Bismillah,
Jumaat yang barakah,
Sifat mahmudah tidak susah mahu diterapkan dalam diri, manakala sifat mazmumah juga tidak sukar mahu dikikis. Pokok pangkalnya kita mahu BERUBAH. Semuanya mudah bila kita mahu berHIJRAH.
Kita adakala tidak sedar mempunyai perasaan hasad pada orang lain, contohnya apabila melihat orang lain berjaya maka mulalah individu tersebut mencari kekurangan mereka. Di saat kita bercerita buruk hal orang lain, tersirat di dalam hati sendiri perasaan hasad dengki dalam diri terhadap apa yang ada pada mereka. Ia tanpa kita sedar, oleh itu cepat-cepatlah kita beristighfar.
Sifat mazmumah juga terpancar bila melihat apa kehebatan yang ada pada orang lain, membuat diri tidak senang duduk. Bahkan ada kala kegagalan sendiri diletakkan atas bahu orang lain. Memberi alasan kita gagal kerana orang lain adalah petanda hati kita bermasalah. Hati yang baik sifatnya akan meraikan kejayaan orang lain dan bukan mencemuh dengan apa yang diperoleh.
Sifat tercela hadir bila terasa diri banyak kelebihan. Menghidupkan sifat mahmudah caranya perlu sentiasa merasa rendah diri, meletakkan diri kerdil disisi Allah, sekaligus menghilangkan rasa riak dan takbur. Ingat akan mati juga mampu membuatkan diri merasa lemah dan tidak rasa hebat dengan apa yang dimiliki. Sedar dan tahu semua sementara maka tiada sifat sombong dan bongkak dengan pangkat serta harta yang ada.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment