Membina Empayar Diri
Oleh: Sakinah Salleh
Muqaddimah
Segala permasalahan atau kerumitan, kejadian dan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita merupakan suatu manifestasi kegagalan manusia untuk memahami kesimbangan yang diperlukan dalam kehidupan. Kita gagal pada hari ini untuk memahami tujuan kehidupan, tujuan kita sebagai insan ini hidup, matlamat kehidupan dan pengertian kehidupan itu sendiri. Justeru, berlakulah kebejatan sosial atau permasalahan semasa yang melanda umat manusia pembinaan sahsiah bermula dari pembinaan jiwa dan rohani yang utuh. Proses ‘mencanai’ mereka menjadi insan kamil yang berketrampilan tinggi merupakan proses yang berterusan dan berpanjangan. Ini disokong oleh segala macam faktor luaran dan dalaman di rumah dan di sekolah. Segala faktor luaran dan dalaman ini saling berkaitan, lengkap melengkapi dan perlu ditangani secara seimbang.
Memahami Konsep Khalifah
Khalifah merupakan wakil Allah SWT dan penguasa di muka bumi. Khalifah merupakan penguasa di muka bumi sebagai penggerak, pemelihara dan pemulihara. Insan yang memainkan tugasnya sebagai hamba dan khalifah menurut al-Quran adalah insane yang meletakkan jiwa kehambaan kepada dirinya melalui rukuk dan sujud dengan penuh rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran kepada Allah(Sidek Baba). Ia adalah prinsip yang dibawa oleh Rasulullah saw dan terkandung didalamnya beberapa proses yang perlu dilalui bagi membolehkan jiwa itu tunduk dan tawadhuk serta mengiktiraf Allah sebagai Sang Pencipta. Allah menegaskan perkara ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (As-Syams : 9 – 10).
Apakah itu Khalifah Jiwa?
Khalifah jiwa ialah konsep merajai dan menguasai jiwa dengan nilai-nilai insaniah dan ilahiah. Ia adalah keupayaan untuk membentuk karakter kepemimpinan dalam diri setiap individu, agar mampu memimpin diri endiri dan orang lain) sesamanya. Khalifah jiwa juga mampu membentuk proses secara berterusan bagi seseorang individu dan ummah itu untuk merajai jiwa berbanding nafsu yang merajai jiwa dalam konteks kehidupan pada hari ini. Dalam konteks pendidikan manusia, khalifah jiwa ialah proses pendidikan yang mengutamakan pembentukan jiwa yang berkembang, selaras dengan segala aspek kehidupan mengikut syariat yang telah ditetapkan dalam Islam. Ia mesti bermula berlandaskan fitrah insan dari semasa individu itu masih dalam kandungan lagi hingga riwayatnya tamat. Ia akan melahirkan individu dalam keluarga dan ummah tanpa mengenal batas usia, bangsa, tahap social dan pendidikan yang mempunyai kesedaran yang tinggi tentang “SIAPA DIA” dan “SIAPA AKU” dalam kehidupan ini. Lantas kesedaran “awareness’ itu akan membolehkan seseorang itu untuk mengenali penciptanya, dan memahami dengan sebenarnya “OBJEKTIF” atau ‘MATLAMAT’ apa dia diciptakan. Iniakan menghasilkan suatu gerakan dalaman yang kuat untuk seseorang itu memahami dan mengertia ‘PERANAN’ yang perlu dimainkan dalam kehidupan ini lalu membentuk sikap dan nilai universal serta membentuk ‘pandanganhidup’. Semuanya terangkum dalam nilai-nilai jiwa, kehidupan, dan membentuk suatu ‘perisai diri’ terhadap nilai-nilai duniawi yang sangat material sifatnya serta sementara. Khalifah Jiwa membolehkan seorang individu itu untuk melihat lebih jauh dari sekadar tuntutan-tuntutan dunia, nafsu dan melihat pengertian kehidupan dalam konteks ukhrawi.
Khalifah Jiwa Dan Kesinambungannya Dengan Kehidupan
Kehidupan manusia amat berhubung rapat dengan jiwa, ini dapat difahami bahwa segala perlakuan dan perbuatan seringkali terarah kepada usaha “ amar makruf nahi mungkar” bagi memenuhi matlamat hidup sebenar dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Oleh itu setiap individu perlu sentiasa membersih dan menyucikan jiwa bagi memastikan diri sentiasa berada pada landasan dan syariat Islam serta mengelakkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang boleh mencemarkan jiwa. Rasulullah bersabda: “Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). Prinsip yang terkandung dalam Khalifah jiwa membentuk system nilai yang jitu dalam diri individu. Melaluinya, individu akan berkembang ke arah menghasilakan natijah kehidupan yang seimbang fizikal, spiritual, rohani. Secara tidak langsung ini memberikan kestabilan kepada pemikiran dan emosi. Keseimbangan ini tercapai dengan memastikan bahawa pembentukan jiwa itu sering dilaksanakan dan diutamakan pada setiap saat dan ketika.
Khalifah Jiwa Dan Kesinambungannya Dengan Pembersihan Jiwa
Sesungguhnya manusia biasa seperti kita, tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Apatah lagi di sekeliling kita wujud musuh-musuh Allah yang terdiri daripada syaitan dan iblis serta hawa nafsu yang sentiasa mendorong kita untuk melakukan maksiat. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa bertaubat daripada kesalahan dan maksiat yang dilakukan dengan kadar segera. Taubat yang kita lakukan hendaklah secara sungguh-sungguh untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran dosa dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi atau taubat yang dikenali dengan taubat nasuha. Pembersihan jiwa daripada melakukan segala dosa dan maksiat atau kegiatan tidak berfaedah perlu dilakukan secara berterusan. Ia berhubung rapat dengan badan (jism), jiwa (ruh) dan hati (qalb) berpaksikan dengan akidah, iman dan takwa. Ia tidak ditentukan oleh masa atau keadaan kerana hidayah Allah itu bergantung kepada kehendakNya. Pembersihan jiwa hanya dapat terjadi melalui amalan yang berterusan , berusaha memahami dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam secara benar. Selain itu faktor rohaniah yang membangun diri insan berkait rapat dengan faktor akhlak dan amal inidividu. Mereka yang mempunyai kekuatan rohaniah atau kekuatan dalaman melakukan sesuatu berpandukan nilai-nilai yang baik mengikut fitrah yang dianjurkan oleh al-Quran antaranya:
1. Mengesakan dan mentauhidkan Allah
Tauhid ialah meng-Esakan Allah dengan melakakukan peribadatan dan penyembahan hanya kepadaNya saja. Segala peribadatan yang berbentuk permohonan, cinta, takut, tawakal, taat, malu dan lain-lain dari gerakan-gerakan hati, lidah maupun anggauta badan, hanya dipersembahkan kepada Allah saja, dengan mengikuti ketentuan syari’at Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam saja. Tauhid yang intinya adalah penyembahan hanya kepada Allah saja ini merupakan penyucian jiwa yang paling besar dan paling penting. Sebab, itulah tujuan pokok diciptakannya manusia dan jin. Orang yang bersih tauhidnya adalah orang yang bersih jiwa dan hatinya. Lawan dari tauhid adalah syirik. Jika tauhid merupakan kebersihan jiwa yang paling besar, maka kemusyrikan merupakan kotoran jiwa yang paling besar. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah orang-orang yang najis. ( At-Taubah/9 : 28) .
2. Taubat
Sesungguhnya manusia biasa seperti kita, tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Apatah lagi di sekeliling kita wujud musuh-musuh Allah yang terdiri daripada syaitan dan iblis serta hawa nafsu yang sentiasa mendorong kita untuk melakukan maksiat. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa bertaubat daripada kesalahan dan maksiat yang dilakukan dengan kadar segera. Istighfar adalah penawar yang paling mujarab kepada penyakit dan musibah yang menimpa manusia, di samping menjadi pengerat hubungan dan cinta kita dengan Allah. Sabda Rasulullah pula: “Sesiapa membanyakkan istighfar, nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang datangnya tanpa diduga.” (Hadis riwayat Ahmad). Taubat yang kita lakukan hendaklah secara sungguh-sungguh untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran dosa dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi atau taubat yang dikenali dengan taubat nasuha. Taubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Sesudah hati bersih, tentulah mendapat sinar keimanan dari Allah. Dengan bertaubat, ia dapat membersihkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Jiwa akan tenang, bersih dan tidak gusar mengenangkan kesalahan lalu. Apabila bertaubat dengan sebenar-benarnya, Allah akan mengurniakan ketenangan yang abadi dan menjadikan kita benar-benar beriman dan berserah kepada-Nya. Jika taubat itu dilakukan selepas saja terasa diri bersalah dan kemudian mengulanginya, ia mendorong seseorang untuk mengulangi perbuatan maksiat dan kejahatan yang lain.
3. Zikirullah (mengingati Allah)
Akal yang sempurna adalah akal yang sentiasa mencari dan menambahkan pengetahuan yang membawanya menyedari hakikat ketuhanan dan hakikat kehidupan. Ada banyak kisah orang yang berjaya, apabila sampai tahap kemuncak kejayaan dalam hidup, memiliki kekayaan, harta benda, keluarga sahabat dan pelbagai lagi yang berbetuk material akhirnya merasakan kelompongan di atas semua pemilikan kerana yang kurang adalah sesuatu iaitu keberadaan Pencipta yakni Allah atas segala yang di miliki semuaya dari rezeki Allah. Manusia menyedari hakikat ketuhanan apabila di uji dengan kehilangan, kesakitan, dan sebagainya. Ini adalah sesuatu yang biasa kita dengari kerana sifat manusia itu lupa atau lalai. Maka apabila di uji baru lah dia merasa bahawa apa yang dimilki bila-bila masa Allah boleh mengambilnya kembali, oleh itu zikrullah adalah ubat kepada pembersihan jiwa sesuai dengan firman Allah:
“ Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini ( setengahnya kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) – Az-Zukhruf:32
4. Muraqabah
Muraqabah bererti sentiasa merasakan diri kita ini diawasi oleh Tuhan pada setiap detik dan ketika, dan berasa yakin bahawa hanya Allah s.w.t. yang berhak ditaati, Dialah yang Maha Mengetahui setiap rahsia dan perbuatan kita. Bilamana seseorang Muslim ini sentiasa menerapkan perasaan yang sedemikian dalam dirinya, maka ia akan sentiasa mengingati Allah s.w.t., berasa lapang dada kerana keyakinannya itu dan sentiasa gemar ingin berdampingan dengan Allah dengan beribadah kepada-Nya. Malah ia akan sentiasa ingat dan waspada, andai kejahatan yang dilakukan pasti Allah mengetahuinya, walaupun orang lain tidak. Zikir mampu menenangkan hati dan jiwa yang resah gelisah.Mengucapkan keagugan dan kebesaran Allah mampu memadamkan jiwa yang lara, mampu menyembuhkan luka dendan serta dapat melenyapkan nafsu amarah yang meluap. Malah, ada banyak lagi cara untuk menenangkan hati. Prinsip asasnya mudah. Setiap sesuatu itu mesti menjurus ke arah mengingati Allah.
5. Muhasabah.
Dalam diri manusia juga terdapat satu benda yang nilaiannya seperti permata. Iaitu hati. Kerana seorang yang hatinya tenang, cekal dan kuat merupakan individu yang telah diuji melalui pelbagai ujian yang menekan sehingga hatinya berkilau umpama permata yang bergemerlapan. Hati yang tenang ini adalah umpama permata yang berkilau dalam diri manusia. Muhasab mampu membersih jiwa. Muhasabah bererti menghitung dan mengimbas kembali perlakuan kita seharian, sama ada amalan yang kita lakukan lebih cenderung ke arah ketakwaan atau lebih cenderung ke arah maksiat. Sekiranya amalan kehidupan kita berada di tahap yang dimurkai Allah s.w.t., maka segeralah memohon keampunan kepada-Nya dan bertaubat serta menyesal dan seterusnya melakukan amal kebajikan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr : 18)
6. Melakukan Kebaikan Menjauhi Larangan
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Luqman : 22). Berdasarkan ayat ini, amat jelas bahawa prinsip Islam ini merupakan manisfestasi kepada benarnya agama Islam itu sendiri. Tanda aras yang sebenar ialah kepatuhan sepenuhnya, tunduk sepenuhnya kepada Allah swt. Justeru beribadah kepada Allah itu bukan hanya semata mata sujud dan rukuk lima waktu sehari semalam sahaja, bahkan perintah serta larangan Allah swt hendaklah jua dilaksanakan pada setiap ketika dan saatnya. Bukanlah mengikuti sesuatu perintah itu dan meninggalkan yang dilarang berdasarkan tafsiran sendiri; pemikiran atau logik akal dan nafsu tetapi merupakan perintah yang terkandung didalam wahyunya yang agung iaitu Al-Quran Al Karim serta diperincikan melalui ajaran Rasulullah saw. Rasulullah s.a.w. bersabda : “Beribadahlah kamu kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia melihat kamu.”Sufyan as-Sauri berkata: “Hendaklah kamu bermuraqabah kepada Allah yang tidak tersembunyi daripada-Nya sesuatu pun, dan hendaklah kamu berharap kepada-Nya yang memiliki perjanjian, dan hendaklah kamu sentiasa berwaspada kepada-Nya yang memiliki seksaan.”
7. Ibadat
Kebenarannya, setiap aspek kehidupan ini adalah suatu landasan dan ruang untuk kita beribadah kepadanya. Walau apa jua yang kita kerjakan samada ibadah yang khusus yag dilaksanakan secara seharian seperti solat, mahupun ibadah yang dilaksanakan pada waktu dan ketika yang tertentu seperti zakat, puasa dan haji. Termasuk jua ibadah umum dalam bentuk pekerjaan mencari rezeki, sedekah dan amal jariah, aktiviti aktiviti kemasyarakatan atau lain lain lagi, semuanya merupakan ruang lingkup kehidupan yang terkandung didalamnya ibadah kepada Allah swt. Kenapakah kita beribadah menyembah Allah SWT? Kenapakah Allah mewajibkan kita beribadah dan mentaatiNya? Adakah sebarang faedah diperolehiNya daripada perasaan khusyuk dan ikhlas kita yang patuh kepada perintah dan meninggalkan laranganNya? Kiranya ada manfaat maka apakah hakikatnya manfaat itu? Adakah sasaranya semata-mata perintah Allah yang kita mesti melaksanakannya? Kita seharusnya menyedari betapa pentingnya untuk kita mengetahui serta membezakan konsep ibadah yang ditentukan olah Islam dan bukan Islam. Ibadah merupakan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah, mengamal serta mengikuti kehidupan sebagaimana yang ditentukan olehNya sepanjang masa. Ibadah yang khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah untuk mempersiapkan individu menghadapi ibadah yang umum yang mesti dilakukan di sepanjang kehidupan. Solat mengingatkan kita lima kali sehari bahawa sesungguhnya kita adalah hamba Allah dan hanya kepadaNya tempat pengabdian kita untuk mengeratkan hubungan kita dengan Allah. Manakala puasa menimbulkan perasaan taqwa kepada Allah sehinggakan kita tidak membatalkannya walaupun bersendirian. Zakat mengingatkan kita bahawa harta yang kita perolehi adalah amanah dari Allah. Di dalam harta kita ada hak-hak orang lain yang mesti ditunaikan. Haji menimbulkan perasaan cinta dan kasih kepada Allah di dalam hati dan kesediaan untuk berkorban keranaNya.
Penutup
Pembinaan sahsiah bermula dari pembinaan jiwa dan rohani yang utuh, akan tetapi apakah nilai yang mendasari pembentukan itu? Secara psikologi, nilai yang perlu ditanam dalam diri seorang ialah nilai moral, akhlak yang mulia dan positif yang perlu dijana sejak mula lagi seseorang itu masih kecil. Ia bermula dari dalam jiwa seseorang individu. Ia selaras dengan pendekatan yang dibawa oleh Islam dimana pembinaan Khaifah Jiwa merupakan elemen terpenting dalam konteks pengajaran dan pembelajaran seorang insan untuk menjadi seorang individu yang seimbang jiwa dan rohani, akal dan sahsiah, ilmu dan kemahiran.
No comments:
Post a Comment