Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Tuesday, January 31, 2012

Bila si suami menyebut ingin kahwin lagi

Bila si suami menyebut ingin kahwin lagi
si isteri jadi tak keruan
si suami pula seperti di awangan..


Bila si suami menyebut ingin kahwin lagi
lalu si isteri berbicara soal hati
si suami lalu berkata 
kenapa dengan hati? Aku masih cinta dan sayang..
Si isteri menyapa..
Jika masih cinta dan sayang..
kenapa engkau sanggup menduakan..
Si suami lalu menyatakan..
Aku sekadar menyahut seruan..
Membela nasib insan yang malang..


Bila si suami menyebut ingin kahwin lagi
lalu si isteri bertanya..
kenapa engaku tidak setia pada janji dulu
si suami lalu menjawab
Aku masih setia pada janji tetapi aku perlu menyahut cabaran
menambah bilangan ummat Islam..


Alahai suami.. kenapa perlu tambah bilangan..
Alahai isteri ..bagaimana memujuk diri yang kebimbangan..


Bila si suami menyebut ingin kahwin lagi
Bicaralah dengan penuh jiwa yang lapang
jangan libatkan emosi dan perasaan 
moga dirimu beroleh kebahagiaan


Bila si suami menyebut ingin kahwin lagi
Bicaralah soal hati dan perasaan 
moga semua dapat mencari penyelesaian
jangan yang dikejar tak dapat
yang dikendong berciciran..

Nukilan: Ummu Ieman Ihsan
Hari ini dan hari-hari sebelumnya..rakan-rakan (MF group FB saya) sibuk berhujjah tentang poligami..maka saya terfikir untuk menulis puisi ini sekadar untuk tatapan bersama.

Sunday, January 29, 2012

Menerima Seadanya...

Pernahkah kalian mengalami atau pernahkah sesorang berkongsi cerita mereka tentang perihal permasalahan ini….Jika orang tidak suka pada kita, apa yang kita buat, apa yang kita kata akan semuanya tidak betul dimata mereka. Hingga adakala kita terfikir apa silap kita? Apa lagi cara yang boleh kita guna demi untuk menambat hati mereka? Adakala apa yang orang kata dan kita kata sama, tetapi mengapa kita yang dicela? Itulah hakikat kehidupan yang yang perlu kita terima, bahawa manusia ini punya perspektif dan pandangan yang berbeza. Setiap orang ada pendirian sendiri serta citarasa yang berbeza, seperti duit syiling keduanya mempunyai perbezaan jadi bagaimana sesorang itu berpandangan adalah berdasarkan apa yang mereka lihat. Kita tidak boleh memaksa orang lain berfikiran atau bersetuju dengan pendapat atau pendangan kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah muhasabah diri sendiri serta tidak berburuk sangka serta berbuat sesuatu dengan ikhlas tanpa mengharapkan pujian atau pengiktirafan. Baik kita atau sesiapa sahaja, nadai ada kekurangan, terimalah seadanya..Biarlah segala yang dilakukan itu diserah kepada Allah. Jadilah diri dan jiwa yang kental…tidak bangga dengan pujian, tidak terhina dengan kejian. Kita berharap hanya kepadaNya. 

Mengapa Doa Tidak Makbul

Tugas rasmi saya di setiap hujung minggu ialah mengambil anak dari  kelas tuisyen. Sambil menunggu anak keluar, layan celoteh dalam radio. Tetiba blackberry saya berbunyi menndakan ada mesej yang masuk. Rupanya mesej tu datang dari seorang sahabat yang memang saya cemburu dengan kejayaannya baik dari segi akademik mahupun kebahagiaan keluarganya. Dalam mesej itu, dia meminta saya agar mengongsikan sedikit bahan dalam blognya. Berkerut juga dahi memikirkan apa yang nak dikongsikan.  Memang dah agak lama tak menulis. Lagipun dulu, kalu menulis pun untuk tatapan dan simpana sendiri sahaja. Tapi kali ini nak dikongsikan dalam blog yang dilawati oelh mereka-mereka yang amat tinggi ilmunya, bahkan ada di antara mereka adalah ikon saya sejak zaman sekolah.

Dalam hati gelabah memikirkan  apa yang nak  dikongsi, tiba-tiba terdengar dari corong radio soalan dari seorang gadis sambil teresak-esak bertanya kepada ustaz panel dalam radio mengapa doanya tidak pernah termaqbul.  Lantas saya teringat,  soalan yang sama pernah juga timbul dalam kepala saya. Saya juga percaya ramai juga masih tertanya2 soalan yang  sama. Ramai juga yang mungkin mengeluh kenapa doa yg mereka panjatkan sehingga kini masih belum terkabul. Dalam mencari jawapannya, saya menemui beberapa nasihat yang  saya kira boleh memberi sedikit pencerahan  dalam meruntai sebab mengapa doa kita tak dimakbulkan:

Pertama : Doa yang tidak dimaqbulkan oleh Allah sebenarnya adalah  salah satu bentuk ujian dari Allah yang mesti kita terima dengan lapang dada serta penuh kesabaran. Firman Allah:                             yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan (anbiya:21).

Kedua: Setiap perkara sudah di atur oleh Allah. Perkara ini perlu kita sedari dengan jelas. Tiada satu makhluk pun yang dapat mengelak dari ketentuanNya. Ibnu Nashiruddin al Dimasqi Rahimahullah berkata: Tidak ada seorangpun yang dapat lari dari ketentuan Allah. Tidak ada seorang pun yang mampu mengelak dari keputusan dan ujian Allah. Hanya kepunyaan Allah kerajaan dan para hambanNya. Allah berhak mengatur sesuai dengan kehendaknya dan keinginanNya (Bardul-Akbad ‘inda Faqdil Aulad)

Ketiga: Di dalamnya terdapat hikmah dan rahsia ilahi. Firman Allah:” dan sesungguhnya Tuhanmu maha mengetahui Al anam:83) Allah maha Agong, mampu member dan menahan sesuatu. Ada rahsia dalam setiap ketentuanNya. Kadang2, terkabulnya doa akan membawa kita kepada keburukan. Allah yang mencipta hambaNya, Dialah yang paling mengetahui apa yang terbaik dan terburuk untuk hambaNya. Sesuatu yang baik pada pandangan kita belum tentu baik pada pandangan Allah dan Dia tidak akan sekali2 menzalimi hambaNya. Imam Ibnu Qayyim dlm madarij assalikiin berkata ”Ketetapan Allah bagi hambaNya yang beriman pada hakikatnya  adalah pemberian walaupun kelihatannya berupa pencegahan. Dan cobaanNya adalah kebaikan walaupun kelihatan tidak menyenangkan”.

