Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Monday, September 30, 2013

Persediaan dan doa sewaktu menduduki peperiksaan


Bismillah,

Hari ini bermulanya detika peperiksaan untuk anak-anak... Iman Ihsan orang yang teruja mahu masuk periksa, paling seronok sebelum ke sekolah katanya : " Ummi doakan ye... ".. Bila beliau sudah ke sekolah maka saya beransur ke ofis. Jam menunjukkan pukul 5.45petang maka telefon bimbit saya berdering di hujung sana suara Iman berkata " Ummi, Iman dah habis exam nanti Ummi doa ya agar pemerikasa lembut hati".. Jawab saya.. " Doa ummi sentiasa bersama Iman.."

Ternyata saya senyum sendiri.Anak-anak bila diasuh untuk berdoa maka saat genting mereka mahu dekat dengan Yang Maha mencipta dan Maha Berkuasa. Anak saya yang bakal menduduki PMR juga sebelum ke asrama siap berpesan, " Ummi nanti hari Rabu Ummi puasa ye".. Lalu saya menjawab " Puasa sunat hanya Isnin Khamis sahaja". Beliau menyarankan begitu kerana sering saya ingatkan agar banyakkan berpuasa dan beristighfar bila belajar. Kita bukan bergantung kepada study sahaja kerana Allah yang menentukan kejayaan. 

Selain itu ibu bapa juga boleh mengamalkan sedekah agar anak-anak dipermudahkan dalam menjawab peperiksaan. Puasa itu juga banyak hikmahnya kerana waktu berpuasa otak kita lebih aktif mengingat dan membantu memori. Banyakkan beristghfar pula agar Allah ampunkan dosa dan memberi cahaya pada hati dan minda. Selain itu makanlah makanan berkhasiat serta makanan sunnah. 

Bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan, dekatkan diri kepada Allah. Bagi ibu bapa pula banyakkan berdoa. Harapan bukan semata anak-anak lulus periksa dengan cemerlang, tetapi lebih utama mereka berjaya dunia dan akhirat.

Wallahuaalam.

Friday, September 27, 2013

Dilemma memilih sekolah anak-anak

Bismillah,

Setiap kali peperikasaan UPSR, PMR dan SPM maka ibu bapa akan terfikir tentang sekolah yang bakal di tempatkan bagi anak-anak sesuai dengan keputusan yang diperoleh dan keupayaan serte kecenderungan anak-anak. Berdebar saat menerima keputusan beralih pula kepada dilemma memilih sekolah untuk mereka. Ada ibu bapa yang mahu anak-anak bersama mereka maka mereka akan di hantar ke sekolah berhampiran sahaja. Namun ada yang memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang dirasakan lebih bagus seperti SBP, SBPI, SMKA, SAM, INTEGRASI dan juga alternatif school/sekolah swasta yang menawarkan pelbagai pakej pelajaran baik untuk akademik mahupun ko kurikulum. 


Apa jua sekolah bukan satu yang penting kerana lebih penting adalah kemahuan anak-anak sendiri untuk belajar tetapi sekolah tetap memainkan perana dalam membentuk keperibadian anak-anak. Memang ibu bapa adalah faktor utama namun perlu kita ambil kita dengan siapa anak-anak kita bergaul, bagaimana corak pergaulan tersebut dan apa silibus yang ditawarkan. 


Maka pada saya ia tidak menjadi satu diemma yang besar kerana priorti anak-anak saya perlu bersekolah aliran agama sebagaimana saya dan suami sebelum ini. Bahkan jika aliran sains sekalipun saya mahu memastikan anak mengambil aliran Sains Agama. Bagi saya yang mmilih anak-anak perlu belajar bahasa Arab maka sudah pasti itu adalah ciri ke dua yang perlu ada. Ciri yag ke tiga saya memastikan sekolah tersebut dekat dengan rumah atau dengan kata lain mudah untuk dikunjungi dan dilawati. Biarpun tinggal di asrama kami mahu memastikan agar anak-anak sentiasa dekat dengan kami untuk kami mudah mengambil dan menghantar. 

Apapun sekolah yang dipilih ia bergantung kepada anak-anak dan ibu bapa yang memainkan peranan dalam mendidik. Ini kerana ibubapa tetap berperanan dalam hal anak-anak, sekolah walau di mana, aliran apa tetap memerlukan tarbiyaah dan didikan dari rumah. 

Wallahuaalam.

Sunday, September 22, 2013

Keluarga di hati kita

Bismillah,

Ada ketika biar sesibuk mana dengan kerjaya kita perlu memilih untuk bersama keluarga. Mungkin kita akan merasa rugi kerana terlepas banyak perkara namun percayalah masa yang diperuntukkan bersama keluarga terutama ibu bapa adalah lebih bermakna. Adakala mereka tidak mendambakan duit ringgit kita walau kita beralasan sudah memberi dan beralasan sibuk dengan kerja untuk bersama mereka. Kelurga terutama anak-anak amat mengimpikan ibu bapa mereka ada disamping mereka, manakala ibu bapa juga bila meniti usia senja mereka amat mengharapkan anak-anak menjenguk mereka.
Hidup ini ibarat roda, bagaimana kita melayan orang tua kita maka begitulah anak-anak melayan kita bila kita sudah tua. Kita adalah role model kepada anak-anak. Kerana itu beljar menghargai ibu bapa dan berusaha membalas jasa mereka. Seringkali kita merasa sudah berbuat yang terbaik, namun apa yang kita sangkakan itu jauh sekali. Jasa ibu bapa tidak mungkin akan terbalas. Pun begitu kita perlu meletakkan sasaran mahu melakukan yang terbaik sama seperti kita mensasarkan mahu menjadi pekerja cemerlang, begitulah kita sebagai anak. Sasaran dan target menjadi anak soleh yang terbaik di mata ibu bapa, di sisi Allah SWT. Pastinya ganjaran besar buat kita kerana keredhaan Allah itu pada keredhaan ke dua ibu bapa. 

Wallahuaalam.


Sunday, September 15, 2013

Wahai Jiwa yang Tenang....

Bismillah..

Apa yang kita mahu adakala tidak sebagaimana yang berlaku, itulah kehidupan. Kita akan sering betemu dengan suka dan duka. Ia adalah pelangi yang indah jika kita mampu melihat dengan mata hati dan mencari makna disebalik warna itu. Saat warnanya terang kita ceria, bila warnanya kelam kita berduka. Lalu bagaimana memujuk jiwa agar redha dengan segalanya?
Mudah sahaja... hidup ini jalan berliku yang perlu dipandu dengan jiwa yang tengan hati yang lapang dan minda yang terbuka. Persoalan yang datang dalam hidup perlu dijawab bukan dengan emosi, ia perlu diteliti dengan membelek diari diri, muhsabah bersama penelitian pada kalam ilahi dan sunnah Nabi.

Ia juga bukan dengan semata menjamu lahiriah menjamu mata di pantai indah atau melabuh badan di air terjun, bahkan ia menuntut rasa kesyukuran pada Rabb, mengenal pencipta dan menghayati alunan panorama dengan hakikat bahawa makhluk itu banyak kelemahan, lalu saat diuji ke mana mengadu? Saat tercalar emosi di mana beradu? Asyik dengan lagu atau beradu di sejadah? Leka bercerita mengadu domba hal masalah atau berkeluh kesah dengan Khalik dengan mengakui diri yang sebenarnya mennzalimi diri sendiri..

Terlerai rasa dan bersatu jiwa dalam tenang bila diri mengerti semua itu untuk menperbaiki peribadi, mengiklhaskan diri bahawa ujian itu latihan Rabbani... Lalu talkinkan ia dengan  "addabani rabbi fa ahsana taadibi"

Wallahuaalam..

Tuesday, September 10, 2013

Kegusaran ibu bapa bila anak-anak menghadapi peperiksaan


Bismillah,

Hari ini hari pertama pelajar tahun 6 menduduki UPSR. Selamat menduduki UPSR kepada semua anak-anak tahun 6. Apabila melihat posting di FB ramai ibubapa yang meluahkan kegusaran dan kebimbangan mereka terhadap keadaan anak-anak dan sudah mula membayangkan keputusan yang akan tiba serta meluahkan harapan mereka.

Bahkan ada ramai juga yang memberikan komen secara tak rasmi dan menulis sesuatu yang bermanfata di wall FB masing-masing. Ada seorang sahabat saya menulis iaitu Dr Ramizah, AIKOL IIUM :

"Zaman saya dulu, dikenali dengan Penilaian Darjah 5. Seingat saya, keputusan peperiksaan tersebut ialah 1A 4B. Sangat malas belajar semasa di sekolah rendah, hanya tahu bermain dan melompat saja.
Apa pun yang berlaku dalam hidup kita yang lepas, usah ditangisi dan dikesali. Yang penting siapa kita hari ini. Apa yang dipelajari pada kenangan lalu dan apa perancangan kita agar tidak diulang lagi kesilapan lepas. "

Bagi ibu bapa sudah pasti mengharapkak kejayaan anak-anak. Namun perlu diingatkan kejayaan sebenar bukan hanya akademik tetapi kejayaan aqidah dan syaksiah yang perlu diutama. Kecemerlangan akademik sekadar lesen unutk mencari kerja dan menruskan survival hidfup, namun ada juga yang gagal. Maka lebih elok anak-anak menjadikan pengalaman sebagai unversiti terbaik mereka bagi mencapai kejayaan. Semoga berjaya dunia akhirat untuk semua.

