Bismillah
Menurut Imam Ghazali, syukur termasuk ibadah yang tinggi maqam atau darjatnya. Malah lebih tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada Allah. Definisi syukur menurut ilmu tasauf ialah ucapan, sikap dan perbuatan berterima kasih kepada Allah SWT dan pengakuan yang tulus atas nikmat dan kurnia yang diberikanNya (Sumber: Definisi Syukur Menurut Al Quran).
Di dalam sebuah hadith ada disebut Rasulullah SAW menunaikan solat malam (tahajjud) sehingga bengkak kedua kaki baginda, ditanyakan oleh Aisyah kepada baginda kenapa baginda menyusahkan diri baginda sedangkan baginda telah diampunkan dosa yang lepas dan akan datang. Berkata baginda '' Apakah aku tidak menjadi hambaNya yang bersyukur?"(HR Imam At Tirmidzi daripada Al Mughirah bin Su'bah). Maka sudah jelas betapa perlunya kita bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah.
Bagaimana cara bersyukur?
Menurut Imam Al Ghazali, cara bersyukur terdiri daripada empat komponen berikut:
1. Syukur dengan hati
Menyedari sepenuhnya bahawa segala nikmat baik kecil atau besar adalah semata-mata anugerah dan kemurahan Allah SWT.
2. Syukur dengan lisan
Ucapan ''Alhamdulillah'' tatkala hati yakin sepenuhnya dengan nikmat yang diperolehi semata-mata anugerah dari Allah. Meski pada zahirnya nikmat atau rezeki berkenaan diperolehi daripada seseorang.
3. Syukur dengan perbuatan
Perbuatan menggunakan segala nikmat yang diterima dijalan yang diredhaiNya. Umpamanya menggunakan harta untuk berzakat, sedekah dan beribadah kepada Allah. Pancaindera pendengaran dan penglihatan digunakan untuk mendengar dan melihat ayat-ayat dan kebesaran Allah dan tujuan utuk kebaikan semata-mata.
4. Menjaga nikmat dari kerusakan
Umpamanya nikmat kesihatan, perlu dijaga secara yang sepatutnya agar terhindar dari penyakit. Yang lebih utama menjaga nikmat iman dan Islam dari sebarang bentuk ancaman. Iman dan Islam dapat dipupuk antaranya dengan mendirikan dan menjaga solat, mentaddabur Al Quran, berzikir, berdoa dan menghadiri majlis taklim.
Allah SWT menjanjikan akan tambahan nikmat bagi hambaNya yang bersyukur seperti firmanNya dalam Surah Ibrahim (14:7) Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), sungguh azabKu sangat pedih.
Bagaimana untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur?
Untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur, kita perlu berdoa dan memohon kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam Al Quran, Surah Al Ahqaf (46: 15) ''..Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmatMu yang Engkau berikan kepadaKu dan kepada kedua ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".
Doa Nabi Sulaiman AS sebagaimana firman Allah dalam Surah An Naml (27: 19) ''Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlan daku dengan limpah kurniaMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh''.
Dalam sebuah hadith,Rasulullah SAW mengajarkan doa kepada Muaz ibn Jabal r.a. "Ya Allah bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadat dengan baik kepadaMu'' (Allahumma a'inniálazikrika wasyukrika wahusni'ibadatika). Eloklah kita sama-sama amalkan doa ini selepas setiap solat.
Mudah-mudahan Allah dengan limpah rahmatNya membantu kita untuk menjadi hambaNya yang bersyukur, amin ya Rabb...
لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إلاّ بِاللهِ الْعَليِّ الْعَظيمِ.
Dipetik dari perkongsian WhatsApp
No comments:
Post a Comment