang ringgit, adakah kita mahu memberi dan ingat kepada orang yang memerlukan. Adakah bila kita ditimpa kesusahan baru kita sedar, baru kita insaf.

Murah rezeki, kita semua mahu dan harap kita murah rezeki.

Realitinya rezeki Allah sentiasa hadir di sisi. Kita sendiri yang sering lupa untuk menilai. Kita melihat rezeki hanya pada duit ringgit, wal hal rezeki yang besar nilainya adalah pada kesihatan tubuh badan. Bila badan sihat kita mampu beribadat, kita boleh bekerja, kita boleh buat apa sahaja.

Duit bukan segalanya, harta tidak mampu membeli kesihatan. Maka bersyukurlah!

Wallahualam.


  

Tuesday, September 8, 2015

Tip pergaulan


Ada ketikanya kita perlu meluangkan masa bersama individu yang mempunyai;
+ pemikiran berbeza
+ pengalaman berbeza
+ kemahiran berbeza
Ini akan dapat membantu kita untuk tidak membuat tanggapan yang berat sebelah terhadap sesuatu perkara. Ini dipanggil 'availability bias'