Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Sunday, November 29, 2015

Motivasi 3i ; Kebaikan vs Keburukan

Bismillah,

'Satu keburukan akan menutup seribu kebaikan'. Itulah hakikat kehidupan.


Saat kita sekali bebuat silap ia seperti tiada lagi kemaafan bagimu. Maka tertutup sudah segala kebaikan yang ditaburkan. Maka individu akan merasa kecewa serta berduka, semata-mata kerana menyesali kesilapan dan mengharapkan pengiktirafan.

Oleh itu walau seribu mahupun sejuta kali berbuat baik. lupakan kebaikan itu. Anggaplah ia satu simpanan bagi meraih pahala di akhirat nanti. Jangan sekali bila berbuat kebaikan, lalu mengharap balasan dan pengiktirafan. Ia pastinya membawa kekecewaan.

Apabila kita mengharap balasan dari manusia kita akan kecewa. Sebaliknya letaklah harapan hanya pada Allah semata. Satu kebaikan yang dilakukan Allah berikan 10 ganjaran. Bahka bila berbuat silap, Allah akan memberikan kemaafan kepada hambaNya yang ikhlas beratubat.

Bezanya manusia dengan Allah. Manusia sering bersikap dendam dan sukar memaafkan. Dek kerana itulah bila sekali orang berbuat silap padanya, maka dia akan ingat sampai bila-bila. Segala kebaikan yang sebelum ini akan dilupakan begitu sahaja.

Patutkah kita kecewa? Tidak perlu kecewa dengan insan yang sebegini, sebaliknya jika kita berdepan keadaan sebegini ia hikmah mengajak diri untuk sedar dan insaf betapa Allah itu maha Pemberi dan Maha Pengasih. Dia sebaik-baik tempat mengadu dan meletak harapan. Dan Allah juga sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Saat berbuat baik kepada manusia, anggap sahaja kebaikan itu seperti air yang mengalir. Bahkan bila berbuat silap anggapkan ia seperti sampah yang perlu dibuang dan ditutup agar ia tidak berbau dan membawa mudarat.

Dosa yang dilakukan adalah perkara aib, wajar disembunyikan. Maka bila berbuat silap sesama manusia, mohonlah kemaafan. Jika tiada lagi maaf, maka berserahlah kepada Allah, buatlah sebanyak mungkin kebaikan sesama manusia agar saat ditimbang oleh Al Mizan, ia melebihi keburukan.

Sentiasalah berfikiran positif, hidup ini perlu banyak muhasabah, elakkan dari melakukan kesilapan, banyakkan mendapat panduan agar tidak terssar dari jalan kebenaran. Banyakkan bergaul dengan insan yang menghargai insan lain, semoga dengannya kita lebih menemukan kebahagiaan.

Wallahuaalam.








Motivasi 3i; Mensyukuri Nikmat


Bismillah

Menurut Imam Ghazali, syukur termasuk ibadah yang tinggi maqam atau darjatnya. Malah lebih tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada Allah. Definisi syukur menurut ilmu tasauf ialah ucapan, sikap dan perbuatan berterima kasih kepada Allah SWT dan pengakuan yang tulus atas nikmat dan kurnia yang diberikanNya (Sumber: Definisi Syukur Menurut Al Quran).        

Di dalam sebuah hadith ada disebut Rasulullah SAW menunaikan solat malam (tahajjud) sehingga bengkak kedua kaki baginda, ditanyakan oleh Aisyah kepada baginda kenapa baginda menyusahkan diri baginda sedangkan baginda telah diampunkan dosa yang lepas dan akan datang. Berkata baginda '' Apakah aku tidak menjadi hambaNya yang bersyukur?"(HR Imam At Tirmidzi daripada Al Mughirah bin Su'bah). Maka sudah jelas betapa perlunya kita bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

Bagaimana cara bersyukur?

