Sekadar berkongsi....
Waktu ieman berumur dalam sekitar enam,tujuh tahun, dia seringkali mengadu dia mimpi perkara yang menakutkan. Bila saya tanya bagaimana mimpi itu dia tidak menjawab. Lalu saya tanya adakah mimpi itu mimpi hantu, dia mengelengkan kepala. Mimpi itu berlarutan hinggalah usia ieman mencecah umur sembilan tahun. Mungkin diusia itu dia baru boleh mengambarkan dan menceritakan keadaan serta menjelaskan mimpi itu, barulah ieman boleh berkongsi mimpi tersebut. Dan saya amat percaya, dia tidak berbohong. Kata ieman dari dulu dia sering mimpikan orang mati, keadaan orang dalam kubur. Sewaktu ieman menyatakan mimpi yang sering mendatanginya itu saya tidaklah terkejut kerana kanak-kanak boleh melihat alam barzah namun tidak mampu bercerita, hinggalah mereka sudah sedikit dewasa dan mampu meluahkan segala yang tersirat.
Berbalik kepada cerita alam kubur serta kisah orang mati seperti yang dinyatakan, menurut ieman mimpi itulah yang menakutkannya dan dia tidak mahu bercerita lanjut. Bila ditanya selebihnya ieman hanya mengelengkan kepala sahaja. Sebelum ini saya sering bertanya adakah ieman membaca doa sebelum tidur, katanya sudah, atau ieman tidur dalam keadaan tidak basuh kaki, atau tidur belum solat Insyak.. Katanya dia baca doa, baca 3Qul tapi mimpi itu tetap datang maka kerana itu saya percaya pada ieman. Lagipun ieman memang khatam quran diusia enam tahun, maka dia sudah menghafal beberapa surah. Saya juga sekarang ini menghantar ieman untuk mengambil kelas tahfiz pada waktu malam. Dengan harapan semoga ieman bakal bergelar huffaz.
Mimpi itu juga yang mendorong ieman untuk bertanya tentang pelbagai perkara berkait syurga dan neraka. Ditambah ustaz/ustazah disekolah agama sering bercerita tentang hal-hal alam ghaib. Saya ingat lagi bila ieman balik bercakap pasal armagedon 2012. Katanya ‘ummi, siapa yang percaya kiamat berlaku 2012 memang salahkan, sebab ustazah cerita itu hanya dakyah kristian untuk menyesatkan”. Saya tersenyum dengan cerita itu lalu menjelaskan secara detail kepada beliau tentang hari kiamat, tanda-tanda.
Bercerita tentang mimpi, sama ada ia benar atau tidak memang kita ketahui mimpi adalah mainan tidur.
Namun mimpi juga satu ibrah sebenarnya kerana ia setiap mimpi itu jika dilihat secara positif ia boleh memberikan pedoman kepada kita sebagai orang yang dewasa. Apa maksudnya? Iaitu untuk kita sentiasa berwaspada dengan kematian. Untuk kita mempersiapkan diri dengan bekalan. Cuba bayangkan jika Allah mencabut nyawa kita saat ini, adakah kita sudah cukup bersedia? Adakah amalan solat kita cukup sempurna kerana itulah yang pertama akan dihisab. Adakah tanggungjawab kita sudah terpenuh? Maka jika persoalan ini dilontarkan kepada kita setidaknya kita akan muhasabah diri sendiri. Mencari kesilapan diri dan memperbetulkan mana yang silap. Jika ada perkara yang belum selesai maka kita akan cuba melangsaikannya seperti hutan piutang, amanah, tugasan dan sebagainya.
wallahuaalam
No comments:
Post a Comment