Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....
Showing posts with label motivasi 3i. Show all posts
Showing posts with label motivasi 3i. Show all posts

Friday, April 28, 2017

Damaikan hati mu



Dunia kita kecil sahaja,
seringkali kita akan berjumpa orang yang sama.
Tidak perlu kita bermusuh. 
Tidak juga perlu berdendam.
Jaga tutur kata dan perkataan.
Elakkan juga cakap-cakap belakang.
Telus dan tulus dalam semua urusan.
In sya Allah ia jalan menuju kejayaan.

Thursday, September 22, 2016

Bagaimana Mengatasi Anak Nakal?




Bagaimana Mengatasi Anak Nakal?
===========================
Selesai kursus seorang ibu datang bertanyakan pada saya mengenai persoalan bagaimana mengatasi anak nakal dan tidak mahu mendengar nasihat. 
Lalu saya bertanya; " Puan ada peluk dan cium anak Puan setiap hari?
Beliau mengelengkan kepala. 
"Puan ada memuji setiap perbuatan baik yang anak Puan lakukan?." Tanya saya lagi. Beliau mengelengkan kepala.
Lalu saya berikan cadangan; 
" Puan nanti peluk dan ciumlah anak Puan setiap pagi mereka mahu ke sekolah, jangan marahkan anak dengan memukul tanpa sebab.
Elakkan menengking bila anak buat salah. Bila anak tidur bercakaplah dengan mereka sambil usap kepala. Doakanlah anak agar dilembutkan hati. Masih belum terlambat".
Beliau mengangguk dan berlalu dengan mata berkaca.
Nota:
Sebagai ibu bila berdepan hal anak-anak, ia bukan mudah. Pastinya ada pelbagai cabaran. Bahkan ia adalah percubaan demi percubaan bagaimana menggunakan pendekatan yang sesuai bagi anak dan situasi sekarang yang banyak menyumbang kepada pentarbiahan dan pendidikan anak-anak.
Bagi seorang anak lelaki/perepua yang sedang membesar menuju dewasa ada ketika mereka ini sangat memerlukan perhatian. Bila ibu bapa tidak memberikan perhatian yang dimahukan maka mereka akan menunjukkan sikap atau perangai untuk kita mengambil peduli tentang mereka.
Kenakalan anak mungkin juga oleh pengaruh rakan. Tetapi hebat bagaimana pun pengaruh rakan, jika ibu bapa lebih mempunyai daya pengaruh ke atas anak-anak maka mereka tidak akan mudah dipengaruhi.
Sikap nakal anak juga mungkin dipengaruhi oleh sikap ibu bapa. Perlu diingat, ibu bapa adalah cermin diri pada anak-anak. Mereka mudah meniru apa yang tidak baik, oleh itu berhati dalam berbicara dan bertingkahlaku kerana anak-anak akan meniru apa yang kita lakukan. Pepatah menyebut, " bapa borek anak rintik". 
Nakal anak juga kadang menunjukkan mereka ini ada idea dan bijak. Kenakalan boleh dikenal pasti, bahkan ia juga cara anak-anak memahami kehidupan. Sebagai ibu bapa, kita berperanan memandu mereka agak kreativiti yang ada pada anak-anak disalurkan pada cara yang betul.
Mengatasi anak-anak yang nakal tidak susah jika ibu bapa sanggup berubah bermula dengan diri sendiri. Lakukan apa yang belum dibuat terhadap anak. Sayangi mereka dengan tulus. Jangan terlalu mengharapkan anak berubah sekaligus, bahkan beri peluang anak belajar memahami kehidupan dengan cara banyak bercakap-cakap dengan anak-anak. 
Berleter dan bercakap-cakap ada bezanya. Masalah ibu bapa lebih banyak berleter dari bercakap-cakap. Jika masa kecil kita sering bercerita dengan anak-anak, pendekatan ini masih boleh diguna pakai. Banyakkan berkongsi dengan gaya penceritaan bagi menghantar mesej yang baik.
Ibu bapa sekarang lebih sibuk melayan media sosial berbanding melayan anak-anak. Bila anak sunyi dan rasa tidak disayangi mereka akan memberontak dan mencari tempat untuk melayan perasaan mereka. Bahayanya mereka akan mudah terjebak dalam perkara yang tidak baik.
Dekati anak-anak, sayangi mereka, fahami perasaan mereka dan bukan semata meminta mereka memahami kita. Jadi ibu bapa yang prihatin dengan sentiasa mengambil tahu perihal anak-anak.
Jangan putus asa berdoa untuk anak-anak. Doa ibu bapa itu lebih mustajab.
wallahuaalam

Thursday, June 2, 2016

Setiap kita saling memerlukan

Setiap kita saling memerlukan
=====================
Syurga *lelaki* pada perempuan iaitu ibu.
Syurga *perempuan* pada lelaki iaitu *suami.*
Sehebat-hebat *suami* kena patuh pada *ibu.*
Sehebat-hebat *ibu* kena patuh pada *suami.*
Masa *hidup* anak perlukan *doa ibubapa.* Masa *mati* ibubapa perlukan *doa anak.*
Di *dunia* nasab itu pada *lelaki.*
Di *akhirat* nasab itu pada *perempuan.*
*Sehebat-hebat manusia*, bila mati dia tetap *perlu orang lain* untuk *kebumi jenazahnya.*
*Setinggi-tinggi ilmu* yang manusia ada. Dia tetap perlu *belajar* daripada seorang *guru.*
Berapa jauh pun seorang manusia itu mengembara. Pasti yang dirindu adalah *keluarga.*
Walau *sekaya* manapun seorang manusia. Dia tetap perlu untuk *berurusan* dengan *orang lain...*
Seorang *General Manager* tidak akan mampu uruskan perjalanan premis tanpa *general worker.*
Seorang *raja* tidak berkuasa tanpa ada *rakyat jelata.* 
Inilah manusia... *Lemah.* Walau sehebat mana pun kita didunia. Walau memegang pangkat dan darjat tertinggi. Taraf kita hanya seorang *"Hamba".*
Lalu kenapa mahu rasakan kita adalah yang terbaik dan terhebat ???
Bukankah itu hanya akan membawa kita kepada taraf ujub, riak,sombong dan hina.
Ingatlah wahai diriku dan yang sedang membaca. Iblis itu terlaknat hanya kerana satu sifat. Iaitu *sombong dan merasa dia lebih baik.* 
Alangkah baiknya jika dunia yang sementara ini kita isi dengan kebahagiaan.
Bahagia lihat orang lain bahagia.
Derita bila lihat orang lain derita.
Mahu yang terbaik buat diri sendiri dan orang lain. 
Ingatlah...
Dunia untuk dikongsi bersama. Jika tidak, pasti Tuhan beri setiap seorang manusia itu sebuah bumi untuknya sendiri.
Sesungguhnya Tuhan tidak pernah salah merencana sesuatu. Pasti ada hikmahnya.
Semoga kita semua mendapat pengajaran.
*Dipetik dari media

Sunday, May 8, 2016

Motivasi Kendiri

Motivasi Kendiri
===++++====
Satu kajian oleh National
Institute for Student Motivation mendapati bahawa KEYAKINAN DIRI lebih mempengaruhi pencapaian akademik berbanding IQ.
Kajian lain pula mendapati bahawa self esteem menberi impak keoada tahap pendapatan.
Nota : Seorang yang ada keyakinan diri merupakan seorang yang boleh mengakui kesilapan diri, boleh menerima kritikan serta sentiasa meningkatkan diri dalam pendidikan, perhubungan, kerjaya dan pendapatan.

Monday, April 18, 2016

PERANAN IBUBAPA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK



PERANAN IBUBAPA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK
----------------------------
Kehidupan rumahtangga tiada seri jika tanpa anak-anak. Anak merupakan rezeki Allah swt. Tanggungjawab terhadap anak amat besar tanggungjawabnya kepada ibu bapa. 
Sebagaimana Rasulullah bersabda:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, Mukmin yang bertaqwa. 
Tidak dinafikan dewasa ini faktor media massa, persekitaran merupakan cabaran bagi sesebuah institusi keluarga yang bervisikan 'baiti jannati' khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, video games,youtube, TV dan lainnya.
Ibubapa mempunyai saham terbesar dalam memberi tarbiyyah kepada anak-anak. Namun ada juga ibu bapa yang sering mengabaikannya. Sedangkan anak-anakadalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting bagi kehidupan dunia dan akhirat.

Kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan. Oleh itu bagi merancang pendidikan anak-anak perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu adalah AKIDAH, IBADAH dan AKHLAK.
3 perkara ini jika diberi didikan yang betul, anak-anak akan terpelihara dari pengaruh yang ada. Bahkan 3 perkara ini satu perkara mudah untuk diterapkan pada anak-anak, bila ibu baba sendiri menjadi ROLE MODEL. 
Ramai ibubapa mengadu tentang kenakalan anak-anak, masalah moral dan disiplin mereka. Jalan mudah melepaskan diri adalah menyalahkan keadaan. Hakikatnya ibubapa juga perlu berperanan bagi menanganinya. 
Mendidik melalui pemerhatian adalah perkara yang paling cepat dipelajari anak-anak. Dari kecil mereka memerhati tingkahlaku ibu bapa, maka jangan pelik jika anak akan mengikut apa yang kita perbuat. 
Kata pepatah dan peribahasa seperti "bapa borek anak rintik" , " bagai ketam mengajar anak berjalan", " ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi". 
Ini jelas kepada kita bahawa budaya Melayu juga menitik beratkan ibubapa mendidik dan menjadi contoh terbaik bagi anak-anak.

Bagi ibubapa yang masih muda, belum terlambat mendidik anak-anak dengan cara hidup Islam yang sebenar. Ibarat melentur buluh ,biarlah dari rebungnya. 
Setiap kebaikan yang kita mahukan, biarlah ia bermula dari diri kita. Maka berbuat baiklah kepada ibu bapa, moga dengan menjadi anak yang soleh kepada ibubapa kita, kita juga memperoleh anak yang soleh.
Amin.
Wallahuaalam.

Permintaan rezeki dengan pemikiran syukur

Permintaan rezeki dengan pemikiran syukur
======================
Setiap kita pasti menghitung, apakah, di manakah, banyak manakah rezeki hari ini?
Rezeki tidak hanya dalam bentuk duit ringgit, bahkan ia juga hadir dalam bentuk pertolongan dari Allah bagi menyelesaikan sesuatu tugasan atau permasalahan.
Rezeki bila ada orang membantu dalam urusan. Rezeki juga bila Allah mudahkan perjalanan yang jauh. Razeki bila jiran menghulurkan makanan. 
Pendek kata segala urusan kehidupan insan berkait dengan rezeki pemberian Allah.
Ibrah para Rasul menjadi panduan berguna saat kita terhimpit oleh perasaan apabila memikirkan persoalane tentang rezeki. 
Surah Al-Qasas, ayat 24 :
"Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".
Ayat ini menjelaskan bagaimana beradabnya Nabi Musa berdoa kepada Allah. Saat lari dari Firaun, baginda merantau jauh. Tiada memiliki apa-apa. Hinggalah bertemu dengan dua orang gadis yang mahu memberikan air pada ternakan mereka.
Melihat mereka sukar menunggu, maka Nabi Musa menghulurkan bantuan. Sewaktu memikirkan nasib diri itulah baginda berdoa, 
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".

Doa baginda memohon rezeki dari Allah saat baginda tiada miliki apa-apa. Kemudian datang anak Nabi Syuib menawarkan bantuan. Baginda ditawarkan untuk berkahwin dengan anak gadis Nabi Syuib, namun perlu berkuli selama 8 tahun.
Kisah Nabi Musa boleh diambil iktibar. Cara berfikir perlu sebagaimana Nabi Musa berfikir. Cara pemikiran bila ditawarkan bekerja perlu sambut dalam keadaan gembira. 
Baginda sanggup berbuat apa sahaja.
ربي اني لما انزات اليامن خير فقير...

Jika dilihat dari konteks doa, seperti kita berkata-kata "Ya Allah, aku ni faqir, aku akan buat apa sahaja yang diberi" Ia tanda insan yang bersyukur. Bukan memilih apa yang diberi, merungut dengan keadaan.
Orang yang kurang bersyukur pastinya agak berkira. Apalagi bila berkuli dengan tiada bergaji. Bahkan kita sering cenderung melihat masalah lebih dari nikmat.

Dalam konteks permintaan rezeki, kita perlu banyak bersyukur. Bagaimana carannya? Iaitu dengan memberi tanpa syarat, memberi lebih dari apa yang diminta serta tidak berkira.
Lebih banyak menghitung apa yang telah kita miliki berbanding yang tiada. Allah akan beri lebih dari yang kita sangka bila kita bersyukur. 
Insan berkeluh kesah dengan rezeki kerana kurang bersyukur dengan apa yang ada. Sifat mahukan lebih untuk diri itu menjadikan insan sentiasa tamak. 
Walhal permintaan rezeki tiada lain demi meraih redha Allah. Disebalik rezeki yang diberi ada sebahagian milik orang lain. Insan bersyukur akan menyalurkan bagi jalan Allah. Pastinya ganjaran akan berlipat ganda bagi mereka.
Rezeki dari sifat mustahil Allah akan hadir bila kita ikhlas.

Kun Anta - Jadilah Diri Sendiri

Jadilah Diri Sendiri
==============
Pernah dengar lagu Kun Anta? Penulis mendengarnya setelah sekian lama memjadi halwa telinga pendengar.
Disebalik lagu, adalah lirik. Penulis memetik sedikit darinya maksud lirik tersebut;
~~~~
Ketika ingin bersaing dengan mereka,
aku telah meniru apa yang ada pada mereka
Lalu aku mula menjadi seperti orang lain, supaya aku boleh berbangga,
dan aku sangka jika aku lakukan seperti itu aku akan dapat kelebihan,
Namun aku dapati yang aku perolehi hanyalah kerugian. Itulah yang nyata.
Tidak..Tidak...
Kita tidak memerlukan harta, agar bertambah cantik.
Permata kita ada di sini, di dalam hati yang bersinar-sinar
Tidak..Tidak...
kita bukan di terima orang lain dengan apa yang tidak ada.
Kita diterima adalah kerana perbuatan (akhlak) kita.
Itulah kecantikan kita. Yang sangat tinggi dan mulia
Jadilah diri kamu sendiri
pasti akan bertambah lagi kecantikan yang sedia ada
Sungguh aku menerima mereka, dan aku tidak perlu meniru perwatakan mereka
Melainkan apa yang aku terima itu aku telah redha.
Aku akan menjadi diriku sendiri. Seperti diriku sepenuhnya. Inilah aku.
Sifat qanaah sudah cukup untuk ku. Itulah keyakinanku
Aku akan menjadi diriku sendiri, mengikut kemampuan diriku.
Aku tidak perlukan orang lain untuk menerimaku
Aku akan jadi seperti diriku.
Apa yang aku inginkan. Untuk diriku dan bukan untuk keredhaan mereka
......
~~~~~
Maksud tersirat disebalik lirik ini perlu kita serap pada diri. Agar menjadi pendinding diri saat kita jiwa kacau memikirkan mahu cantik. Mahu mengambil perhatian orang lain. Bersaing merebut gelaran.
Hakikat insan, di sisi Tuhan adalah amalan dan taqwanya. Bagaimana seorang remaja bersedih hanya kerana bentuk fizikalnya. Berapa ramai ibu lebih memperuntukkan masa untuk kecantikan dibanding duduk bersama anak-anak memerhatikan pembelajaran mereka.
Berapa ramai mahu dilihat 'sado @ macho' sanggup berhabis.
Apabila kita meletakkan penerimaan manusia pada nombor wahid, kita akan penat selamanya. Manusia tidak akan melihat kesempurnaan, bahkan cenderung mencari kesilapan. 
Oleh itu, berpada dalam apa jua. Cantik itu subjektif. Ia hanya bersifat sementara. Menjadi diri sendiri, menerima diri kita sebaik kejadian adalah insan yang bersyukur atas pemberian Allah.
Bahkan mendidik hati agar sentiasa bersifat qanaah atau 'low profile' ( rendah diri) itu lebih terpuji. Bila agenda mendidik hati dan jiwa sebagai perkara utama maka ia akan terserlah pada diri kita (Luaran dan Dalaman.).
Allah menjanjikan cahaya bagi orang beriman. Betapa kita melihat orang yang gelap kulitnya, tapi penuh bercahaya dan berseri wajahnya, itulah cahaya keimanan. Menarik insan lain bagaikan magnet, disenangi saat mendatangi, dirindui saat pergi. Kenapa? Kerana hatinya yang ikhlas.
Menjadi diri sendiri menuntut sifat IHSAN dalam diri. Betapa Allah sentiasa memerhatikan, setiap saat dan ketika, walau insan tidak melihatNya. Ihsan mendidik insan berwaspada atas perbuatannya.
Menjadi diri sendiri, menerima kita seadanya. Tidah gundah dengan apa yang tiada. Tidak makan dek puji, tidak luak dek keji.
Menjadi diri sendiri, memandu tuannya untuk lebih yakin diri.
Meletakkan keperibadian, akhlak mahmudah serta intergriti sebagai agenda. Ia nilai yang maha tinggi. Mencari redha Allah melangkaui redha hamba.
ابتغاء مرضات الله
Wallahuaalam.