Wallahualam

Sunday, September 1, 2013

Rumah terbuka dan puasa enam


Bismillah,

Berkongsi tentang cerita raya Syawal sudah dipenghujung.. biarpun mungkin kita sentiasa menerima undangan untuk majlis rumah terbuka namun sudah pasti kita tidak mahu terlepas ganjaran puasa enam pada bulan Syawal. Moga-moga pembaca sekalian berjaya menyudahkan misi puasa Syawal. Puasa Syawal iaitu dipanggil puasa enam adalah antara hari-hari yang disunatkan berpuasa. Jika yang sudah terbiasa berpuasa enam maka sudah pasti di awal lagi mereka sudah melangsaikannya. Namun begitu bagi wanita ada juga yang berdepan dengan uzur syarie maka sudah pasti mereka perlu menyusun tarikh dan jadual puasa dengan sebaiknya. Dalam mana perayaan menyambut hari raya di Malaysia trutama di bandar sudah menjadi tradisi selama sebulan bulan Syawal, sambutan rumah terbuka di mana-mana maka ia menjadi satu dugaan buat individu memenuhi puasa enam. 

Realtinya jika sudah ada kecintaan kepada puasa maka makanan yang dilihat enak tidak menjadi nafsu kepada mata dan perut, begitu juga rasa penat dan cabaran berpuasa itu hilang. Ibarat alah bisa tegal biasa. Namun puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga kerana puasa juga perlu mentarbiyyah diri maka Syawal ini merupakan medan untuk mempraktiskan apa yang telah dilalui sepanjang sebulan memasuki madrasah Ramadhan. Ia adalah keseniambungan dari bulan Ramadhan membawa kepada Syawal. Moga-moga puasa membantu kita untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini. 

Wallahuaalam. 

Tuesday, August 27, 2013

Diari Seorang Penulis : Buku Poligami

Bismillah,
Posting kali ini saya mahu memperkatakan tentang penulisan berkenaan poligami. Ia topik yang hangat kebelakangan ini sementelah ada golongan ilmuan yang berpengaruh mengamalkan poligami. Sudah agak lama saya mahu menulis secara terperinci namun ia juga melibatkan masa,. Menulis memerlukan saya menelaaah dan mengkaji tentang pelbagai. Bila saya menulis ia bukan bermakna saya lebih arif atau pandai serta bijak dari tuan puan pembaca budiman. Menulis memberi peluang untuk saya menelaah dan mengkaji serta menambah ilmu. Lebih banyak saya membaca lebih banyak saya sedari bahawa ilmu saya amat cetek. 
Sesungguhnya dunia penulisan membantu saya banyak perkara terutama dalam mentarbiyyah diri sendiri serta keluarga. Menjadi penulis bukan bermakna saya celik segala, ia memberi signal dan ingatan kepada saya agar mempraktikkan apa yang dikata. Menulis memberi ilham untuk merealisasikan apa yang mahu diperbuat dalam kehidupan. Segala-galanya dari Allah. Semalam seorang insan yang baru sayak kenali yang banyak ilmu dan pengalaman mengingatkan kepada saya agar tidak riyak dan merasa ujud. Masya Allah ia satu ingatan yang berguna pada saya. Sesungguhnya semua yang ada itu milik Allah yang dipinjamkan. Ilmu yang diberi itu hanya sekecil-kecil zarah dari banyaknya ilmu Allah. 

Maka untuk kesekian kalinya saya mengharapkan pertolongan Allah agar misi untuk menulis buku berkenaan poligami serta buku bertajuk "Masalah dan penyelesaiannya dair sudut pandang Islam" yang dalam pembikinan ini dipermudahkan olehNya. Moga Dia memberi ilmu dan ilham buat saya meneruskan misi dakwah ini. Saya percaya ramai yang lebih arif dari saya, namun sebagaimana saya katakan menulis ini membantu saya yang masih dalam proses belajar dan mahu menambah ilmu. Sokongan pembaca saya dahulukan terima kasih terutama yang sentiasa mengikuti tulisan saya... 
Wallaahuaalam.

Friday, August 23, 2013

Tip Bergelar Usahawan Berjaya


Bismillah...

Setiap insan mengidamkan untuk memiliki rumahtangga yang bahagia, kerjaya yang bagus serta kehidupan yang stabil. Salah satu kerjaya yang dilihat memberi impak kerjaya yang bagus adalah berniaga sekaligus bergelar usahawan. Melihat kejayaan insan lain dalam perniagaan maka pastinya kita juga mahu berjaya seperti mereka. Sesungguhnya berniaga itu suatu yang bagus bahkan ia merupakan sunnah Rasulullah. Maka sudah pasti setiap dari kita perlu menanam cita-cita untuk bergelar usahawan. Perlu ada tekad untuk berniaga menjadi kaya raya sebagaimana sahabat Rasulullah iaitu Abdul Rahman bin Auf. Manakala bagi wanita pula perlu berimpian untuk menjadi usahawa wanita sehebat isteri baginda Khadijah r.a.

Perniagaan yang halal dan berkat menjamin kehidupan yang stabil serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Berniaga itu dilihat seronok namun ada banyak cabaran disebalik setiap kejayaan. Menjadi usahawan tidak hanya perlu gigih berusaha namun perlu banyak sabar dengan kerenah dan ragam manusia. Berniaga ada pasang surut, perlu berdepan dengan untung dan rugi. Berniaga bererti meletakkan harapan serta kebergantungan 100% pada Allah swt. Berniaga adalah lapangan untuk melatih kita menjadi insan yang rendah diri dan bersyukur kepada Allah di atas nikmat dan pemberiannya. Jika kita melihat sebaliknya pada usahawan yang kaya raya, maka hakikatnya mereka belum cukup kaya dan belum memahami apa ertinya menjadi usahawan yang kaya raya.

Bagi anda yang berimpian menjadi usahawan berjaya.. telusuri bagaimana mereka yang berjaya melaluinya.. moga buku 10 Tokoh Usahawan Muslimah ini mampu memberi panduan buat anda.

Thursday, August 22, 2013

Teknik mudah hafal muka surat al quran

Cara mudah mencari muka surat dlm Quran..!!! 
Mari Kita Cuba....!
Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah kpd kita semua umatnya. Ada 2 benda yg Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan juga Sunnah utk kita semua amalkan. Berapa kali korang baca Al-Quran sehari? 1 kali? 2 kali atau dalam solat sahaja? Pahala paling senang nk dapat adalah melalui pembacaan Al-Quran kerana setiap huruf diberikan 10 pahala, tambahan pula Al_Quran adalah kalam Allah (dtg daripada Allah sendiri bukan diciptakan manusia)

Tip yg nk kongsikan ni adalah cara utk menghafal muka surat setiap juzuk Al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat tau muka surat setiap juzuk Al-Quran.

Jom sama2 kita belajar...

Contoh 1
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa:
5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82
Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?

Contoh 2
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:
10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182

Contoh 3
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:
23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu 23 adalah pada halaman 442

Subhanallah, memang menakjubkan kan kawan2. Sama2 kita kongsikan kepada kawan2 kita, adik2 kita, famili2 kita supaya kita sama2 mendapat pahala... 

Artikel sumbangan sahabat


INTISARI KHUTBAH RAYA TUAN GURU NIK AZIZ

Khamis 8/8/13

- raya ini utk semua bangsa yg beragama Islam, pesanan taqwa juga begitu bersifat Universal.

- raya slps puasa. Spjg puasa kita keletihan & tak dapat HABUAN dunia. Kita tetap jg buat IKHLAS krn Allah wpun org tak tahu krn yaqin Allah tahu & Allah hantar 2 polisnya Raqib Atid. Prinsip ini hanya disebut Ielam & tidak disebut dlm apa jua sistem.

- Semakin ramai yg keluar U tetapi semakin byk jenayah & DITEMBAK. Mengapa? Kerana sbhgn kita BODOH sbb tolak Islam. 


- takbir raya, azan & iqamah yg Ada intisari Tawhid & pengabdian mutlak jadi kosong krn sbhgn kita tolak Islam. Sbhgn kita seumpama Kaset yg memutar dialog azan, takbir di atas tanpa PENGHAYATAN.

- Krisis kosong Penghayatan agama ini berlaku di semua negara Islam kesan akibat PENJAJAHAN yg menerapkan fahaman POLITIK SUKU AGAMA SUKU.

- Jika ada yg memperlekeh LAGU NEGARAKU, kerajaan blh ambil tindakan segera. Tapi bgmn jika org tolak Islam & al-Quran?? Mana sensitiviti kita??

- Umat Islam perlu faham berdasar dr al-Fatihah hanya 1 kumpulan diterima Allah (An'amta Alayhim) & bukan 2 kumpulan lagi. 


- TGNA mengeluh selama 23 tahun memegang kerajaan dihalang hak guna media perdana spt TV, radio, paper. Ini sikap jahat pihak yg menentang beliau di Kelantan yg membawa Islam. Keluhan beliau dgn sikap segelintir org yg Guna sumpah utk sokong mereka kalau mahu ambik duit. Sikap ini pelik sbb pd satu pihak mereka menentang Islam, TETAPI utk kepentingan politik mereka nak pula guna konsep Islam yg terkandung dalam sumpah.

- TGNA puji Mursi & Ikhwan Muslimin. Walaupun IM Cuba dimusnahkan olh pemerintahan MESIR namun krn manisnya Islam, IM TETAP HIDUP. 


- Islam ajar Allah hanya satu2NYA pencipta. Oleh itu utk selamat di dunia akhirat, KITA PERLU IKUT KEHENDAK ALLAH (ISLAM).

- hati manusia terdedah kpd pencemaran. Oleh itu kita diarah puasa utk ajar cara membersihkan jiwa. Krn pembersihan jiwa yg diajar Islam...Sahabat yg BERZINA mengaku salah krn takut kpd Allah! Manusia yg tidak dididik Islam sanggup menipu pula walaupun benar membuat salah!

- TGNA mengeluh sikap sstgh org yg persenda HUDUD. Seumpama lebih sayang kan tangan pencuri dr nyawa tuan barang/Rumah yg mungkin mati dlm jenayah curi!

- Allah arah supaya berpegang dgn TALI Allah. Islam adalah TALI yg blh menyatukan semua bangsa. Sstgh pemimpin kita sibuk nak bersatu, tapi apakah asas PENYATUAN itu. Bila dr arah potong kaki utk selamatkan nyawa, kita percaya bulat2 kpd ilmu dr! Tapi mengapakah kita begitu BODOH menolak Islam & tidak percayakan NABI MUHAMMAD SAW yg dididik Allah dgn al-Quran & Islam.


Dipetik dari fb.

Thursday, August 15, 2013

Muhasabah Diri: Hargai masa yang ada


Bismillah,

Isu semasa, Mesir sedang bergolak, ramai yang syahid. Lalu dimana kita? Melihat mereka yang terkorban syahid terasa kerdil diri. Mereka sanggup berjuang demi Islam, terfikir adakah kita sanggup dan mampu sehebat mereka dalam memperjuangkan Islam. Maka sudah pasti jawapan ada dalam diri masing-masing. 

Jika kita membuat perbandingan mudah mereka sanggup meninggalkan keselesaan demi berjuang namun kita bila keselesaan itu tertarik sekejap kita sudah merungut. Bila tidak dapat apa yang dicita kita mudah sentap. Walhal diluar sana, saudara seIslam kita di Mesir, Syiria dan Palestine  ditindas, hak mereka dirampas, mereka semua dizalimi oleh pemerintah. Bahkan ada yang mahu mengamalkan Islam namun disekat contohnya apa yang berlaku pada saudara kita di Rohingya. 

Persoalan buuat diri kita, adakah kita sama seperti mereka? Adakah kita disekat untuk beramal? Adakah kehidupan kita tertindas sebagaimana mereka? Sudah pasti kita mempunyai lebih ruang untuk beramal dan melakukan apa yang kita suka. Soalnya adakah Allah suka dan redha dengan kita. Adakah apa yang kita buat itu mematuhi syariat. Adakah amalan wajib telah terlaksana dan amalan sunat yang cukup mudah kita lakukan? Ternyata kita banyak memberikan alasan yang pelbagai. 
Masa itu ibarat pedang. Jika tidak diguna ia akan membunuh kita. Ingat kepada hadis 5 perkara sebelum 5 perkara. Maka mari kita sama-sama perbetulkan diri serta menggunakan detik waktu yang ada untuk meraih redha Allah. Sungguh kita sering lalai dan leka terutama diri ini, moga saling ingat mengingat dan tegur menegur kita mampu memperbaiki dna mempertingkat diri menjadi lebih baik. Amen.
Wallahuaalam.

Tuesday, August 13, 2013

Puasa Sunat Syawal dan Puasa Ganti

Bismillah moga dalam barakah dan redha Allah semuanya, Syawal sudah menjelma dan ramadhan juga sudah pergi meninnggalkan kita. Belum terlambat untuk mengucapkan " taqaballahu minna wa minkum". Moga segala amalan diterima. 

Syawal sudah pasti meriah dengan rumah terbuka, namun sebolehnya kita mengamalkan puasa sunat Syawal. Selain itu puasa ganti juga elok jika dipercepatkan bagi yang terpaksa meninggalkanya pada ramadhan yang lalu. Jangan tungguh hingga hampir ramadhan. Usia kita tidak dapat dipasti maka elok jika hutang puasa dilangsaikan dengan cepat. Ramai yang leka dan memberi alasan pelbagai untuk ganti puasa maka hingga ke saat kahir bulan Syaaban ia tidak dilangsaikan.Puasa itu indah bagi yang sudah menutup nafsu makan. Namun kita berpuasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, bahkan lebih penting juga menahan perkara-perkara lain terutama dari segi percakapan dan perbuatan.

Bagi wanita yang mungkin mahu berpuasa Syawal dan dalam masa sama mahu berpuasa ganti maka ada pebagai pendapat. Ada posting yang terdahulu telah saya sertakan. Pembaca boleh rujuk kepada artikel tersebut. Moga beroleh manfaat. Wallahuaalam. 




Thursday, August 1, 2013

Bagaimana Meraih Lailatulqadar

Bismillah...

Semakin Ramadhan beransur ke penghujung, semakin itu juga perasaan terasa sedih. Walau ada yang sudah sibuk dengan keperluan hari raya bahkan seperti tidak sabar untuk menikmati suasana itu. Bagi yang menghayati erti Ramadhan dan yang mencari serta mahu meraih malam lailatulqadar, hari raya tidak menjengah dikepala, bahkan yang terfikir adakah layak kita memperoleh ganjaran seribu bulan ini? 

Wanita dan pencarian Lailatulqadar

Saturday, July 27, 2013

Aku Bukan Selebriti


Bismillah,

tajuk yang seperti agak sensasi. tapi kenapa selebriti? Mudah saja, ramai yang kalangan kita cenderung kepada glamer, suka dikenali, mahu tampil ke depan sebagai susuk yang berpengaruh, mahu dilihat hebat, mahu dilihat cantik..segala-galanya mahu yang TER.... lalu salah satunya ramai yang beranggapan menjadi selebriti itu sesuatu yang hebat. Dek kerana itu ramai remaja memasang impian mahu menjadi artis.. kerana artis sinonim dengan selebriti. Walhal selebriti itu bukan hanya dari golongan artis bahkan sesiapa sahaja susuk yang dikenali baik ahli politik, bisnesman, pendakwah adalah juga selebriti. tetapi remaja melihat hidup gaya artis itu lebih hebat lebih dilihat sebagai selebriti.

Salahkah mahu menjadi selebriti? Sudah tentu ia tidak salah.Tidak semua selebriti itu tidak bagus atau mencerminkan sesuatu yang tidak baik. Namun disebalik sesuatu ada kekurangan. Ia merupakan privacy yang hilang. Bila dikenali serba serbi tidak lagi menjadi rahsia. Lalu salahakan menjadi terkenal. Tidak salah jika dikenali dengan kebaikan, namun malang bagi kita bila dikenali dek keburukan. Lalu selebiriti itu apa signifikannya.

Umapam orang yang berpeluang masuk TV/Radio dilihat sebagai glamer, hebat. Mungkin bagi segelintir, walhal sesiapa yang muncul di kaca TV membawa satu wadah yang penting. Mereka menjadi cermin kepada para penonton. Mereka itu membawa mesej. Lalu mesej apa dan bagaimana ia mahu di bawa tanyalah kepada diri. Jangan kita tersalah langkah berimpmian menjadi selebriti tetapi akhrinya ia membawa musibah.

Sering saya katakan, APA YANG KITA SUKA BELUM TENTU BAIK UNTUK KITA... lalu berpada dalam banyak ha.. jadilah insan yang tawadduk.. mencari dan mahu meraih taqwa agar diterima menjadi selebriti warga langit.
Wallahuaalam.


Friday, July 26, 2013

Erti Memberi Pada Yang Mengerti


Bismillah,

"Erti hidup dengan memberi kerana kita apalah yang kita beri, tanpa memberi tiadalah erti. Maka usahakanlah sesuatu untuk memberi, moga pemberian ikhlas dari sanubari".

