Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Thursday, July 30, 2015

Bisnes dan gaya hidup



Bismillah,

Jumaat yang barakah,

Berniaga adalah satu cara untuk menjadi kaya raya jika ia berhasil. Berniaga juga jika tidak kena gaya membawa sengsara. Maka berniaga menjadi sunnah dan barakah bila tahu caranya. Ramai yang sering menempelak dengan kata-kata, jangan jadi kaya nanti lupa diri dan sombong.

Individu yang sombong bukan salah kekayaan. Ia salah mereka yang tidak faham istilah kaya dan siapa milik kekayaan yang sebenar. Insan yang betul-betul kaya adalah yang tahu setiap rezeki dan keuntungan bisnes adalah dari Allah.

Insan yang tahu bersyukur tidak akan riak dan sombong dengan kekayaan dunia. Allah boleh mengambilnya dengan sekelip mata. Iktibar ini perlu kita ambil dari surah Al Kahfi yang menceritakan kisah sahabat yang mempunyai kebun.

Berdasarkan kisah ini kita dapat pengajaran bahawa manusia yang berjaya sering merasakan ia dari hasil usahanya sendiri serta menidakkan rezeki pemberian Allah. Apabila Allah menarik semuanya barulah diri merasa sesal.

Maka bila kita kaya, pastikanlah bagaimana kita menggunakan kekayaan itu, ke mana ia disalurkan. Bagaimama hasil kekayaan itu dapat dimanfaatkan. Orang kaya yang zuhud, semakin kaya semakin ia tunduk dan mengakui ke-esaan tuhannya. Sebaliknya orang yang bongkak dan sombong akan lupa diri.

Hari ini kitaboleh memilih untuk menjadi ahli bisnes yang sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian Allah. Ia boleh diterjemahkan dengan berinfaq pada fakir miskin serta memanfaatkan harta ke jalan Allah serta tidak membazir dan boros dalam berbelanja. Gaya hidup Islam perlu diteladnai agar kita menjadi insan yang kaya dunia akhirat.

Tirulah gaya hidup sahabat seperti Saidina Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi Ikon Usahawan Islam yang telah mempamerkan apa ertinya menjadi orang kaya.

Wallahuaalam.

Wednesday, July 22, 2015

kepimpinan dan Pengurusan



Kepimpinan vs Pengurusan
Harvard Businesd School menyatakan : Ilmu kepimpinan menyumbang 85 peratus kepada kejayaan organisasi, manakala ilmu pengurusan menyumbang 15 peratus sahaja.
Namun realitinya kebanyakan organisasi memperuntukkan 85% sumber melatih kemahiran pengurusan berbanding kepimpinan.
Sumber: Perjalananku bersama Al Quran

Motivasi Perniagaan



Bismilah,
Carta kesihatan bisnes kita boleh dikenalpasti dengan melihat kepada 'Nombor'.
Cara yang mudah:
+Berapa ramai pelanggan yang kita temui setiap hari?
+Berapa ramai yang bertanya berkenaan bisnes kita?
+Berapa ramaikah yang ingin membeli?
+Berapa banyakkah produk terjual setiap hari?
+Berapa banyakkah produk dijual pada setiap minggu?
Mode:
Menyusun strategi baru untuk meneruskan bisnes yang satu ini agar makin berkembang dan bertapak kukuh. Allah berikan kejayaan . Amen.

Ukhuwwah dan Persahabatan



Rumah Terbuka dan Ukhuwah

Cerita 1:
Semalam Ain tanya, "Ummi bila nak buat rumah terbuka? Kawan adik nak datang beraya". 
Lalu saya jawab; "Datang la kueh raya ada banyak tu, cuma kena datang waktu kita ada di rumah la". 
"Ummi tak nak masak yang special ke?". Tanya Ain lagi.
"Tunggu nak masak special ke baru kawan adik nak datang?" Saya membalas. Ain diam.

Cerita 2:
"Jemputla datang la datang rumah, bila lagi nak berkunjung ke rumah kami" kata saya pada rakan lama.
" Buat la rumah terbuka, nanti kami datang". Jawabnya pantas.
Saya nak jawab tapi tiba-tiba kelu.

Nota:
Rumah terbuka sempena hari raya diadakan agar mudah menerima tetamu dalam satu masa. Terutama bagi yang sibuk bekerja, dan hari minggu juga sibuk. Namun dalam kontek ziarah ia tidak semestinya perlu waktu rumah terbuka mahu datang ziarah. Tidak perlu juga bersyarat dengan menu special. Apa yang penting kita mahu mengukuhkan ukhuwwah. Tak gitu?

Tuesday, July 7, 2015

Ciri-ciri orang yang bijaksana



Bismillah,

Sesuatu yang sangat sinonim dengan hidup kita adalah masa dan usia. Masa adalah sesuatu yang kita ketahui bila berlalu ia tidak akan kembali. Ia penting dalam memastikan apa yang kita manfaatkan bagi mengisi usia kita semenjak kecil hingga kita dewasa.

Perhatikan ramai yang bila usianya meningkat namun sikap dan perangai masih seperti gaya hidup semasa muda. Kenapa demikian? Ini kerana usia yang semakin meningkat adakala tidak dirasai dek kerana terasa diri masih muda.

Usia sangat signifikan dalam menentuka apa yang telah kita raih dalam kehidupan. Hingga ada yang membuat satu rumusan bahawa jika di usia 50-60 ia masa kita mengecap kejayaan hasil dari usaha semasa muda. Ia dikira masa untuk individu berpencen dari segala urusan pekerjaan dan lebih menumpukan kepada kehidupan menuju dunia abadi.

Sahabat pernah ditanyakan, siapakah orang yang bijaksana? Lalu kata Rasulullah, orang yang bijkasana adalah orang yang mengingati mati.

Ini ternyata benar, orang yang mengingati mati akan lebih banyak menghisab amalan diri dan memuhasabah diri sendiri. Mereka ini amat mengerti bahawa hidup di akhirat adalah hidup yang sebenarnya, ia hakikat bahawa dunia ini pentas yang sementara.

Lalu apa ada pada masa dan usia? Ia adalah petanda untuk kita tahu saat berangkat kian hampir pada penamatnya. Masa hampir tamat. Kita akan berangkat meningglkan pelabuhan menuju akhirat yang abadi. Maka Allah bersumpah " Demi Masa" manusia itu berada dalam kerugian!.

Benar sekali. kita sering lalai dan lupa bahawa dunia kata pergi, kubur kara mari!
Persoalannya? Bersediakah kita?

Wallahuaalam.

Tuesday, June 30, 2015

Al Quran Penyuluh Kehidupan



Bismillah,

Quran adalah seperti lampu picit. Al Quran menyuluh  jalan terbaik untuk kita lalui. Bagi yang terkandas dalam hidup ia masanya untuk dekati al Quran. Membaca, memahami, menghafal, menghayati serta mengamalkan dapat membantu individu untuk membina matlamat kehidupan.

Kegagalan adalah apabila kita berhenti berusaha. Jika tidak berusaha untuk perbaiki diri maka kita akan berada pada keadaan yang sama. Al Quran adalah penyejuk hati yang resah dan gelisah. Apabila kita fokus pada result kita akan stress. Kerana itu bila berbuat sesuatu kita perlu yakin janji Allah, setiap perkara baik pasti ada ganjarannya.

Allah sebenarnya melihat pada perbuatan bukan pencapaian. Achievement tidak boleh dicontrol
Kita hanya boleh harap pada Allah dan berusaha atau 'make effort'. Kurniaan Allah pada akal dan fizikal bagi dipergunakan untuk mancapai maksud hidup. Ia semuanya ada pada kita, selebihnya yang menentukan setiap perancangan adalah Allah. 

Al Quran mengajak manusia untuk tidak putus asa serta melalui ujian dengan sabar. Dengan kesabaran manusia akan redha dengan cabaran yang dihadapi bahkan bagi yang menjadikan Al Quran sebagai sumber kekuatan, mereka ini akan lebih tersuluh kepada solusi masalah.

Al Quran yang diamal bakal memberi ketenangan pada jiwa. Insan yang menerima kegagalan seringkali panik dan tidak mampu berfikir secara waras, maka al Quran bakal menenangkan dan membawa kepada timbulnya semangat dan idea-idea baru bagi memulakan chapter kehidupan yang baru.

Oleh itu ia masa untuk menjadikan al Quran sebagai panduan. Al Quran bukan setakat untuk dibaca malah intipatinya perlu dijadikan iktibar dalam hidup. Ia juga bukan hiasan di dinding, malah perlu dilaksana segala perintah yang ada dari Nya.

Wallahuaalam.

Monday, June 22, 2015

Madrasah Ramadan : Konsep Rezeki



Bismillah,
Sesuatu yang dilihat zahir hak kita namun secara mutlak ia milik Allah.
Bila-bila masa Allah tarik dengan pelbagai cara.
Sesuatu yang menjadi hak kita juga bila diambil orang lain, ia bermakna Allah mahu menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Moral:
Bila diri rasa dizalimi maka yakinlah ia ingatan agar kita lebih dekat kepadaNya.
Ia juga peringatan agar kita sendiri tidak menzalimi diri sendiri.

Erti Syukur

Bismillah
Hari ni usai berbuka puasa dengan keluarga, saya berpesan pada anak-anak;
"Kita masi bertuah dapat makan yang sedap dan ada banyak pilihan.
Kata kawan Ummi tadi,anak muridnya makan telor sebiji bagi dua dengan adiknya"
Anak-anak diam tidak terkata. Lalu saya menyambung;
"Kita perlu lebih mensyukuri nikmat dengan lebih banyak memberi".


Moral 
Saat kita bersedih dengan apa yang menimpa diri, ada lagi orang yang lebih teruk 
keadaannya dari kita. Ia mengajar kita bersyukur dengan apa yang ada.

wallahuaalam.
🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸

Madrasah Ramadan

Bismillah,

Allah telah berfirman dalam Al Quran bagaimana Nabi Allah Ibrahim a.s memerhati alam hingga baginda memperoleh hidayah. Maka memerhati dan membuat pemerhatian apa yang berlaku disekililing kita akan membawa kita dekat pada Allah.

Berkelana di Kota Singa baru-baru ini antara pemerhatian saya adalah ramainya pekerja yang bekerja sebagai 'cleaner' adalah dari warga emas. Mereka bekerja membersih sampah yang ada di gerai-gerai serta premis-premis berdekatan pasar Geylang Serai. 

Waktu makan disebuah gerai, mereka datang mengutip pinggan mangkuk yang sudah digunakan. Terasa sekat makanan dikerongkong. Saya rasa sangat bersimpati. Terasa bertuahnya diri diberi rezeki oleh Allah untuk menikmati. 

Melihat mereka yang masih bekerja yang memerlukan tenaga dan mencurah keringat, ia mengingatkan saya pada ibu sendiri. Mereka yang seusia ibu saya sepatutnya mengambil masa untuk berehat dan beribadat, tetapi masih perlu bekerja untuk mencari rezeki demi menyara kehidupan.

Ibu saya juga diusia mudanya bekerja keras membesarkan anak-anak. Namun berkat pengorbanan ibu dapat menikmati hasil pengorbanan itu yang mana diusia lanjut beliau tinggal di Pondok, dan mengahbiskan masa untuk beribadat sahaja. Usia begini kesihatan juga sudah tidak mengizinkan, apalagi jika ada anak-anak ia tidak wajar lagi untuk ibu bapa bekerja. Anak-anak pulalah yang perlu menjaga ibu bapa yang telah membesarkan mereka.

Ya Allah murahkan rezeki untuk kami. Berkati perjalanan hidup ini. Panjangkan umur kami selagi mana kami mampu beribadat dan memberi manfaat kepada umat. Amen. 




Sunday, June 14, 2015

Menuju Ramadhan



Bismillah,

Menghitung hari.... Detik demi detik, .. itulah yang berlagu dihati. Mengira saat tibanya Ramadhan. Allah sampaikan kami pada Ramadhan. Biarlah Ramadhan yang bakal hadir ini menjanjikan seribu kebaikan dan kerahmatan. Moga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya dalam mengerjakan amalan.

Buat julung kalinya Ramadhan kali ini akan kami sambut di tempat orang. Ia berkebetulan dengan tarikh American Counseling Association Conference yang bakal diadakan di Singapura. Saya perlu perlu membentangkan kajian terkini. Biarpun menyambut Ramadhan di rantau orang namun tersemat dihati untuk solat terawih di Masjid Sultan, Singapura.

Di mana kita berada tidak penting, apa yang penting adalah bagaimana kita mengisi Ramadhan tersebut. Sudah pasti Ramadhan paling indah dan diingati adalah saat berada di Tanah Suci. Ia sangat mengujakan. Apalagi suasananya amat berbeza dengan sambutan di tempat kita. Ramadhan di Tanah Suci amat sederhana dari segi makanan namun dari segi pengisian ibadat ibarat kita tidak mahu tidur dan mahu sepanjang masa berjaga di speanjang malam. Menghidupkan seharian Ramadhan dengan amalan wajib dan sunat.

Menuju Ramadhan, tersemat dihati agar Ramadhan kali ini Allah terima segala amalan dan ampunkan segala Dosa. Amen.

Wallhuaalam
26 Syaaban 1436H

  

Friday, June 12, 2015

Bersyukur saat diuji


"...... Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Barang siapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barang siapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Mahakaya  lagi Mahamulia.” An Nahl: 40.



Bersyukur saat diuji
jua saat diberi...
Apa jua yang dimiliki 
pinjaman buat diri
agar insat sedari
Allah itu Maha Memberi

FirmaNya perlu dituruti
sebagai iktibar kemudian hari
umat dahulu yang mengenkari
diberi peringatan cara tersendiri

Ingatlah wahai diri
kita menuju mati
jangan megah dan iri
semua ini milik Illahi

Nukilan 
Ummu Iman Ihsan
25 Syaaban 1436H

Tuesday, May 5, 2015

Kewajipan Solat



Bismillah

Maksud hadith:
Beza antara orang yang beriman dan munafik dan kufur adalah yang mendirikan solat. 
-Riwayat Tarmizi.

Berdasarkan hadith di atas solat merupakan kewajipan kepada setiap  individu Muslim. Dengan kata lain, Islam tidak hanya pada nama. Islam adalah menjalankan setiap kewajipan yang telah termaktub dalam rukun Iman dan rukun Islam yang ada.

Beza individu yang munafik dan kufur adalah pada solatnya. Oleh itu jagalah solat. Ia juga merupakan amalan utama yang akan ditimbang di akhirat nanti. Solat adalah penentu sama ada individu akan masuk syurga atau neraka.

Individu yang menjaga solat adalah insan yang sentiasa mengingati Allah. Sebagaimana peringatan Allah dalam hadith yang lain, "Jagalah Allah, Allah Menjagamu" 


Wallahuaalam

Kehebatan Peribadi Rasulullah



Bismillah,

Hadith yang diriwayatkan oleh Aishah R.A intipatinya menjelaskan bahawa sifat yang ada pada Rasulullah SAW adalah :
  1. menyambung tali persaudaraam
  2. bercakap benar
  3. memikul beban orang lain
  4. suka mengusahakan sesuatu yang tiada
  5. meraikan tetamu
  6. sentiasa membel kebenaran 

Sunday, May 3, 2015

Membaca Jambatan Ilmu


Bismillah,

Alhamdulillah, semalam diberi peluang untuk ke Pesta Buku 2015 di PWTC. Pelbagai buku dapat dimiliki. Paling teruja ada buku yang sudah lama dicari dapat dibeli dan menambah koleksi yang ada.

Dek kerana terasa tidak sabar untuk menghabiskan buku-buku yang ada sementelah cuti hari pekerja selama 4 hari serentak dengan hati Weasak maka 3 buah buku berjaya dikhatam. Banyak manfaat diperoleh dari buku-buku ini. Ia juga memberi idea baru untuk menulis.


Realitinya kita adakala terlalu sibuk untuk meluangkan masa bagi membaca. Ia perlukan disiplin yang tinggi bagi menghabiskan bahan bacaan yang dibeli. Jika hati tidak betul-betul kuat untuk mengambil manfaat dari buku tersbeut maka ia akan berakhir dengan menjadi koleksi dalam almari.

Biarpun begitu jangan cepat mengalah dengan keadaan, ada masa biarpun buku tersebut belum sempat dibaca, ada ketikanya kita perlukan ia sebagai sumber rujukan. Ada masanya kita akan membelek helaiannya dmei mendapatkan pengesahan.

Maka jangan lokek dengan sedikit duit ringgit yang ada bagi membeli buku-buku yang manfaat kerana membaca jambatan ilmu. 

Tuesday, April 14, 2015

Rahsia dari DIA



Bismillah......

Seringkali dalam hidup kita
didatangi perkara yang tidak kita sangka,
menerima hal-hal yang tidak terduga
ada boleh diterima minda
tidak juga tikanya oleh emosi hiba
Benarlah hanya Dia yang mengetahui segala rahsia
Saat berita itu tiba
kita terpana seketika,
ia menduga hati dan jiwa
samada menerima berita
dalam keadaan duka atau gembira
semuanya bergantung kepada hati yang membaca
segalanya kembali kepada iman di dada
sungguh setiap yang tiba di sisi kita
ada hikmah dari Dia
Kekuatan hati dan jiwa
mampu menerima apa jua
kerana yakin dan percaya
semua yang terjadi telah direncana
Dari Dia dan Kepada Dia
Syukur pada yang Esa
Kerana
masih seirng menyedarkan kita
betapa setiap yang tidak disangka
semua yang tidak terduga
ada cerita disebaliknya
bagi yang kembali kepada Rabbnya
mampun menerima dengan Redha
Itulah ketentuan yang perlu diterima
Bagi hati yang kental imannya
tenang saat menerima apa jua yang tiba
Untuk jiwa yang sering meratib hiba
Maka mereka akan berkata
Sungguh hamba ini Ya Rabb insan yang berdosa
Ampunkan segala dosa
Agar kami tergolnog menjadi insan yang dicintaiNya


Nukilan:
Ummu Iman Ihsan
25 Jamadil Akhir 1436H

Sunday, April 12, 2015

Cara Elakkan GST


Bismillah,

Rata-rata rakyat marhaen merungut tentang GST. Apalagi bila ada pula statement yang kurang bijak dari yang bergelar menteri. Terbaru tentang cara berjimat untuk elak GST dengan mencadangkan pelajar universiti memasak sendiri.

Cadangan tersebut bagus sebenarnya, namun ia bukan solusi terbaik kepada GST. Ini kerana dengan barangan harga yang telah pun naik sebelum ini gara-gara nilai Ringgit yang merudum ditambah dengan cukai yang baru maka ia menjadi kesusahan berganda.

Sekarang ini ramai yang mengganggur, walau milik sijil namun ia tidak laku, apalagi warga tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing. Ada juga majikan yang lebih suka mengambil warga asing keran dapat menwarkan gaji yang murah serta mereka lebih serius mahu bekerja. Ini tidak dinafikan ada segelintir warga tempatan mempunyai masalah dari segi sikap.

Realtinya, apa yang mahu diimplementasikan oleh kerajaan walau mendapat bantahan, ia tetap berlaku. Maka solusi kepada rakyat semua tidak lain melainkan perlu bijak menguruskan kehidupan. Berbelanja tidak boros bermakna perlu elakkan makan di kedai supaya tidak dikenakan GST. Pilih barangan yang boleh murah dengan membandingkan harga, ini membantu agar kita membeli dengan harga yang berpatutan.

GST tidak dikenakan kepada sayur-sayuran, ini satu perkara yang baik. Ia masanya untuk individu mengekalkan gaya hidup sihat dengan membanyakkan makan sayuran. Pemgambilan daging serta makanan yang dikenakan GST perlu dikurangkan.

Mungkin ada yang mengatakan mereka sudah cuba pelbagai cara untuk berjimat cermat, apalagi ruang yang ada kerana kehidupan sebelum ini juga masih ditahap ala kadar, asal mampu meneruskan kesinambungan hidup. Apa yang mampu dikatakan, jika kita susah dunia maka carilah kebahagiaan akhirat. Moga Allah gantikan kesusahan di dunia ini dengan kebahagiaan yang tidak bertepi di syurga nanti.

Wallhuaalam

Tuesday, April 7, 2015

Petua keracunan makanan



PETUA 
Ada ketika apa yang kita makan tidak bersesuaian dengan penghadaman. Ada juga disebabkan oleh makanan yang pelbagai menyebabkan berlaku keracunan. Jika berlaku keracunan ada beberapa cara boleh dilakukan.

#‎Petua‬ dari bonda jika keracunan:
1. Minum air asam limau (boleh campur sedikit gula/garam)
2. Minum air kelapa
3. Minum air asam jawa
Kebiasaan selepas minum perut akan memuntahkan apa yang tidak boleh dihadam.
Boleh cuba salah satu bila berdepan emergency,jika berhasil, Alhamdulillah. Jika teruk keadaannya maka perlu dirujuk pada hospital.
Allah berfirman:
"Yakni Allah yang telah menciptakan aku, maka yang menunjukki aku dan Rabbku, yang Dia memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku, dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupakan aku kembali dan yang amat ku inginkan akan mengampuni kesalahanku pada Hari Kiamat"
[Asy-Syuaraa': 78-82]
Ameen.

Taadib


TAADIB
Pengalaman menjadi pendidik, mengajar bakal pendidik dan menjadi mentor kepada pendidik amat berbeza. Saya bertuah berada dalam 3 situasi ini untuk diri sendiri mengutip pengalaman dan muhasabah diri.
Semalam dalam satu sesi interview seorang bakal pendidik diminta untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang tempoh practicum. Lalu beliau berkongsi satu pengalaman.
"Seorang pelajar memukul pelajar yang lain hingga kawan tersebut menangis. Lalu saya memanggil pelajar tersebut, sebagai pengajaran saya memukul tangannya secara perlahan untuk memberi pengajaran. Pelajar itu kemudian dibiarkan sendirian.
Tidak lama kemudian dia datang kepada saya dan menyatakan... Cikgu saya janji, janji saya tak buat lagi".
Lalu saya bertanya kepada bakal guru tersebut, apakah itu approach yang terbaik dalam mendidik anak-anak? Mungkin ada lagi alternatif lain?
Kelu!
Apa kata senario berbeza, anak tersebut tidak perlu dibalas pukulannnya, namun cukup sahaja menyatakan perbuatan itu tidak baik dan tidak perlu memencilkan dia?
Moral:
+Seringkali dalam mendidik anak-anak kita tanpa sedar mengajar anak untuk membalas semula perbuatan. Mungkin lebih baik jika kita mendorong anak-anak agar saling memaafkan.
+ Skil interview berbeza-beza berdasarkan pengalaman dan latarbelakang pendidikan. Tepuk dada tanya apa yang kita mahu?

Kematian




Gerhana di hati
Mati itu pasti

Hari ini melawat Iman di asrama, kisah pertama yang dikongsi olehnya menyentuh hati...
Iman: Ummi, ayah kawan Iman meninggal Khamis malam Jumaat baru ni.
Ummi : Innalillah, sakit apa Iman?
Iman: Eksiden, bapa dia nak datang ambil kawan Iman yang demam kat asrama.
Ummi: Allahu, kematian tu sungguh dekat.
~~~~~~~
Pengalaman menjadi ‪#‎yatim‬ di usia kecil menyebabkan diri dapat merasakan betapa hibanya kehilangan insan tersayang.
Ada orang yang mati dibunuh oleh musuh. Ada yang mati dibunuh oleh penyakit. Ada yang mati kerana kemalangan. Ada yang mati dibunuh oleh usia.
Tak ada yang tahu nasib seseorang kecuali hanya Allah.
Kita semua pasti akan mati. Bila dan di mana itu tidak terlalu penting. Yang penting adalah apa yang sudah kita persiapkan untuk menyambut hari setelah kematian? Persiapan itulah yang akan mempengaruhi "bagaimana" kita nanti mati insyaAllah.
Semoga Allah mengurniakan kepada kita husnul khotimah. Amiin

كل نفس ذاءقة الموت

Harta Pusaka



HARTA PUSAKA
Allah memberi rezeki dengan cara yang berbeza. Ada yang diperoleh secara mudah dan ada juga yang terpaksa kita usahakan sendiri. Salah satu rezeki yang bergolek adalah harta pusaka. Apa jua yang dinamakan harta setiap darinya akan dipersoalkan kelak, salah satunya bagaimana kita membelanjakan harta itu? Apakah manfaatnya buat diri dan orang lain?
**************************
Saya mendapat harta pusaka peninggalan arwah ayah sewaktu genap usia saya 18 tahun. Paling saya terharu dan saya kagum dengan ibu saya adalah beliau tidak pernah menjual walau sebidang tanah pun harta peninggalan arwah ayah.Walau terpaksa bekerja keras mencari rezeki untuk anak-anak, namun sebagai ibu tunggal yang gigih. ibu saya tidak pernah putus asa dengan rezeki. Tidak juga berjoli dengan apa yang ada.
Setelah sekian lama,sering sibuk dengan urusan kerja, maka seminggu yang lalu sekali lagi ibu memaksa saya pulang untuk memberikan sebahagian lagi harta pusaka yang belum ditukar hak milik. Katanya sebelum menutup mata dia mahu selesaikan apa yang patut. Sekarang ibu tidak punya apa-apa. Harta yang berharga beliau miliki adalah kami, anak-anak dan cucu cicit. Namun kami sebagai anak-anak biarpun harta pusaka sudah bertukar hak milik segala hasil sawah dan juga kebun tetap jadi hak milik ibu.
Sewaktu itu saya tidak berapa tahu nilaiannya. Namun jika dinilai kesemuanya ibu saya sudah jadi jutawan sekarang ini, jika semua ini masih menjadi miliknya.Pendek kata setiap tahun boleh ke Tanah Suci. Hakikatnya ibu tidak tamak, dia mahu anak-anak memperoleh apa yang sepatutnya.
Bahagiakah milik harta pusaka? Hakikatnya, disaat usia berganjak dan diri semakin matang, saya semakin sedar harta itu datang bersamanya dengan tanggungjawab. Persoalan pertama yang sering saya katakan pada diri, berat amanah ini.... Belum cukup bakti saya kepada ibu ayah serta datuk nenek moyang yang telah mengusahakan tanah pusaka ini. Merekalah yang telah mengeluarkan keringat meneroka tanah menjadikannya ladang.
Sejujurnya harta ini perlu dikembangkan menjadi ladang pahala untuk mereka. Segala hasil perlu menjadi sedekah jariah yang akan mengalir kepada mereka di alam barzakh. Sebagaimana hadith Rasulullah menyebut salah satu yang dibawa anak Adam bersamanya ke alam kubur adalah sedekah jariah. Maka kita sebagai penerima harta pusaka inilah berperanan untuk menjadikan dan menyambungkan ia agar menjadi ladang pahala kepada mereka yang telah pergi. Sungguh besar amanat ini....
Namun hakikat sebenar, sewaktu kita hiduplah jugalah kita perlu memperbanyakkan amal jariah. Harta yang ada jika anak-anak tidak memperbuat yang sepatutnya maka ia tidak akan bermakna apa-apa. Saya terfikir mahu mewakafkan sedikit dari apa yang ada. Ya Allah jadikan kami golongan kaya di dunia dan kaya di akhirat. Di dunia kaya dengan amalan kebaikan dan di akhirat menjadi jutawan yang bakal mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah.
Wallahuaalam.