Menurut Imam Al Ghazali, cara bersyukur terdiri daripada empat komponen berikut:

1. Syukur dengan hati

Menyedari sepenuhnya bahawa segala nikmat baik kecil atau besar adalah semata-mata anugerah dan kemurahan Allah SWT.

2. Syukur dengan lisan

Ucapan ''Alhamdulillah'' tatkala hati yakin sepenuhnya dengan nikmat yang diperolehi semata-mata anugerah dari Allah. Meski pada zahirnya nikmat atau rezeki berkenaan diperolehi daripada seseorang.

3. Syukur dengan perbuatan

Perbuatan menggunakan segala nikmat yang diterima dijalan yang diredhaiNya. Umpamanya menggunakan harta untuk berzakat, sedekah dan beribadah kepada Allah. Pancaindera pendengaran  dan penglihatan digunakan untuk mendengar dan melihat ayat-ayat dan kebesaran Allah dan tujuan utuk kebaikan semata-mata.

4. Menjaga nikmat dari kerusakan

Umpamanya nikmat kesihatan, perlu dijaga secara yang sepatutnya agar terhindar dari penyakit. Yang lebih utama menjaga nikmat iman dan Islam dari sebarang bentuk ancaman. Iman dan Islam dapat dipupuk antaranya dengan mendirikan dan menjaga solat, mentaddabur Al Quran, berzikir, berdoa dan menghadiri majlis taklim.

Allah SWT menjanjikan akan tambahan nikmat bagi hambaNya yang bersyukur seperti firmanNya dalam Surah Ibrahim (14:7) Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), sungguh azabKu sangat pedih.

Bagaimana untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur?

Untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur, kita perlu berdoa dan memohon kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam Al Quran, Surah Al Ahqaf (46: 15) ''..Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmatMu yang Engkau berikan kepadaKu dan kepada kedua ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

Doa Nabi Sulaiman AS sebagaimana firman Allah dalam Surah An Naml (27: 19) ''Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlan daku dengan limpah kurniaMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh''.

Dalam sebuah hadith,Rasulullah SAW mengajarkan doa kepada Muaz ibn Jabal r.a. "Ya Allah bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadat dengan baik kepadaMu'' (Allahumma a'inniálazikrika wasyukrika wahusni'ibadatika). Eloklah kita sama-sama amalkan doa ini selepas setiap solat.

Mudah-mudahan Allah dengan limpah rahmatNya membantu kita untuk menjadi hambaNya yang bersyukur, amin ya Rabb...
لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إلاّ بِاللهِ الْعَليِّ الْعَظيمِ.


Dipetik dari perkongsian WhatsApp

Monday, November 23, 2015

SPM 2015 ; Apa dan ke mana selepas ini?



Bismillah,

SPM sudah hampir ke penghujung. Bagi segelintir pelajar yang mengambil aliran tertentu minggu hadapan mereka sudah merdeka. Selesai peperiksaan, apa dan ke mana selepas ini?

Ramai pelajar akan terfikir untuk bercuti. Mahu bergembira selepas berhempas-pulas gigih berusaha untuk persediaan peperiksaan fizikal, menta, rohani dan emosi. Namun selama mana mahu bergembira dan mewartakan cuti untuk diri.

Hakikatnya dalam Islam pun tiada cuti. Mahu 'celebrate' kerana habis pereksa, pun ia bukan ajaran Islam. Bahkan ia lebih membawa lagha atau kelekaan.

Semestinya para pelajar yang bakal tamat peperiksaan sudah membuat peta perjalanan, ke mana selepas ini? Bagaimana cuti yang ada ini akan dapat dimanfaatkan? Matlamat perlu ada dari awal dan bukannya selepas periksa baru terfikir mahu buat apa.

Mahu goyang kaki, buat apa sahaja yang disukai, makan minum tidur, qada segala tidur yang tidak cukup sebelum ini dan pelbagai lagi senarai. Apa yang penting, buat perkara yang memberi manfaat pada diri. Menurut anak penulis yang sekarang ini sedang menduduki SPM katanya apabila selesai peperiksaan mahu belajar photography dan membuat website. Dalam masa yang sama mahu buat bisnes online.

Cuti sementara menunggu keputusan SPM adalah masa untuk mencari dan menggilap kemahiran diri.  Ada banyak perkara boleh dibuat termasuk kerja part-time. Sekurang-kurangnya ada duit lebihan sebagai bekal menyambung pelajaran.

Setahun yang lalu, sewaktu anak sulong Penulis diinterview bagi kemasukan ke Law School UiTM setelah selesai asasi, salah satunya yang ditanya adalah pengalaman bekerja jika ada. Bahkan sewaktu mahu menjadi ajk dalam sekretariat juga ditanya pengalaman yang ada.

Alhamdulillah, anak penulis dari awal sentiasa diberi pendedahan. Sejak dulu cuti sekolah hanya cuti belajar, namun ia juga masa untuk menambah dan menggilap kemahiran. Mungkin pada awalnya mereka kurang bersetuju, tetapi ibu bapa perlu memahamkan kepentingan untuk manfaatkan masa cuti dengan perkara berfaedah.

Umpamanya, ibu bapa boleh membawa anak ke tempat kerja jika ia boleh membantu mereka untuk tahu dan belajar serta mendapat idea apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Penulis sendiri tidak ketinggalam mempraktikkan, jika ada program motivasi, jemputan ceramah atau training di mana-mana, jika ada anak yang cuti pastinya penulis akan membawa mereka sekali untuk membantu atau mendapatkan pengalaman.

Sewaktu penulis menjalankan trainnig bagi Institut Perkhidmatan Awam Brunei, anak yang sulong menjadi pembantu khas penulis. Bahkan beliau disuruh mengasah skil bercakap bersama peserta. Pernah juga penulis membuat program Smart Learning di salah sebuah sekolah di Lembah Klang, anak penulis juga dipanggil untuk berkongsi pengalaman dan testimoni teknik belajar berkesan kepada para peserta.

Selain itu jika ada program berbentuk 'coaching' yang dibuat pusat latihan, mereka juga hadir sebagai pemerhati. Ini membantu agar mereka belajar dari awal dan satu masa tidak mustahil mereka akan menjadi penyambung legasi.

Perkongsian ini agar dapat memberikan idea kepada ibu bapa, jika anak tidak dapat memikirkan hala tuju dan matlamat selepas SPM atau mengisi masa cuti mereka. Maka ibu bapa perlu berperanan menampakkan dan menjadi penunjuk arah agar anak-anak mampu melihat kompas mereka ke mana mahu di halakan?Apa dan ke mana selepas SPM.

Wallahuaalam.





Friday, November 20, 2015

Mesej di sebalik Boyhood

Bismillah,

Menonton movie Boyhood yang ditayangkan di Astro Boxoffice semalam adalah antara movie yang begitu sarat dengan mesej. Movie yang mendapat anugerah Grammy Award ini sememangnya layak dinobatkan sebagai pemenang.

Jangkamasa 12 tahun membuat pergambaran mengikut perjalanan kehidupan seorang budak lelaki bernama Mason Junior tidak mudah. Namun ternyata ia amat berbaloi.

Wednesday, November 18, 2015

Empat Sifat Golongan bertakwa


Bismillah,

Apakah ciri-ciri orang yang bertakwa? 


  1. Al Khaufu min Al-Jalil; takut pada Allah yang mempunyai keagungan. Orang yang beriman takut dengan kurniaan Allah kepadanya kerana ia pinjaman semata.
  2. Al-Amalu bi al-Tanzil; Beramal dengan apa yang diwahyukan daripada Allah s.a.w.
  3. Al-Ridha bi Al-Qalil; Berasa cukup dan redha dengan pemberian Allah s.w.t meskipun ia sedikit. Bersyukur dengan setiap pemberian Allah itu lebih baik.
  4. Al-Isti'dadu li Yaumi Ar_Rahil; Sentiasa dalam keadaan bersedia untuk hari kematina dan pulang mengadap Allah s.w.t.

Isi Hati Rahsia yang Tersembunyi


Bismillah,

Ikhlas itu adalah sifat ihsan, ia sesuatu yang tersembunyi. Tiada yang tahu melainkan Allah, Rabb yang Maha Mengetahui.

Lalu apa ada pada hati?

Hati adalah punca segala kebaikan dan kerosakan. Baik hati maka baiklah diri insan. Bila hati busuk walau yang ditonjolkan di luaran begitu cantik, namun lambat laun ia akan dapat dicium baunya yang tidak menyenangkan.

Hati yang kotor akan dekat dengan maksiat, manakala hati yang bersih akan dekat dengan ibadat. Hati yang rosak dan kotor perlu di rawat. Zikir dan bacaan al Quran mampu membersihkan hati yang kusam.

Bila hati bersih, pasti ia akan menghasilkan ketenangan buat pemiliknya. Saat hatimu gundah dan gelisah, maka kembalilah kepada Pencipta. Bila hatimu rawan dan sedih, maka berilah kemaafan agar kamu tidak terbeban dengan perasaan yang sarat dengan dendam.

Rahsia hati, ia tersembunyi. Walau ada seribu perasangka, namun sentiasalah berbaik sangka, buang ia jauh-jauh. Tenangkan jiwa, fikirkan hanya yang baik-baik, moga Allah kurniakan jua yang terbaik.

Wallahuaalam

Sunday, November 15, 2015

Kegagalan vs Kejayaan



Bismillah,

Memetik tulisan saya di mukabuku setelah menonton kejayaan Dato Lee Chong Wei pada Kejohanan Badminton Terbuka China.

"Gagal bukan bermakna tidak boleh bangkit, ia hanya perlukan sedikit KEPERCAYAN bahawa kita mampu mencipta kejayaan berkali-kali". 
‪#‎beliefinyourself

Realitinya kehidupan kita ini akan sentiasa berselirat dengan ujian dan cabaran. Bahkan kejayaan kecil atau besar akan hadir berselang-seli kegagalan. Semua ini bergantung kepada interpretasi atau terjemahan, pemahaman diri kita sendiri  pada makna kejayaan dan kegagalan bagi diri.

Pada setengah individu satu kejayaan kecil adalah satu kejayaan besar bagi mereka. Contoh ada anak yang berjaya masuk persembahan mewakili sekolah pada hari anugerah sudah satu kejayaan buat anak mereka. Namun ada juga ibu bapa yang melihat anak yang menerima anugerah nombor wahid dalam kelas dilihat berjaya.

Samalah juga dengan kegagalan. Ada orang melihat gagal, namun sebaliknya ada orang melihat pada sisi kejayaan. Bagaimana kegagalan boleh diistilahkan sebagai berjaya?

Umpama seorang peniaga yang rugi dan terpaksa membeli cukai kebodohan apabila ditipu dan sebagainya, namun beliau melihat itu sebagai satu pelajaran. 'Lesson learn' ini membantu beliau meraih kejayaan yang lebih besar dan sekaligus membantu untuk TIDAK ditipu kali ke-dua maka dia mula berwasapada dan belajar dari kesilapan. Lalu rugi itu tidak dilihat sebagai, tetapi kejayaan BELAJAR SATU PERKARA BARU.

Maka untuk berjaya perlu ada mindset MAHU berjaya dan berdepan apa jua kesukaran. Gagal bukan bermakna gagal, namun ia satu latihan untuk diri. Latihan bagi mental agar boleh menerima apa juga cabaran, dan mencari strategi kejayaan baru.

