Bila berakhirnya Ramadhan maka ramai yang seronok meraikan hari raya hingga perkara sunat yang amat disarankan oleh Rasulullah iaitu puasa sunat selama 6 hari di bulan Syawal terlepas begitu sahaja. Manakan tidak sepanjang Syawal banyak rumah terbuka serta kenduri kendara diadakan maka tergugatlah nafsu untuk makan juadah yang dihidangkan.
Mengingat kisah semalam saya terasa ada kebenarannya. Sewaktu berada di ofis mahu memasukkan markah peperiksaan pelajar, seorang Prof masuk sambil berkata: "Hari ini saya tidak berpuasa, menyesal pula rasanya sebab berbuka. Tengookan mee hoon yang di hidang tu terasa air liur meleleh, perut pula berkeroncong, dah makanan ada di depan mata, apa lagi terus tersuap. Tapi bila suapan pertama masuk ke kerongkong terus rasa menyesal berbuka puasa" Gaya dan suaranya yang lawak memeang geli hati mendengar apabila dia bercerita kisah dirinya yang berpuasa namun tergoda akhirnya. Menurut beliau itu hari ke-dua beliau berpuasa. Seorang staf lalu menjawab kepada beliau " Itulah sebabnya Prof, puasa Syawal ni tak ramai yang mahu buat kerana banyak sangat dugaan".Saya sekadar mendengar dan tersenyum sendiri.
Itulah hakikat kehidupan kita. Memang mahu berbuat perkara yang baik banyak ujian sekeliling. Tahun ini Ieman juga baru berlatih puasa Syawal. Saya tidak memaksa atau mencadangkan untuk dia berpuasa. Tetapi kerana kesedarannya dan keinginannya sendiri mahu berpuasa maka saya sekadar memberi ingatan takut beliau rasa tergoda dengan pelajar lain yang membawa makanan atau minuman. Selain itu risau jika dia penat maklumlah bukan bulan Ramadhan keadaanya tidak sama kerana diwaktu bulan puasa kantin ditutup dan tidak beroperasi. Namun Ieman bersungguh mahu berpuasa Syawal, tiap kali mahu masuk tidur berkali dia berpesan agar mengejutkannya untuk sahur.
Saya boleh simpulkan bahawa, memang kita boleh tercabar dengan nafsu makan dibulan Syawal yang rata-rata penuh terisi dengan jemputan rumah terbuka, tetapi kita mampu mengawal diri jika kitam erasonalkan diri dna tidak melihat bahawa makanan tersebut satu perkara yang besar. Sekadar memenuhi jemputan tidak mengapa, jika tidak makan rasanya tidak ada yang terasa jika kita maklumkan yang kita berpuasa. Rata-rata sekarang ini kesedaran untuk berpuasa Syawal sudah ada dikalangan ummat Islam kita di Malaysia. Menyedari hakikat ini maka banyak juga rumah terbuka dan jamuan raya diadakan pada sebelah malam.
Itu kisah tentang puasa Syawal, InsyaAllah nanti kita sambung dengan cerita puasa Qadha pula... Moga kita berjaya mengharung puasa Syawal dan amalan kita diterima olehNya.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment