Manusia ini ada banyak penyakit yang dihidapi baik yang disedari atau yang tidak disedari. Ada yang nampak secara nyata dan yang tidak nyata. Penyakit yang nampak secara nyata biasanya apabila ia boleh dikesan dan memberi impak kepada diri hingga ada yang membawa kepada lumuh terpaksa mengambil ubatan secara berpanjangan. Penyakit ini lebih berkait dengan rawatan moden. Ia lebih mudah di kesan berbanding penyakit yang bersifat dalaman. Apa yang saya maksudkan adalah penyakit yang berkait dengan hati atau perasaan yang ada dalam diri manusia. Salah satu penyakit ini adalah hasad dengki. Rasulluah bersabda menerangkan tentang penyakit hasad“Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Mungkin kita merasakan ia bukan satu penyakit tetapi inilah realtinya. penyakit hasad ini merupakan satu penyakit yang paling bahaya dan memberi kesan yang amat besar kepada individu. Kenapa demikian? Ini kerana penyakit ini memberi impak dunia dan akhirat. Penyakit ini tidak mampu dirawat oleh rawatan moden. Ia juga tidak mampu dikesan dengan peralatan canggih dan terkini. Ia adalah penyakit yang adakala tersembunyi dan hanya Allah yang boleh mengetahui. Namun begitu ada kalanya penyakit hati ini juga boleh dikenal pasti secara tidak langsung dari perkataan, perbuatan seseorang inidividu kepada inidividu yang lain.
Antara keburukan sifat hasad dengki adalah mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar.” Yakni, boleh menyebabkan kufur.Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah seperti bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki.”
Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa’at pada hari kiamat.Rasulullah bersabda: “Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya.”. Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat. Kerana hasad dengki manusia sanggup berbuat apa sahaja. Firman Allah SWT dalam surah “al-Baqarah” – ayat 191 yang bermaksud:“….. dan perbuatan fitnah itu lebih dasyat kesannya dari perbuatan membunuh …..”
Hasad dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain. Mereka yang memiliki perasaan hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada inidividu tersebut kerana tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan tersebut. Allah menerangkan sifat dengki yang terjadi antara dua adik beradik dalam SurahAl-Ma’idah: Ayat 27-30 yang bermaksud:
“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dan salah seorang dan mereka (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!” “Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian ‘alam.” “Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh) ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim. Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi.”
Kesimpulannya, penyakit hasad dengki yang berada di dalam hatinya akan menghalang pintu hatinya daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai hukum hakam. Hatinya akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya . Orang yang hasad ada yang secara sembunyi melakukan sesuatu perkara hasad dengan membomohkan orang yang didengki bahkan ada juga yang sanggup membunuh secara terangan. Mereka ini sebenarnya menjadi orang yang dimurkai oleh Allah.
“Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai Subuh, dan kejahatan makhluknya dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dan kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki. ” (Surah Al-Falaq: Ayat 1-5)
No comments:
Post a Comment