Muqadimmah tulisan saya pagi Ramadhan yang hening ini adalah mahu memperkatakan tentang konsep amalan sedekah. Saya percaya ramai yang mahu memberi dan berbudi tetapi ramai yang menyempitkan usaha memberi dengan nilai wang dan material. Walhal memberi itu skopnya amat luas. Menyedekahkan fatihah pada sahabat yang dalam kesusahan, mendoakan orang yang dilanda musibah, memberi idea pada kawan yang sedang menagih pandangan, memberikan tenaga kepada saudara yang memerlukan pertolongan semuanya termasuk dalam kategori memberi. Lalu kenapa bila mahu memberi ia sukar buat diri

Jawapan ringkas kerana jiwa kita belum merdeka. Kita masih merasakan hak kepada apa yang kita miliki padahal semua milik Allah. Hatta setitis ilham dan secangkir idea yang hadir jua adalah milik Allah, siapalah kita. Maka jika ada rasa diri ini begitu kerdil maka tidak hadir rasa bangga diri, tidak datang sifat bongkak dan takbur dalam hari, tidak tersimpan ujud yang ada. Maka mudahnya memberi saat mengetahui ada ganjaran besar menanti.

Muhasabahlah diri sendiri, kerana saya juga berpesan kepada diri ini yang adakala datang sifat bakhilnya. Adakala hadir sekelumit kedekut bila diminta sesuatu, lalu bagaimana harus membuang sifat mazmumah yang satu ini.. Seringkali, dan perbanyakkan membaca isi kandungan Al Quran dengan menghayati ayat-ayat yang mengajak kita kepada melihat kebesaran Allah. " ...Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan" (Al Baqarah: 110). Untuk hilangkan sifat kedekut dan mendatangkan sifat memberi maka perhatikanlah sekeliling kita dengan mata hati, lihat tidak cukup, tetapi memerhati dan menghayati hingga terbit rasa bersyukur dalam diri.. Lalu sifat memberi akan hadir bila mana Ruh menyedari jasad ini hanya satu kenderaan menggapai matlamat syurga abadi. ".. Maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan menganut Islam" (Al Baqarah-132). 
Moga Allah menamatkkan usia kita dalam husnul Khatimah. Mga-moga dengan MEMBERI ia menjadi tali hayat di negeri abadi. Ameen.

Wallahuaalam.

Tazkirah Ramadan : Tip Mencari Lailatul Qadar


Bismillah..

Jumaat mubarakah buat semua,

Setiap kali Ramadhan menjengah maka tiada jiwa yang tidak mengimpikan Lalatul Qadar bagi yang memahami ganjarannya. Tiada jiwa yang tidak mahu mengejarnya bila faham maknanya. Maka bagaimana memperoleh malam yang dijanjikan ganajran yang berlipat kali ganda ini? Maka mudah sahaja lalukan segala amalana baik tilawah al Quran, terwaih, zikir, solat malam dan sebagainya secara konsisten.

Ibadat bukan mengikut pasang surut motivasi tetapi ibadat yang konsisten akan terbit dan terlaksana apabila hamba merindui Rabbnya. Ibadat yang konsisten bukan semata kerana ditimpa musibah maka baru mahu menginsafi walau tetapi perlu bersyukur kerana diberi hidayah, Namun lebih erti jika ibadat itu terhasil amalannya dari penghayatan Islam yang jitu, keimanan yang tekal serta aqidah yang mantap maka ia sudah pasti untuk beribadat secara konsisten atau istiqamah demi menggapai Lailatul Qadar bukan lagi satu impian bahkan pastinya menjadi realti.

Pun begitu manusia ini ada kelemahannya. Bila terlalu banyak aktiviti atau kerja-kerja yang perlu dilaksana maka badan akan keletihan. Bila masa mah iberibadat ia memberatkan kelopak mata, ia memberatkan kaki melangkah ke surau, ia melemahkan badan untuk Qiam. Maka apa yang kuat untuk berjuang bagi memperoleh Lailatul Qadar? Yang kuat adalah keinginan yang tidak pernah padam beserta pengorbanan dan kerinduan untuk mendekatkan diri kepada Dia Rabb Yang Maha Agung. Kekuatan terbina bila minda telah di setkan penat itu hanya seketika, penat itu hilang dengan rasa mahu beribdat yang kuat. Mata yang terkulai menjadi celik bila mata hati mengatasi mata zahir. Lalu tiada yang susah untuk beribadat bagi mendapat Lalaitul Qadar.

Ibarat pelari di garis masa, memecut dari awal tanpa peduli pada sekeliling, maka kita pasti berjaya menjadi juara. Moga Ramadhan ini kita menjadi juara kepada diri sendiri. Bersiang dengan diri agar mampu menumpaskan nafsu yang merajai. Wallahuaalam.

http://www.youtube.com/watch?v=eThSNtJe7SY&feature=youtube_gdata_player

Monday, July 22, 2013

Tazkirah Ramadhan: Ilmu Pengubat hati


Bismillah, 

"Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri, dan bersikaplah rendah hati kepada orang yang mengajar kamu." (HR. Ath-Thabrani)

Topik kali ini adalah membicarakan bagaimana menjaga hati. Kita perhatikan ramai yang apabila mendirika solat terawih berjemaah ada inidividu yang tidak senang duduk apabila adanya tazkirah. Mereka memberi alasan bahawa tidak sepatutnya diambil kesempatan sewaktu terawih. Begitu pun ada juga yang apabila tazkirah diadakan pada selepas waktu Maghrib mereka ini tetapi meninggalkan majlis ilmu.

Iman yang kukuh pastinya akan cintakan ilmu bahkan akan merasa ia satu kerugian bila dilepaskan peluang tersebut. Sesungguhnya hati manusia ini mudah dipengaruhi kepada perkara yang melalaikan maka untuk menubat hati maka kita perlu dekat dengan ilmu. Dengan ilmu ia mencerahkan hati dan perasaan agar menyakini Allah dan bila yakin kepada Allah dan iman menjadi kukuh maka diri dapat menahan nafsu dan perkara yang dilrang. 

"Niscaya Allah akan meninggikan beberapa derajat orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat." (Qur’an Al mujadalah 11)

Dekatilah insan yang berilmu, carilah ruang masa walau sesibuk manapun kita. "Duduk bersama para ulama adalah ibadah." (HR. Ad-Dailami). Rohani memerlukan makanan. Makanan itu adalah tazkirah, perkongsian atau pembacaan ilmu bermanfaat, usrah, berada hampir dengan orang berilmu serta hadir dalam majlis-majlis ilmu. Didiklah hati untuk bersabar saat mahu mencari ilmu. Pujuklah ia agar boleh menerima ilmu yang bermanfaat sebagai teladan buat diri menempuh kehidupan. Ameen. 

Wallahuaalam

"Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu dengan cara mencabutnya begitu saja dari manusia, akan tetapi Allah akan mengambil ilmu dengan cara mencabut (nyawa) para ulama, sehingga ketika Allah tidak meninggalkan seorang ulama pun, manusia akan mengangkat pemimpin-pemimpin yang bodoh yang apabila ditanya mereka akan memberikan fatwa tanpa didasarkan ilmu lalu mereka pun sesat serta menyesatkan." (Shahih Muslim No.4828)

Saturday, July 20, 2013

Tazkirah Ramadhan: kelebihan Membaca Al Quran


Bismillah..

Hari ini sudah malam ke 12 kita menjalani ibadat puasa. Moga segala amalan kita diterima. Sebagaimana yang kita semua maklum membaca Al Quran adalah aktiviti  atau amalan yang perlu diisis disepanjang Ramadhan. Mungkin ada yang mahu khatam satu, 2, 3 dan sebagai. Ia amat bagus kerana kita ada target tertentu untuk membaca Al Quran, tetapi perlu diingat kita bukan sekadar membacanya sahaja tetapi perlu mendalami isi-isinya. Maka dengan membaca tafsir Al Quran ia akan membantu meningkatkan kefahaman kita tentang apa yang mahu diperingatkan kepada kita oleh Allah.

Tuesday, July 16, 2013

Tazkirah Ramadhan : Tips Menguatkan Memori

Bismillah.. Ramadan kareem buat semua akhawat...

Alangkah cepat Ramadhan berlalu. Seperti tidak terkejar mahu beramal kerana singkatnya masa sedang banyak perkara perlu dilunas. Dikesempatan yang sedikit ini saya cuba manfaatkannya untuk berkongsi kelebihan Ramdahan. Saya percaya banyak telah kita ketahui terutama ganjaran-ganjaran yang tersedia, namun salah satu kelebihan yang lain adalah puasa mampu menajamkan minda dan menguatkan memori. 

Seorang ustaz berkongsi pengalaman beliau menghafal Al Quran lebih cepat sewaktu Ramadhan dan juga waktu berpuasa sunat. Saya mengakui fakta beliau itu tepat, kerana sewaktu puasa juga otal lebih cerdas dan idea mengalir pantas terutama bila mahu menyelesaikan tugasan research dan juga penulisan artikel. Ini di sokong oleh fakta lain iaitu pelajar yang cemerlang rata-rata sebelum ini sering mengamalkan puasa sunat. Hasilnya mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Lalu bagi yang mahu menghafal Al Quran terutama surah-surah Al Mulk, Al Sajdah dan lain-lainnya boleh memanfaatkan Ramadhan yang mulia ini. 
Wallahuaalam.