Keempat: Doa yang termakbul bukan semestinya dalam bentuk yang kita minta. Ada juga doa yang termakbul dalam bentuk terhindar dari keburukan dandoa yang Allah tangguhkan dan simpan samapi hari akhirat sebagaiman sabda saw:” “ Tidaklahseorang muslim berdoa dgn doa yg tidak mengandung dosa dan memutus sillaturrahim melainkan Allah berikpdnya 3 perkara: menyegerakan doanya utk dikabulkan, atau Allah simpan untuknya diakhirat atau Allah palingkan daripadanya keburukan semisalnya” (albukhari dalm adab almufrad di sahihkan oleh Al albani)

Keempat: Sentiasa bermuhasabah dan melihat kedlam diri kita. Barangkali masih ada dosa dan maksiat yang belum kita tinggalkan. Sekiranya ada, maka segeralah kita bertaubat kepada Allah kerana dosa termasuk dalam penghalang untuk doa dimakbulkan sebagaimana yg diingatkan oleh ulam salaf Ibnu Raja dlm kitabnya Jamiul ulum wal ahkam” Tidaklah doa itu tertunda utk dikabulkan kecuali engkau telah menutup pintunya dengan maksiat”

Demikianlah sedikit yang mampu saya kongsikan dari sudut sebab umum doa tidak termakbul. Mungkin di lain waktu dan kesempatan boleh kita perincikan kan lagi dari sudut syarat dan adab berdoa yang mungkin ramai di kalangan kita abaikan. Moga perkongsian di atas member manfaat. Wa tafiiqi illa billah. 

Abu Nabiilah


http://khalifahjiwa.blogspot.com/2012/01/mengapa-doa-tidak-makbul.html

Friday, January 27, 2012

Doa Apabila Berhadapan dengan Perkara Rumit dalam Rumah Tangga

رَبِّ احْكُمْ بِالْحَقِّ وَرَبُّنَا الرَّحْمَنُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, hukumlah (antara kami dan mereka) dengan yang benar dan Tuhan kami yang Memberi Rahmat-Nya yang dipohonkan pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu sifatkan itu.” (Surah al-Anbiya’ 21:112)


Amalan
Daripada Qatadah, beliau berkata bahawa Nabi Muhammad SAAW diajar oleh Allah s.w.t. agar berdoa dengan doa ini. Maksud doa ini ialah Baginda sentiasa berada pada pihak yang benar, sedangkan musuhnya sentiasa berada pada pihak yang salah. Maka Baginda diriwayatkan akan sentiasa membaca doa ini ketika bertemu musuh. (Tafsir Ibn Hatim). Selain membaca doa ini ketika berhadapan dengan musuh, para suami dan isteri juga boleh mengamalkan doa ini ketika berhadapan dengan masalah atau kerumitan dalam rumah tangga seperti kehadiran orang ketiga yang cuba mengganggu gugat keharmonian rumah tangga. Berdoalah agar Allah s.w.t. mengikat hati-hati setiap pasangan agar sentiasa saling mencintai dan menyayangi. 

Dipetik daripada buku Dr Zahazan, Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari. (Solusi 40: Misteri Poligami)

Thursday, January 26, 2012

Membudayakan Sifat  Ikhlas.
Ikhlas ialah melakukan sesuatu dengan tujuan mengharapkan redha Allah sebagai prioriti pertama. Ikhlas tidak terbatas kepada aspek ibadah khusus tetapi meluas kepada semua aspek kehidupan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:.Katakanlah: “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [al-An’aam 6:162] Ikhlas dalam bekerja menyebabkan seseorang itu tidak akan kehilangan motivasi seandainya hasil kerjanya tidak mendapat sanjungan majikan, orang-orang sekeliling kerana yang penting bagi dirinya ialah sanjungan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ikhlas juga menjadikan seseorang itu pekerja yang berani sebab dia mengetahui Allah akan melindunginya dari apa-apa perbuatan fitnah manusia seperti dengki  dan politik kotor pejabat. Pengetahuan ini berdasarkan sabda Rasulullah
“Sesiapa mencari keredhaan Allah dengan kebencian manusia, maka Allah akan melindunginya dari kesulitan perbuatan manusia. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia dengan kebencian Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia”

Ummu Ieman Ihsan
Dipetik dari buku Inspirasi Kerjaya

Wednesday, January 25, 2012

JAMINAN SEBUAH KEHIDUPAN

Ramai orang mencari jaminan sebuah kehidupan dengan mencari harta sebanyak mungkin dengan harapan harta itu bakal menjadi penyelamat diri. Ada juga yang mencari jaminana kehidupan dengan mendapatkan kuasa, kerana percaya bila ada kuasa diri akan terjamin. Ada juga yang merasa diri yang gagah dan berpengaruh boleh member jaminan kehidupan dengan memeras orang yang lemah. Ternyata ramai yang tersasar dari memahami erti sebenar jaminan sebuah kehidupan. Sepatutnya jaminan hidup bukan kerana duit yang banyak, harta yang mengunung atau pangkat yang hebat. Tetapi jaminan sebenar adalah mati dalam keimanan, terhindar dari api neraka dan masuk ke syurga.

Oleh itu, kita perlu mencari jaminan dengan Allah. Bagaimana caranya? Iaitu dengan menjadikan duit, harta kekayaan, pangkat, atau segala yang ada pada diri kita sebagai wasilah untuk mencapai matlamat yang syarie atau ‘mardhaatillah’. Inilah yang dikatakan kejayaan yang sebenar dalam mengapai jaminan kehidupan baik di dunia mahupun di akhirat. Dengan kata lain kita perlu taat perintah Allah dan mengikuti sunnah Rasulullah maka sejauh itulah kejayaan kita. 

Realiti dan kefahaman sebenar tentang jaminan kehidupan bukanlah terletak pada banyaknya harta yang dimiliki, lihatlah betapa sejarah telah membuktikan dimana Qarun binasa dengan hartanya, juga tiada pada pangkat kerana Haman sendiri binasa bersama pangkatnya. Ia juga tidak pada miliki kerajaan, lihat sendiri Firaun binasa dengan kerajaannya, pun jaminan kehidupan tidak pada teknologi, kerana Kaum Aad dan Thamud sudah binasa walaupun punyai teknologi tinggi. Banyak sudah ibrah yang ada dalam Al Quran yang kita boleh perhati dan ambilnya sebagai iktibar dalam mencorakkan kekayaan atau juga kejayaan bagi menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Kedatangan Yang Dirai

Semalam saya mendapat satu surprise.. apa tidaknya anak buah mengatakan ingin singgah ke teratak saya untuk memberikan barangan saya. Mengetahui dia esok perlu bekerja saya kata tidak mengapa kerana hari sudah lewat malam. Tapi dia kata tak mengapa kerana ingin berjumpa mata dan memberikan ssuatu yang berharga.. saat pagar dibuka, pintu di kuak..yang muncul bersama belaiu adalah ibu saya yang datang dari kampung bersama beliau..
Allah itu mendengar dao saya dan detik hati nurani kita.. Cuti tahun baru cina kebiasaan saya pulang ke kampung, tetapi kerana terpaksa menghantar dan mengurus program anak saya ke rumah anak yatim, maka hasrat untuk bercuti di kampung saya pendamkan.. sewaktu dalam perjalanan mengambil anak saya di rumah anak yatim saya menyatakan kepada suami alangkah indah saat ini jika kita berada di kampung..tapi  saya menambahkan pendapat dengan menyatakan kami patut bersyukur kerana kesempatan yang ada  ini boleh dimanfaatkan untuk sesuatu yang juga bermanfaat buat diri dan orang lain..
Kerinduan saya untuk pulang ke kampung sekadar ingin menjenguk ibu yang sebatang kara. Walaupun semua anak-anak berada di smaping kecuali saya yang tinggal berjauhan, namun saya tetap merasakan satu tanggungjawab yang perlu saya langsaikan ke atas saya..
Alhamdulillah.. 
Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihani
Dia mendengar isi hati yang tersirat..
Dia mengatur segala perjalanan..
Apa yang terdetik di sanubari..
Apa yang terintas di fikiran 
Apa yang tersimapn di sudut nurani..
Dia menjadikan itu satu realiti 
buat diri..

Monday, January 23, 2012

Benci Bersulam Rindu


Bila dia tidak di depan mata
Maka berkatalah hati..
Aku sepi tanpa dia..
Aku rindu tidak terkira..
Aku perlukan dia…
Aku mahu sentiasa bersama..
Berkongsi rasa.. pahit dan manis..
Bertukar cerita.. suka dan duka..

Namun ada ketika peliknya jiwa..
Ada saat hati terdetik..
Melihat dia rasa kecewa..
Bersama dia memendam luka
Bercakap padanya menyembunyi rasa..
Bersembang dengannya menambah lara..

Alahai..hati dan jiwa..
Rindu bersatu dalam benci
Benci menyapa saat bertandangnya rindu

Wahai…
Dalam rindu ada benci..
Dari dulu masih sama..
Apakah ada ubatnya..
Ada masa suka
Ada masa menitiskan airmata..
Apakah itu tandanya cinta..

Nukilan; Ummu Ieman Ihsan

KEMARAAN ORIENTALISME DI BELAKANG TABIR ISLAMISME

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
Selaku pelajar tahun pertama di Universiti Antarabangsa al-Madinah al-Munawwarah dalam kuliah Usuluddin, antara subjek utama bagi kami adalah subjek ‘al-Ghazwul Fikri’ atau sering diterjemah secara mudah sebagai ‘Perang Saraf’.
Perang Saraf atau lebih saya suka terjemah sebagai ‘Serangan Ideologi’ ini merupakan racun berbisa yang masih menjalar dalam tubuh umat Islam dewasa ini yang telah dicuck ke dalam badan mereka bermula dari otak hingga ke hujung kaki oleh musuh-musuh Allah s.w.t sama ada Yahudi ataupun Nasrani bahkan tidak dinafikan kaum Musyrikin seperti Hindunisme.
Jarum yang digunakan untuk menyuntik racun ini ke dalam tubuh Umat Islam mempunyai cabang yang banyak sehingga sekali tusukan bukan sejenis racun yang dimasukkan tetapi pelbagai jenis dan antara yang perlu kita pandang serius adalah racun ‘Orientalisme’.
Orientalisme adalah usaha pihak kafir terutama barat mempelajari ilmu-ilmu Islam  kemudian mereka menjadi ahli dalam ilmu-ilmu ini dengan matlamat mereka dapat menggoncang akidah umat daripada dalam dan tanpa disedari.[1]
Teori menyatakan bermulanya orientalisme ini semasa peperangan salib apabila kaum Nasrani menjajah Negara-negara Islam dan hidup bersama masyarakat Islam dan ada yang meletakkan kepada sekumpulan paderi yang belajar bahasa Arab di Andalusia.[2]
Namun, saya lebih setuju jika kita meletakkan Oreintalis pertama adalah Abdullah bin Saba’ al-Yahudi dikenali juga sebagai Ibn al-Sauda’ (Anak Perempuan Hitam) iaitulah pengasas ajaran Syiah Rafidah yang menjadi anutan rasmi kerajaan Iran hari ini.
Ini berdasarkan fakta sejarah yang jelas dan disepakti bahawa Ibn al-Sauda’ adalah Yahudi pertama yang di zaman Khalifah Saidina Usman bin al-Affan radiallahuanhu yang menyamar sebagai muslim lalu memasukkan racun-racun fitnah ke dalam pemikiran Umat Islam sehingga membawa kepada terbunuhnya Saidina Usman radiallahuanhu yang dikenali sebagai ‘al-Fitnah al-Kubra’. [3]
Tindakan Abdullah bin Saba’ ini tidak ubah seperti Orientalis yang menyilinap dalam Islam, menampakkan diri sebagai ahli dalam ilmu-ilmu Islam kemudian memesongkan akidah umat Islam. Demikianlah pekerjaan Orientalis. Apabila keadaan umat telah lemah, maka datanglah kaum-kaum penjarah menjarah dan meratah bumi-bumi Umat Islam diikuti pula para pendakyah agama kufur untuk mengkafir dan memurtadkan Umat Islam-nauzubillah min zalik-. [4]
Usaha orientalis ini tidak terhenti di zaman Usman radiallahuanhu bahkan berterusan ke zaman kita hari ini dan menjadi rancak semenjak zaman peperangan salib. Bahkan kejayaan kemuncak kaum kafir ini adalah mereka melahirkan anak-anak Islam yang lahir daripada keluarga Islam, hidup di negeri Islam dan berakidah dengan akidah Islam tetapi mempunyai otak dan jiwa orientalis.
Kelahiran kaum munafiqin daripada anak-anak kaum muslimin ini merupakan sesuatu yang sangat menggemparkan penjuru-penjuru dunia Islam dan menggoncang tiang-tiang kerajaannya lebih-lebih lagi mereka ini bertopengkan wajah ulama dan berjubah dengan jubah mufti.
Namun, bagi mereka yang berpegang dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sesuai dengan Manhaj Salafi tidaklah begitu terkejut dengan kelahiran kaum ini kerana kedatangan mereka memang telah dihidu dan dinanti dengan persediaan memerangi mereka.
Ini kerana dalam hadis yang dikeluarkan al-Bukhari dan Muslim telah pun menyatakan berkenaan mereka daripada Saidina Huzaifah bin al-Yaman radiallahuanhu kata beliau:
كان الناس يسألون رسول الله صلى الله عليه و سلم عن الخير وكنت أسأله عن الشر مخافة أن يدركني فقلت يا رسول الله إنا كنا في جاهلية وشر فجاءنا الله بهذا الخير فهل بعد هذا الخير من شر ؟ قال ( نعم ) . قلت وهل بعد ذلك الشر من خير ؟ قال ( نعم وفيه دخن ) . قلت وما دخنه ؟ قال ( قوم يهدون بغير هديي تعرف منهم وتنكر ) . قلت فهل بعد ذلك الخير من شر ؟ قال ( نعم دعاة على أبواب جهنم من أجابهم إليها قذفوه فيها ) . قلت يا رسول الله صفهم لنا قال ( هم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا ) . قلت فما تأمرني إن أدركني ذلك ؟ قال ( تلزم جماعة المسلمين وإمامهم ) . قلت فإن لم يكن لهم جماعة ولا إمام ؟ قال ( فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض بأصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك )
Maksudnya: “Adalah manusia bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan kebaikan dan aku pula bertanya tentang keburukan kerana aku takut mengenai ku maka aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami dulu berada dalam jahiliyyah dan kejahatan maka kamu datang membawa kebaikan ini maka adakah selepas kebaikan ini kejahatan? Jawab baginda: Ya. Aku berkata: Adakah selepas kejahatan itu ada pula kebaikan? Jawab baginda: Ya, dan padanya ada kekaburan. Aku berkata: Apakah kekaburannya? Jawab baginda: Kaum yang tidak mengikut petunjuk ku, ada perkara yang kamu setuju dengan mereka ada yang kamu ingkar. Aku berkata lagi: Adakah selepas kebaikan ini kejahatan pula? Jawab baginda: Ya, para pendakwah di atas pintu-pintu Jahannam, sesiapa yang mengikut mereka akan dilontar ke dalamnya. Aku berkata: Wahai Rasulullah, sifatkanlah mereka kepada kami. Jawab baginda: Mereka itu daripada kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita. Aku berkata: Apakah perintahmu jika aku mendapati keadaan tersebut? Jawab baginda: Hendaklah kamu melazimi jeamaah kaum muslimin dan pemimpin mereka. Aku berkata: Jika mereka tiada jemaah dan tiada Imam? Jawab baginda: Maka tinggalkanlah semua puak-puak yang ada walaupun kamu terpaksa menggigit akar kayu sehingga mati dalam keadaan itu”. [al-Bukhari & Muslim].
Dalam riwayat Muslim dengan jalan daripada Abu Sallam daripada Huzaifah radiallahuanhu menytakan:
قَالَ « يَكُونُ بَعْدِى أَئِمَّةٌ لاَ يَهْتَدُونَ بِهُدَاىَ وَلاَ يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِى وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِى جُثْمَانِ إِنْسٍ ». قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ « تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ »
Maksudnya: “Jawab baginda: Aka nada selepas ku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjuk dan sunnahku dan akan ada dalam kalangan mereka lelaki-lelaki berhati syaitan dalam badan manusia. Aku berkata: Bagaimana aku hendak lakukan jika aku mendapati keadaan itu? Jawab baginda: Engkau dengar dan taatlah kepada pemerintah walaupun dia memukul kamu dan merampas harta kamu, dengar dan taatlah”.
Maka inilah dia kejahatan yang ketiga kita berada dalamnya sekarang di mana ada pendakwah-pendakwah di atas pintu-pintu jahannam, mereka ini dari agama kita dan bercakap dengan bahasa kita yakni mendakwa menyeru kepada Islam dan Nabi s.a.w juga nyatakan mereka ini adalah manusia-manusia yang berhati syaitan-nauzubillah min zalik-.
Sejarah Islam Moden telah menyaksikan beberapa tokoh perosak umat yang berselubung di sebalik nama Islam dan dakwah pembaharuan. Mereka ini tanpa segan silu menamakan diri mereka sebagai ‘Mujaddid’ yakni pembaharu agama sedangkan meraka hanyalah ‘Mukharrib’ yakni perosak akidah umat. Mereka memegang ijazah al-Azhar al-Syarif tetapi ilmu mereka bersumber daripada Oxford University.
Antara tokoh yang terkenal sebagai kaum perosak daripada dalam ini adalah Taha Husein di Mesir iaitu seorang anak didik al-Azhar al-Syarif tetapi ilmu dan akidahnya berkiblat kepada barat, badannya dan lidahnya badan dan lidah arab muslim tetapi hatinya dan perkataan yang keluar daripada lisannya adalah pemikiran dan ucapan Hamilton Gibb seorang Orientalis yang terkenal dengan bukunya ‘al-Mazhab al-Muhammadi’ (Muhammadisme). [5]
Hamilton Gibb selaku seorang kafir telah menyatakan bahawa Islam hanyalah rekayasa Muhammad s.a.w dan segala isi al-Qur’an adalah karangan Muhammad s.a.w hasil pergaulan social baginda yang dikelilingi tamadun Arab lama dan Farsi. Ucapan ini dan ajaran ini diulang semula oleh Taha Husein dalam bukunya ‘al-Syiirul Jahili’ (Syair Jahiliah).[6]
Taha Husein berpendapat apa bangsa Arab Jahiliah adalah bangsa yang bertamaddun dan Syair-syair Jahiliah yang menggambarkan kehidupan arab jahili sebagai gasar, berpuak-puak, dan tiada system politik yang teratur sebagai tidak benar.
Bagaimanapun, al-Qur’an adalah sumber sebenar yang menunjukkan bangsa Arab yang bertamaddun dan mempunyai sistem sosial dan politik yang baik, atas dasar ini pada Taha Husein, al-Qur’an adalah sumber rujukan untuk sejarah arab semata-mata dan agama Islam adalah khusus untuk masyarakat arab bukan agama internasional.[7]
Bahkan Taha Husien melebihi Hamilton Gibb bahawa dakwah baginda Nabi s.a.w bukanlah dakwah agama tetapi untuk reformasi sosial semata-mata tetapi Gibb menyatakan apa yang dibawa Nabi s.a.w adalah agama.
Taha Husein juga dengan beraninya menyatakan bahawa segala kisah di dalam al-Qur’an tidak semstinya benar bahkan ianya adalah seumpama dogeng rakyat sahaja seperti kisah Ibrahim a.s dan kaumnya, kisah Sulaiman a.s dan Balqis, dan sebagainya, kewujudan kisah ini di dalam al-Qur’an dan Taurat tidak cukup untuk menyatakan ianya wujud kerana semunay adalah seumpama ‘kisah dongeng rakyat’ sahaja.[8]
Bahkan menurut khabar yang disampaikan pensyarah kami, al-Fadil Ustaz Shadi hafizahullah, pernah Taha Husien dalam kuliahnya di al-Azhar menyuruh para pelajarnya mengkritik balaghah al-Qur’an!! Subhanallah, adakah patut berlaku syak pada Allah s.w.t?!!
Demikian juga antara tokoh yang menggemparkan dunia Islam, Ali Abdul Razik, seorang qadi di Mahkamah Syariah Mesir mengarang sebuah kitab berjudul: ‘al-Islam wa Usul al-Hukmi’ (Islam dan Asas-asas Perundangan).
Dalam Kitabnya yang penuh dengan ulangan-ulangan akidah barat dan orientalis ini Ali Abdul Raziq menyatakan bahawa Islam adalah agama keruhanian semata-mata, tidak ada hubungkait dengan sosial, politik, dan lain-lain. Bahkan katanya, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengasaskan Negara ataupun masyarakat.[9]
Kedua-dua tokoh ini terkenal sebagai ‘ulama’ yang dilahirkan daripada rahim al-Azhar al-Syarif, namun di manakah silapnya? Apakah syaitan yang telah merasuk mereka sehingga mereka menjadi duri dalam daging sebegitu rupa?
Jika kita kaji semula latar belakang pendidikan dua tokoh ini, kita dapati terdapat kesamaan yang ketara, yakni kedua-dua tokoh ini pernah menuntut dan belajar di Univerisiti yang diasaskan kaum penjajah dan orientalis.
Taha Husein ketika dia menuntut di al-Azhar, dia juga menuntut di Universiti Tempatan Mesir (al-Jamiah al-Ahliah) yang dasar-dasar pendidikannya berteraskan sistem penjajah dan akidah orientalis. Kemuncaknya, Taha Husein telah melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Perancis dan di sana dia terkesan dengan pensyarahnya, Suzan yang tentu sekali menggunakan peluang ini untuk memasukkan virus kufur yang cukup kuat dalam diri Taha Husein.
Hasil pemikiran Taha Husein ini sangat membanggakan barat sehingga dia menerima banyak anugerah doktor kehormat daripada pelbagai Universiti Kufur antaranya Oxford University, Madrid University, dan Cambridge University. [10]
Ali Abdul Raziq pula jika kita lihat pendidikannya, selain belajar di al-Azhar, dia juga turut belajar di Universiti Mesir (al-Jamiah al-Misriah) yang terkenal sebagai university yang berkiblat ke barat dalam sistemnya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Oxford University selama empat tahun dari 1912 M hingga 1915 M kemudian terpaksa berhenti kerana meletusnya peperangan dunia pertama.[11]
Ini adalah dua contoh Orientalis muslim atau Muslim yang diorientaliskan oleh kaum kafir barat laknatullahi alaihim, bahkan banyak lagi contoh seumpama Rifaah al-Tahtawi yang turut mendapat pelajaran di Perancis, Abdul Razaq al-Sanhuri[12] juga mendapat pendidikan di Universiti bermanhaj barat kemudian melanjutkan pelajaran ke Pernacis dan berguru dengan Lamber, seorang ahli perundangan Perancis, Zaki Najib Mahmud[13] juga mendapat pendidikan di King’s College London, dan lainnya boleh kita rujuk dalam karya yang sangat baik dalam bidang ini oleh Syeikh Sulaiman al-Kharasyi Hafizahullah, ‘Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharifah’.
Mereka ini terus disanjung dan dikenang sebagai tokoh pemikir umat sehingga ke hari ini oleh sesetengah kaum jahil bahkan ketika saya menghadiri Perhimpunan Bekas Pelajar al-Azhar yang diadakan di KLCC setahun yang lalu (2008M), seorang tokoh sufi Arab Saudi yang juga bekas penuntut al-Azhar, Umar Kamil, memebentangkan pemikiran Rifaah Tahtawi sebagai pemikiran Mujaddid Agung Islam. [14]
Ini sangat ajaib, manakan tidak, bukankah telah jelas dalam sejarah, Rifaah Tahtawi adalah bapa orientalis muslim yang wujud sehingga ke hari ini dan dialah manusia bernama muslim yang pertama mengesyorkan supaya wanita-wanita muslimah di Mesir menanggalkan hijab kerana mengikut budaya Perancis.[15]
Para pelajar kita yang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) jika ditanya kepada mereka; ‘siapakah Rifaah Tahtawi?’  ‘Siapakah Taha Husein?’ maka jawapan yang kita dapat tentulah mereka akan menjawab mereka ini pemikir agung Islam dan tokoh Sastera Arab Islam Moden-kecuali mereka yang diberi rahmat dan hidayah Allah- , mereka tidak didedahkan dengan personaliti tokoh-tokoh ini di sebalik tabir Islam mereka. [16]
Bahaya virus nifaq atau kaum munafiqin seumpama ini sangat berat sehingga Allah s.w.t meletakkan kaum munafiqin di tempat yang paling bawah sebagaimana firman Allah s.w.t:
 إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu berada di tingkat paling bawah daripada neraka dan tiadalah sama sekali kamu dapati ada penolong bagi mereka”. [al-Nisaa: 145].
Demikianlah keadaan manusia-manusia yang berhati syaitan sebagaimana yang disifatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda. Jika kita telah melihat beberapa tokoh golongan ini daripada Timur Tengah, perlu kita ingat bahawa di negeri kita ini juga tidak kurang manusia seperti ini.
Lihat sahaja gerakan Islam Liberal di Malaysia yang semakin menular bahkan muncul golongan yang berani dengan terang-terangan mengingkari kewajipan hijab terhadap wanita dan akidah azab kubur.
Namun, akhir-akhir ini, penulis dapat menghidu bau-bau tengik racun orientalis ini keluar daripada lidah-lidah mereka yang bukan sekadar mengaku muslim bahkan mengaku juga dirinya sebagai pejuang akidah salafiah (Ahli Sunnah wal Jamaah).
Mereka ini menyeru kepada pemansuhan kemuncak akidah Islam yakni akidah al-Wala’ wal Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah). Mereka menyatakan bahawa tiada permusuhan antara Islam dengan kufur bahkan segala permusuhan yang berlaku antara Islam dan Yahudi misalnya semata-mata kerana pertarungan duniawi seperti masalah perebutan tanah.
Akidah ini sangat bertentangan dengan sarihul Qur’an (ayat al-Qur’an yang jelas) dalam firman Allah s.w.t antaranya surah al-Mujadilah ayat 22:
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Makusdnya: “Tidak akan kamu dapati (wahai Muhammad) suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mencintai mereka yang memusuhi Allah dan RasulNya walaupun mereka itu adalah bapa-bapa mereka, saudara-saudara mereka, dan kaum kerabat mereka, mereka inilah yang telah ditetapkan dalam hati mereka Iman dan dikuatkan dengan ruh (petnjuk dan hujjah) daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepadaNya itulah dia parti Allah, sesungguhnya parti Allah jua yang akan mencapai kemenangan”.
Demikian juga firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat ke-7:
وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ
Maksudnya: “dan ketahuilah bersama-sama kamu ada Rasulullah yang jika dia mengikut kebanyakan permintaan kamu tentulah kamu akan menjadi susah tetapi Allah telah mencampakkan kecintaan terhadap Iman dan menghiaskannya dalam hati-hati kamu dan mencampakkan rasa benci terhadap kekufuran, kefasiqan, dan maksiat (dalam hati-hati kamu) demikianlah mereka itu orang-orang teguh di atas kebenaran”.
Penulis telah menjelaskan panjang lebar berkenaan kewajipan membenci kekufuran dalam artikel sebelum ini, maka bolehlah merujuk kembali kepada artikel tersebut.
Seruan supaya memansuhkan akidah al-Wala dan al-Bara ini sangat berbahaya kerana akidah ini adalah tali iman yang paling teguh sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
” أوثق عري الإيمان الموالاة في الله و المعاداة في الله و الحب في الله و البغض في الله “
Maksudnya: “Ikatan Iman yang paling teguh adalah berwala’ kerana Allah dan bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan benci kerana Allah”. [al-Tabrani dan al-Baghawi, disahihkan al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, 998].
Oleh itu, penulis ingin menyeru kepada semua kaum muslimin dan muslimat dalam mengambil sesuatu ilmu terutama agama hendaklah mereka memastikan ianya sesuai dengan metode Ulama al-Salaf al-Soleh (Manhaj Salafi) dan janganlah taksub kepada pertubuhan tertentu walaupun ianya membawa nama Islam kerana virus Tahazzub (berpartai-partai dan berkelompok-kelompok) termasuk salah satu racun Serangan Pemikiran sebagaimana yang telah kami jelaskan dalam artikel sebelum ini.
Hendaklah kaum muslimin dan muslimat bersatu hati di atas manhaj salafi kerana ini sahajalah jalan yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w sebagai ‘al-Jamaah’, adapun selain daripadanya adalah firqah atau kelompok yang terkeluar daripada landasan Islam sejati. Wallahua’lam.




[1] Al-Istiysraq wal Khalfiah al-Fikriah lis Sira’ al-Hadari, Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq.
[2] Teks Pengajian Subjek: al-Ghazwul Fikri, MEDIU, dan Ibid.
[3] Ruus al-Fitnah fi al-Saurah ‘ala al-Khalifah Usman, Khalid Ilal, m.s 5 dan selepasnya dan al-Bidayah wan Nihayah, Ibn Kasir, 7/188.
[4] Teks Pengajian Subjek: al-Ghazwul Fikri, MEDIU. Lihat juga: Ajnihah al-Makru al-Salasah.
[5] Teks Pengajian Subejk: al-Ghazwul Fikri, MEDIU. Lihat juga, Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharif, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi, Majmuah al-Rabiah.
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Teks Pengajian Subjek: Al-Ghazwul Fikri dan Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharif, Majmuah al-Rabiah.
[9] Ibid
[10] Nazarat Syar’iyyah fil Fikar al-Munharif, Majmuah al-Rabiah, Syeikh Sulaiman al-Kharasyi.
[11] Ibid.
[12] Dia adalah bapa kepada Qanun Syariah yang wujud di Negara-negara Islam sekular hari ini yang menjadikan undang-undang syariah sebagai pemboleh ubah disesuaikan dengan akal dan nafsu.
[13] Mengingkari perkara-perkara ghaib dalam kitabnya: Khurafat al-Metafiziqa.
[14] Penulis ketika itu hadir sebagai wakil Jabatan Mufti Negeri Perlis.
[15] Lihat kitabnya: Talkhis al-Ibriz fi Talkhis al-Baris.
[16] Rujuk Buku Teks : Tarikh al-Adab al-Arabi bagi matapelajaran STAM.

Sunday, January 22, 2012

Didikan Bermula dari Rumah


SIRI 1
Cuti hari ahad begini biasanya selepas masak dan mengemas, saya akan mengambil kesmepatan untuk memantau anak-anak menonoton TV. Paling seronok pada waktu begini pada mereka adalah rancangan karton, namun seperti biasa channel kegemaran saya adalah TV al-Hijrah. maka itu giliran saya untuk memilih channel dan seperti biasa jika anak-anak tidak akan merungut dengan channel pilihan saya. Bagusnya sewaktu itu rancangan Assalamualaikun sedang ke udara yang mana tamu jemputannya adalah Dr. Zaharuddin yang akan membicarakan tajuk Ulama dan Jenayah : Didikan Bermula dari Rumah. 

Tajuk ini mengingatkan saya tentang teori psikologi 'tabula rasa' yang amat menekankan pendidikan anak-anak adalah dari cara didikan ibu bapa.Ia lebih melihat pentingnya bagaimana anak-anak ditarbiyyah. Inilah dkatakan nurture vs nature'. Memang saya katakan sebelum ini bahawa peranan persekitaran memainkan peranan dalam mendidik anak-anak, namun jangan kita lupa mendidik anak-anak juga adalah tanggungjawab ibu bapa. Ini juga terbukti dari Hadith Rasullullah s.a.w.  yang bermaksud : "seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seorang  Yahudi , Nasrani , atau Majusi "

Ini bukan bermakna sewaktu anak-anak lahir dari usia yang kecil tetapi bagaimana perkahwianan itu bermula. Bagaimana kita memilih pasangan serta criteria pasangan yang menjadi pilihan kita itu. Ada yang memilih rupa paras, ada yang melihat silsilah keluarga/bangsa/ negeri/daerah, adaj uga yang memilih parti politik, apapun pilihan kita jangan lupa apa yang penting adalah agamanya. Dalam konteks mendidik anak-anak apa yang menarik hati saya adalah Ustaz Zaharuddin menekankan kepada pentingnya seorang bapa memainkan peranan yang lebih dari ibu terutama dalam hal mendidik anak-anak. Menurut beliau ini telah dibuktikan dalam Al Quran betapa banyak kisah dari Al Quran menceritakan dialog antara bapa dan anak. Seperti dialog nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Nabi Nuh dan anaknya, serta Nabi Yaaqub dan Nabi Yusuf.

Apa yang boleh dipelajari dari sini, bapa perlu menjadi pengarah dan ibu pula menjadi pengurus. Apabila menjadi pengarah bapa perlu tahu apa yang baik untuk di arah pada anak-anak. Kita lihat kenapa anak-anak menjadi tidak berdisiplin kerana bapa sendiri kurang menunjukkan disiplin yang bagus pada anak-anak, terutama dalam hal solat, apa lagi solat jemaah. Maka apabila bapa tidak mengambil tugas mengarah maka jadilah ibu mengambil tugas mengarah dan juga mengurus. Bila ini berlaku si ibu akan dianggap sebagai suka berleter dan bapa pula sekadar menjadi pemerhati. Mungkin tidak semua begitu keadaanya, namun  jika keadaanya begitu dalam rumahtangga, ia masih boleh diperbetulkan, baik ibu atau bapa, mereka berdua perlu menjadi model yang petama kepada anak-anak.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, ibu bapa perlu dijadikan ikon atau idola pertama oleh anak-anak sebelum orang lain. Jika ibu bapa ingin menjadi idola/ikon maka mereka perlu menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Jangan menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Jangan kita ingin membetulkan si anak tapi diri sendiri masih berbuat silap.  Jika tersilap sekalipun mari kita sama-sama memperbetulkan apa yang silap dalam mentarbiyyah anak-anak. Moga anak-anak kita mempunyai jati diri yang kental hasil didikan hebat kita.

Bersambung….


SIRI  2

Hari ini masih mood cuti..seperti biasa ada banyak aktiviti yang akan dilakukan bersama anak-anak untuk menghabiskan cuti secara berkualiti. Sejak pulang dari bercuti anak saya sibuk bercerita kelasnya akan mengadakan lawatan ke salah sebuah rumah anak-anak yatim di Lembah Klang. Maka sibuk la dia berfikir apa yang ingin disedekahkan kepada mereka. Katanya pelajar kelasnya telah berjaya mengumpul sebanyak RM500 untuk diberi kepada anak-anak yaitm tersebut.

Hari ini saya menghantar dia ke sebuah pasaraya untuk membeli keperluan mereka mengadakan aktiviti bersama anak-anak yatim tersebut esok. Bagusnya pelajar-pelajar ini melakukan sesuatu yang amat bermanfaat walaupun tidak melalui program sekolah, tetapi kerana sebelum ini sudah ada program yang bersifat amal yang dianjurkan oleh pihak sekolah maka mereka terasa perlu ada inisiatif untuk melakukan perkara yang sama. Apa yang ingin saya kongsikan adalah cara kita berfikir dan mengendalikan sesuatu perkara adakala boleh memberkan rangsangan secara tidak langsung kepada anak-anak. Saya teringat penglibatan saya dalam beberapa misi/NGO rupanya secara tidak langsung juga memberi satu impak kepada anak-anak saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama. Maka di sini juga tidak mustahil anak-anak akan meniru perkara yang tidak baik yang kita lakukan.

Memperkatakan tentang didikan sebagaimana tajuk di atas saya merasakan antara perkara yang penting adalah komunikasi dan interaksi ibu bapa dan anak-anak perlu sentiasa dipastikan agar ia adalah komnikasi dua hala.. Maksudnya bukan ibu bapa sahaja yang bercakap, menegur atau memberikan maklumat, tetapi ada masanya kita perlu sentiasa mendengar apa yang ingin diperkatakan dan dikongsi oleh anak-anak. Kita lihat cabaran sekarang ini adalah budaya berfacebook, berinternet, bermain video games dan sebagainya hingga anak-anak kurang berkomunkasi dan banyak membuat hal sendiri. Realtinya,televisyen banyak mengambil masa kita dengan mengurangkan masa bersembang dan berinteraksi satu sama lain dikalangan ahli keluarga. Oleh itu kita perlu ada masa untuk beriadah, masa untuk sama-sama melakukan aktiviti dan bukan hanya membuat hal sendiri.

Sebagai ibu bapa walau sesibuk manapun kita, kita masih perlu memperuntukkan waktu bersama anak-anak. Mengkualitikan masa bersama adalah satu cara terbaik dalam mendidik anak-anak. Perkara yang paling mudah adalah dengan solat berjemaah, bertadrrus al Quran, puasa sunat bersama dan lain-lain perkata yang bermanfaat boleh kita lakukan bersama keluarga. Mendidik anak-anak boleh menjadi mudah jika anak-anak boleh mendengar kata ibu bapa. Ada banyak tips supaya anak-anak mudah mendengar kata. Salah satu tips adalah kemesraan ibu bapa dan anak-anak. Anak-anak yang wujud hubungan rapat dengan ibu bapa mudah mendengar apa yang disarankan atau apa yang dinasihati.

Oleh itu apa yang perlu dielakkan adalah ketegangan atau ketidak mesraan dalam keluarga. Ada ibu bapa yang terlalu serius hingga susah untuk memberikan senyuman, atau menegur anak-anak secara mesra. Ada juga yang susah untuk sekali sekala bergurau senda. Ada juga ketikanya ibu bapa tidak dapat membezakan antara sifat marah dan tegas terhadap anak-anak. Malah intonasi suara ibu bapa juga sentiasa nada yang tinggi. Maka apa yang berlaku, tiada kemesraan antara ibu bapa dan anak-anak, menyebabkan hubungan menjadi renggang kerana anak-anak melihat ibu bapa sukar untuk didampingi. Inilah yang menyebabkan anak-anak mempunyai kecenderungan untuk menjadikan sahabat atau rakan tempat mereka berkongsi.

Menyedari hakikat ini ibu bapa perlu menjadi sahabat yang paling akrab kepada anak-anak. Maka anak-anak akan rasa senang berkongsi masalah atau apa sahaja tanpa merasa segan atau takut. Inilah yang jarang diaplikasikan oleh ibu bapa, maka proses mendidik sebenarnya akan menjadi susah, kerana jika kita rapat dengan anak-anak ada banyak perkara kita boleh merasionalkan anak-anak bila mereka meminta atau ingin melakukan sesuatu perkara yang tidak dapat kita penuhi. Anak-anak juga tidak berahsia dengan ibu bapa bahkan menjadi pendengar setia pilihan mereka.

Sebagai ibu bapa, kita sebenarnya sentiasa belajar dalam menangani segala permasalah dan cabaran  dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Mendidik anak-anak itu apa cara sekalipun adalah amat subjektif kepada keadaan, persekitaran, latarbelakang keluarga dan sebagainya. Namun kita tidak boleh lupa bahawa tugas mendidik itu merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh dilepaskan ke atas bahu sesiapa melainkan KITA yang bergelar ibu/bapa. Kitalah yang pelru mencuba segala kaedah/teknik yang sesuai. Kerana itu menjadi ibu bapa perlu bersabar,kreatif dan sentiasa mencontohi apa yang terbaik yang telah tersedia dalam Islam sebagai platform untuk kita mengaplikasikan diri menjadi ibu bapa terbaik sekaligus mencerminkan diri menjadi ibu bapa contoh buat anak-anak kita sendiri.

Wallhuaalam
Ummu Ieman Ihsan

Dipetik dari Travelog Ruhiyyah AsSakinah

Saturday, January 21, 2012

Dunia Ibarat Fatamorgana

Hati sering tercuit tak kala mendengar lirik dengan lagu Fatamorgana.. saya masih ingat belasan tahun yang lalu, sewaktu memandu ke sekolah setiap pagi saya sering mendengar lagu ini, dan ternyata mesej itu samapi kedalam sanubari saya. Mungkin muzik itu bukanlah sesuatu yang bagus untuk didenganri kerana khilaf dari segi hukumnya.. namun bait kata-kata liriknya ternyata amat menyetuh hati saya.. menyebabkan saya sering menilai matalamat dan halatuju saya dalam kehidupan ini... Menginsafkan diri bahawa kehidupan dunia ini seperti fatamorgana... Ini membawa kepada pencarian ilmu saya dan penggalian pengetahuan tidak pernah dan tidak akan terhenti demi kerana ingin mencari kesempurnaan diri dan mengharapkan mardhatillah dalam setiap pengabdian kepadaNya...
Kita lihat betapa ramai di sekeliling kita yang sibuk dengan hal dunia hingga mereka begitu terleka dan terlupa bahawa dunia ini sekadar persinggahan. Mereka sibuk dengan hal duniawi hingga terleka mengerjakan perkara yang hakiki.. Alangkah malangnya buat diri kerana kematian akan mendatangi kita tanpa kita duga. Dunia ini sememangnya boleh diibaratkan seperti wangian yang akan menarik manusia untuk menghidu walaupua wangian itu akan hilang, begitulah juga diri manusia yang banyak melakukan perkara atau usaha yang sia-sia sahaja sifatnya.
Maka sedarilah, bahawa hidup ini PERLU TAHU dan  SEDAR... DARI MANA dan KEMANA selepas ini.. jangan kita sekadar bertanya, tetapi perlu melakukan sesuatu agar kehidupan itu terisi dan akan menjadi begitu bermakna biarpun kita sudah tiada di dunia ini suatu hati nanti. Dengan kata lain, marilah berusaha memperbaiki diri sendiri serta menyeru insan lain ke jalan yang benar biar dengan apa cara/method sekalipun. Moga dengan segala amalan baik itu ia akan menjadi bekal buat kita di negeri abadi.
Hayati lirik ini....

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah
Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapa pun kan tergoda
Harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi
Pulanglah kepada Tuhan cahaya kehidupan
Keimanan ketakwaan kepadanya senjata utama

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati
Yakinkan janji Tuhan syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah
Allah