Thursday, January 14, 2016

Tip Keibubapaan

Tip Keibubapaan
Pesanan untuk (diri sendiri)
Tanamkan dalam hati bahawa;
1. Anak kita bukan baik sangat.
Walau kat rumah dia taat, dia mungkin nakal dibelakang kita. Jadi dia mungkin lawan cakap cikgu, pukul kawan dia, dan buat pelbagai perkara yang kita tak jangka.
2. Bukan anak kita sorang aje kat dalam kelas tu.
Kita kat rumah paling banyak anak 6 7 orang. Itu pun kita tak mampu nak beri perhatian pada semua. Anak cakap banyak sikit kita dah suruh diam. Just imagine kita ada anak kembar seramai 40 orang. Macam tu lah apa yang cikgu alami sewaktu mengajar anak-anak kita.
3. Anak kita juga pandai menipu.
Jangan percaya sangat dengan cerita-cerita anak kita. Dia mungkin menipu. Tak kiralah seyakin mana kita dengan kesolehan dia, dia mungkin menipu. Siasat dan jangan cepat melatah. Nanti kita yang malu.
4. Anak kita layak dimarah.
Anak kita bukan malaikat. Dia tidak sempurna. Dia pasti melakukan banyak silap. Dia perlu dididik. Character dia di rumah dan di sekolah tak sama. Dia mungkin sangat annoying waktu di dalam kelas dan kita takkan tahu itu. Jika dia dimarah, itu tandanya gurunya sedang mendidiknya.
5. Ingat semula kenapa kita hantar dia kesekolah.
Untuk dia jadi diva kah? Sampai tak boleh diusik.
Untuk dia jadi samseng? Sampai tak boleh dijentik.
Untuk dia jadi biadap? Sampai tak boleh dididik.
6. Dia sedang dididik. Dengan cara yang kita suka, mahupun tidak suka.
Jika tak boleh terima orang lain didik dia dengan cara yang tak sama dengan didikan kita, jangan hantar dia ke sekolah. Kita tak boleh harapkan orang ikut cara kita. Cara kita tak semestinya betul.
7. Kita tak mampu berikan semua ilmu yang diperlukannya.
Kita perlukan guru-guru. Kita mungkin pakar kimia, tapi kita tak tahu matematik, geography, biology dan sebagainya. Kita mengharapkan guru-guru itu mencurahkan ilmu kepada anak kita. Hormati mereka.
8. Duit bukan segalanya.
Kita mungkin kaya. Tapi duit tak mampu jadikan anak kita sempurna. Duit tak boleh membentuk akhlaknya. Dia perlu didik, diajar, dibentuk. Baru dia mampu menjadi manusia.
9. Kita tak mampu membentuknya seorang diri.
Anak kita perlu dilatih hidup dengan masyarakat. Dia perlu diajar bagaimana menghadapi dunia yang ganas di luar sana. Dia perlukan sekolah sebagai langkah pertama untuk memahamkan dia bagaimana untuk survive di dunia ini. Guru-guru itulah yang akan membantu kita membuatnya melihat dunia. Beri guru2 itu ruang untuk membantu kita.
10. Kita bukanlah orang yang paling betul dalam dunia.
Cara guru dan kita mungkin berbeza. Tapi pengalaman mereka mendidik memang kita tak mampu menandinginya. Paling hebat kita didik 6 7 orang anak kita sendiri. Mereka dah didik 6 7 orang anak sendiri dan beratus malahan beribu anak-anak orang lain yang mereka didik seperti anak-anak mereka sendiri.
11. Jangan sombong dengan guru-guru. Allah sebut darjat mereka tinggi di dalam al quran.
Mereka bukan sahaja bekerja kerana gaji, tapi mereka melakukan amal jariah dengan memberi ilmu yang bermanfaat kepada ribuan manusia, dan amal ini allah kira sahamnya walaupun setelah mereka meninggal dunia. Amal kita bagaimana?
12. Ilmu anak kita takkan berkat tanpa redha gurunya.
Tanamkan itu dalam peribadi anak-anak kita. Yang 11A tapi jika biadap dengan guru belum tentu berkat ilmunya, belum pasti tenang hidupnya. A kurang tak apa. Asalkan tak kurang adabnya. Biar berkat ilmunya. Kejayaan akan datang dalam pelbagai cara.
13. Guru-guru sentiasa mengingatkan anak kita agar hormat ibu bapanya.
Ibu bapa sentiasa menjadi sentimen utama yang digunakan oleh guru-guru untuk menasihati anak-anak kita. Mengapa kita tak boleh buat perkara yang sama? Satu sahaja, kerana kita rasa kita lebih bagus dari segenap segi daripada guru2 anak-anak kita.
Berlapang dadalah. Ilmu itu bukan bilangan A. Tapi apa yang anak kita dapat untuk dia jadikan panduan untuk jalani kehidupan di dunia dan diakhirat.
Tepuk dada, tanya diri kita.
Ikhlas dari hati,
Ustaz Amir Berau
SMS Banting

Sunday, December 20, 2015

Tanda Munafik, Buruk akhlak


Bismillah,

Tanda Munafik, Buruk akhlak

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Dari AbduLlah bin 'Amru bahwa Nabi SAW bersabda: "Empat perkara bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafiq tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya satu sifat dari empat tersebut maka pada dirinya terdapat sifat nifaq hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia tidak menepati dan jika bertengkar ia curang (ingin menang sendiri)".
(Rowahu Bukhari No: 33)

Pengajaran:

1. Munafik tulen bermaksud orang yang menjadi munafik sebenar.

2. Sesiapa yang memiliki empat sifat ini, ia adalah munafik tulen.

3. Jika seseorang itu memiliki satu daripada empat sifat tersebut, maka padanya ada sifat munafik sehinggalah ia meninggalkan sifat tersebut.

4. Empat sifat munafik itu ialah:

a. jika diberi amanah dia khianat,

b. jika berbicara dia berdusta,

c. jika berjanji dia tidak menepati dan

d. jika bertengkar ia curang (melampau)

Perkongsian oleh Prof Saidfudin Masudi