“Manusia mengambil keputusan dan bertindak sesuatu dalam kehidupan berdasarkan sistem nilai yang mendasari dirinya”
Kenyataan di atas adalah kesimpulan yang diambil berdasarkan teori teori yang dipaparkan oleh para pakar psikologi Barat. Perspektif psikologi Islam juga mengambil pendekatan yang hampir serupa. Apapun intipatinya ialah nilai yang wujud dalam diri seseorang individu itulah yang akan menentukan sikap, pandangan, perlakuan dan cara hidupnya. Contoh yang paling mudah ialah, seseorang individu itu boleh memilih untuk berlaku sopan dan menghormati orang yang lebih tua, tanpa mengira siapa pun dia atau bersikap kurang ajar dengan mereka. Itu semua bergantung kepada nilai yang tertanam dalam diri seorang individu itu. Nilai pegangan seseorang itu akan menentukan samada perlu atau tidak menghormati seseorang yang lebih tua atau tidak mengambil endah akan keperluan untuk menghormati orang tua tersebut. Apakah kaitannya perkara ini dengan pendidikan?
Sebenarnya, kaitan utama perkara ini ialah segala nilai tersebut perlu dijana melalui proses proses pendidikan, melalui pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu. Objektifnya ialah sepertimana yang telah dinyatakan terdahulu (Siri 1) iaitu pembentukan modal insan yang berketrampilan tinggi, moral, sahsiah dan akhlaknya selaras dengan kecemerlangan akademik, seperti mana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Para guru perlu memainkan peranan yang besar dalam memastikan bahawa nilai nilai yang murni ini dapat dijana sepenuhnya dalam jiwa dan nurani para pelajar. Ia tidak mudah dan kenyataan ini tidak menafikan peranan yang telah dimainkan oleh para guru selama ini dalam melahirkan insan insan yang cemerlang dan seimbang antara akademik dan sahsiahnya.
Para pelajar harus diberi pendedahan yang jelas tentang nilai kehidupan. Sebagai contoh, apakah makna dan ertinya kejayaan dan kecemerlangan yang sebenarnya? Kebanyakan senario yang berlaku hari ini ialah, individu pelajar gagal menanggapi dengan sempurna makna dan erti kejayaan dan kecemerlangan sebenar dalam kehidupan. Adakah kejayaan itu hanya sekadar 10A yang dikecapi semata mata atau ada perkara lain. Masalah kebanyakan dari kita sebagai individu dan pelajar ialah bukan tidak boleh untuk berjaya tetapi masalah sebenar ialah kebanyakan dari kita tidak tahu apa itu erti kejayaan sebenarnya. Ramai juga yang tahu apa itu kejayaan dan apa yang mereka inginkan dalam hidup tetapi tidak mempunyai semangat, motivasi, perancangan, usaha dan strategi untuk mencapainya. Ini berlaku kadang kadang hanya kerana pertamanya; tiada keinginan yang berkobar kobar untuk mencapainya, keduanya; tidak sanggup untuk membayar, tidak tahu langsung ‘harga’ pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mencapai segala keinginan itu.
No comments:
Post a Comment