Welcome ........and May Allah bless us all....

Salam ukhuwwah.......

Praise be to Allah....Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.......Ihfazillaha, Yahfazuka....

Blog ini adalah nukilan, cetusan pandangan dan pengalaman sepanjang hidup saya yang saya gambarkan dalam bentuk butiran hikmah yang amat besar ertinya buat diri saya.....saya kongsikan agar ia memberi faedah dan manfaat samada langsung atau tidak langsung buat semua yang mengunjungi blog saya....

Jika ada secebis kebaikan daripadanya, maka ambillah kerana sesungguhnya ia datang dari Yang Maha Kuasa dan bukan dari saya...dan jika ada kekurangan dan kesilapan darinya maka ia adalah kerana daifnya diri dek kerana tidak sempurnanya diri saya..... saya hanya cuba menyampaikan kerana menyahut seruan Ballighu Anni Walau Aayah....sampaikan dari ku (saw) walau sepotong ayat sekalipun.....

Tuesday, December 29, 2015

Tip keibubapaan


Bismillah,

Ibu bapa adalah acuan kepada sikap dan keperibadian anak-anak. Maka ibu bapa perlu pastikan acuan bagaimana yang mereka mahu sediakan pada anak-anak. Perhatikan bagaimana anak-anak yang biadap atau bercakap dengan bahasa yang lucah dan sebagainya bukan kerana pengaruh rakan, tetapi anak-anak telah pelajarinya di rumah.

Sama juga bila anak-anak bercakap kasar dan tidak sopan dengan ibu bapa, hakikatnya mereka memerhati ibu bapa mereka sendiri bercakap dengan suaran yang tinggi, tidak hormat dan mengambil peduli ibu bapa yang membesarkan mereka. 

Ia sama sahaja dengan pepatah Melayu 'bapa borek anak rintik'. Mahukah kita melahirkan anak-anak sebegini? Slogan anak yang soleh bermula dengan diri sendiri. Membentuk acuan terhebat adalah dengan menjadikan diri kita sendiri terlebih dahulu hebat barulah mudah diperturunkan pada anak-anak.

Tidak sedikit ibu bapa yang mahu anak menjadi anak soleh dengan menghantar ke sekolah tahfiz, sekolah aliran agama dan sebagainya. Ada ibu bapa yang tidak menutup aurat, namun mengharapkan anak mereka menjaga aurat. 

Sayang seribu kali sayang. Jika hanya anak sahaja yang berubah ia kurang bermakna. Ibu bapa juga perlu berubah dan berhijrah. Kita mahu anak yang boleh menjadi tal hayat sewaktu di alam sana, maka kita juga perlu berusaha ke arah itu.

Mendidik anak-anak tidak susah, kerana pembelajaran yang paling berkesan adalah melalui pemerhtian. Anak-anak melihat tutur-kata, tingkahlaku, sikap dan segalanya yang ada pada ibu bapa. Buruk bagaimana pun faktor luaran tetap juga faktor luaran menyumbang ke arah pembentukan akhlak anak-anak.

Mari membina acuan yang terbaik pada anak-anak dengan memastikan kita menjadi role model terbaik bagi mereka. Wallahuaalam. 

Impian dan Azam 2016


Bismillah,

Tinggal beberapa hari lagi kita akan meninggalkan  tahun 2015. Pasti ramai pembaca yang sudah pun membuat senarai impian dan azam bagi tahun 2016. Jika ada yang tersenarai pada 2015 yang belum lagi direalisasikan maka jangan lupa untuk memasukkannya bagi tahun 2016.

Manakala apa yang telah dicapai 2015 boleh dijadikan sumber inspirasi bagi menjadikan impian 2016 boleh tercapai. Untuk berimpian tidak perlu dibayar, sama juga dengan angan-angan. Apa yang penting kita meletakkan strategi bagaimana ia boleh dicapai dan dijadikan kenyataan.

Impian adalah matlamat yang akan terlekat dalam minda. Ia akan menjadi satu doa jika kita sentiasa memikir dan memberikan harapan. Sekaligus ia menarik minda bawah sedar bagi mengusahakan dan mencuba sepenuh daya bagi memastikan kejayaan dan keberhasilan.

