Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Monday, January 16, 2012

Dilemma Persekolahan Anak-Anak

Salam semua, moga hari ini menjanjikan yang terindah buat kita dan hari yang semalam menjadi pengajaran serta hari esok yang mendatang menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita jalani. Berkongi kisah hari ini, saya didatangi dua orang ibu yang mengadu tentang masalah persekolahan anak-anak. Anak-anak mereka sekarang ini berada di tingkatan satu, namun apa yang menyedihkan biarpun mendapat 5A UPSR, namun anak-anak mereka tidak mendapat sebarang tawaran untuk ke-mana.mana. Apa yang merungsingkan si ibu adalah bimbang apabila anak-anak mereka bersekolah harian mereka tidak mampu memantau anak-anak mereka sepanjang masa, lebih-lebih lagi mereka terpaksa keluar bekerja.

Di saat ibu bapa lain telah mendapat surat tawaran untuk ke sekolah-sekolah asrama penuh (SBP/SBPI) atau sekolah agama (SMKA/ SAM) maka saya percaya dan amat merasai gundah hati mereka. Saya juga pernah melalui perasaan dan pengalaman yang sama sebagai seorang ibu yang berada dalam dilemma bila memikirkan persekolahan anak-anak. Sewaktu dua anak perempuan saya akan naik ke tingkatan satu saya juga berdoa supaya anak-anak saya dapat menempatkan diri mereka di sekolah asrama penuh aliran agama atau sekolah menegnah agama. Saya faham ada juga segelintir ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke asrama dengan alasan tesendiri seperti mahu melihat anak membesar di depan mata, tidak mahu adik beradik menjadi renggang kerana terpisah, atau ada juga yang boleh memantau sendiri anak mereka dan pelbagai sebab-sebab lain.

Ibu bapa mana yang mahu berjauhan dengan anak-anak, saya juga begitu. Sebagai ibu, saya juga terpaksa menahan rindu terhadap anak-anak apabila berjauhan, tetapi kerana saya inginkan anak-anak berada disekolah yang saya rasakan terbaik untuk dunia dan akhirat mereka maka saya dan mereka perlu membuat pengorban, terutama pengorbanan emosi. Saya memilih untuk menghantar anak ke asrama bukan kerana ingin meletakkan beban tugas kepada guru-guru dengan alasan kita sibuk bekerja. Pada saya sekolah berasrama itu mempunyai faedah tersendiri terutama melatih anak-anak berdikari, merasai suasana belajar dengan jadual yang tersendiri, serta bergaul dengan rakan-rakan sesusia dalam biah atau persekitaran yang terjaga.

Pengalaman diri sendiri dan suami yang sejak dari tingkatan satu sudah biasa dengan kehidupan di asrama dan juga pengalaman menjadi guru sebelum ini di sekolah harian membuatkan saya nekad untuk menghantar anak-anak bersekolah di sekolah berasrama dan lebih penting lagi sekolah tersebut adalah sekolah aliran agama. Alhamdulillah anak-anak saya walaupun peringkat awal tidak betah duduk di asrama  kerana terpaksa berdepan dengan segala macam disiplin dan peraturan serta rindu apabila berjauhan, namun sekarang ini mereka sudah terbiasa dan boleh menjalani kehidupan di asrama dengan baik.

Berbalik kepada permaslahan -ibuibu yang berdepan dengan masalah menempatkan anak-anak mereka di sekolah berasrama, saya memberi mereka motivasi supaya mereka bersabar dan dalam masa yang sama berusaha membuat rayuan selagi ada ruang. Saya percaya walaupun di sekolah harian anak-anak yang dipantau dan mempunyai jati diri yang kental akan boleh melepasi segala ujian yang datang (terutama untuk menangani masalah gejala sosial dikalangan anak-anak). Namun lebih penting pada saya memilih sekolah harian atau sekolah swasta yang mempunyai aliran agama, supaya anak-anak mendapat kedua-dua ilmu iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Apapun  sekolah harian atau sekolah agama, biar di mana mereka berada, moga mereka sentiasa diberi kekuatan iman untuk menjadi diri mereka sendiri menjadi Muslim yang sejati yang kenal diri. Ibarat seekor ikan yang isinya tetap tidak masin biarpun berada di lautan yang masin.
Wallhuaalam.

No comments:

Post a Comment