Bismillah,
Sejak seminggu yang lepas saya begitu seronok menonton Undercover Boss menerusi YouTube. Ada banyak siri yang memaparkan kisah CEO menyamar sebagai pekerja biasa bagi memastikan adakah staf mereka menjalankan kerja dengan bagus. Ironinya bos yang tidak pernah kerja berat seperti mengangkat kotak, menjawab panggilan pelanggan, membersih tandas, membuat kerja-kerja luar pada waktu larut malam dan pelbagai lagi.
Apa yang menarik kehidupan orang biasa ini membuka mata si boss tentang kehidupan yang sebenar. Hakikatnya ramai yang hidup susah. Bahkan mereka yang bekerja biasa-biasa dengan gaji yang biasa-biasa juga terpaksa mengikat perut untuk banyak perkara. Ada yang anak sakit, pasangan terlantar, keluarga dalam kesusahan dan banyak lagi kisah yang memeritkan.
Ini sekali lagi membuka mata si boss bahawa hidup ini banyak cabaran, namun yang pasti ia tidak menghalang bagi mengecapi kebahagiaan. Bahagia bukan pada duit dan kemewahan harta benda namun sejauh mana setiap ahli keluarga mensyukuri kehidupan yang seadanya.
Dalam satu siri, seorang CEO yang terputus hubungan dengan bapanya disebabkan bapanya kerana waktu kecil bapanya tidak pernah mempedulikan dirinya. Dia membesar dengan ibu yang banyak berkorban untuk dirinya, beserta dendam terhadap bapanya tidak pernah padam.
Satu ketika, staf beliau berkongsi bagaimana beliau memaafkan kesilapan bapanya. Menurut staf tersebut, beliau tidak mahu memikul beban kemarahan dan dendam kerana ia tidak menguntungkan. Menurutnya lagi, hidup ini amat singkat, ada baiknya melupakan kesilapan masa lalu, walau ia menyakitkan. Lama-lama ia akan sembuh.
Selepas program tersebut, CEO ini untuk pertama kalinya bertemu dengan bapanya. Mereka saling berpelukan dan berjanji untuk memperbaiki hubungan yang retak sebelum ini.
Pendek kata, ada banyak manfaat yang boleh dikutip dari program ini. Ia membantu untuk individu mengenali diri mereka walau apa jua pangkat dan kejayaan mereka. Bahkan program ini membuka mata ahli bisnes bagaimana mejadi CEO terbaik.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment