Bismillah,
SPM sudah hampir ke penghujung. Bagi segelintir pelajar yang mengambil aliran tertentu minggu hadapan mereka sudah merdeka. Selesai peperiksaan, apa dan ke mana selepas ini?
Ramai pelajar akan terfikir untuk bercuti. Mahu bergembira selepas berhempas-pulas gigih berusaha untuk persediaan peperiksaan fizikal, menta, rohani dan emosi. Namun selama mana mahu bergembira dan mewartakan cuti untuk diri.
Hakikatnya dalam Islam pun tiada cuti. Mahu 'celebrate' kerana habis pereksa, pun ia bukan ajaran Islam. Bahkan ia lebih membawa lagha atau kelekaan.
Semestinya para pelajar yang bakal tamat peperiksaan sudah membuat peta perjalanan, ke mana selepas ini? Bagaimana cuti yang ada ini akan dapat dimanfaatkan? Matlamat perlu ada dari awal dan bukannya selepas periksa baru terfikir mahu buat apa.
Mahu goyang kaki, buat apa sahaja yang disukai, makan minum tidur, qada segala tidur yang tidak cukup sebelum ini dan pelbagai lagi senarai. Apa yang penting, buat perkara yang memberi manfaat pada diri. Menurut anak penulis yang sekarang ini sedang menduduki SPM katanya apabila selesai peperiksaan mahu belajar photography dan membuat website. Dalam masa yang sama mahu buat bisnes online.
Cuti sementara menunggu keputusan SPM adalah masa untuk mencari dan menggilap kemahiran diri. Ada banyak perkara boleh dibuat termasuk kerja part-time. Sekurang-kurangnya ada duit lebihan sebagai bekal menyambung pelajaran.
Setahun yang lalu, sewaktu anak sulong Penulis diinterview bagi kemasukan ke Law School UiTM setelah selesai asasi, salah satunya yang ditanya adalah pengalaman bekerja jika ada. Bahkan sewaktu mahu menjadi ajk dalam sekretariat juga ditanya pengalaman yang ada.
Alhamdulillah, anak penulis dari awal sentiasa diberi pendedahan. Sejak dulu cuti sekolah hanya cuti belajar, namun ia juga masa untuk menambah dan menggilap kemahiran. Mungkin pada awalnya mereka kurang bersetuju, tetapi ibu bapa perlu memahamkan kepentingan untuk manfaatkan masa cuti dengan perkara berfaedah.
Umpamanya, ibu bapa boleh membawa anak ke tempat kerja jika ia boleh membantu mereka untuk tahu dan belajar serta mendapat idea apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Penulis sendiri tidak ketinggalam mempraktikkan, jika ada program motivasi, jemputan ceramah atau training di mana-mana, jika ada anak yang cuti pastinya penulis akan membawa mereka sekali untuk membantu atau mendapatkan pengalaman.
Sewaktu penulis menjalankan trainnig bagi Institut Perkhidmatan Awam Brunei, anak yang sulong menjadi pembantu khas penulis. Bahkan beliau disuruh mengasah skil bercakap bersama peserta. Pernah juga penulis membuat program Smart Learning di salah sebuah sekolah di Lembah Klang, anak penulis juga dipanggil untuk berkongsi pengalaman dan testimoni teknik belajar berkesan kepada para peserta.
Selain itu jika ada program berbentuk 'coaching' yang dibuat pusat latihan, mereka juga hadir sebagai pemerhati. Ini membantu agar mereka belajar dari awal dan satu masa tidak mustahil mereka akan menjadi penyambung legasi.
Perkongsian ini agar dapat memberikan idea kepada ibu bapa, jika anak tidak dapat memikirkan hala tuju dan matlamat selepas SPM atau mengisi masa cuti mereka. Maka ibu bapa perlu berperanan menampakkan dan menjadi penunjuk arah agar anak-anak mampu melihat kompas mereka ke mana mahu di halakan?Apa dan ke mana selepas SPM.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment