“ Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”
Ungkapan ini amat bermakna untuk menjadi orang yang cemerlang. Ia perlu didalami dan difahami dalam konteks membina karakter guru yang cemerlang bagi meneruskan kesinambungan melahirkan warga yang cemerlang. Sebagai guru yang bergelumang dengan ilmu untuk dikongsi kepada anak-anak didik sentiasa perlu menjana inovasi dan kreativiti untuk mengorak serta mengekalkan kejayaan dari segi prestasi kerja.
Pembentukan guru yang berintegriti terbina dari kesedaran diri dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, anak didik, masyarakat dan negara. Ia perlu dipraktikkan dalan kehidupan seharian melalui penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia. Seorang guru perlu mengetahui kekuatan dan potensi diri yang dimiliki dan menilai apakah kekurangan yang perlu dikuasai dan diperbaiki serta sentiasa berusaha kearah kecemerlangan. Selain itu guru perlu menyelongkar kelemahan diri yang perlu diperbaiki supaya kelemahan tersebut tidak menjadi kekangan untuk berjaya. Adakalanya untuk mengenalpasti kelemahan dan kekurangan yang ada, seseorang itu perlu pandangan orang lain kerana tidak semuanya kita ketahui melainkan orang yang hampir dengan kita. Umpama seorang guru yang terkenal, hebat pengalaman dan ilmunya tetapi kurang disenangi oleh rakan dan taulan, mungkin kerana masalah komunikasi, atau idea yang sering berbeza. Ia perlu diperbaiki kerana kecemerlangan perlu seiring, iaitu guru yang hebat mengajar di kelas perlu juga hebat dalam menjaga hubungan sesama rakan sekerja, pentadbir dan juga para ibu bapa khasnya.
Kecemerlangan tidak akan cukup syaratnya tanpa membuat perancangan kejayaan. Ia merupakan perkara wajib dilakar diatas kertas dan ia perlu dinyatakan dalam bentuk tindakan yang berterusan demi mencapai matlamat. Perancangan memerlukan gabungan kesabaran yang tinggi dan strategi perancangan yang baik, termasuk menggunakan sumber sebaik mungkin untuk mencapai objektif perancangan. Ini kerana dalam sesuatu hal adakalanya berlaku cabaran yang datang tanpa disangka sangka, justeru guru perlu tahu tindakan apa yang sesuai untuk mengatasi cabaran tersebut. Selain itu, adalah perlu bagi setiap guru untuk memahami sikap, perangai, budaya, kedudukan dan status individu lain dan masyarakat umumnya agar guru tersebut berupaya untuk menggembeleng usaha dan menyusun strategi bagi menjayakan matlamt kearah kecemerlangan.
Rahsia motivasi kearah pembinaan kecemerlangan ada di dalam ketegasan setiap guru. Ia datang dalam bentuk tindakan yang positif dan rasa seronok menjalani hidup untuk meraih apa yang diinginkan. Ada segelintir dari insan yang bergelar guru hilang perasaan keseronokan menjadi guru dek kerana cabaran getir yang dilalui serta bebanan amanah besar yang terpaksa dipikul. Justeru, untuk mengatasinya, setiap guru perlu muhasabah diri, menilai kembali serta mencari faktor faktor yang membangkitkan semangat dan rasa keseronokan bergelar guru. Tentunya teramat banyak untuk disenaraikan. Apabila keseronokan telah diketemui dalam apa yang kita lakukan, sudah pasti masa yang panjang terasa amat singkat dan yang pahit terasa manis. Benarlah jika ditanyakan kepada guru yang hampir bersara, pasti amat merindukan saat berada dalam kelompok guru dan merasakan puluhan tahun bergelar dan menyandang tugas mengajar terasa begitu singkat. Oleh itu carilah apa yang mampu memberikan kita keseronokan. Jika tidak seonok dengan rakan sejawat kerana berlainan pendapat pastinya keseronokan berada dalam bilik darjah sewaktu mengajar, atau melihat anak didik penyambung generasi mengorak langkah langkah kejayaan menjadi pemangkin kepada keseronokan menjadi guru. Ada juga guru yang menyalurkan keseronokan mengajar dengan cara menyalurkan minat serta potensi yang dimilikinya kepada pelajar. Guru tersebut menggarap para pelajarnya untuk memaksimakan potensi diri melalui minat dan kesungguhan dalam sesuatu bidang atau disiplin. Perhatikan berapa ramai guru mampu mengilap potensi dan kebolehan pelajar melalui pengalaman dan minatnya sendiri sehingga mampu menobatkan pelajar tersebut menjadi pelajar terbaik.
No comments:
Post a Comment