Oleh itu pastikan, pembaca sudah pun menyenaraikan impian dan azam masing-masing. Ingat, jika kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal!

Sunday, December 20, 2015

Tanda Munafik, Buruk akhlak


Bismillah,

Tanda Munafik, Buruk akhlak

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Dari AbduLlah bin 'Amru bahwa Nabi SAW bersabda: "Empat perkara bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafiq tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya satu sifat dari empat tersebut maka pada dirinya terdapat sifat nifaq hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia tidak menepati dan jika bertengkar ia curang (ingin menang sendiri)".
(Rowahu Bukhari No: 33)

Pengajaran:

1. Munafik tulen bermaksud orang yang menjadi munafik sebenar.

2. Sesiapa yang memiliki empat sifat ini, ia adalah munafik tulen.

3. Jika seseorang itu memiliki satu daripada empat sifat tersebut, maka padanya ada sifat munafik sehinggalah ia meninggalkan sifat tersebut.

4. Empat sifat munafik itu ialah:

a. jika diberi amanah dia khianat,

b. jika berbicara dia berdusta,

c. jika berjanji dia tidak menepati dan

d. jika bertengkar ia curang (melampau)

Perkongsian oleh Prof Saidfudin Masudi

Saturday, December 19, 2015

Hak Muslim Tanggungjawab Kita

Hak Muslim Tanggungjawab Kita

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda RasuluLlah SAW: Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda: Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia. Jika dia sakit, maka ziarahilah dia dan jika dia meninggal dunia, maka hantarlah (jenazah)nya.

Pengajaran:

Setiap Muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan dan ia menjadi tanggungjawab kepada Muslim yang lain. Antaranya:

a. Jika bertemu dengan setiap Muslim hendaklah mengucapkan salam padanya.

b. Jika dia mengundang, kita perlu memenuhi undangannya seperti perkahwinan, akikah, kenduri kesyukuran dan lain-lain selama tiada keuzuran.

c. Jika dia meminta nasihat dalam urusan keduniaan, berilah dia nasihat. (Imam An-Nawawy berkata: Syarat memberi nasihat jika diminta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta).

d. Jika dia bersin dan bertahmid اَلْحَمْدُ للَّه, maka tasymitkan (doakan) يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat keatas kamu).

e. Jika dia sakit, maka ziarahilah. Ziarahi orang sakit termasuk salah satu amal solleh yang sangat afdhal

f. Jika dia meninggal dunia, maka hantarlah (jenazah)nya ke kubur.

Mari kita bangunkan sifat RAHMAH dengan menunaikan hak Muslim lain yang menjadi tanggungjawab kita.


Dipetik dari FB Prof Saifudin Masudi

Wednesday, December 16, 2015

Tip Rumahtangga Bahagia


Bismillah,

Kali ini penulis ingin berkongsi pengalaman menjalankan sesi kaunseling rumahtangga bersama pembaca. Kebanyakan kegagalan dalam rumahtangga bermula dari tiada ruh Islam dalam rumahtangga. Kegagalan suami isteri dalam menerapkan cara hidup Islam menjadikan hubungan yang erat menjadi renggang. Ia dilihat dari luar sangat bahagia, namun hakikatnya bagai retak menanti belah.

Suami yang hebat bukan pada romantisnya
sahaja, atau pada kekayaan materialnya juga namun suami yang hebat adalah yang mampu menjalankan tanggungjawab amanah Allah menjadi pemimpin dalam rumahtangga. Manakala isteri pula bukan pada kecantikan paras rupa semata, atau pada apa yang dimiliki kerana seorang isteri perlu tahu bagaimana menjadikan rumahtangga sebagai tempat yang memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada ahlinya. 


Menjadi isteri adalah penyejuk hati suami dan bukan menambah beban pada mereka, sama juga pada suami, mempunyai isteri bukan sebagai khadam yang menyediakan keperluan rumahtangga tetapi isteri adalah peneman dan penyokong dalam apa jua keadaan susah dan senang. 


