Proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah adalah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara iaitu untuk melahirkan ‘modal insan’ yang berketrampilan sebagai pewaris generasi akan datang. Ini ditentukan melalui sistem nilai tertentu yang perlu dikuasai dan difahami oleh para guru dan pembimbing pelajar. Sistem nilai ini perlu dicerna dan diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas atau di luar kelas. Justeru, adalah penting bahawa sistem nilai ini dibincangkan dan diperincikan sebagai proses pembugaran semula agar kita sentiasa jelas dalam tujuan pendidikan di sekolah.
Ruangan Kenali Diri, Bina Identiti kali ini mengambil kesempatan untuk membicarakan aspek pembentukan sahsiah, moral dan akhlak pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia merupakan aspek dan elemen utama pencapaian objektif Falsafah Pendidikan Negara. Terkadang kita agak menyimpang kerana kurang jelas tentang peri pentingnya aspek sahsiah yang perlu dijana dan dilahirkan dalam diri individu. Kita mudah untuk kehilangan kompas sebenar dek kerana pesatnya pembaharuan dan perubahan dalam pendekatan dan cara pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan melahirkan individu cemerlang. Beberapa persoalan timbul? Adakah pengukuhan sahsiah sentiasa diberi perhatian? Bagaimana ia dilaksanakan? Adakah ia selaras? Atau masih wujudkah konflik pendekatan berbeza diantara sesama pendidik? Apakah asas dan sistem nilai yang mendasari pembentukan sahsiah, moral dan akhlak? Apakah pendekatan yang dilakukan itu selaras dengan objektif pendidikan? Ini antara beberapa persoalan diantara banyak lagi isu yang berkaitan dengan pembentukan sahsiah, moral dan akhlak pelajar.
Para guru perlu menghayati bahawa pembinaan sahsiah bermula dari pembinaan jiwa dan rohani yang utuh. Harus diingat bahawa para pelajar ini merupakan asset masa depan negara. Proses ‘mencanai’ mereka menjadi insan kamil yang berketrampilan tinggi merupakan proses yang berterusan dan berpanjangan. Ini disokong oleh segala macam faktor luaran dan dalaman di rumah dan di sekolah. Segala faktor luaran dan dalaman ini saling berkaitan, lengkap melengkapi dan perlu ditangani secara seimbang. Kita semua boleh bersetuju bahawa ia bermula darri pembinaan jiwa dan rohani, akan tetapi apakah nilai yang mendasari pembentukan itu?
Secara psikologi, nilai yang perlu ditanam dalam diri seorang pelajar ialah nilai moral, akhlak yang mulia dan positif yang perlu dijana sejak mula lagi seseorang itu menjadi pelajar. Ia bermula dari dalam jiwa seseorang individu. Ia selaras dengan pendekatan yang dibawa oleh Islam dimana pembinaan jatidiri merupakan elemen terpenting dalam konteks pengajaran dan pembelajaran seorang insan untuk menjadi seorang individu yang seimbang jiwa dan rohani, akal dan sahsiah, ilmu dan kemahiran. Gagalnya sistem pendidikan untuk melahirkan insan yang berketrampilan ialah apabila fokus pembelajaran dan pengajaran tidak mementingkan aspek sahsiah, akhlak dan pembentukan jiwa dalam diri seorang pelajar.
No comments:
Post a Comment