Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....
Showing posts with label ibubapa. Show all posts
Showing posts with label ibubapa. Show all posts

Thursday, January 14, 2016

Tip Keibubapaan

Tip Keibubapaan
Pesanan untuk (diri sendiri)
Tanamkan dalam hati bahawa;
1. Anak kita bukan baik sangat.
Walau kat rumah dia taat, dia mungkin nakal dibelakang kita. Jadi dia mungkin lawan cakap cikgu, pukul kawan dia, dan buat pelbagai perkara yang kita tak jangka.
2. Bukan anak kita sorang aje kat dalam kelas tu.
Kita kat rumah paling banyak anak 6 7 orang. Itu pun kita tak mampu nak beri perhatian pada semua. Anak cakap banyak sikit kita dah suruh diam. Just imagine kita ada anak kembar seramai 40 orang. Macam tu lah apa yang cikgu alami sewaktu mengajar anak-anak kita.
3. Anak kita juga pandai menipu.
Jangan percaya sangat dengan cerita-cerita anak kita. Dia mungkin menipu. Tak kiralah seyakin mana kita dengan kesolehan dia, dia mungkin menipu. Siasat dan jangan cepat melatah. Nanti kita yang malu.
4. Anak kita layak dimarah.
Anak kita bukan malaikat. Dia tidak sempurna. Dia pasti melakukan banyak silap. Dia perlu dididik. Character dia di rumah dan di sekolah tak sama. Dia mungkin sangat annoying waktu di dalam kelas dan kita takkan tahu itu. Jika dia dimarah, itu tandanya gurunya sedang mendidiknya.
5. Ingat semula kenapa kita hantar dia kesekolah.
Untuk dia jadi diva kah? Sampai tak boleh diusik.
Untuk dia jadi samseng? Sampai tak boleh dijentik.
Untuk dia jadi biadap? Sampai tak boleh dididik.
6. Dia sedang dididik. Dengan cara yang kita suka, mahupun tidak suka.
Jika tak boleh terima orang lain didik dia dengan cara yang tak sama dengan didikan kita, jangan hantar dia ke sekolah. Kita tak boleh harapkan orang ikut cara kita. Cara kita tak semestinya betul.
7. Kita tak mampu berikan semua ilmu yang diperlukannya.
Kita perlukan guru-guru. Kita mungkin pakar kimia, tapi kita tak tahu matematik, geography, biology dan sebagainya. Kita mengharapkan guru-guru itu mencurahkan ilmu kepada anak kita. Hormati mereka.
8. Duit bukan segalanya.
Kita mungkin kaya. Tapi duit tak mampu jadikan anak kita sempurna. Duit tak boleh membentuk akhlaknya. Dia perlu didik, diajar, dibentuk. Baru dia mampu menjadi manusia.
9. Kita tak mampu membentuknya seorang diri.
Anak kita perlu dilatih hidup dengan masyarakat. Dia perlu diajar bagaimana menghadapi dunia yang ganas di luar sana. Dia perlukan sekolah sebagai langkah pertama untuk memahamkan dia bagaimana untuk survive di dunia ini. Guru-guru itulah yang akan membantu kita membuatnya melihat dunia. Beri guru2 itu ruang untuk membantu kita.
10. Kita bukanlah orang yang paling betul dalam dunia.
Cara guru dan kita mungkin berbeza. Tapi pengalaman mereka mendidik memang kita tak mampu menandinginya. Paling hebat kita didik 6 7 orang anak kita sendiri. Mereka dah didik 6 7 orang anak sendiri dan beratus malahan beribu anak-anak orang lain yang mereka didik seperti anak-anak mereka sendiri.
11. Jangan sombong dengan guru-guru. Allah sebut darjat mereka tinggi di dalam al quran.
Mereka bukan sahaja bekerja kerana gaji, tapi mereka melakukan amal jariah dengan memberi ilmu yang bermanfaat kepada ribuan manusia, dan amal ini allah kira sahamnya walaupun setelah mereka meninggal dunia. Amal kita bagaimana?
12. Ilmu anak kita takkan berkat tanpa redha gurunya.
Tanamkan itu dalam peribadi anak-anak kita. Yang 11A tapi jika biadap dengan guru belum tentu berkat ilmunya, belum pasti tenang hidupnya. A kurang tak apa. Asalkan tak kurang adabnya. Biar berkat ilmunya. Kejayaan akan datang dalam pelbagai cara.
13. Guru-guru sentiasa mengingatkan anak kita agar hormat ibu bapanya.
Ibu bapa sentiasa menjadi sentimen utama yang digunakan oleh guru-guru untuk menasihati anak-anak kita. Mengapa kita tak boleh buat perkara yang sama? Satu sahaja, kerana kita rasa kita lebih bagus dari segenap segi daripada guru2 anak-anak kita.
Berlapang dadalah. Ilmu itu bukan bilangan A. Tapi apa yang anak kita dapat untuk dia jadikan panduan untuk jalani kehidupan di dunia dan diakhirat.
Tepuk dada, tanya diri kita.
Ikhlas dari hati,
Ustaz Amir Berau
SMS Banting

Tuesday, April 7, 2015

Harta Pusaka



HARTA PUSAKA
Allah memberi rezeki dengan cara yang berbeza. Ada yang diperoleh secara mudah dan ada juga yang terpaksa kita usahakan sendiri. Salah satu rezeki yang bergolek adalah harta pusaka. Apa jua yang dinamakan harta setiap darinya akan dipersoalkan kelak, salah satunya bagaimana kita membelanjakan harta itu? Apakah manfaatnya buat diri dan orang lain?
**************************
Saya mendapat harta pusaka peninggalan arwah ayah sewaktu genap usia saya 18 tahun. Paling saya terharu dan saya kagum dengan ibu saya adalah beliau tidak pernah menjual walau sebidang tanah pun harta peninggalan arwah ayah.Walau terpaksa bekerja keras mencari rezeki untuk anak-anak, namun sebagai ibu tunggal yang gigih. ibu saya tidak pernah putus asa dengan rezeki. Tidak juga berjoli dengan apa yang ada.
Setelah sekian lama,sering sibuk dengan urusan kerja, maka seminggu yang lalu sekali lagi ibu memaksa saya pulang untuk memberikan sebahagian lagi harta pusaka yang belum ditukar hak milik. Katanya sebelum menutup mata dia mahu selesaikan apa yang patut. Sekarang ibu tidak punya apa-apa. Harta yang berharga beliau miliki adalah kami, anak-anak dan cucu cicit. Namun kami sebagai anak-anak biarpun harta pusaka sudah bertukar hak milik segala hasil sawah dan juga kebun tetap jadi hak milik ibu.
Sewaktu itu saya tidak berapa tahu nilaiannya. Namun jika dinilai kesemuanya ibu saya sudah jadi jutawan sekarang ini, jika semua ini masih menjadi miliknya.Pendek kata setiap tahun boleh ke Tanah Suci. Hakikatnya ibu tidak tamak, dia mahu anak-anak memperoleh apa yang sepatutnya.
Bahagiakah milik harta pusaka? Hakikatnya, disaat usia berganjak dan diri semakin matang, saya semakin sedar harta itu datang bersamanya dengan tanggungjawab. Persoalan pertama yang sering saya katakan pada diri, berat amanah ini.... Belum cukup bakti saya kepada ibu ayah serta datuk nenek moyang yang telah mengusahakan tanah pusaka ini. Merekalah yang telah mengeluarkan keringat meneroka tanah menjadikannya ladang.
Sejujurnya harta ini perlu dikembangkan menjadi ladang pahala untuk mereka. Segala hasil perlu menjadi sedekah jariah yang akan mengalir kepada mereka di alam barzakh. Sebagaimana hadith Rasulullah menyebut salah satu yang dibawa anak Adam bersamanya ke alam kubur adalah sedekah jariah. Maka kita sebagai penerima harta pusaka inilah berperanan untuk menjadikan dan menyambungkan ia agar menjadi ladang pahala kepada mereka yang telah pergi. Sungguh besar amanat ini....
Namun hakikat sebenar, sewaktu kita hiduplah jugalah kita perlu memperbanyakkan amal jariah. Harta yang ada jika anak-anak tidak memperbuat yang sepatutnya maka ia tidak akan bermakna apa-apa. Saya terfikir mahu mewakafkan sedikit dari apa yang ada. Ya Allah jadikan kami golongan kaya di dunia dan kaya di akhirat. Di dunia kaya dengan amalan kebaikan dan di akhirat menjadi jutawan yang bakal mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah.
Wallahuaalam.

Friday, March 6, 2015

Erti rindu


RINDU
Iman : Ummi nanti bawa Iman outing yea.
Ummi: Esok dah balik pun nak outing jugak? Nak beli apa?
Iman: Iman takde nak beli apa-apa cuma Iman nak outing dengan ummi je.
Ummi: Nak pergi outing ke mana?
Iman: Tak kisah mana-mana, janji outing dengan ummi.
Ummi:Baiklah. (dalam
hati, cakap la rindu kat ummi)
Moral:
Ada ketika kita bukan mahu apa-apa, tidak juga barangan berharga. Cukup sekadar melihat raut wajah bagi memadamkan rasa rindu.
Mungkin juga itulah perasaan ibu ayah kita menanti anak-anak pulang ke sisi mereka.

KASIH IBU



KASIH IBU
Innalillah dan Al Fatihah. Takziah pada keluarga arwah Aiman Danial bin Amin Remy yang lemas di kolam SU4.
Kemalangan atau kecelakaan yang menimpa pastinya tidak diundang. Saat ini saya juga bersedih dengan apa yang menimpa keluarga ini. Ia mengingatkan saya pada Iman Ihsan.
-----^***^
Bila keluar bekerja dia keseorangan. Ada tikanya lupa kunci rumah, lupa bawa duit, tertinggal alatan. Semua itu tidak jadi gundah yang besar, namun isu keselamatan yang bersarang di hati.
Menghabiskan masa 6 tahun di sekolah rendah memberi banyak pengalaman buat saya sebagai ibu dan Iman sendiri. Iman dilatih berdikari dan perlu pandai membawa diri.
Pernah satu ketika dia ke rumah kawan tanpa memberitahu, ma sya Allah saya risau tidak terkata. Bila disoal katanya menyiapkan kerja rumah. Tahu hati seorang ibu dan mata hati yang sentiasa memantau sejak dari itu Iman tahu dan faham, walau jauh walau dekat, perlu maklumkan hatta mahu bermain bola di surau depan rumah.
Setiap kali dia jauh dimata, saya titipkan doa dengan iringan kata " Ya Allah jagalah anakku, dia dipinjamkan sementara untukku memberi kasih".
Ingatan buat anak-anakku walau di mana dirimu berada..
احفظ الله يحفظك....

Saturday, February 21, 2015

PILIH KASIH


SKETSA
Kakak : Untung la Iman, tiap minggu Baba Ummi datang melawat.
K Ngah: Betul tu, K Ngah pun ummi dan baba tak datang tiap minggu.
Kakak : Eh bukan adik balik dua minggu sekalikan.
Iman: Rezeki masing-masingkan kita ni. Nanti mana tahu Iman belajar oversea, 2.3 tahun baru dapat jumpa Ummi.
Ummi : Betul tu rezeki masing-masing dah tertulis. Dulu Ummi jarang pergi lawat kakak, tapi sekarang kakak bukan setakat tiap minggu balik, tapi hari ni pergi esok dah balik rumah lagi. K Ngah pun sama,
Kakak: ; (Senyum)
----------
Moral:
Kita seringkali membuat tafsiran yang silap tentang kasih sayang. Realitinya ia bukan seperti sekeping kek yang boleh dibahagi samarata. Kasih sayang setiap orang tidak boleh diukur baik terhadap anak-anak, adik beradik hatta bagi suami yang mempunyai isteri 2,3 dan 4. Ia sangat subjektif.

Monday, February 2, 2015

Tip Keibubapaan


Bismillah,

Pendidikan anak-anak dewasa ini merupakan satu cabaran buat ibu bapa. Persekitaran serta rakan-rakan sangat memainkan peranan selain dididkan ibu bapa di rumah. Ramai ibu bapa merunggut perihal anak-anakyang dilihat baik di rumah tetapi rupanya menjadi kaki buli di sekolah. Ada yang dilihat pemalu tetapi ada gengster di luar.

Bagi ibu bapa yang percaya anak mereka terdidik pasti tidak dapat menerima kenyatan bila dipanggil oleh pihak sekolah atas masalah disiplin anak-anak. Bahkan mereka merasakan tidak adil anak-anak mereka dipersalahkan.

Bagi ibu bapa yang menempuh keadaan begini maka paling penting ia perlu di siasat terlebih dahulu. Kerana itu juga memantau siapa rakan-rakan anak-anak kita adalah wajib. Dengan siapa mereka berkawan, apa aktiviti yang dilakukan perlu diambil tahu. Hari ini dunia tanpa sermpadan membolehkan anak-anak untuk bergaul dan mengenali siapa sahaja yang mereka suka. Privaci dalam bilik juga sudah tiada bila semua benda dan hal mahu dikongsi di instagram.

Maka tidak pelik ada remaja yang baru dua hari berkenalan dengan rakan lelaki di rogol oleh ramai kenalan lelaki tersebut. Kenapa anak-anak lebih percaya pada orang luar dibanding ibubapa sendiri? Sebagai ibu bapa yang prihatin, anak-anak perlu dekat dengan kita. Kita perlu menjadi Best Friend pada mereka. SApa sahaja masalah anak biar kita ibu bapa menjadi tempat curahan masalah.

Namun dek kesibukan kita tidak smepat meliaht perubahan yang ada pada anak. Kita bekerja siang malam mencari rezeki namun kita lupa rezeki anak-anak yang perlukan pembelaan dan perhatian yang lebih dari kita.

Oleh itu sudah masanya kita menukar cara mendidik jika cara yang sebelum ini tidak berjaya. Ia bukan salah dan betul. Lain padang lain belalang namun tidak salah menjadikan pengalaman orang lain sebagai panduan.

Wallahuaalam.

Saturday, January 24, 2015

Mendidik anak cara Rasulullah


Bismillah,

Isu terbaru adalah isu hukuman yang bakal dikenakan ke atas ibu bapa yang merotan anak-anak oleh JKM. Sudah pasti ada pelbagai pandagan terhadap hukuman ini sementelah merotan itu dalam Islam adalah salah satu cara mendidik anak-anak yang diajar oleh Rasulullah. Bila anak tidak solat sedangkan sudah berusia 10 tahun maka mereka perlu dirotan agar tahu hukum solat itu wajib.

Setiap ajaran Rasulullah ada hikmah tersendiri. Ia ajaran dari langit, maka wajarkah kita menolak hukum itu. Sudah pasti rotan itu satu jalan terakhir sebenarnya. Hakikat kita sebagai ibu bapa jangan sampai tahap kita perlu merotan. Jika dari awal di asuh anak-anak tidak perlu dirotan. Ibu bapa adalah cermin pada anak-anak. Jika celik mata dari buaian anak-anak sudah melihat ibu bapa solat bahkan umur 3-4 tahu sudah dilatih berjemaah bersama, di bawa ke masjid maka untuk anak-anak terdidik dengan solat itu sangat mudah.

Itu tentang solat, bagaimana pula jika anak-anak menjadi nakal dan tidak mendengar kata dan sebagainya. Maka ibu bapa sejak dari kecil menggunakan rotan bagi menakutkan anak-anak dan mendisiplinkan mereka. Bahkan ada juga ibu bapa yang melepaskan geram denga merotan dan memukul anak sehingga membawa kepada kecederaan. Wajarkah begitu?

