Bismillah,
Sudah berminggu negara berdepan dengan situasi jerebu yang tidak menentu. Bahkan hari ini kali ke-2 sekolah terpaksa dicutikan selama dua hari dek kerana jerebu makin teruk.
Fenomena jerebu adalah signal alam kepada manusia yang rakus mengejar material. Ia kemusnahan yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri.
Hakikat jerebu pada zahirnya adalah kebakaran hutan yang tidak dapat dibendung. Namun hakikat pada sisi yang lain, jerebu adalah tanda-tanda kiamat kian hampir.
Al Quran menyebut dalam surah Al-Dukhan tentang kabut yang berlaku sebagai petanda kiamat. Bahkan hadith juga menyebut tentang tanda-tanda ini.
Kita menyedari ia fenomena alam, kita juga patut menginsafi bahawa ia bukan setakat fenomena alam bahkan lebih dari itu jerebu ini sepatutnya menjadi 'wake-up call' untuk kita semua. Ia masa untuk kita mencari dan muhasabah diri, bersediakah kita andai tiba Kiamat yang dijanjikan.
Tanda kiamat salah satunya adalah matahari akan naik disebelah Barat, para saintis juga telah membuat kajian tentang semua ini, adanya maklumat yang mengatakan matahari semakin berganjak lalu manusia sekali lagi menyatakan ini adalah fenomena alam.
Walhal inilah masa untuk manusia sedar, betapa kiamat kian hampir. Manusia sepatutnya mula menghitung, cukupkah solatku? Sempurnakah amalanku? Terampunkah segala dosaku? Langsaikah amanat Allah padaku?
Banyak persoalan perlu dilontarkan agar diri sedar, ia masa untuk kita kembali pada Allah. Zaman ini zaman fitnah yang hebat, ia juga satu petanda kiamat semakin dekat. Pun kita masih leka, menghitung harta dunia tanpa menghitung sedekah dan amal jariah yang bakal ditinggalkan yang menjadi tali hayat diri di alam sana nanti.
Manusia leka mengejar apa yang belum dimiliki hingga lupa menikmati apa yang dia ada. Itulah hebatnya fitnah dunia. Manusia seperti mahu hidup selamanya di dunia hingga lupa bekal yang bakal dibawa.
Maka, biarlah jerebu yang melanda negara ini, menjadi pencetus kepada keinsafan diri kita. Biarlah jerebu ini menjadi hikmah agar diri makin dekat dengan Allah. Biar hati takut dengan azab, biar diri takut dengan neraka, biar diri tertanya ke mana aku selepas ini, biar diri menyoal layakkah syurga untukku?
Lantaran itu mari kita sama-sama muhasabah, sama-sama mengajak ke arah kebaikan. Saling ingat mengingati. Meningkatkan amal dan taqwa pada Ilahi.
Masih ada masa untuk bertaubat.
Tambah ibadat dan amalan sunat.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment