“Nilai menentukan cara hidup, cara membuat keputusan, cara menimbang kearah keputusan yang diambil dan cara menghadapi kesan dari keputusan yang diambil”
Ruangan Kenali Diri Bina Identiti kali ini masih membicarakan soal nilai sepertimana 2 siri yang terdahulu kerana ia dirasakan amat penting dan kritikal sekali dalam usaha tarbiah dan pendidikan kepada generasi pewaris bangsa, iaitu para pelajar semua. Sebenarnya, perjalanan kehidupan ditentukan oleh latarbelakang nilai yang dimiliki dan tertanam dalam diri seseorang pelajar. Jika para pelajar ditanam, didedahkan, ditarbiah dengan konsep nilai yang betul dan baik, maka hasilnya tentu baik dan begitulah sebaliknya. Kedua nilai positif dan negatif ini sentiasa saling bercanggahan dan justeru itu terjadilah konflik pemikiran. Polemik percanggahan sistem nilai ini akan membentuk aliran pemikiran masyarakat dan bangsa. Akhirnya, ia membentuk suatu aliran pemikiran nasional yang cuma bezanya ialah mana satu yang dominan.
Membentuk dan mentarbiah nilai adalah suatu proses yang panjang dan penting bagi seorang guru. Sedari atau tidak, ia komponen penting samada tercapainya objektif pendidikan itu sendiri. Bukanlah pencapaian yang harus dibanggakan dan dilaung laungkan jika anak didik mencapai 10A tapi sahsiah dan akhlaknya runtuh. Malah kadang kadang adalah lebih baik pencapaian sederhana tapi individu pelajar itu mempunyai nilai sahsiah dan akhlak yang terpuji. Namun adalah sangat cemerlang pencapaian jika pelajar itu hebat akademik dan hebat sahsiah dan akademiknya. Itulah hakikat. Jika sukatan kita berbentuk nilai kebendaan maka kita akan mengagungkan pencapaian yang bersifat material tanpa mengendahkan aspek pembentukan jiwa dan rohani, akhlak dan sahsiah. Sebenarnya, kemuncak kecemerlangan pendidikan dan tarbiah ialah bagaimana para guru berjaya menggarap pembentukan nilai yang menggabungkan aspek akademik, fizikal, jiwa, rohani, akhlak dan sahsiah kepada semua anak didiknya samada yang karektornya ‘ready made’ atau ‘non ready made’. Ini kerana ada dikalangan para murid mungkin telah tersedia ada terbentuk sistem nilai yang utuh ‘ready made’ dek kerana latar belakang keluarga, manakala ada yang tidak ‘non ready made’. Justeru, cabaran utama para guru ialah untuk membentuk nilai utuh kepada para pelajar yang ‘non ready made’ ini dan menggabungkan mereka dengan para pelajar yang sedia ada utuh sistem nilainya.
No comments:
Post a Comment