Bismillah,
Semalam, adalah hari ulang tahun kelahiran Iman Ihsan dan Iman Najmi. Ia tarikh yang sama untuk mereka berdua. Bagi Iman tiada sambutan untuk hari kelahiran, tiada juga hadiah berharga. Hanya sekadar ucapan dan ingatan dari Ummi, Baba dan kakak-kakak.
Bagi seorang ibu, anugerah anak satu yang amat berharga. Setiap kelahiran mereka pasti ada sejarah tersendiri. Mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Iman banyak memberi keinsafan pada diri.
Setiap hari berjuang memandaikan anak bangsa. Setiap pagi selama bertahun mendengar kata-kata inspirasi dari Murabbi bahawa kunci kejayaan adalah KEIKHLASAN.
Apalagi Hadith Islam Iman dan Ihsan itu juga dikongsi dengan ratusan pelajar. Sama berjuang dengan mereka agar berjaya dunia akhirat. Lalu tiada nama lain buat anak ini, melainkan... namanya Iman Ihsan. Ia signifikan dengan pelbagai laluan dan cabaran yang dihadapi.
Islam Iman Ihsan, Alhamdulillah, jika sebelumnya hanya mendengar Murabbi berkongsi dicorong radio, maka giliran diri ini pula diminta berkongsi baik di TV juga radio. Ia bukan kerana diri yang terbaik, namun ia peluang mengali leibh banyak ilmu dan mengasah bakat.
Seringkali kita dengar, pengalaman akan mendewasakan. Pilihan kita yang mencorakkan masa depan. Allah memberi rahmatnya. Intan permata, kemewahan dan harta benda tidak mampu mendamaikan jiwa andai yang dicari tidak ketemu.
Maka pencarian itu membawa kepada pertemuan bersama murabbi yang banyak mengajar erti kehidupan. Membawa diri lebih mengenal erti kejayaan. Maka lahirlah buku yang pertama. Ia inspirasi dari kelahiran Iman Ihsan.
Membesar dalam keadaan yang tidak mewah, diajar untuk sentiasa prihatin dan merasai kesusahan. Iman dewasa menjadi anak yang menghargai dan menyelami cita-cita Ummi. Impian Ummi mahu Iman menjadi Hafiz tersemat dihati.
Ternyata Allah memberi satu 'wake-up call' buat diri. Setiap kali berlaku satu perkara pada Iman, ia sebenarnya signal kehidupan buat seorang ibu. Ia bukan semata-mata untuk seorang anak tapi kepada ibu.
Mata hati melhat tidak akan sama dengan mata zahir. Ia celik saat insan bersedia menerima taufiq dan hidayah. Betapa insan sering leka. Maka impian baru bersama Iman dijalin bersama. Bukan anak sahaja menjadi Hafiz, Ummi juga bila berusaha boleh sahaja. Masih belum terlambat walau sudah menuju usia. Ummi percaya tiada yang mustahil. Allah tidak akan menggagalkan hambaNya yang ikhlas dan gigh berusaha dengan niat keranaNya.
Sempena hari kelahiran Iman Ihsan, Ummi mendoakan agar ditetapkan hati dalam iman, terjaga aqidah, amal ibadat dipertingkat, akhlak dan nilai sebati dalam diri, bersifat qanaah dan zuhud, istiqamah dalam perjuangan.
Jika satu masa Ummi tiada lagi, ingatlan segala pesanan Ummi. Dunia hanya alat untuk mencapai akhirat. Carilah sahabat yang mendorong untuk akhirat. Pilihlah jalan yang selamat.
Wallahuaalam
No comments:
Post a Comment