Saya sewaktu kecil pernah dirotan ibu kerana keluar bermain di tali air, saya lari bila dikejar, namun rotan itu singgah juga di betis. Tapi sejak itu saya hanya di rumah. Takut kena lagi libasan. Jika lewat solat akan diperingat. Bila sudah bersekolah maka saya mula faham apa itu Do & Dont's. Apalagi bila bersekolah agama banyak perkara yang perlu kita tahu dan buat.

Bila sudah ada anak-anak saya dan suami berazam untuk tidka menggunakan approach kekerasan pada anak-anak. Kami berdua tegas hanya dengan suara dan mata. Ia asuhan sejak kecil. Oleh itu bagi anak-anak cubit manja itu pun sudah menyakitkan bagi mereka. Konteks pujian yang diamalkan oleh Rasulullah adalah yang terbaik. Anak-anak yang dipuji perbuatan mereka akan tinggi self esteem mereka berbanding anak-anak yan sering menerima kritikan.

Maka mendidikan anak perlu dilihat approachnya bagaimana, kita perlu mengasuh anak-anak sejak dari dalam kandungan. Supaya anak-anak mendengar kata maka lazimkan berzikir dna membaca Al Quran. Hati dan jiwa akan terdidik. Selain itu jika kita juga tidak mendengar kata dengan ibu bapa maka bagaimana kita mahu anak-anak mendengar kata-kata kita? Ia ibarat ketam mengajar anak berjalan. Ibu bapa perlu menjadi contoh dan imej pada anak-anak.

Rotan itu adalah jalan terakhir, paling terbaik adalah akhlak yang terpandu oleh ibu bapa.

Wallhaalam

Sunday, September 7, 2014

Di sini lahirnya sebuah cinta



Bismillah,

Lagu Warisan dendangan Allahyarham Sudirman menjadi tema hari kemerdekaan tahun ini. Liriknya amat menyentuh hati. Satu ketika saya pernah menjadikan lagu tema untuk satu program motivasi. Ternyata hadirin amat terpanggil dengan alunannya. Semalam anak saya di asrama menelefon bertanyakan bagaimana mahu menulis karangan dengan tajuk " Di sini lahrinya sebuah cinta"?. Maka ia pasti pelbagai jawapan yang boleh diberikan.

Sebagai anak bangsa yang sayangkan negaranya pasti ada sebab yang celas kenapa lahirnya cinta pada bumi bertuah ini? Sudah pasti ia kerana di sini tanah tumpah darah, ia tempat kelahiran, tempat dibesarkan dan disini kita merintis kehidupan.

Nun jauh di sudut hati persoalan ni banyak membangkitkan pada kisah silam. Kisah bagaimana kehidupan ini bermula dan bagaimana ia sekarang ini. Di sini lahirnya sebuah cinta banyak membawa pada kisah silam yang penuh dengan cabaran. Ia manis untuk dikenang kerana dari situ pengalaman dan kematangan dikutip. Ia menjadi universiti buat diri dalam menimba ilmu kehidupan. Ia tidak mampu dituliskan namun ia tersimpul kukuh bersama kecintaan, bersemadi nun di lubuk perasaan bahawa kecintaan kepada tanah air ini tiada galang ganti. Menjadi tempat bersemai kasih mana mungkin ia terhakis dari ingatan.

Sungguh benar... di sini lahirnya sebuah cinta.
Abadi
Sejati

Wallahuaalam

Friday, August 22, 2014

Warkah Ustaz Saifuddin Yusof kepada anak mangsa MH17 Mhriz Marzaidi

MH17 l Saya tidak sengaja menatap gambar ini. Membaca captionnya terus menitiskan air mata. Anak ini kehilangan ibunda tercinta. Saya tidak mengenalinya. Kepada sesiapa yang mengenali anak ini, mohon sampaikan pesanan saya ini.

"Sewaktu pakcik seusia adik atau mungkin lebih kecil. Pakcik telah kehilangan ibu seperti adik juga. Andai adik membaca pesanan ini, ini adalah perkara yang adik akan hadapi dan perkara yang boleh dilakukan.

1. Adik terpaksa menguruskan diri sendiri. Mengurus pakaian, bangun pagi sendiri, menyusun urusan sendiri. Tiada lagi orang yang sudi menggaru belakang adik kecuali ayahanda yang masih ada.

2. Adik mesti berhati-hati dalam tuturkata supaya tidak dibenci orang. Fikir dahulu sebelum berkata-kata. Sebaiknya, diam sahaja dan jawab apabila ditanya.

3. Mesti selalu membantu orang lain dan kawan-kawan tanpa mengharapkan balasan. Dengan membantu orang lain, hati kita akan puas dan gembira.

4. Banyakkan membaca buku. Buku adalah teman paling setia, Buku tidak pernah meninggalkan kita. Buku akan sentiasa bersedia menghiburkan hati adik di kala kesedihan.

5. Apabila teringatkan ibu, terus berdoa. Mohon keampunan untuknya. Insya Allah, adik akan bertemu dengan ibu di syurga.

6. Solat 5 waktu mesti jaga walaupun tidak disuruh. Solat akan menjauhkan adik dari perkara buruk.

7. Jauhi kawan-kawan yang jahat dan tidak baik. Kuatkan semangat walaupun kawan-kawan mengajak melakukan perkara yang tidak baik. Walaupun kawan tidak ada, adik masih ada buku sebagai peneman setia dan kawan soleh yang setia menanti.

8. Apabila teringatkan ibu, adik akan menangis. Menangislah, ia tidak salah. Selepas menangis, hati adik akan bertambah kuat, Jiwa adik akan bertambah kental.

9. Jangan sesekali 'menjawab mulut' dengan ayahanda atau orang yang lebih tua. Walaupun mereka ada kesilapan, diam itu lebih baik dan kita berbaik sangka. Masalah orang tua tidak sama dengan kita yang masih kecil.

10. Belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara. Belajar tanpa henti dan terus berbakti. Tidak faham terus bertanya. Apabila bertanya, kita akan tahu sesuatu. Pakcik dulu pernah berkata di dalam kelas 5 Dahlia, "Cikgu, saya tidak faham semua."

Andai adik membaca semua pesanan pakcik di atas. Mungkin kita boleh berkawan.

Yang benar,

Pakcik Ahmad Saifuddin Yusof
Perindu Ibunda 26 tahun.


Dipetik dari Facebook Ahamd Saifuddin Yusof

Monday, June 16, 2014

Sekolah kehidupan




Belajarlah dengan tekun dan rajin
Daripada universiti sebuah kehidupan
Kalianlah tonggak juga pemangkin
Pencetus Ummah masa hadapan
Universiti ijazah segulung kertas
Ibarat megah butiran istana pasir
Jadikan kalian manja lagi pemalas
Robohnya mudah dek desiran air

Nukilan 
Che Abdul Majid As Sabaki



Friday, June 6, 2014

Apabila Jodoh Menyapa : Cinta ada pilihan


Bismillah,

Hari ini tertera di ruangan FB yang dikomgsi oleh Muslim Care Malaysia Society menyaksikan Ayu yang berkahwin dengan warga Nepal telah berjaya kembali ke Malaysia.

 Ayu akhirnya kembali ke pangkuan keluarga....
Kisah Pn. Ayu mungkin akan disamakan seperti gadis-gadis kita di Lombok, walhal kisah beliau lebih istimewa dan mendesak kerana untuk menyelamatkan akidah beliau serta dua orang anaknya.
Ayu, atau nama penuhnya Nur Sri Rahayu telah melangsungkan perkahwinannya bersama seorang lelaki warga Nepal, pada tahun 2006. Perkahwinan di Malaysia yang mendapat restu dari kedua ibu bapanya pasti akan membayangkan kebahagian rumah tangga yang berkekalan. Tetapi keadaan berubah apabila suaminya mengajak keluarga ini pulang ke kampung halaman suaminya di Nepal.
Apabila pulang ke kampung suaminya, keadaan hidup Ayu dan anak-anaknya berubah setelah suaminya mendapat pekerjaan baru di Dubai. Keluarga suaminya yang bukan beragama Islam tidak memberikan kasih sayang dan layanan yang baik kepada Ayu kerana perbezaan agama.
4 tahun ayu terpaksa bekerja sebagai buruh kasar untuk menyara beliau dan anak2nya. Keluarga suaminya yang mengongkong beliau serta di sisihkan banyak menambahkan penderitaan kepada beliau. Mereka diberi makanan haram seperti babi untuk hidup, ini membuatkan Ayu terpaksa mencari rezeki sendiri demi sesuap rezeki yg Halal.
Perkara ini mendapat perhatian daripada pihak Metro dan Wisma Putra untuk memberi pembelaan kepada keluarga ini. Atas nasihat Wisma Putra, Ayu dinasihatkan untuk datang ke kedutaan Malaysia di Kathmandu. Dengan itu, Ayu terpaksa lari dari keluarga mertuanya sejauh 500km tanpa wang satu sen pun untuk menyelamatkan akidah beliau dan anak-anaknya.
Berbekalkan tawakkal dan doa rakyat Malaysia, Ayu berjaya sampai di Kedutaan Malaysia. Tetapi terpaksa menghadapi kekangan kerana pihak imigresen Nepal tak membenarkan Ayu keluar dan terpaksa membayar denda kerana tinggal melebihi tempoh di Negara itu selama 4 tahun. Sejumlah wang perlu dibayar dimana sini, Muslim Care Malaysia Society telah mengambil inisiatif untuk membantu menyelamatkan Akidah 3 beranak ini.
Roadshow oleh AF Ustaz Norazli Musa, aktivis Muslim Care serta kempen media telah berjaya mengumpul sejumlah wang untuk membiayai kos2 untuk membawa pulang keluarga ini. Alhamdulillah, berkat doa dan sumbangan rakyat Malaysia, serta sumbangan dari kedutaan Malaysia di Nepal sendiri berjaya untuk menyelamatkan akidah 3 beranak ini kembali ke Malaysia.
Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang, Pihak Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Nepal dan akhbar Harian Metro kerana banyak membantu dalam misi menyelamatkan akidah keluarga ini. Semoga usaha dan sumbangan kalian mendapat redha Allah, dan doakan keluarga ini terutamanya anak2 kecil ini menjadi anak yang soleh serta menyumbang untuk agama kelak.

Moral dari kisah ini ada banyak yang bleh dipelajari. Di dalam buku Apabila Jodoh Menyapa ada saya nukilkan kisah dan pengalaman berkahwin dengan warga asing.
Betullah cinta itu buta, namun hakikatnya kita boleh membuat pilihan. Gunakan mata hati untuk membuat timbangtara.
Apalah ada pada cinta berbanding agama yang bakal membawa kita ke syurga.
Pada anak-anak remaja di luar sana atau sesiapa sahaja yang mahu memilih jodoh, buatlah keputusan yang bijak. Jika suami mahu memeluk Islam ia bukan semata kerana cinta dan perkahwinan, namun lebih penting Islam kerana kenal Pencipta, kenal Rasulnya.

Moga kita semua dilindungi Allah dan sentiasa dalam iman. 

Thursday, May 29, 2014

Anak tidak mendengar kata, salah siapa?


Bismillah,

Semalam sewaktu singgah di R&R untuk solat maghrib saya melihat satu peristiwa yang tidak sanggup untuk saya lihat. Namun ia berlaku di depan mata. Manakan tidak, ramai ibu bapa mengadu kenapa anak tidak mendengar kata, melakukan perkara tidak senonoh, nakal dan sebagainya. Ia sebenarnya berpunca dari ibu bapa yang mendidik anak-anak itu sendiri.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam 2-3 tahun keluar dari kereta sambil membuka seluar dan terus kencing berdiri sambil ibunya memerahti dari dalam kereta. Bila anaknya selesai kanak-kanak itu terus masuk ke kereta. Tidak lama ibunya keluar. Saya agak ralat kerana sepatutnya ibu mengajar anak untuk kencing sambil duduk, ambilkan air dari tandas yang tak sampai sepuluh kaki dari keretanya. Bayangkan ada dua orang kanak-kanak yang ada dalam kereta yang lain memerhati gelagat kanak-kanak tersebut. 

Di saat semua orang berkejar mahu solat, ia boleh jadi penyebab untuk ibu bapa keluar bersolat sambil mengurus anak yang mahu menunaikan hajat. Perilaku kencing berdiri dan di mana sahaja yang boleh bukan ajaran Islam. Terfikir oleh saya bagaimana pemikiran ibu bapa tersebut, tidak rasa mahu mendidik anak untuk kencing sambil duduk, membasuh hadas kecilnya dengan sempurna. Ia tidak pelik jika dewasa nanti dia kencing berdiri. Kenapa demikian? Kerana seusia kecil dia tidak diasuh dengan cara Islam. Ibu bapa merasakan renyah untuk membawa anak kencing di tandas. Ibu bapa mengambil mudah isu ini. Ia dilhat sebagai 'emergency', namun hakikat itulah ajaran ibu bapa yang suatu masa akan kekal hingga anak dewasa dan susah untuk diubah. 

Maka tidak pelik peribahasa mengatakan.... " bapa kencing berdiri, anak kencing berlari".
Ingatan buat diri sendiri.... 
Wallahuaalam

Cara Bangkit dari kegagalan


Bismillah,

Kehidupan ini ada banyak hikmah yang obleh dipelajari dari segala suratan yang berlaku. Saya berkesempatan mendengar luahan seorang pemuda yang diuji menjadi lumpu separuh badan akibat kemalangan yang tidak disangka. Beliau yang sudah dua tahun lumpuh pada awalnya tidak boleh menerima kenyataan apabila sebelum ini boleh bergerak bebas, buat apa sahaja. Namun apabila Allah menguji dengan ditarik kedua kakinya, disekat segala kebebasan maka dia mula mengenal apa ertinya kehidupan yang sebenar. Saat diri ada segala dikerumuni rakan taulan dia lupa dirinya. Dia jauh dengan Allah. 

Bila diuji dia sedar bahawa Allah pemilik segala. Dia mula kenal siapa Allah yang menjadikan. Dia mendapat kawan yang sejati yang membawa ke jalan kebenaran. Beliau bangkit dari kegagalan. Menurut beliau hikmah dari peristiwa itu membuatkan beliau menghargai kasih sayang ayah ibu. Satu ketika dulu beliau tidak pulang ke rumah selama sethaun lebih dek kerana ibu tidak merestui kawan beliau. Sehingga beliau tidak pulang berhari raya. Namun bila ditimpa musibah, ibulah yang banyak memberi sokongan dan mendoakan beliau agar kembali pulih. Kini beliau mengetahui hakikat bahagia. Jika dulu beliau mencari hiburan yang tidak membawa erti apa-apa. Hati tidak tenang bila sendirian. Kini dia tahu ketenangan adalah satu kebahagiaan. 

Wallahuaalam

Monday, April 28, 2014

Dilemma wanita dan kerjaya



Bismillah,

Wanita yang bekerjaya seringkali berada dalam dilemma. Kisah yang saya lontarkan dalam travelog empayar jiwa sudah pasti perlu jadi panduan buat wanita. Ada ketika kita ada pilihan namun kita susah mahu memilih lalu ia menjadi satu dilemma buat wanita.

Wanita yang punya kerjaya namun kerjaya itu memaksa dia berjauhan dengan suami. Ia bergantung kepada kefahaman kerana pengorbanan suami isteri dituntut. Jika isteri perlu bertugas jauh dan suami pula ada komitmen kerja di tempat sedia ada memaksa mereka berjauhan. Lalu wajarkah si isteri berada jauh? Jika ada anak-anak yang perlu diurus, balik atau bertemu sekali sekala. Namun dek kerana ia punca pendapatan bersama maka si isteri harus meneruskan tugas dan kerjaya.

Ia satu perngorbanan bersama, Benar sekali. Namun ada risikonya. Bila berjauhan ada banyak kes berlaku. Ada suami atau isteir yang curang. Tidak memegang janji dan amanah bersama. Contoh bila jarak masa lima tahu berjauhan pasti ada hati yang tidak sabar dengan ujian. Maka ada kes suami kahwin lain tanpa pengetahuan isteri. Ada isteri yang punya kekasih gelap diluar.

Bila hal ini berlaku maka wanita bekerjaya masih relevankah. Ada yang menyesal kerana bertugas jauh kerana dari situ suami ambil kesempatan kahwin baru. Rasa diri teraniaya kerana mereka keluar mencari kerja untuk keluarga.

Maka jawapan saya mudah, ia bergantung pada sikap dan prinsip yang dipegang oleh individu. Ramai yang berjuahan tapi boleh setia. Namun jika tidak mampu atay tidak mahu menanggung risiko buat pilihan untuk tinggalkan kerjaya dan duduk sahaja di samping suami. Jika duduk setia bersama pun suami tetap ada cinta yang lain maka, berlapang dada dengan takdir. Jodoh itu ditangan Tuhan. Kita hanya mampu merancang.

Wallahuaalam.

Thursday, October 10, 2013

Membina Potensi Diri Anak-anak


Bismillah,

Setiap ibu bapa pastinya mendambakan anak-anak yang bijak pandai serta berpotensi baik dalam akademik mahupun kurikulum. Bagaimana membina potensi anak-anak supaya kelebihan yang ada mampu diserlahkan. Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan yang amat penting. Antara tips yang boleh diguna pakai adalah:


  1. Memberi kata-kata semangat
  2. Sentiasa memuji dan bukan mengkritik
  3. Elakkan membuat perbandingan dengan orang lain
  4. Memberi idea yang bernas pada anak-akan
  5. Latih anak-anak berdikari dan yakin diri
  6. Jika anak-anak membuat silap elakkan memarahi mereka
  7. Kenal pasti kebolehan anak-anak yang boleh dikembangkan
  8. Galakkan keterlibatan anak-anak di sekolah
  9. Memberi kepercayaan pada anak-anak mencuba sesuatu yang baru
  10. Menjadi mentor pada anak-anak

Monday, September 30, 2013

Persediaan dan doa sewaktu menduduki peperiksaan


Bismillah,

Hari ini bermulanya detika peperiksaan untuk anak-anak... Iman Ihsan orang yang teruja mahu masuk periksa, paling seronok sebelum ke sekolah katanya : " Ummi doakan ye... ".. Bila beliau sudah ke sekolah maka saya beransur ke ofis. Jam menunjukkan pukul 5.45petang maka telefon bimbit saya berdering di hujung sana suara Iman berkata " Ummi, Iman dah habis exam nanti Ummi doa ya agar pemerikasa lembut hati".. Jawab saya.. " Doa ummi sentiasa bersama Iman.."

Ternyata saya senyum sendiri.Anak-anak bila diasuh untuk berdoa maka saat genting mereka mahu dekat dengan Yang Maha mencipta dan Maha Berkuasa. Anak saya yang bakal menduduki PMR juga sebelum ke asrama siap berpesan, " Ummi nanti hari Rabu Ummi puasa ye".. Lalu saya menjawab " Puasa sunat hanya Isnin Khamis sahaja". Beliau menyarankan begitu kerana sering saya ingatkan agar banyakkan berpuasa dan beristighfar bila belajar. Kita bukan bergantung kepada study sahaja kerana Allah yang menentukan kejayaan. 

Selain itu ibu bapa juga boleh mengamalkan sedekah agar anak-anak dipermudahkan dalam menjawab peperiksaan. Puasa itu juga banyak hikmahnya kerana waktu berpuasa otak kita lebih aktif mengingat dan membantu memori. Banyakkan beristghfar pula agar Allah ampunkan dosa dan memberi cahaya pada hati dan minda. Selain itu makanlah makanan berkhasiat serta makanan sunnah. 

Bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan, dekatkan diri kepada Allah. Bagi ibu bapa pula banyakkan berdoa. Harapan bukan semata anak-anak lulus periksa dengan cemerlang, tetapi lebih utama mereka berjaya dunia dan akhirat.

Wallahuaalam.

Friday, September 27, 2013

Dilemma memilih sekolah anak-anak

Bismillah,

Setiap kali peperikasaan UPSR, PMR dan SPM maka ibu bapa akan terfikir tentang sekolah yang bakal di tempatkan bagi anak-anak sesuai dengan keputusan yang diperoleh dan keupayaan serte kecenderungan anak-anak. Berdebar saat menerima keputusan beralih pula kepada dilemma memilih sekolah untuk mereka. Ada ibu bapa yang mahu anak-anak bersama mereka maka mereka akan di hantar ke sekolah berhampiran sahaja. Namun ada yang memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang dirasakan lebih bagus seperti SBP, SBPI, SMKA, SAM, INTEGRASI dan juga alternatif school/sekolah swasta yang menawarkan pelbagai pakej pelajaran baik untuk akademik mahupun ko kurikulum. 


Apa jua sekolah bukan satu yang penting kerana lebih penting adalah kemahuan anak-anak sendiri untuk belajar tetapi sekolah tetap memainkan perana dalam membentuk keperibadian anak-anak. Memang ibu bapa adalah faktor utama namun perlu kita ambil kita dengan siapa anak-anak kita bergaul, bagaimana corak pergaulan tersebut dan apa silibus yang ditawarkan. 


Maka pada saya ia tidak menjadi satu diemma yang besar kerana priorti anak-anak saya perlu bersekolah aliran agama sebagaimana saya dan suami sebelum ini. Bahkan jika aliran sains sekalipun saya mahu memastikan anak mengambil aliran Sains Agama. Bagi saya yang mmilih anak-anak perlu belajar bahasa Arab maka sudah pasti itu adalah ciri ke dua yang perlu ada. Ciri yag ke tiga saya memastikan sekolah tersebut dekat dengan rumah atau dengan kata lain mudah untuk dikunjungi dan dilawati. Biarpun tinggal di asrama kami mahu memastikan agar anak-anak sentiasa dekat dengan kami untuk kami mudah mengambil dan menghantar. 

Apapun sekolah yang dipilih ia bergantung kepada anak-anak dan ibu bapa yang memainkan peranan dalam mendidik. Ini kerana ibubapa tetap berperanan dalam hal anak-anak, sekolah walau di mana, aliran apa tetap memerlukan tarbiyaah dan didikan dari rumah. 

Wallahuaalam.

Sunday, September 22, 2013

Keluarga di hati kita

Bismillah,

Ada ketika biar sesibuk mana dengan kerjaya kita perlu memilih untuk bersama keluarga. Mungkin kita akan merasa rugi kerana terlepas banyak perkara namun percayalah masa yang diperuntukkan bersama keluarga terutama ibu bapa adalah lebih bermakna. Adakala mereka tidak mendambakan duit ringgit kita walau kita beralasan sudah memberi dan beralasan sibuk dengan kerja untuk bersama mereka. Kelurga terutama anak-anak amat mengimpikan ibu bapa mereka ada disamping mereka, manakala ibu bapa juga bila meniti usia senja mereka amat mengharapkan anak-anak menjenguk mereka.
Hidup ini ibarat roda, bagaimana kita melayan orang tua kita maka begitulah anak-anak melayan kita bila kita sudah tua. Kita adalah role model kepada anak-anak. Kerana itu beljar menghargai ibu bapa dan berusaha membalas jasa mereka. Seringkali kita merasa sudah berbuat yang terbaik, namun apa yang kita sangkakan itu jauh sekali. Jasa ibu bapa tidak mungkin akan terbalas. Pun begitu kita perlu meletakkan sasaran mahu melakukan yang terbaik sama seperti kita mensasarkan mahu menjadi pekerja cemerlang, begitulah kita sebagai anak. Sasaran dan target menjadi anak soleh yang terbaik di mata ibu bapa, di sisi Allah SWT. Pastinya ganjaran besar buat kita kerana keredhaan Allah itu pada keredhaan ke dua ibu bapa. 

Wallahuaalam.


Tuesday, September 10, 2013

Kegusaran ibu bapa bila anak-anak menghadapi peperiksaan


Bismillah,

Hari ini hari pertama pelajar tahun 6 menduduki UPSR. Selamat menduduki UPSR kepada semua anak-anak tahun 6. Apabila melihat posting di FB ramai ibubapa yang meluahkan kegusaran dan kebimbangan mereka terhadap keadaan anak-anak dan sudah mula membayangkan keputusan yang akan tiba serta meluahkan harapan mereka.

Bahkan ada ramai juga yang memberikan komen secara tak rasmi dan menulis sesuatu yang bermanfata di wall FB masing-masing. Ada seorang sahabat saya menulis iaitu Dr Ramizah, AIKOL IIUM :

"Zaman saya dulu, dikenali dengan Penilaian Darjah 5. Seingat saya, keputusan peperiksaan tersebut ialah 1A 4B. Sangat malas belajar semasa di sekolah rendah, hanya tahu bermain dan melompat saja.
Apa pun yang berlaku dalam hidup kita yang lepas, usah ditangisi dan dikesali. Yang penting siapa kita hari ini. Apa yang dipelajari pada kenangan lalu dan apa perancangan kita agar tidak diulang lagi kesilapan lepas. "

Bagi ibu bapa sudah pasti mengharapkak kejayaan anak-anak. Namun perlu diingatkan kejayaan sebenar bukan hanya akademik tetapi kejayaan aqidah dan syaksiah yang perlu diutama. Kecemerlangan akademik sekadar lesen unutk mencari kerja dan menruskan survival hidfup, namun ada juga yang gagal. Maka lebih elok anak-anak menjadikan pengalaman sebagai unversiti terbaik mereka bagi mencapai kejayaan. Semoga berjaya dunia akhirat untuk semua.

Wallahualam