Ramai klien penulis yang hadir sesi kebanyakannya terdiri dari wanita, mereka mengadu susah untuk mengajak suami bersolat, apalagi solat berjemaah bersama. Ada juga para suami yang memang mengaku jahil dalam agama, maka mereka tidak mahu berjemaah kerana takut silap dan mendapat dosa bila menjadi imam. 

Tidak tahu tambah ilmu. Bila rumahtangga tidak menggunakan resepi yang sedia ada diberikan dalam Islam, maka tidak pelik rumahtangga mudah retak dan berlaku perceraian. Bahkan ada juga yang terlibat dengan maksiat dan cinta terlarang. 

Pasangan tidak lagi dilihat hebat di mata isteri atau suami kerana mereka sudah bertemu pilihan yang lain. Kenapa ini berlaku? Paling mudah jawapannya. Analisa dari banyak sesi kauseling yang dijalankan adalah rata-rata pasangan lebih suka makan diluar dengan alasan sibuk bekerja, tidak jimat untuk masak. Bila begitu, tidak pelik pasangan beralih arah. 

Petua orang lama, suami perlu dikenyangkan perut mereka. Maka isteri walau sibuk perlu memasak. Sama juga suami jika terlalu banyak kerja luar jangan sampai tiada waktu luang untuk berkomunikasi dengan isteri. Walhal media internet boleh diguna namun lebih suka melayan rakan dan kenalan di WhatsApp, Facebook, Intagram dan lain-lain berbanding isteri atau ahli keluarga sendiri.

Cara hidup yang kita lalui yang tidak membawa kepada mawaddah, rahmah  dan as sakinah dalam keluarga akan menjarakkan lagi hubungan sedia ada. Makin usia perkahwinan bertambah, makin rapuh ikatan. Salah siapa? Tepuk dada tanya iman kita. Belum terlambat untuk kita mengikut acuan dan ajaran Islam, agar kita dapat membawa rumahtangga dan kelurga menuju syurga. 


Wallahuaalam.

Monday, December 14, 2015

The Best CEO



Bismillah,

Sejak seminggu yang lepas saya begitu seronok menonton Undercover Boss menerusi YouTube. Ada banyak siri yang memaparkan kisah CEO menyamar sebagai pekerja biasa bagi memastikan adakah staf mereka menjalankan kerja dengan bagus. Ironinya bos yang tidak pernah kerja berat seperti mengangkat kotak, menjawab panggilan pelanggan, membersih tandas, membuat kerja-kerja luar pada waktu larut malam dan pelbagai lagi. 

Apa yang menarik kehidupan orang biasa ini membuka mata si boss tentang kehidupan yang sebenar. Hakikatnya ramai yang hidup susah. Bahkan mereka yang bekerja biasa-biasa dengan gaji yang biasa-biasa juga terpaksa mengikat perut untuk banyak perkara. Ada yang anak sakit, pasangan terlantar, keluarga dalam kesusahan dan banyak lagi kisah yang memeritkan.


Ini sekali lagi membuka mata si boss bahawa hidup ini banyak cabaran, namun yang pasti ia tidak menghalang bagi mengecapi kebahagiaan. Bahagia bukan pada duit dan kemewahan harta benda namun sejauh mana setiap ahli keluarga mensyukuri kehidupan yang seadanya. 

Dalam satu siri, seorang CEO yang terputus hubungan dengan bapanya disebabkan bapanya kerana waktu kecil bapanya tidak pernah mempedulikan dirinya. Dia membesar dengan ibu yang banyak berkorban untuk dirinya, beserta dendam terhadap bapanya tidak pernah padam. 

Satu ketika, staf beliau berkongsi bagaimana beliau memaafkan kesilapan bapanya. Menurut staf tersebut, beliau tidak mahu memikul beban kemarahan dan dendam kerana ia tidak menguntungkan. Menurutnya lagi, hidup ini amat singkat, ada baiknya melupakan kesilapan masa lalu, walau ia menyakitkan. Lama-lama ia akan sembuh.

Selepas program tersebut, CEO ini untuk pertama kalinya bertemu dengan bapanya. Mereka saling berpelukan dan berjanji untuk memperbaiki hubungan yang retak sebelum ini. 

Pendek kata, ada banyak manfaat yang boleh dikutip dari program ini. Ia membantu untuk individu mengenali diri mereka walau apa jua pangkat dan kejayaan mereka. Bahkan program ini membuka mata ahli bisnes bagaimana mejadi CEO terbaik.

Wallahuaalam.

Wednesday, December 9, 2015

Motivasi Diri


Bismillah, 

Tiga perkara yang penulis  kongsikan di mukabuku hari ini. 

1.Memberi kemaafan itu lebih baik supaya ia tidak membebankan perasaan.
2. Melupakan peristiwa pahit yang berlaku akan menjadikan diri lebih optimis dengan masa hadapan.
3. Melepaskan sesuatu yang berharga adalah sukar, namun pastinyaada ganti yang lebih baik.

Hakikatnya memberi maaf itu tidak mudah, namun saat kita memaafkan orang yang membuatkan kita sengsara, sejuta beban yang terpikul akan menjadi ringan. Kita tidak lagi terbawa-bawa dengan dendam yang tersimpan. 

Bahkan ia membantu untuk melupakan segala apa yang pahit menyelubungi diri. Bila diri belajar melupakan, kita akan dapat melihat ke depan dengan lebih optimis. 

Miliki sesuatu yang kita anggapkan berharga dan bernilai mungkin tidak sama dengan penilaian orang lain. Berharga bagi kita tapi tidak bagi mereka. Begitulah sebaliknya. Ada ketika ia memaksa diri melepaskan yang berharga itu. Bila kita redha dan pasrah, Allah pastinya akan menggantikan ia dengan sesuatu yang lebih baik bagi kita. Amen.

Wallahuaalam.

Saturday, December 5, 2015

Mencintai Kebaikan Bagi Orang Lain



Bismillah,

“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Perawai Hadith

Hadis ini bila kita beramal dengannya maka kita akan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hamzah, iaitu Anas bin Malik. Beliau berkhidmat dengan Nabi Muhammad s.a.w sejak usia 10 tahun. 

Beliau dibawa ibunya Ummu Sulaim dan meminta Nabi agar Anas r.a berkhidmat untuk baginda. Ummu Sulaim meminta agar Rasulullah mendoakan Anas. Nabi mendoakan perbanyakkan hartanya, ramaikan anaknya, panjangkan umurnya, berkatilah dia, dan masukkannya ke syurga.

Beliau meninggal di usia seratus tahun, kebun kurmanya berbuah dua kali setahun, dan boleh mengeluarkan haruman kasturi. Manakala ada riwayat mengatakan anak dan cucunya hampir 80 orang.

Anas r.a berhijrah ke Basrah dan meninggal 93 Hijrah. Beliau antara sahabat nabi yang terakhir meninggal. Bahkan beliau sempat mengalami dua kiblat. Iaitu mengadap ke Baitul Maqdis dan Kaabah. Anas r.a telah meriwayatkan 2200 hadith, beliau paling banyak mendengarkan hadith Rasulullah. 

Keterangan

Hadis ini sangat istimewa, mempunyai kesan yang sangat besar dalam kehidupan bermasyarakat. Adanya sifat kasih sayang sesama insan akan membawa kemakmuran. Secara simboliknya jika kita tidak suka perkara buruk berlaku pada diri maka, kita tidak suka juga jika ia berlaku pada orang lain.

Apabila kita memperoleh sesuatu kita juga mendoakan agar saudara kita memperolehinya. Muslim yang baik itu dia tidak suka berlaku pada dirinya, maka dia juga tidak suka berlaku pada saudaranya.

Imam Sudi beristighfar kerana perkataan Alhamdulillah hasil dari makluman tempat tinggalnya terbakar. Ia mengambarkan keprihatinan beliau terhadap orang lain. Maka bila beramal dengan hadis ini semua insan saling merasa kesusahan dan kesenangan. 

Apa yang mahu dijelaskan bahawa, menyukai kebaikan yang berlaku pada orang lain itu wajib. Ia dituntut, terutama saudara seIslam. Namun sebaliknya ramai yang tidak suka dan berhasad dengki. Maka tidak sempurna iman bila kita suka berlaku kebaikan pada orang lain dan mendoakan keburukan.

Ia tanda ukuran iman kita. Begitulah agama mengajar agar menolong dan membantu. Maka benarlah bahawa Mukmin itu bersaudara. Apabila terucap kalimah syahadah maka orang itu adalah saudara seakidah.

Ikatan akidah itu lebih kukuh berbanding ikatan suami isteri, saudara mara atau apa jua hubungan. Saudara seagama tidak akan berpisah selama-lamanya. Insan punyai latar belakang berbeza, namun saat mengucap kalimah syahadah semuanya sama. Biarpun berkulit putih atau gelap, berlain keturunan dan kaum.

Maka seorang Muslmim itu sempurna apabila dia mengasihi saudaranya. Ini telah ditonjolkan oleh golongan Ansar yang membantu Muhajirin apabila berpindah ke Madinah. Pembelaan golongan Ansar ini termaktub dalam al Quran. Mengutamakan orang lain dalam kehidupan.

Kisah yang boleh diambil iktibar sewaktu berlaku Perang Yarmouk. Sahabat yang terlibat antaranya Ikrimah bin Abu Jahal, Suhail bin Amru dan Al Harith bin Sham. Mereka cedera lalu ada yang membawa air untuk disuap. Lalu diberi pada Ikrimah, Ikrimah ditunjuk pada Suhail, maka Suhail tunjuk pada al Harith. Al Harith mengatakan bawalah pada Ikrimah, namun bila dibawa pada Ikrimah namun beliau telah syahid, dan begitu juga Suhail dan begitulah juga Al Harith. 

Mereka gugur syahid dalam keadaan sanggup berkorban untuk orang lain.Hidup dalam harmoni dan tolong menolong ini akan membawa kepada kesempurnaan iman. 

Iman akan terjelma bila kita mengasihi perkara yang baik. Imam Syafie adalah tokoh yang besar. Katanya "aku mengharapkan agar manusia faham ilmu fekah tanpa menyandarkan pada diriku"

Kadang-kadang orang yang menolong tidak seberapa, tapi membuat gempak seolah dia terlalu hebat. Mahukan pengiktirafan dan pujian. Maka hakikatnya di sini ikhlas itu sangat bermakna buat insan.

Iman itu terdiri dari tiga elemen iaitu ikrar di hati, pengakuan dengan lidah dan dibuktikan dengan amalan. Oleh itu Iman menurut Rasulullah iaitu 70 cabang, mengucap La Ilah a illah, maknanya termasuk muamalah, akhlak, dan lain-lain lagi sehingga malu itu sendiri adalah iman.

Mukmin itu bersaudara, maka bila mengaku beriman kita perlu menyerap dan menghayati pernyataan ini dengan perbuatan. Ia ibarat bilah-bilah sikat rambut. Bila ia 'rongak' atau patah maka ia akan menyakitkan kulit kepala. 

Keberadaan yang dikongsi bersama akan membawa kemakmuran dan kebahagiaan. Sebab itu kita diseru untuk membantu.Nabi bersabda; Aku nanti siapa yang membela anak yatim akan bersamaku seperti (lalu menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya). Pahalanya seperti orang berpuasa yang tidak pernah berbuka, dan qiam tanpa henti. 

Oleh itu, orang miskin perlu diraikan, orang yang susah perlu diberi bantuan. Jika hadis ini dipraktikan maka tiada yang miskin, tiada perlu dana dikutip bahkan akan berlebihan. Abdul Rahman adalah contoh terbaik dalam hal menyumbang. Inilah kaya yang bermanfaat. Contoh teladan juga telah diberikan oleh Uthman bin Affan yang membeli telaga bagi masyarakat Islam waktu itu.

Penderitaan yang dikongsi akan membawa bahagia. Seorang Mukmin tidak akan tidur bila tahu jirannya dalam kesusahan. Islam itu sangat mementingkan konsep berkasih sayang tanpa membezakan warna kulit, keturunan dan sebagainya. 

Rasulullah berkata tiada dengki melainkan dalam dua perkara iaitu kaya yang memberi manfata pada orang lain, ilmuan yang memandu orang lain dengan ilmunya.

Semoga kita menjadi mukmin yang sempurna imannya.

Wallahuaalam.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ . .

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari keburukan fitnah Al Masih Ad Dajjal” (HR. Muslim no. 588)


Wednesday, December 2, 2015

Bebas Hutang Tangguhkan Kepuasan Siri 2



Bismillah, 

Isu hutang yang tidak dibayar sentiasa kita dengari, bahkan ia menjadi satu beban kepada si pemberi hutang bagi mengutip hutang. Persoalannya, mengapa ramai orang liat  untukmelunaskan hutang? Adakala pelbagai alasan yang sering diberikan, yang masuk akal dan tidak masuk akal. Apakah sebabnya individu liat membayar setelah berhutang?

Realtinya manusia ini ada sikap tersendiri, ada yang prihatin ada yang tidak. Ada yang mengambil berat, ada yang pentingkan diri sendiri. Sikap acuh tak acuh atau tidak menghargai pertolongan adalah satu faktor individu liat membayar. 

Bahkan mereka ini ada juga yang tiada kesedaran betapa perlunya membayar hutang. Mungkin ia tidak dituntut namun sebagai pemiutang kita perlu mengetahui dan menyedari tanggungjawab tersebut.

Keinsafan akan takutnya mati dalam keadaan berhutang akan mendorong individu melunaskan hutang mereka seberapa cepat yang boleh. Sebaliknya ada juga yang suka menangguh untuk membayar walaupun sudah mampu membayar hutang. Bahkan ada yang buat-buat lupa.

Kebiasaanya orang yang berhutang akan ingat hutangnya, manakala orang yang memberi hutang mudah terlupa memberikan pinjaman, apalagi bila ia tidak dicatit. Bagi yang liat membayar hutang ini secara tidak langsung menyusahkan orang yang berhutang namun bagus bila membuat bayaran. 

Bila diberi kepercayaan maka, gunalah sebaiknya kepercayaaan tersebut. Bila orang tidak lagi percaya, masa susah kita tidak lagi dapat meminjam dan meminta pertolongan. 

Oleh itu, bila berhutang, fikir-fikirkan bagaimana membayar semula hutang!

Wallahuaalam.

Bebas Hutang Tangguhkah Kepuasan Siri 1


Bismillah,

Hari ini dijemput sekali lagi untuk berkongsi di rancangan Feminin TV1 dengan tajuk Liat Membayar Hutang. Ada beberapa isu yang diketengahkan antaranya, mengapa perlu berhutang? Di sini saya perincikan beberapa faktor;

Personaliti diri : Tabiat semula jadi yang suka berhutang dan sikap suka membazir. Ia menjadi kebiasaan kepada individu berkenaan apatah lagi jika sering melihat orang sekeliling seperti ibu bapa, adik-beradik dan saudara-maranya yang berhutang untuk memenuhi kehendak dan kepuasan diri.

Gaya hidup mewah adalah faktor berhutang. Apabila kehabisan wang atau ‘pokai’, maka mereka terpaksa berhutang apabila jumlah gaji tidak mencukupi. Untuk menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung, wujud pula gejala ‘gali lubang tutup lubang’, iaitu membuat yang hutang baru untuk membayar hutang lama. 

Pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan juga persekitaran juga memainkan peranan sedikit sebanyak yang menjadikan hutang sebagai gaya hidup. Mereka menggalakan untuk berhutang bagi membeli barangan dikehendaki. Bila melihat kawan miliki maka, kita juga ikut kemahuan yang sama. 

Menjaga status sosial, inginkan pujian dan perasaan, serta mengikut 'trend' / gaya adalah satu lagi penyebab kepada berhutang. Ibarat pepatah ‘biar papa asal bergaya’. Bagi menjaga penampilan untuk kekal menarik, mereka sanggup membeli dan berhabis walaupun dengan cara berhutang

Pasangan yang boros atau yang miliki 'Shopping Oriented’ juga tidak kurang menyumbang kepada gaya hidup berhutang. Contohnya bila ada promosi sahaja maka mereka terdorong membeli barang yang tidak diperlukan. Bahkan ada yang membeli barang secara borong mengunakan kad kredit dengan alasan murah, walhal ia tidak diperlukan. Ini membawa kepada pemborosan dan pembaziran.

Berhutang juga berlaku kerana tiada kesedaran/pendidikan atau ilmu tatacara kewangan. Hakikatnya ada banyak cara untuk tidak terjebak dengan hutang, bahkan jika tahu membezakan dan tip membeli juga dapat mengelakkan kita berbelanja lebih. Ilmu kewangan tidak diajar di sekolah namun kita perlu menggalinya dengan sendiri bagi memastika diri selamat dari berhutang.

Mentaliti 'ingin cepat kaya’ atau obsess ingin mengejar kekayaan dalam sekelip mata, mendorong individu membuat hutang. Mereka  mudah terpengaruh dengan pelbagai skim cepat kaya, kata-kata manis, lalu mereka membuat pelaburan dengan berhutang. Akhirnya terjebak dengan hutang yang banyak.

Tidak dinafikan berhutang ada sebab yang konkirt, bila ditimpa kemalangan, berlaku kecemasan,  membayar perubatan diri serta keluarga, bencana alam dan sebagainya, maka individu terpaksa berhutang. Ibarat pepatah “malang tidak berbau”. 

Wallahuaalam.




Tuesday, December 1, 2015

Motivasi 3i; Misteri kehidupan

Bismillah,


Bismillah,

Kehidupan adakala satu misteri. Apakah yang misteri? Sikap dan sifat yang ada pada manusia itu sendiri adalah sangat misteri. Maka memahami sifat dan sikap pastinya tidak mudah. Kerana itu apabila manusia bergaul sesama sendiri sifat dan sikap itu akan muncul.

Sikap sesuatu yang yang boleh diubah. Ia terhasil dari praktis yang menjadi tabiat, lalu akhirnya menjadi sikap diri seseorang individu.

Sikap adakala menjadi satu misteri. Contoh ada manusia berbaik di hadapan, namun bila di belakang, mereka mengadu domba sesama sendiri. Tidakkah itu satu misteri? Ramai yang apabila ada misteri mereka akan sibuk mahu merungkai apakah misteri itu. Lalu berfikirlah mereka, mengapa dan apakah yang menyebabkan si polan ini bersikap demikian. Berfikir apa dan mengapa hingga membawa kepada kekecewaan, putus harap kerana tidak bertemu dengan jawapan.

Walhal sesuatu yang misteri tidak perlu difikirkan dan ditanya, 'mengapa'?

Begitu juga dengan sifat. Sifat adalah salah satu ciri keperibadian. Ianya sangat unik. Sifat mempengaruhi keperibadian yang ada pada individu. Sifat baik atau sifat buruk kedua-duanya akan melekat seperti pakaian dan menjadi imej individu.

Sifat boleh diubah sama seperti sikap. Contoh sifat yang buruk seperti dengki dan irihati. Sifat ini boleh dibuang dan ditukarkan kepada sifat prihatin dan mengambil berat.

Sifat juga satu yang misteri. Sifat manusia akan membawa kita ke satu tahap mengatakan pada diri, sanggup dia memperlakukan begini dan begitu.

Umpama seorang yang sangat irihati serta dengki kepada sahabat baiknya. Sifat tercela ini membawa kepada individu sanggup menyihirkan, membomohkan dan sebagainya. Bagi yang terasa diri terkena sihir, sibuklah diri berfikir kenapa dan kenapa. Walhal itu diluar dari pemikiran. Ia berkait dengan keimanan yang ada pada diri.

Oleh itu, bila kita berdepan dengan sikap dan sifat manusia yang pelbagai, jangan kita asyik bertanya sendiri dan jawab sendiri. Ia tiada jawapan. Maka jangan bebankan perasaan kita dengan pertanyaan yang tidak perlu.

Jika manusia berbuat silap maafkan. Selebihnya pandang ke hadapan, teruskan perjalanan, perbaiki sikap dan sifat diri sendiri agar dalam perjalanan menuju ke destinasi tujuan kita dapat mengutip banyak bekalan pahala.

Wallahuaalam