Kejayaan juga memberi makna tersendiri bahkan ia boleh mengheret diri untuk gagal jika kita hanya berbangga dengan kejayaan tersebut tanpa cuba membuat penilaian bahawa apa makna kejayaan tersebut buat diri dan orang sekeliling. Jangan hanyut dengan kejayaan sedia ada, kerana ada banyak lagi kejayaan perlu dicipta, pada setiap masa.

Wallahuaalam.






Sunday, November 8, 2015

Mendisiplinkan solat jemaah dalam keluarga


Bismillah,

Kehidupan di dunia ini tidak lari dari tanggungjawab. Allah menjadikan manusia dengan tanggungjawab yang perlu disempurnakan. Setiap individu punyai tanggungjawab tersendiri, baik pada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan sebagainya. Pendek kata setiap dari kita memakai tanggungjawab yang pelbagai.

Kali ini saya mahu menyentuh peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam mentarbiyah serta mendidik anak-anak agar menyemai rasa cinta untuk solat berjemaah. Jika sebelum ini ibu bapa mendidik anak untuk solat dan menjaga waktu solat, maka perkara seterusnya adalah mendidik dan mendisiplinkan anak agar rajin solat berjemaah.

Bagi memastikan anak rajin berjemaah ia perlu bermula dengan ibu bapa. Tidak susah menerapkan budaya solat berjemaah dalam keluarga jika ibubapa sendiri mempraktikkan perkara yang sama. Ambil contoh solat subuh. Jika seawal pagi saat azan belum lagi berkemundang, bangun untuk qiam maka ibu bapa boleh kejutkan anak bangun solat bersama, jika tidak waktu azan subuh ibu bapa perlu mengejutkan anak-anak untuk sama-sama bersolat.

Bagi anak yang sudah terbiasa bangun awal ia tidak lagi menjadi satu perkara yang susah, benda yang menjadi rutin maka mereka akan terbiasa dengan sendiri. Masalah yang sering berlaku dikalangan kita adalah bila ibu bapa sendiri liat untuk mengerjakan solat maka apa lagi anak-anak.

Dalam hal ini bapa sebagai ketua rumahtangga perlu memastikan seluruh ahli keluarga dapat menunaikan berjemaah bersama. Jika bapa ke masjid untuk berjemaah, maka ibu yang akan menjadi imam kepada anak-anak. Bahkan jika ada anak lelaki yang sudah menuju baligh, bapa perlu mengajak anak untk turut sama berjemaah di masjid atau surau.

Jika sebuah keluarga mampu mempraktikkan solat jemaah, maka kerukunan rumahtangga akan terjaga, kasih sayang akan bertambah, komunikasi dapat dipertingkat. Manakan tidak, apabila setiap kali selesai berjemaah, anak-anak akan bersalam dengan ibu bapa, bahkan sewaktu selepas solat, doa dipanjatkan dan diaminkan bersama oleh semua ahli keluarga, maka ia menambah barakah dan rahmat menjadikan keluarga yang sentiasa di bawah payung Ilahi.

Menjadikan sesuatu itu rutin tidak susah, yang penting mulakan langkah yang pertama dengan solat awal waktu. Meletakkan solat sebagai agenda utama kehidupan.

Wallahuaalam.

Thursday, November 5, 2015

Cara Faham Bahasa Arab Al Quran


Bismillah,

Malam ini akan diadakan program Fahami Bahasa Arab al Quran di tadika ABS Saujana Utama. Program bakal dikendalikan secara percuma oleh Pn. Dr Nadiyah Elias. Beliau sudah menjadi pakar dalam menggunaka prakata faham Bahasa Arab.

Kali pertama menghadiri program beliau tahun lepas, saya amat kagum dengan usaha gigih beliau yang dari awal zero dalam Bahasa Arab. Namun kerana kegigihan dan semangat beliau yang tidak pernah luntur untuk memahami al Quran beliau berusaha berterusan hingga sekarang ini boleh dikatakan beliau memahami dan telah pun membuat prakata bagi al Quran hampir keseluruhan juzuk.

Setelah itu beliau berkongsi pula kepada ramai di luar sana, menyuntik semangat serta mengajar mereka agar yang tidak arif Bahasa Arab dapat memahami isi kandungan al Quran. Sesungguhnya ganjaran pahala yang amat besar buat Dr Nadiyah.

Hakikatnya ramai kita yang bukan setakat kurang membaca al Quran, namun jika ada yang membaca tetapi tidak memahami perkataan yang terkandung, apalagi mendalami tafsirannya. Maka tidak pelik bila kita kurang penghayatan sewkatu mendengar atau membaca ayat-ayat al Quran.

Jika merasakan usia sudah lanjut, sukar untuk mempelajari Bahasa Arab, ia sebenarnya belum terlambat. Asalkan ada niat dan azam pasti Allah akan permudahkan. Memahami Bahasa Arab satu kepentingan, ia bukan semata untuk faham al Quran, serta apa sahaja rujukan yang ada dalam Bahasa Arab, tetapi Bahasa Arab itu sendiri adalah Bahasa ahli syurga. Maka kita yang semua mendambakan untuk masuk ke syurga, setidaknya mempelajari Bahasa Arab ia petanda usaha kita untuk masuk ke syurga.

Memahami Bahasa Arab dengan menggunakan al Quran adalah satu cara yang sangat praktikal. Bahkan kita mendapat dua dalam satu. Bukan setakat dapat faham dengan belajar bahkan kita juga mendapat ganjaran pahala apabila menyebut setiap huruf al Quran. Apalagi bila memahami setiap patah perkataan dan mengamalkan ajaran yang terkandung, sudah pasti ganjaran besar bakal diperoleh.

Semoga kita semua istiqamah belajar dan sentiasa mahu belajar mendalami al Quran. Ameen

Wallahuaalam.

Monday, November 2, 2015

Buta mata celik hati


Bismillah,

Menonton Khawater di TV Hijrah memaparkan sekolah pelajar buta di China. Sekolah yang menyediakan prasarana yang bagus untuk gologan kelainan istimewa. Ia juga menunjukkan betapa mereka yang tidak cukup pancaindera namun boleh berdikari dan menjadi terbaik lebih dari insan yang celik.

Jika meletakkan diri kita yang celik serta cukup sifat, adakah kita mampu sebagus mereka? Hakikatnya insan dikurniakan Allah celik mata namun buta hati. Betapa ramai yang melihat, medengar, bercakap tetapi pancaindera itu tidak digunaka ditempat yang betul. Sebaliknya mata yang mampu melihat tidak digunakan untuk memerhati kekuasaan Allah, telinga pula dipekakkan kerana tidak mahu mendengar ajakan ke arah kebaikan.

Begitulah bagi insan yang tidak memperoleh hidayah Allah. Mata hanya sekadar melihat perkara yang zahir tanpa dapat mentafsirkan yang tersirat. Kaki tangan yang gagah mampu memanjat gunung yang tinggi, menyelam di lautan tetapi tidak dapat menggunakannya untuk beribadat kepada Allah.

Mata hati dapat celik bila adanya kesedaran. Bagaimana memperoleh kesedaran? Kesedaran diperoleh bila kita belajar memerhati, melihat sesuatu perkara dengan keinsafan. Kesedaran hadir bila diri mencintai kebenaran. Kesedaran diperoleh bila insan dekat dengan ilmu. Kesedaran tiba bila insan sedar bahawa hidup ini masih jauh perjalanannya.

Oleh itu, mohonlah kepada Allah, agar Dia memberi taufiq dah hidayah buat kita semua. Mohonlah agar Allah menetapkan hati kita pada jalannya, dan tidak dibolak balikkan setelah kita beriman. Semoga kita celik zahir dan celik hati bagi menelusuri kebesaran Rabbi.

Wallahuaalam.